Home Novel Cinta THE ADAM BROTHERS
Bab 12

Bagaimanakah perasaan anda jika seorang rakan atau kekasih yang disayangi tidak berlaku jujur? Adakah anda cepat melatah lalu menuduh dia dengan idea yang bukan-bukan? Atau ia pernah berlaku pada anda dan ia tidak membawa apa-apa maksud?

Ah, biarlah! Semua orang ada rahsia.

Tetapi sampai bila kita mahu beri dia masa. Kita boleh memaafkan tetapi tidak melupakan. Memang semua orang tahu kekasih Tuhan, Rasulullah sentiasa memaafkan. Namun, kita hanya manusia biasa. 

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata padah binasa. 

Ketika ini, hati Mina sakit. Memangla dia baru sahaja kenal Adam Baihaqi, tetapi persahabatan yang diikat seperti ada sesuatu. Jejaka itu sentiasa menginginkannya dan mahu membantunya setiap masa.

Jadi, salahkah jika Mina berfikiran sedemikian? Dia juga mahu buka pekung di dada. 

Gadis jelita yang sedang membasuh pinggan itu nampak runsing. Mulut terkumat-kamit mencela jejaka sempurna itu. 

Siapa kau, huh! Kau tak patut buat aku macam ni! Aku datang sini nak belajar, bukan nak bercinta. Ya! Matlamat hidup aku sekarang ni dah tersasar. Kenapalah setiap kali aku basuh pinggan ni, aku nampak muka Adam Baihaqi sedang tersengih macam kerang busuk! Aku tonyoh banyak kali tak hilang-hilang. Argh, geramnya!

Sampai hati Adam Baihaqi tinggalkan aku macam tu. langsung tak jenguk atau pujuk aku! Ish, dasar jantan! 

Dah tiga minggu! Jangankan kelibat tak nampak, bayang-bayang pun hilang entah ke mana!

Mina sudah berada di dapur selama 20 minit. Mulutnya terkumat-kamit menyumpah seranah. Dia tidak boleh lupakan Adam Baihaqi! 

Bukannya dia mahu berkahwin dengan jejaka itu, dia hanya mahu kebenaran. Apa yang telah berlaku satu tahun yang lepas? Siapa Sara Sadeeqa itu? Wanita itu berjaya membuatkan hidup aku, Mina Arwiena terumbang-ambing. Hal ini hanya kerana muka kita sama. Maaflah mencaci kau. Al-fatihah untuk hamba tuhan ini. 

Selepas mencuci pinggan, langkahnya laju berdecit mahu meninggalkan dapur. Tanpa disangka-sangka, bahunya melanggar tangan seorang rakan.

Puteri Aisyah! 

"Eh, kau ni apa hal! Panas tahu tak! Habis air kopi aku ni! Mata pandang mana?" Puteri memekik. Dia memandang baju putihnya yang habis basah dan kotor. 

"Sorry! Sorry! Aku mengelamun!" Mina meminta maaf. Cepat-cepat dia mencapai kain bersih. 

Bahu Mina tiba-tiba ditolak kasar. Bunyi dengusan berat kedengaran. Mina perasan jelingan tajam Puteri Aisyah. 

"Ish! Aku tak faham! apa yang Adam Baihaqi nampak pada kau!" Sengaja dia menguatkan suara lalu terus masuk ke dalam bilik. 

Terkebil-kebil Mina melihat pintu bilik Puteri yang dihempas kunt. Dia resah. Perbualan antara adik-beradik Adam tempoh hari mengenai perangai Puteri membuatkan dia tersedar. Mina perlu berjaga-jaga. Puteri sangat lantang dalam berbicara dan dia sanggup melakukan apa sahaja. 

Pagi itu Mina ke kelas seperti biasa. Tanpa kehadiran Adam Baihaqi atau Adam Bahri, Mina berjaya melintas jalan. Perkataan bahasa arab juga berjaya dihafal dengan banyak. Manakan tidak, dia sentiasa berlatih apabila pergi ke kedai. Cuma itulah, banyak lagi perkataan yang perlu dipelajari. Janji Adam Baihaqi untuk mengajarnya kini tinggal janji sahaja. Tapi, biarlah! Dia boleh buat tanpa bantuannya. Walaupun lambat, suatu hari nanti dia akan dapat bercakap bahasa arab dengan fasihnya.

Oh, Mina juga telah belajar bagaimana untuk naik teksi. Juga sudah tahu macam mana nak lintas jalan yang besar tanpa memerlukan motor Yamaha milik Adam Baihaqi! Semuanya baik-baik sahaja! 

Yang tak baiknya, hati Mina! 

****
Adam Bahri sedang menunggu pesanan makanan Rus wa Bilaban di hadapan kafeteria di universiti. Dia melihat jam di tangan. Pukul 12 tengahari. Makanan yang dipesan adalah sejenis nasi dan susu yang digaul sekali. Konsistensinya sedikit pekat seperti bubur. Lazat sehingga menjilat jari. 

Terdapat juga menu Roti Shawerma dan Batotis (kentang goreng) sebagai menu yang paling digemari orang ramai. 

Jejaka ini hatinya tidak senang. Dia tidak pernah nampak Mina di kafeteria. Sudah makankah dia? Sihatkah dia? Bagaimana perasaannya? Marah lagi kah dia? Ah, dia sangat runsing! Adam Bahri juga tidak pernah bersua dengan abangnya sejak kes hari tu. Kata Kak Emilda dia telah membeli tiket ke Mansoura.

Dia juga berjauh hati. 

Makanan sudah sampai di atas meja. Tangan Bahri laju mencapai makanan lalu menyuapnya ke dalam mulut. Air liur merembes ke dalam mulut. Baunya enak. Rasanya manis. 

Tatkala dia sibuk mengenyangkan perut, bunyi pekikan gadis-gadis di luar universiti kedengaran. Bunyi ekzos motor kedengaran. Sah, itu abang aku! Detik Adam Bahri. Lantaran itu, Bahri bangun lalu berlari mendapatkan abangnya. 

Adam Baihaqi kelihatan tidak terurus. Nampak sedikit misai dan janggutnya yang nipis dan halus. Dia masih nampak kacak berkaca mata hitam besar. 

Adam Bahri mendekati lalu menolak badan Baihaqi. Bunyi jeritan dan suara terkejut orang ramai kedengaran. Mereka semuanya sedang berada di luar universiti. Baju kolar Adam Baihaqi direntap kasar. Mereka berpandangan.

"Bai! Kau pergi mana, ha! Tiga minggu aku tunggu, tak, tak! Tiga minggu Mina tunggu kau dan jawapan daripada kau! Kawan apa kau ni?"

Baihaqi cepat-cepat memegang tangan Bahri kasar. Genggamannya kuat. Dia mendengus lalu menarik tangan Bahri ke bawah. Jelingan Adam Baihaqi tajam. Keningnya dikerut. 

"Kau nampak Mina?" Baihaqi nampak tenang.

"A..aku tak pasti."

"Kenapa kau macam cacing kepanasan nampak aku, ni? Sepatutnya Mina yang patut buat aku macam ni."

"Kau!" Bahri ketap gigi. Geramnya!

"Kalau kau tak nak nampak dia, blah la."

Baihaqi terus melangkah ke hadapan. 

"Bai!" Bahri menjerit. Langkah Baihaqi termati. Bahri berlari ke arah abangnya. Mereka bertentangan mata.

"Kalau kau tak boleh nak buat Mina bahagia atau kau tak dapat nak beri jawapan pada Mina. Baik tak payah cari dia."

Baihaqi tersenyum sinis. Macam biasalah, dia dengan agendanya!

"Kau suka Mina ke Bahri? Aku tanya ni. Kalau kau suka dia, kau tahan aku. Kalau tak, kau biar aku cari Mina. Faham? Oh, bak sini kunci kereta kau. Kau balik guna motor aku." 

Bahri tidak menjawab. Dia membiarkan Adam Baihaqi mengambil kunci keretanya di poket. Tatkala itu, dia lupa untuk meminta kunci motor abangnya. 

Sejujurnya, dia tidak tahu apa perasaannya terhadap gadis jelita itu. Bahri melihat Adam Baihaqi sedang berlari masuk ke dalam universiti. Cahaya matahari terik menyinar ke atas bumi. Walaupun cuaca kali ni teramat sejuk, hatinya pula panas. Tidak kisah lah, kalau seguni ais ditabur pada badan, ianya akan tetap cair. Dia marah!

Apa rancangan kau, Adam Baihaqi!

***
Pintu bilik kelas anatomi dibuka kasar. Sudah hampir setengah jam kelas itu selesai. Adam Baihaqi masuk ke dalam bilik. Mata melilau mencari gadis bernama Mina Arwiena. 

Mina yang sudah pun bertentang mata dengan Adam Baihaqi cepat-cepat menyorok di bawah meja. 

Aduh! Dia nak apa lagi!

"Saya sedang mencari seorang gadis bernama, Mina Arwiena!" Sengaja Adam Baihaqi berkata demikian. Dia memang sudah nampak Mina di meja di tepi tingkap.

Mina tekup mulut. Dia nak larikan diri. Dia perlahan-lahan capai bag atas meja. Baihaqi nampak bag Mina bergerak kerana ditarik oleh Mina. Tersengih jejaka itu melihat gadis itu berkelakuan comel.

"Siapa nampak Mina Arwiena akan dapat date dengan Adam Bahri!"

"Mina dekat sini!"

"Tu Mina!"

Selepas itu, gadis-gadis yang lain menjerit menuntut janji Adam Baihaqi. 

"Ni kunci motor aku! Siapa dapat kunci ni dulu dia dapat date dengan adik aku. Pergi cari Adam Bahri dekat kafe." Semua orang gadis di dalam kelas berlari untuk mendapatkan kunci motor milik Adam Baihaqi. Mereka bertolak-tolakkan hanya untuk mendapatkan janji temu bersama Adam Bahri. Malangnya, Adam Bahri tidak tahu apa-apa!

Adam Baihaqi berjalan ke arah Mina yang sedang cuba bangun untuk melarikan diri.

Tercegat jejaka itu dihadapannya.

"Kau ni memang suka melarikan diri, kan? Tak apa. Aku dah jumpa." lalu Baihaqi meleretkan senyuman yang paling manis. Mina terus terkesima. 


Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.