Home Novel Cinta Bukan Gadis Biasa
Bukan Gadis Biasa
liza nur
12/2/2020 19:46:06
757
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Senarai Bab
Bab 1


Dalam drama televisyen, heroin kenalah naif, lemah-lembut. Mesti kena ada watak antagonis. Mungkin mak tiri yang jahat. Atau mungkin ada ex awek hero yang datang mengacau. Tak mustahil juga kalau ada awek lain yang cuba rampas hero dari heroin. Tiap drama akan diakhiri dengan happy ending. Wanita naif yang dibuli kerana tak mampu perjuangkan nasib sendiri akan jumpa prince charming yang jadi penyelamatnya. 

Tetapi, ceritera dunia sebenar lain perjalanan episodnya. Tak semua kisah diakhiri dengan quote cliché Walt Disney, ‘and so they lived happily ever after’. Macam cerita mak dan abah aku. Mak asyik masuk dan keluar dari pusat serenti. Abah masih merengkuk di dalam penjara, tak keluar-keluar sejak aku berumur sembilan tahun. 

Aku bukan heroin, baik versi watak fiksyen mahupun serbuk yang buat orang gian. Aku bukan perempuan naif yang lemah-lembut. Aku hanya makhluk Tuhan yang normal. Atau mungkin separa normal tapi pada skala yang masih boleh masuk dek akal. Adakala aku rasa bersemangat. Adakala aku rasa down. 

Macam watak non-fiksyen yang lain, hari-hari aku kena berdepan dengan ujian. Almaklumlah, hidup ini tak pernah mudah. Tetapi, manusia takkan hargai semua benda yang datang dengan mudah. Kalau kau tak pernah rasa derita, kau takkan hargai rasa bahagia. Bahkan kau mungkin tak faham apa definisi bahagia. Ya, kau boleh tahu definisinya kalau kau rajin selak kamus Dewan Bahasa dan Pustaka. Tetapi, kau takkan faham.

“Jo!” tegur Amri.

Johana tersentak dari lamunan seraya mengangkat muka. Matanya berpinar sekejap. Almaklumlah, sejak tadi sibuk berangan sampaikan berjegil biji mata. Kalau dia lawan jeling dengan orang, pasti dia sudah menyandang pingat juara.

“Wassup! Wassup!” luah Johana.

Badannya kurus kering. Rambutnya dipotong pendek dan dicukur sedikit di belakang rambut. Sisi rambut kanannya dicukur pendek manakala sisi kiri rambutnya panjang sedikit. Mukanya pucat bagaikan orang sakit. Sebelah matanya lebam, hadiah bertumbuk dengan teman lelaki baru kawan baiknya. ‘Dasar lelaki bedebah!’ cetus hatinya apabila bengkak di bawah matanya rasa berdenyut-denyut.

“Kau apahal?” soal Amri yang baru memulakan syif petang. Dia baru perasan yang mata rakan sekerjanya itu tampak lebam, persis mata beruang panda. Hatinya masih berkira-kira sama ada dia mahu gelak ataupun tidak. Manalah tahu kalau-kalau dia pula bakal menjadi seperti panda kalau dia tersilap langkah. Si Johana memang sudah lama dikenalinya sebagai spesies perempuan berperangai jantan.

“Laki baru si Ujah yang bangang tu. Ada ke patut dia tumbuk aku semalam? Dia ingat aku jantan. Aku letak tangan atas bahu Ujah. Dia sentap. Lepas tu, dia tarik aku dari belakang dan terus hayun…” cerita Johana bersungguh-sungguh sambil melakukan demostrasi ke atas Amri. Hampir tergeliat Amri sewaktu tangannya dipulas.

“Uish! Dah! Dah!” jerit Amri lantang sewaktu Johana mengacukan penumbuk ke mukanya yang separa kacak. 

Johana menarik muka masam.

“Macam mana boyfriend si Ujah tak ingat kau lelaki? Perangai macam lelaki! Potong rambut gaya lelaki! Lepas tu, sambil cerita pun nak hentam orang pulak! Memang kau dah macam jantan sangat.”

“Eleh. Aku acah sikit pun dah cuak,” ejek Johana.

“Bukan cuak, beb. Aku ni kena menjaga maruah lelaki. Takkan nak bagi perempuan belasah kot.”

“Hah, kalau takut sangat, malu sangat, belasahlah aku balik. Macam kau beranilah kan,” cabar Johana.

“No! No!” bantah Amri. Dia mencangak muka sedikit. “Tak mainlah gaduh dengan perempuan. Jatuh maruah aku. Tak macho,” balas Amri. Tangannya masih galak membetulkan jambul gaya rambut 80-an yang menjadi trademarknya sejak berbulan yang lepas walaupun ia tidak bergerak walau seinchi.

“Iyalah tu. Sejak bila pulak kau gender bias,” balas Johana. Dia baru hendak mengutuk Amri lagi sewaktu ternampak ada muka bulat yang tertempek pada cermin kaca pintu depan pasar raya Afro Mart yang menjadi tempat mereka mencari rezeki. Hidung muka bulat itu terpenyek, melekap pada cermin. 

“Budak ni!” tegur Johana sambil ketawa, tidak mampu menahan rasa lucunya.

Amri yang turut menoleh ke pintu depan turut tertawa melihat telatah si kecil itu. Lubang hidungnya yang bulat nampak mencangak ke atas, tersembul.

“Eh! Siapa nak cuci hingus kau melekat ni?!” jerkah Johana, mengacah si kecil itu pula. Dia menarik pintu depan selepas menarik beg sandangnya dari bawah kaunter bayaran. Kunci cash register ditinggalkan kepada Amri.

“Mana ada hingus!” balas Aisya dengan muka garang yang tidak menakutkan langsung. Dia kelihatan seperti budak bebal. Tetapi, muka comelnya tidak membuatkan mata yang memandang terasa jelek. Sebaliknya dia kelihatan comel dengan tocang dua yang terinjut-injut sewaktu kaki genitnya melangkah. Mata bulatnya yang dialasi kening lentik mampu mencair hati Johana tiap kali wanita yang digelar emak itu mahu memarahinya.

“Kau yang berhingus kot,” usik Amri.

“Aku pulak!” balas Johana dengan kasar. Dia terus mengangkat Aisya ke dalam pelukannya sebelum memandang wanita yang menghantarkan Aisya ke situ.

“Mak, cikgu cakap jangan cakap ‘aku’,” tegur Aisya.

“Isy!” balas Johana sebelum mencuit hidung Aisya. Dia menoleh ke arah Cikgu Fauzia yang sudah masuk semula ke dalam kereta.

“Thanks, Cikgu Zia!” ucap Johana.

Cikgu Fauzia sekadar melambai.

‘Alhamdulillah,’ ucap Johana di dalam hati. Kalimat itu akan meniti di bibirnya setiap kali Aisya sampai ke dalam pelukannya dengan selamat. Mujurlah Cikgu Fauzia yang berkhidmat di tadika itu sanggup singgah ke situ setiap petang Selasa dan Khamis untuk menghantar Aisya. Kebetulan guru tadika yang berusia 30-an itu tinggal di kawasan perumahan berdekatan dengan Afro Mart yang terletak di Wangsa Maju. Kalau tidak, pasti Johana terpaksa bergegas ke tadika Aisya setiap hari. Setiap hari Selasa dan Khamis, syif Johana habis lambat sedikit, pukul enam setengah.

“Mak,” panggil Aisya.

“Apahal?” soal Johana.

“Hari ni Sya nak jumpa ibu, boleh?” soal Aisya.

Johana memandang muka bulat Aisya.

“Tak boleh. Hari ni Sya duduk dengan Aunty Ujah. Mak ada kelas. Kan mak dah cakap semalam.”

“Tapi, Sya nak cabut rumput,” luah Aisya, bersungguh.

Johana menjeling.

“Kan minggu lepas dah cabut. Tunggulah. Takkanlah rumput nak naik cepat sangat. Kau taruk baja organik ke?” balasnya.

“Baja organik tu apa, mak?” soal Aisya.

“Baja fresh dari ladang,” jawab Johana sambil tergelak.

Aisya hanya terkebil-kebil masih tidak mengerti.

“Mak,” panggil Aisya lagi sewaktu Johana menggenggam tangannya, membawa dia berjalan ke stesyen bas, menunggu bas GO KL yang tambangnya percuma.

“Apa lagi?” soal Johana.

“Kenapa ibu tinggal dalam tanah? Kenapa dia tak keluar duduk dengan kita?” soal Aisya. Pipinya tampak kemerah-merahan.

“Dia start dah…” keluh Johana. Dia berhenti sekejap. Tapak tangannya mengaut dagu bulat Aisya yang selalunya diberi makan melebihi jumlah yang dijamahnya sendiri. “Kenapa tanya macam tu?” soalnya. Kalau ibu Aisya yakni arwah kakak Johana keluar dari tanah, alamatnya mesti bertempiaran semua manusia di sekitar mereka. Kisah fiksyen Walking Dead bakal menjadi realiti. Ia tidak mengujakan langsung.

“Sebab Sya pun nak masuk tanah, jumpa dengan ibu,” jawab Aisya sambil memandang tepat ke anak mata Johana.

Johana mengetap bibir, terkilan. Penat-penat dia membela budak kecil itu sampai bulat, senang-senang dia cakap dia mahu mengikut jejak ibunya ke alam barzakh. Kalau Aisya sudah lebih lanjut usianya, pasti budak itu sudah diberi makan selipar.

“Jangan cakap macam tu. Tak sayang mak? Nak tinggal mak?” soalnya dengan dahi berkerut-kerut.

Aisya menggeleng.

“Habis?” soal Johana.

“Sya nak tanya ibu…”

“Tanya apa? Tanya ajelah mak. Kan mak terrer. Biar mak jawab,” luah Johana dengan nada suara sombong meskipun matanya berair. Luka yang ditarah di dalam hatinya tak pernah sembuh. Biarpun berkali-kali dia menunjukkan muka tabahnya, hatinya sudah lemau, sudah penat menangis. Sakit yang digumam di dalam dadanya tidak setanding tumbukan teman lelaki kawan baiknya, Ujah atau nama sebenarnya, Nur Ujana.

“Mana ayah Sya? Kenapa Sya tak ada ayah? Kawan-kawan Sya semua ada ayah. Kawan Sya cakap, kalau tak ada ayah, anak haram. Anak haram tu apa, mak?”

“Sya bukan anak haram,” bantah Johana dengan suara keras, meskipun dia jelas yang tak ada nama lelaki tercatit dalam ruangan ayah di atas surat beranak Aisya.

“Betul, mak?” soal Aisya.

Johana mengangguk.

“Habis, mana ayah Sya, mak?” soal Aisya sekali lagi.

Bibir Johana seakan sudah berjahit seperti watak antagonis dalam siri Arrow, Michael Amar. Dia tak punya jawapannya. Dia tak pernah tahu. Dan sudah berjuta kali dia memberitahu dirinya, dia tidak perlu tahu. Aisya hanya perlu ada dia. Dia hanya perlu ada Aisya. Cukuplah dunia mereka berputar begitu.

“Sya tak ada ayah,” teriak Aisya sebelum menangis tersedu-sedan.

‘Lebih baik tak ada ayah dari ada ayah yang tak mahukan kita,’ bisik hati Johana sambil mengenangkan ayahnya. Dia memeluk Aisya sambil mengusap belakang badan tubuh montok kesayangannya itu. Tak ada bicara yang mampu diluahkan untuk memujuk Aisya. Bagaimanakah caranya untuk memujuk hati yang tercalar sedangkan hatinya sendiri sudah lunyai? Dia membuka botol air Aisya dan menyuapkan muncung botol ke bibir si kecil itu setelah Aisya berhenti menangis dan tersedu-sedu. Kemudian, dia mengangkat Aisya, merapatkan Aisya ke dadanya.

“Sayang anak mak,” ucap Johana sewaktu kepala Aisya terlentok ke atas bahunya. Dia mengerah seluruh tenaganya, mengangkat tubuh itu sehingga masuk ke dalam bas. Tak ada seat yang kosong. Tak ada juga manusia yang sudi menawarkan tempat duduk mereka kepadanya dan Aisya.  

Johana tidak ingin menagih simpati. Dia berdiri tegak sambil mengendong si kecil kesayangannya yang sudah menjangkau usia enam tahun. Persetankan tangan yang lenguh! Persetankan badan yang penat! Tak ada kemenangan tanpa perjuangan. Tak ada perjuangan tanpa pengorbanan. Pengorbanan itu bermula dari hati. Barangkali tubuh keringnya tidak kuat. Tetapi, hatinya lebih keras dari kerikil. Dia takkan sesekali menunjukkan dirinya lemah. 

“Jo, akak minta maaf. Akak minta maaf, Jo. Tolong jangan benci akak. Tolong kakak jaga Aisya.” Bicara terakhir arwah kakaknya, Zaharah masih terngiang di telinganya sehingga kini. Dia takkan pernah lupa. Dalam bencinya, masih ada rindu tersisip. Setahun lamanya kakaknya menanggung pelbagai komplikasi kesihatan selepas melahirkan Aisya, terbaring di atas katil hospital. Setahun lamanya juga dia menjaga kakaknya. Dalam masa yang sama, dia terpaksa menjaga neneknya yang sudah uzur, suka mengarah itu dan ini dan menghamunnya setiap hari. 

‘I will not, Ara. Aku bukan kau. Aku bukan mak. Aku bukan abah. Aku juga bukan laki kau yang aku tak kenal siapa. Aku takkan tinggalkan orang yang aku sayang. Aku ada Aisya. Aisya ada aku. Hanya mati yang akan pisahkan kami,’ bisik hati Johana yang tiba-tiba berangan yang dirinya adalah watak hero cerita perang. Mungkin Lieutenant Chris Burnett dalam filem Behind Enemy Lines. Atau untuk mencerminkan nilai Asia seperti tagline tourism Malaysia yakni ‘Malaysia Truly Asia’, dia lebih dekat dengan watak perang Jin-Tae dalam Taegukgi. Kalau nak lebih localize, Sarjan Hassan pun jadilah.

“Edora!” jerit satu suara.

“Oi, mak kau!” latah Johana. Dia baru hendak melayani perasaan melodramatiknya apabila seorang wanita tua menerkam dan memeluknya dari belakang.

‘Siapa pulak orang tua ni? Aku baru nak berangan jadi hero dalam filem popular. Spoiler betul,’ cetus hati Johana.

“Edora, lama mak cari kau, nak!” teriak wanita tua tadi bersungguh-sungguh.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.