Home Novel Cinta Si Bakhil dengan Bunganya (Sudah Terbit)
Si Bakhil dengan Bunganya (Sudah Terbit)
Meja Editor
5/2/2025 14:08:40
2,083
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

LANGIT malam seakan-akan berbicara dengannya tentang damainya yang pergi, tenggelam dalam hitamnya secangkir benci. Dia tidak mampu menjadi semut hitam yang merangkak di atas batu legam pada malam yang kelam. Kerana dia tahu ikhlas itu tidak akan sebati dengan jiwa tepunya. Dia mahu menuntut apa yang dirampas. Persetankan tentang mereka yang suruh dia reda dan berdamai dengan takdir.

Takdir itu tertulis dengan usaha manusia yang diiktiraf ILAHI. Bukan datang bergolek ke kaki. Manusia tidak pernah disuruh reda membuta tuli tanpa berusaha sehabis daya terlebih dahulu. Kalau setakat berusaha suam-suam kuku dan kemudian berteriak setiap kali gagal, itu sekadar manusia yang mahu hidup dengan sejuta alasan.

Bunyi ketukan pintu mengejutkan dirinya daripada lamunan. Dia menapak dan menarik daun pintu dengan luas untuk mempersilakan tetamu yang dijemput itu. Ada senyuman yang terukir di bibir. Kali ini, ikhlas. Bukan sandiwara yang dipertontonkan untuk menyedapkan hati orang lain.

"Aloi, my man!" ujar Baqi sambil memeluk lelaki tegap yang rendah sedikit daripadanya itu.

"Qi!" balas Aloi. Dia membalas pelukan Baqi, erat.

Bagaikan hendak gugur air matanya.

"Kau balik juga! Aku tak putus doa, bro! Aku risau sampai mati kau kerjakan aku suruh mengerjakan business kau sorang-sorang," ucapnya.

Baqi menepuk-nepuk belakang Aloi. Usai pelukan terlerai, dia memberi isyarat meminta Aloi duduk dulu. Ada sesuatu yang perlu dibincangkan mereka.

"Macam mana kau? Sihat?" soal Baqi.

Aloi mengangguk.

"Aku dah jaga tanah-tanah tu macam kau suruh. Macam kau dah agak, Jahal nak ambil macam tu aje. Aku dah sebarkan kat semua pekerja-pekerja, kau dah nak balik. Sekarang, dia patutnya dah tau."

Baqi mengangguk.

"Dia kebas habis semua harta arwah atuk dan arwah abah. Tak pernah cukup orang tua tu. Tamak nak mampus. Kita beli balik banyak aset atuk yang dia jual. Sekarang, aku nak rampas sesuatu daripada dia."

"Apa?" soal Aloi.

"Ketenangan dia." Baqi ketawa. "Dia suka harta. Biar kita buat dia rasa dia manusia paling miskin."

"Macam mana? Apa rancangan kau?"

"Aku akan ambil balik semua saki-baki yang dia ada," ujar Baqi sambil tersenyum simpul.

"Kita nak lawan dia? Mamat tu berpengaruh kau tau? Nasib baik tak menang aje pilihan raya lepas. Kalau tak, lingkup negara," ujar Aloi dengan muka menyampah.

"Yang penting dia kalah, kan? Tanda TUHAN nak tolong kitalah tu." Baqi menepuk bahu Aloi cuba menjentik semangat.

"Kudrat dua orang, boleh ke? Abu Jalal tu banyak muslihat. Semua orang dia perguna."

"Jangan risau. Aku tak balik sorang tau."

"Maksud kau?" soal Aloi.

"Aku balik dengan bunga aku."

Dahi Aloi berkerut. Sejak bila Baqi jadi mat bunga? Lain macam bunyinya. Baqi yang kedekut itu tidak akan membazirkan duitnya untuk membeli bunga yang bakal layu pada hujung waktu. Lelaki itu hanya melaburkan duit di dalam aset yang mengembang, bukan menguncup.

"Bunga?" soal Aloi lagi.

Baqi ketawa.

"Aku akan kenalkan kau dengan bunga aku nanti. Kau akan terkejut bila kau jumpa dia. Dia seseorang yang kita perlukan untuk tundukkan Abu Jahal dan penyamun-penyamun dia tu."

Aloi tampak teruja, tetapi pada masa yang sama risau. Makhluk spesies apa yang Baqi sifatkan sebagai bunganya?

"Kau seriuslah sikit, Qi. Spesies bunga apa yang bahaya sangat ni? Lain macam aje."

"Banyak bunga yang beracun. Tapi manusia masih tanam. Masih ada harga kalau jual kat nurseri pokok, kan? Padahal kita tak tahu pun beracun. Silap hari bulan, muntah, sakit perut. Pergi klinik, dapat ubat cirit."

Aloi tergelak.

"Kau ni ... pergi belajar sampai seberang laut, tak berubah langsung, kan? Masih dengan ayat sinis kau."

Baqi memang suka menggunakan ideologi pelik-pelik untuk menyuarakan perca-perca buah fikirannya pada sesuatu masa.

"Kenapa aku pula nak kena berubah?" soal Baqi. Dia duduk selesa, menghabiskan kopinya.

"Si tua ganyut tu ambil semua yang aku suka, Loi. Dan aku hanya nak tuntut hutang, bukan rampas hak milik dia."

Aloi mengangguk.

"Macam mana rupa bunga kau tu?"

Baqi menghidupkan skrin telefon dan melambai screen saver wajah gadis dingin yang mengenakan cermin mata gelap Gucci.

Dahi Aloi berkerut.

"Macam spy, der! Kau biar betik? Perempuan mana kau angkut ni? Lawa!"

Baqi tersenyum. Dia tidak memberi penjelasan.

Aloi diam sekejap.

"Tapi kan ... kau guna gambar dia jadi screen saver ni, dia ni agen balas dendam kau atau bakal ...."

"Who knows? Yang aku tau, bunga ni aku seorang yang punya. Tak ada lelaki yang berani. Aku akan label hubungan kami kemudian. Untuk sekarang, aku kena fokus dengan misi aku."

Aloi tersenyum dan mengangguk.

Baqi menoleh ke langit malam semula. Fikirannya terbang jauh, memikirkan memori lampau yang masih bersisa. Aloi adalah kawan karib merangkap pengikut setianya, dulu dan sekarang. Sejak budak kecil berhingus itu menyuapkan nasi kepadanya ketika dia diikat dengan perut yang kelaparan di pohon rambutan yang penuh kerengga di belakang rumah arwah datuknya, dia sudah tahu Aloi akan menjadi temannya sehingga ke hujung nyawa.

"Kau tak takut?"

"Takut apa?" tanya Baqi.

"Dari kecil, apa saja milik kau, pak cik kau akan ambil. Anak-anak dia akan ambil. Sebab tu kau tak pernah claim ownership apa-apa. 'Semua benda dalam hidup ni pinjaman yang akan mereput, basi dan luntur dengan masa.' Tu yang kau cakap sebelum kau ke Scotland."

"Tapi kau yang suruh aku pergi, kan? Kau suruh aku jadi kuat dan tuntut balik semuanya. Kau janji nak jaga tanah kesayangan arwah dan bina legasi kita. Kau cakap biar kau kerja. Kau suruh aku jadi otak kau dan cari duit banyak-banyak. Dan kau juga dah janji akan sambut aku balik macam anak raja," balas Baqi pula.

Aloi mengangguk.

"So, where's my red carpet, Aloi?"

"Sorry ... aku tak tau kau nak karpet merah. Aku ingat kalau aku naik bas dan jalan kaki ke sini, kau lagi happy daripada tengok bunga api warna-warni."

Baqi ketawa. Dia hampir terlupa. Terlupa untuk mengesan kemeja Aloi yang masih basah bermandi peluh. Kerut-kerut lelah pada wajah Aloi belum menghilang dengan lingkaran gelap harga berjaga lama. Pasti kudrat Aloi dikerah lama sebelum diizinkan bercuti. Lelaki itu berusaha mencari ruang dan peluang untuk berjumpa dengannya walaupun terpaksa merantau ratusan kilometer.

Dia merahsiakan segala aset yang dimiliki mereka dan hidup bersederhana supaya Abu Jalal tidak dapat mengesan apa yang mereka kerjakan di belakangnya dalam diam. Mereka memilih untuk menjadi diam umpama ubi. Apabila tiba masanya, akar di bawah sudah menumpahkan hasil. Tidak perlu menjaja kejayaan tidak seberapa.

"Aku gurau ajelah. Kau datang ni pun aku dah nak sujud syukur tau. Ni, aku tapau makanan. Jom, makan!" ajak Baqi sambil memandang bungkusan makanan yang dibekalkan Kekwa selepas makan malam tadi.

Aloi menggeselkan tapak tangan.

"Alhamdulillah, macam kau tau-tau aku tak sempat makan apa dari tadi."

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.