APA yang dia nak kejarkan sangat tanah sekangkang kera tu? Ada ke kegunaan tanah tu? Daripada buat tempat biak nyamuk, baiklah aku jual buat modal meniaga," luah Abu Jalal sambil mengusap dagu yang hanya ada janggut sejemput.
Nisa menggeleng.
"Awak tau, anak saudara awak tu tak pernah berebutkan harta dengan awak. Apa saja harta tinggalan arwah abah dan arwah Abang Uthman tu, mana yang awak nak, tak pernah dia rebutkan. Habis semuanya jadi hak milik awak. Lepas tu, habis jual sana sini. Tak malu ke?" ungkitnya.
Abu Jalal mendengus geram apabila khilafnya diungkit. Egonya sebagai ketua keluarga terasa bagaikan dicarik-carik.
"Asyik mencekik darah orang. Bela nyamuk pun dah tak ada bezanya dengan bela awak," tambah Nisa. Kali ini, dalam nada yang perlahan, bagaikan bunyi libasan kepak langau. Tidak mampu ditangkap jelas dek telinga Abu Jalal.
"Apa kau cakap?" soal Abu Jalal, geram.
"Saya cakap, si Baqi tak pernah tuntut apa-apa hak ke atas harta arwah bapa dia yang awak joli. Apa salahnya awak biar dia simpan saki-baki tanah arwah abah? Awak juga yang cakap tanah tu sekangkang kera," balas Nisa.
Abu Jalal mengeluh.
"Ada orang berkehendakkan tanah tu. Kalau aku jual tanah sepuluh ekar tu kat dia, makin rapatlah aku dengan dia. Kau pun tau, kawan-kawan aku tu lubuk emas. Mana tau, rezeki aku kali ni. Kalau aku jadi orang kaya, kau juga yang senang. Aku boleh belikan Baqi tanah lagi besar daripada tanah arwah abah tu."
"Awak cakap tak pernah kalah, bang. Tapi, masa awak dapat projek kecil pun, untungnya tak pernah beri sedikit pun kat anak saudara awak tu."
"Tu sebab projek kecil. Aku nak kena pusing duit. Kalau bagi kat dia, apa yang tinggal." Abu Jalal mencipta alasan sebelum ditempelak Nisa.
"Kecil atau besar rezeki tu patut awak kongsi. Awak guna harta anak yatim piatu, bang. Duit tu semua hak Baqi. Tapi, awak biar dia sengsara cari duit nak tanggung pelajaran dia sendiri."
Abu Jalal merenung tajam.
"Kau apa tau? Perniagaan ni memang ada pasang surutnya. Kau bising-bising, emas sekerat lengan kau tu, siapa yang belikan? Kau nak aku jual balik? Sanggup?"
Nisa terdiam. Telapak tangannya berlabuh di atas gelang emas tebal di pergelangan tangan. Rasa tamak menguasai diri. Hatinya berbelah bahagi. Secuit mahu menegakkan keadilan untuk Baqi. Tetapi selebihnya, dia tak mahu kehilangan harta material yang dikautnya selama ini. Nisa tak sanggup hidup susah. Itu kelemahannya sejak dulu.
"Habis, apa rancangan awak?"
"Gunakan si Iris."
"Iris Marlena, anak pekerja ladang arwah abah dulu tu? Sebab tu awak bayar gaji dia?" soal Nisa.
Nisa agak pelik mengapa Abu Jalal beria-ia mahu menggaji anak arwah pekerja ladang mereka sebelum ini.
Sangkanya, Abu Jalal berhasrat mencari bini muda. Rupa-rupanya otak si tua itu lebih kreatif daripada itu. Dia tahu anak saudaranya, Baqi pernah berkawan baik dengan Iris semasa kecil. Sehingga sekarang, Abu Jalal yakin yang Baqi masih menyimpan hati terhadap Iris dan mahu mempergunakannya.
"Dia tu kan lawa. Aku dah fikir lama dah, mesti ada kegunaan bila perlu. Dan sekarang keperluan tu dah sampai."
Kunci kereta di atas kabinet televisyen dicapai Abu Jalal. Kakinya menapak menuju ke pintu tanpa sepatah kata penjelasan kepada si isteri yang tampak tercengang-cengang. Abu Jalal merasakan dia tidak perlu mengumumkan ke mana hala tujunya. Dia lelaki, ketua keluarga. Kepada dia disandarkan tanggungjawab menyara keluarga, memastikan makanan sentiasa ada di atas meja. Kemahuannya tidak patut dipersoalkan.
"Ni ... awak nak ke mana pula?" soal Nisa.
"Keluar," balas Abu Jalal sepatah.
Nisa menggigit bibir. Matanya belum buta. Dia tahu suaminya sedang menuju ke pintu. Memang Abu Jalal menampakkan niat untuk keluar dengan jelas. Tetapi persoalannya, ke mana hala tujunya? Untuk apa? Pada hujung minggu sebegitu, bukankah lebih elok kalau suaminya duduk di rumah, meluangkan waktu bersamanya.
Nisa sunyi. Anak sulungnya sudah berhijrah ke Singapura untuk bekerja. Anak keduanya pula sedang belajar di Kuala Lumpur. Abu Jalal pantang melekat di rumah. Ada saja alasannya untuk menapak keluar tanpa Nisa.
"Keluar ke mana pula?"
"Keluar tu keluarlah. Tak duduk di rumah. Kau ni banyak sangat soallah. Rimas aku dibuatnya," balas Abu Jalal, tidak telus tentang lokasi sebenar yang menjadi hala tujunya.
"Saya lagi rimas dengan awak. Masuk, keluar. Masuk, keluar. Tak penat ke awak?"
Abu Jalal menaikkan kening kanannya.
"Dah masuk memang keluar baliklah. Lainlah kalau dah masuk lubang kubur. Tu memang masuk, tak keluar-keluar. Tau?" balasnya, dingin.
Hanya derap kaki yang menyapa gegendang telinga Nisa. Dia tidak menoleh lagi untuk memerhati apatah lagi mengiringi sang suami ke muka pintu. Sebetulnya, dia muak dengan perangai suaminya itu.
Bertahan. Itu saja yang mampu dilakukan Nisa kini. Demi anak-anak. Demi imej keluarga bahagia yang dipupuk di hadapan mata saudara-mara mereka. Dia malu. Dia ego. Dia tidak mahu memperlihatkan di mata mereka hakikat sebenar keluarganya yang tidak sebahagia mana. Ajarannya dan Abu Jalal menjadi dogma yang tidak kritis untuk anak-anak. Mereka perlu menunjukkan yang mereka lebih segalanya supaya kebahagiaan mereka tidak dipersoalkan. Hakikatnya, tiada seorang daripada mereka pun yang bahagia dan gembira di dalam institusi kekeluargaan itu.
Abu Jalal menghidupkan enjin kereta. Hatinya terbuai riang dengan tidak semena-mena. Tidak terfikir langsung tentang derita dan emosi Nisa yang terganggu acap kali Abu Jalal membiarkan tergantung tanpa penjelasan. Dan bagi Abu Jalal, apa yang tidak diketahui Nisa takkan melukakannya. Atau barangkali itu cuma alasannya untuk melakukan aktiviti malam yang tidak berbatas.