Home Novel Cinta THE ADAM BROTHERS
THE ADAM BROTHERS
NAWAR WAHID
7/2/2021 12:30:57
3,512
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 24

Walau badai datang melanda sekali pun, hubungan adik-beradik tu tidak akan putus. Macam mana dengki dan benci kita pada adik-beradik kita pun, dia tetap orang yang perlu kita jaga. Mereka telah datang dari perut ibu yang sama, hidup bersama, diciptakan oleh Tuhan yang sama dan mereka akan kembali padaNya juga. Perjalanan kita sama. Cuma mungkin ada yang ditakdirkan mendapat rezeki yang lebih dan kita pula terkecuali. Tetapi ia tidak bermakna rezeki kita tiada. Tuhan dah susun cantik. Kita mungkin akan dapat rezeki tu nanti atau ada yang lebih baik daripada apa yang kita nak. 

Kemahuan berbeza dengan keperluan. 

Mungkin kita ingat kita akan dapat apa yang kita nak pada waktu itu, tetapi ia tidak perlu. Kita rasa kita perlukan anak, tetapi rezeki tiada lagi. Tak terfikirkah mungkin kita masih belum mampu atau ada benda yang lebih penting perlu diselesaikan? Kita rasa kita mahukan jawatan tertentu, tetapi tak diberi. Memang sakit hati. Kita tak tahu sebenarnya kita diperlukan di tempat lain dengan jawatan yang lebih baik. 

Bersangka baik dengan tuhan. Itu namanya berkhusnuzon. 

Salahkah kita bersangka baik dengan Tuhan yang sentiasa tepati janji? kenapa? kau rasa kau dapat rancang lebih baik? Tak malukah kita pada Dia? 

Sebab itu kalau adik-beradik kita dałam masalah atau memerlukan bantuan, tolong dia. Kalau tak mampu, tolong doakan kesenangan dan kebahagiaan dia. Sama juga apabila dia mendapat tuah atau diberi rezeki yang melimpah ruah, jangan dengki. Nanti perasaan dengki jadi beban. 

Begitulah apa yang dirasai Adam Bahri. Walaupun perasaan sayang pada Mina menggunung, perasan cinta mula pupuk, tetapi dia lekas pendam. Dia mampu pendam sebab sayang dia terhadap abangnya bernama Adam Baihaqi lebih besar. 

"Bai... aku tengok kau ni dah macam raksasa. Bengis. Kenapa tukar rambut jadi warna biru?" Adam Bahri menyapa. 

Dua orang adik-beradik ini baru sahaja menjejakkan kaki di negara Malaysia. Bag sandang yang hampir jatuh daripada bahu diperbetulkan. Baihaqi masih berdiri menunggu keretanya. Cuaca di Malaysia panas. Nasib baik mereka berdua hanya memakai baju t-shirt hitam dan seluar jeans biru. Kasut Nike pula nampak cantik dipakai. Di tangan kanan Adam Baihaqi terdapat jam Rolex miliknya. 

"Tak kacak ke?" tanya Baihaqi bersahaja. Dia masih leka bermain telefon. 

"Kacak memang kacak. Kau tak nampak gadis-gadis dah beratur depan pintu masuk tu?"

Baihaqi melihat keadaan sekeliling. Mereka sudah berada di luar lapangan terbang di bahagian ruang ketibaan.Ramai orang sedang berbisik bertanyakan siapa gerangan lelaki ini. Ada juga yang mengambil gambar di telefon bimbit. 

Telefon di tangan mendapat notifikasi di laman sesawang instagram. 

Adam Baihaqi spotted here! In Malaysia! 

OMG! Cantik gila rambut dia!

Im in love! But bitch, I'm in love with Bahri!

Hashtag Adam Brothers!

Tak berhenti para peminat mereka memberi komen dan like gambar. Baihaqi terus matikan telefon. Bosan katanya. Kenapalah Mina tak pandang dia macam mana perempuan lain tengok dia? Tak cukup ke apa yang aku beri? Ya, aku tahu, aku tak sepatutnya mengharapkan balasan bagi setiap pemberian. Tetapi bukankah begitu apabila dalam perhubungan?

Daripada jauh Adam Bahri melihat dua orang rakan baik menghampiri. Mereka ialah Zaqwan dan Salahudin. 

"Zack! Edin!' Sapa Adam Bahri. 

Zack merupakan rakan baik Adam Bahri sejak sekolah lagi. Dia juga bukan calang-calang orang. Ayahnya dan maknya merupakan pengarah di sebuah hospital di Malaysia. Wajah Zaqwan juga tampan. Rambutnya pendek dan sama tinggi dengan Adam Baihaqi. Keningnya halus dan matanya sedikit sepet. Dagu dan hidungnya nampak mancung sekali. 

"Bahri! Bai!" Sapa Zack. 

"Bro! Lama tak jumpa!" Adam Baihaqi memeluk bahu Zack. Mereka berpelukan seketika. Terasa hilang rindu yang lama terpendam.

Di sebelah Zack, Edin tersenyum lebar. Dia gembira melihat dua orang kawan baik ini. Edin pula senang dikenal pasti. Rambutnya botak dan keningnya sangat tebal dan tajam. Kalau orang tengok, nampak macam penyangak. Tetapi tak ramai tahu bahawa Edinlah lelaki paling setia dan paling lembut hati. Walaupun dia memang berperangai sedikit gila-gila, dia sentiasa buat orang lain ketawa.

"Edin!" 

"Bai!" Edin terus meluru dan peluk rakannya. Kemudian dia peluk Bahri. Rindu katanya. Siapa kata lelaki tak boleh rindu rakan juga? Lelakilah paling setia dalam persahabatan, tahu tak? Kalau seorang kelentong, yang lain turut mengiyakan. Jangan pandang remeh. Sebab tu kalau nak bercinta dengan mana-mana lelaki, tengok siapa kawan dia. Siapa orang yang dia selalu berkawan dan bermain. Kalau kau ok, maknanya kau dan lelaki tu boleh faham sesama sendirilah.

Takkan setiap kali nak keluar main bola cakap nak pergi kerja kan? Udah-udahlah menipu para lelaki, oi! Tapi yang perempuan, sudah-sudahla jadi perisik setiap gerak geri lelaki mu. Haha!

"Korang sihat?" Tanya Baihaqi.

"Sihatlah. Tengok ni. Dah buncit." Edin tepuk perut.

"Aku sihat. Tapi kau ok, bro?" Tanya Zack sambil angkat kening. Dia memandang Baihaqi. Jejaka itu masih nampak tampan dengan rambut panjangnya berwarna biru.

"Entahla." Baihaqi malas jawab. Fikiran dia sebenarnya bercelaru. Kalau ikutkan hati dia tak nak balik Malaysia. Kalau Mina ldah tak nak, maknanya keputusan dan muktamad. Namun kata Bahri, cubalah sampai habis kudrat. Cuba menangkan hati dia sampailah dia berlembut hati.

Mereka berbual seketika tentang Mesir. Bagaimana cuaca di Mesir sangat berbeza dengan Malaysia. Di Mesir ada empat musim dan cuaca berubah dengan cepat. 

Sementara mereka berdiri berbual, kelihatan tiga orang lelaki berbadan sasa dan berbaju sut hitam menghampiri mereka. Pengawal peribadi Baihaqi akhirnya tiba juga. Barang-barang diangkat dan troli segera ditolak untuk dibawa ke kereta. 

***
Baihaqi dan Bahri memilih untuk tidak balik ke rumah. Mereka lebih selesa duduk di hotel lima bintang di Kuala Lumpur. Kota KL nampak sangat sibuk. Apabila tiba di hotel, Bahri dan Baihaqi pilih untuk makan di dalam bilik. Makanan istimewa terhidang di atas meja. Usai makan malam, Bahri menunggu Edin dan Zack. 

Tepat pukul 9 malam, Edin dan Zack muncul di hadapan pintu. Loceng bilik berbunyi. Pintu segera dibuka. Bahri menjemput mereka masuk. 

Edin dan Zack duduk di sofa dihadapan televisyen. Di ruang tamu itu terdapat cermin hitam besar yang boleh melihat keindahan kota itu. 

Mereka berpakaian segak dengan baju sut. Edin melempar baju suit berwarna putih di tepinya manakala Zack nampak segak berpakaian serba hitam. Mereka menunggu Bahri dan Baihaqi bersiap. 

Di tangan Zack terdapat beberapa dokumen penting. Dia terus melemparkannya di atas meja. 

Bahri dan Baihaqi menghampiri dan duduk di sofa bertentangan rakan-rakan mereka.

"Bahri, Bai, ni beberapa senarai tempat yang Mina mungkin berada. Rumah dia dah kena jual. Kakak dia hilang. Abah dia dah meninggal dunia."

"Ap..Apa?" Baihaqi angkat kening. Lepas tu dia capai kertas yang tertera sijil kematian arwah ayah Mina. 

"Susah macam ni. Kita tak boleh main cari je. Tak ada hala tuju." kata Bahri tenang. Dia tenung Adam Baihaqi yang sedang runsing.

"Baihaqi, kita akan lawat beberapa kawasan. Sebabkan kita masih tak tahu lagi apa dah jadi dan apa berlaku, kita tak boleh main sergah. Orang aku dah tunggu dalam kereta. Apa-apa hal dorang back up!" Edin petik jari. Katanya tak ada masalah. Semua dia akan buat.

"Nak pergi malam ni?" Tanya Baihaqi.

"Lah, kenapa? Kau ada hal ke? Ada benda lagi penting daripada ni?" Tanya Zack sedikit musykil. Baihaqi mula ubah fikiran. 

"Leh bai? Fi musykillah? (Kenapa Bai? Ada masalah ke?)" tanya Bahri juga.

Jujurnya, dia takut. Dia juga marah akan tindakan Mina yang melulu. Kan sekarang dah susah. 

"Entahlah." Baihaqi menghembus nafas berat. Adam Bahri segera tepuk bahu. 

"Asal? Kau ok tak ni, Bai? Aku tahu kau risau. Tapi kitaorang kan ada."

Baihaqi geleng kepala perlahan-lahan. "Bukan tu. Cuma kalau aku jumpa dia, aku nak cakap apa? Kalau dia tak nak jumpa aku, macam mana? Kalau dia memang tak nak ikut aku balik Mesir, apa aku nak buat? Aku, ish...!" Baihaqi lempar kertas yang dipegang ke sofa. Kemudian, dia picit kepala. 

"...Aku takut nak tahu tentang kebenaran, Bahri! Dan aku masih marah! Mina tak patut blah macam tu je. Tahu tak aku sakit hati!" 

"Inta nasit? (Kau lupa?) kau lupa Bai macam mana Mina kecewa selepas apa yang terjadi pada dia sebab kau? Habis tu? Kau nak buat apa sekarang ni? Kau nak biar Mina terkapai-kapai? Kata sayang. Mana bukti dia Bai? Kau sepatutnya tolong dia masa dia perlukan pertolongan." Bahri menyampuk. 

"Kalau dia tak nak pertolongan aku?" Baihaqi henyak badannya ke sofa. Dia bersandar kasar. Dia penat!

"Bai, katakanlah Mina tu isteri kau, kau nak biarkan dia?"

"Isteri lain, bro!" Edin mencelah. Zack masih berdiam diri. Tidak mahu masuk campur pergaduhan dua beradik.

"No, maksud aku, kalau sekarang pun dah banyak alasan nak tolong, belum lagi Mina jadi isteri kau! Entah-entah beribu sebab kau bagi kan!"

"Bahri, sabar-sabar!" Zack lantas bangun lalu dia pegang lengan Bahri. Dia cuba tenangkan kawannya. 

"Tak payah jadi pengecutlah Bai! Nak, buat la cara nak! Bukannya main tarik tali. Ingat Mina tu mainan ke!" Bahri mula melenting. Hati dia panas. Sudahla dia pendam rasa suka pada Mina, sekarang ni abang dia suam-suam sahaja mahu tolong. 

"Kau kenapa, Bahri? Yang kau nak naik angin sangat? Aku cakap apa yang aku rasa je. Habis tu, yang kau tu? Suka cakap suka, Bahri! Tak payah nak tunjuk macam kau ni kuat!"

"Ya, aku memang suka Mina! Aku suka dan aku sayang dia! Tapi malangnya Mina cintakan kau! Siang malam dia tunggu hero ni, tapi tak muncul-muncul! Kekasih apa kau ni!"

Edin tekup mulut kasar. Mata Edin terbeliak. What!

Kebenaran akhirnya terlucut daripada bibir. Kata rindu dan kata sayang terucap dari hati. Seorang adik yang sayangkan kekasih hati abangnya menjadi tidak keruan. Perasaan Bahri membuak-buak dengan marah. Jiwa bergelora. Kenapa Mina sayang kau? Kenapa bukan aku!

"Dah ah, Bai! Malas aku nak pujuk kau. Kalau kau tak nak suka hati. Tapi kau tak payah nak terhegeh-hegeh nak kejar dia balik. Aku harap kau tak menyesal. Guys, dah la jom! Kalau aku tunggu kau buat keputusan, aku tak tahu apa akan jadi pada Mina!" 

Adam Bahri terus bangun dan dia menghampiri pintu. Tombol pintu dipulas dan pintu terbuka luas. Zack membontoti Bahri. Edin pula sempat menyelit kunci motor dia pada poket seluar Baihaqi.

Katanya, " kalau kau berubah fikiran, motor aku dekat bawah. Kau tahu kan motor aku mana satu?"

Mereka meninggalkan Baihaqi terpinga-pinga. Dia menyesal tak sudah. Hati terasa berat. Rambutnya digosok-gosok sehinggga nampak serabai. Pengecutlah kau ni, Baihaqi! Kau nak ke Mina benci kau sampai mati! 

Baihaqi bangun kasar dan berjalan ke arah radio. Lagu di corong radio dikuatkan. Lagu 'Melepaskanmu' nyanyian Sakura Band nyaring dimainkan.

Aku menjaga utuhnya cinta
Tapi kau selalu mengingkarinya
Cukup sudah aku menahan sakit
Sebelum teruskan cinta ini

Terlalu lama kuberdiam diri
Saat kau selalu sakiti hati
Maafkan 'ku harus meninggalkanmu
Usaikan semua yang kurasa

Dan aku pun terluka karenamu, karena cintamu
Aku harus melangkah jauh darimu, dari cintamu

Terlalu lama kuberdiam diri
Saat kau selalu sakiti hati
Maafkan 'ku harus meninggalkanmu
Usaikan semua yang kurasa

Hapuskanlah semua tentang kita
Aku harus melepaskanmu…

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.