Home Novel Fantasi The Klang (Sudah Terbit)
The Klang (Sudah Terbit)
Meja Editor
8/5/2025 09:04:45
35
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Senarai Bab
Prolog1

KIAMAT. Tahun kemusnahan. Itulah istilah-istilah yang digunakan oleh masyarakat seantero dunia apabila bumi dilanda bah secara besar-besaran dan perlahan-lahan tenggelam di bawah paras air laut. Tahun itu, yakni tahun 2055, manusia telah menyaksikan perubahan landskap alam yang begitu drastik sehingga tercetus masalah-masalah baharu yang hanya memburukkan lagi kehidupan mereka yang sedia melarat. 

Sumber makanan dan minuman terhad. Risiko penyakit meningkat mendadak. Segala infrastruktur musnah. Penduduk dari pesisir pantai terpaksa meninggalkan rumah mereka dan menjadi pelarian, menagih perlindungan dari negeri-negeri lain yang masih terselamat. Ratusan nyawa terkorban dan rusuhan meletus di mana-mana.

Walaupun begitu, pada kala kekecohan berlaku, satu bentuk kerajaan baharu muncul di pantai barat Malaysia. Sebuah kerajaan yang diberi nama The Klang. Kerajaan itu berpusat di Lembah Klang, satu-satunya tamadun akhir negara itu yang masih mampu melawan kenaikan paras air laut, hasil pembinaan tembok gergasi yang mengelilingi sempadannya. Perpindahan beramai-ramai pun bermula di situ dan terwujudlah titik permulaan kehidupan yang baharu.

Atau itu hanya apa yang mereka sangkakan. Hakikatnya, The Klang masih belum sempurna. Mereka masih gagal menemui penyelesaian kepada krisis sumber makanan yang dalam masa beberapa tahun mendatang akan menggugat kelangsungan tamadun itu. Maka, apabila beberapa syarikat multinasional menyatakan hasrat mereka untuk membantu, pihak kerajaan  tidak dapat menolak. Bermula dari situ, kerjasama dagang antarabangsa terjalin dan krisis yang menggusarkan orang ramai tidak lagi menjadi permasalahan utama. 

Namun pada waktu-waktu terdesak, penyelesaian sebegitu pasti datang bersama harganya yang tersendiri. Sebagai balasan kerana telah membantu, syarikat-syarikat asing ini diberi tempat istimewa dalam industri pertanian moden. Malah terlalu istimewa sehingga mereka perlahan-lahan mengambil alih peranan petani tempatan, menyebabkan kelompok ini tidak lagi dipandang. Hak-hak mereka juga sedikit demi sedikit mulai hilang. 

Hari demi hari, pada cebisan tanah sama yang sedia susut keluasannya, golongan petani yang tertindas bergelut untuk memastikan mereka tidak disingkirkan oleh pihak yang bercita-cita mahu memonopoli pengeluaran hasil tani dan merampas tanah-tanah milik mereka. 

Ini ialah kisah Fuad Mokhtar, seorang pemuda yang mulai sedar akan hakikat itu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.