Home Novel Cinta Tiada Dirimu
Tiada Dirimu
Rose Eliza
17/6/2020 22:47:45
39,975
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 15


“ANAK mama ni termenung saja dari tadi kenapa? Ada masalah di pejabat?” tegur Puan Raihan sambil melabuhkan duduk di atas kerusi. Sejak dari tadi dia memerhatikan Ziqri.

“Tak ada apa, ma,” balas Ziqri sambil membetulkan duduk. Wajah Puan Raihan dipandang sekilas.

“Betul ke ni tak ada apa-apa?” Puan Raihan memandang tepat ke wajah Ziqri. Anaknya itu sukar untuk diduga.

“Betul, ma.” Ziqri menegakkan kata-katanya tadi.

“Habis? Kenapa dengan muka tu? Monyok saja dari tadi mama tengok. Mesti ada masalah, kan?” Puan Raihan masih tidak berpuas hati. Dia yakin yang anaknya itu sedang menghadapi masalah.

Ziqri mengeluh berat. Sukar untuk menyembunyikan riak di wajahnya.

“Ziq bergaduh dengan Rafiq? Rafiq sakitkan hati Ziq?” tebak Puan Raihan ingin tahu.

Ziqri yang mendengar menoleh ke wajah Puan Raihan.

“Betul? Rafiq sakitkan hati Ziq?” tanya Puan Raihan bernada serius.

“Mama ni…”

“Ziq berterus-terang pada mama. Apa yang Rafiq dah buat pada Ziq?”

“Tak ada apalah, ma.”

“Ziq jangan nak bohong pada mama. Rafiq tu perlu diajar. Biar dia tahu siapa dirinya yang sebenar,” rengus Puan Raihan. Dia mengepal tangan menahan kemarahan.

“Mama ni dah kenapa? Ziq tak bergaduh dengan Rafiq.” Ziqri menegaskan.

“Rafiq tu perlu diajar. Anak tak sedar diuntung. Tak sedar diri. Kita pungut dia. Jaga dia. Ini balasan yang dia bagi pada kita?” marah Puan Raihan pula.

Ziqri yang mendengar berkerut dahi. 

“Dia tu perlu ditegur. Kalau tak ditegur, makin menjadi-jadi perangainya nanti.”

“Apa maksud mama? Pungut?” soal Ziqri ingin tahu. Dia memandang ke wajah Puan Raihan meminta kepastian.

“Maksud apa?” tanya Puan Raihan tatkala menyedari kata-katanya sebentar tadi. Rasa berdebar-debar ketika ini.

“Tadi mama kata…” Belum sempat Ziqri menyudahkan ayat, kedengaran suara Rafiq dari arah luar rumah. Dihalakan mata ke arah Rafiq yang sedang meluru ke arahnya.

“Kurang ajar!” marah Rafiq seraya menumbuk wajah Ziqri. 

Terkejut Ziqri dengan tindakan Rafiq itu. Pantas, dia bangun dari duduk lalu menolak tubuh Rafiq menjauhinya. Diraba wajahnya yang terasa sakit.

“Rafiq!” tegur Puan Raihan turut sama bangun dari duduk. Terkejut melihat tindakan Rafiq yang menumbuk wajah Ziqri.

“Kau memang kurang ajar, Ziqri!” amarah Rafiq lagi.

“Kau ni, apasal? Tiba-tiba nak tumbuk muka orang. Kau gila ke apa?” Ziqri turut melepaskan kemarahan.

“Aku yang gila atau kau yang gila?” soal Rafiq sedikit meninggi.

“Rafiq! Kenapa ni?” Puan Raihan turut sama meninggikan suara.

“Kau buat apa dengan Dalia? Kau cakap, Ziqri! Apa yang kau dah buat pada Dalia?” Rafiq memandang tajam ke wajah Ziqri. Dia perlu tahu perkara yang sebenarnya.

“Buat apa? Aku tak buat apa-apa pun,” balas Ziqri dalam nada bergetar. Cuba mengawal perasaan bersalah.

“Tak buat apa-apa kau cakap?” Sinis Rafiq berkata. Ziqri menyembunyikan perkara yang sebenar.

“Rafiq! Ziqri! Apa yang kamu berdua cakapkan ni?” sampuk Puan Raihan. Wajah Ziqri dan Rafiq dipandang silih berganti.

“Kau tolak Dalia, kan?” 

“Bila masa aku tolak dia? Pandai-pandai saja nak tuduh aku tolak dia. Entah dia jatuh sendiri mana nak tahu, kan.” Ziqri memberi alasan. Dia menelan air liurnya yang terasa kelat.

“Kau jangan nak berdalih, Ziqri. Kau yang tolak dia. Aku ada saksi yang boleh buktikan perbuatan kau tu.”

Semakin laju air liur yang ditelan oleh Ziqri sebaik sahaja mendengar kata-kata Rafiq. 

“Kalau aku yang tolak, kenapa?” tanyanya sekadar menduga.

“Kau mengaku juga akhirnya.”

“So? Berapa yang dia nak? Perempuan macam dia tu bagi duit saja terus senyap.”

“Kurang ajar!” Rafiq menumbuk wajah Ziqri buat kali yang kedua.

“Rafiq!” Puan Raihan yang sejak dari tadi membisu pantas menghalang Rafiq dari menumbuk wajah Ziqri.

“Kau ingat semua benda boleh dibeli dengan duit?” Rafiq mengepal tangan. 

“Apa semua ni, Rafiq? Ziqri? Kamu berdua tak hormatkan mama,” suara Puan Raihan bernada marah. Tajam matanya ke wajah Rafiq dan Ziqri.

“Kau tak payah nak bela sangat perempuan tu. Perempuan tak sedar diri,” kutuk Ziqri, selamba. Dia melepaskan nafas deras.

“Kurang ajar!” Rafiq bersedia untuk menumbuk Ziqri namun ditahan oleh Puan Raihan. 

“Pergi! Mama kata pergi!” arah Puan Raihan, meninggi. Diluruskan tangan ke arah pintu utama. Memberi isyarat kepada Rafiq supaya beredar dari situ.

Rafiq melepaskan dengusan kasar. Dia beredar dari situ. Ikutkan hatinya yang sedang panas, mahu ditumbuk wajah berlagak Ziqri itu. Namun, disabarkan hati kerana menghormati Puan Raihan. Malah, dia tidak mahu menambahkan lagi kebencian Puan Raihan terhadap dirinya.

Bukannya dia tidak tahu yang selama ini Puan Raihan tidak menyukainya. Pelbagai usaha dilakukan demi untuk menambat hati Puan Raihan. Semua itu hanya sia-sia. Puan Raihan tetap membencinya. Tetap membeza-bezakan dirinya dengan Ziqri. Mungkin suatu hari nanti dia akan mencari sebab kenapa Puan Raihan bersikap seperti itu terhadap dirinya.



“SHAFIQ!” tegur Dalia dalam nada perlahan. 

Shafiq tidak membalas. Rasa marah masih lagi bersisa. Tergamak Dalia menyembunyikan kebenaran. Sudah dipujuk dan didesak, namun Dalia tetap tidak mahu memberitahu perkara yang sebenar.

“Shafiq!” Buat kali yang kedua Dalia menegur. Abangnya itu masih tidak membalas. Lantas, dia melabuhkan duduk di sisi Shafiq. Wajah Shafiq yang sedang menghadap telefon di tangan dipandang kasih.

“Aku minta maaf,” ujar Dalia pula.

Shafiq masih memandang telefon di tangan. 

“Aku tahu kau marahkan aku. Aku minta maaf. Aku tak nak besarkan perkara ni. Lagipun, aku tak nak kau buat perkara yang aku tak suka.” Dalia menjelaskan.

“Perkara yang kau tak suka?” tanya Shafiq seraya menoleh ke wajah Dalia.

“Pukul orang. Aku tak suka. Kalau kau kena tangkap ke apa. Siapa yang susah? Kau juga, kan?” jawab Dalia bernada tenang.

“Aku pukul bersebab. Bukan saja-saja nak pukul.” Shafiq menegakkan perbuatannya selama ini.

“Ya. Aku tahu. Kau pukul bersebab. Tapi, kalau boleh aku tak nak kau pukul orang lagi. Aku nak kau control kemarahan kau.”

Shafiq mendengus kasar.

“Aku…”

“Sudahlah! Walau apa pun yang kau cakap, aku tak akan dengar,” pintas Shafiq laju lalu bangun dari duduk. Dia beredar dari situ.

Dalia menghela nafas berat. Shafiq sukar untuk ditegur.

“Kalau aku masuk hospital, siapa yang nak bayarkan bil hospital. Kita tak ada duit, Shafiq,” suaranya bernada sebak.

Shafiq yang mendengar mematikan langkah.

“Aku tak nak susahkan kau lagi. Aku dah banyak susahkan kau,” sambung Dalia lagi. Dia memandang batang tubuh Shafiq yang sedang berdiri tegak di muka pintu rumah.

Shafiq menggenggam erat tangan. 

“Aku akan cari kerja lain. Kau janganlah risau.” Dalia masih lagi berkata-kata. Cuba untuk menenteramkan hati Shafiq yang sedang marah.

Semakin erat genggaman di tangan Shafiq. Tanpa membalas, dia beredar dari situ. Ada baiknya dia keluar. Khuatir dia akan melepaskan kemarahan kepada Dalia.

Dalia mengeluh berat. Matanya memandang pemergian Shafiq.

“Maafkan aku, Shafiq!” ucapnya, sebak.



“AKU minta maaf,” suara Rafiq bernada ikhlas. 

Shafiq menghela nafas berat.

“Aku tak sangka Ziqri sanggup buat Dalia macam tu. Kalau aku tahu benda ni nak jadi, aku tak suruh Dalia kerja di syarikat Haikal. Aku patut suruh Dalia kerja di syarikat aku.”

“Tak apalah, Raf. Perkara dah nak jadi. Tak boleh nak buat apa dah,” keluh Shafiq tatkala lama membisu.

“Aku tak tahu kenapa Ziqri tak suka pada Dalia. Apa yang Dalia dah buat pada dia sampai dia nak membenci Dalia macam tu sekali?” Rafiq bertanya. Kurang faham dengan sikap dan perangai Ziqri.

“Mungkin disebabkan kisah silam kami berdua. Mungkin ini juga balasan atas perbuatan kami dulu,” kata Shafiq tanpa sedar.

Rafiq yang mendengar berkerut dahi.

“Kami bukan sengaja nak buat perkara tu. Kami terpaksa,” sambung Shafiq lagi. Peristiwa lama terimbas semula di kotak fikiran.

“Apa maksud kau, Shafiq?” tanya Rafiq kurang faham.

Shafiq tersedar. Ternyata dia sudah terlepas cakap.

“Apa maksud kau dengan kisah silam kau dan Dalia?” Rafiq masih bertanya. Seperti ada perkara yang dirahsiakan oleh Shafiq. 

“Haa… tak ada apa-apalah,” dalih Shafiq. Dia cuba menstabilkan pernafasan yang terasa sesak tiba-tiba.

Rafiq memandang ke wajah Shafiq. 

“Aku nak bawa Dalia ke hospital. Aku nak Dalia buat medical check up. Aku takut ada yang patah atau lebam pada badan dia,” rancang Shafiq sekaligus menukar topik perbualan.

“Dalia tak pergi hospital lagi?” Rafiq terkejut.

Shafiq sekadar mengangguk. 

“Habis tu? Kau buat apa kat sini lagi? Jom kita bawa Dalia ke hospital.” Rafiq bersedia untuk bangun dari duduk. Perasaan risau menujah dalam hati.

“Dalia yang tak nak ke hospital.”

“Kau kena paksa dia kalau dia tak nak.”

“Kami tak duit nak bayar bil hospital.” Shafiq berterus-terang. Kata-kata Dalia ada benarnya juga.

“Tentang duit kau jangan risau. Aku bantu mana yang patut. Dah! Jom kita bawa Dalia ke hospital.” Rafiq menarik lengan Shafiq. Mengarahkan kawannya itu bangun dari duduk.

Shafiq terpaksa akur. Dia bangun dari duduk lalu mengekori Rafiq daripada belakang. Rasa terhutang budi kepada Rafiq atas apa yang telah Rafiq lakukan selama ini.



“KAU nak apa lagi dengan aku? Tak cukup lagi kau dah tolak aku kat tangga tu. Sekarang kau nak buat apa lagi pada aku? Nak bunuh aku?” marah Dalia tidak tertahan. Tajam pandangannya ke wajah Ziqri di hadapan.

“Kau ingat aku hadap sangat ke nak jumpa dengan kau?” balas Ziqri, sinis.

“So? Kau nak apa datang sini?” soal Dalia turut sama sinis.

“Aku nak bawa kau ke hospital.”

Dalia yang mendengar ketawa.

“Apasal kau ketawa?”

“Sebab kau buat kelakar.”

“Aku serius.”

Dalia masih lagi ketawa.

“Kira bagus aku datang sini nak bawa kau ke hospital. Ikutkan hati aku, tak kuasa aku nak jumpa dengan kau lagi.”

“So? Apa lagi? Baliklah!” Dalia bersedia untuk beredar dari situ. 

Ziqri menahan Dalia daripada beredar. Dia perlu membawa Dalia ke hospital. Itu yang diarahkan oleh Puan Raihan selepas dia berterus-terang perkara yang sebenar. Demi untuk menjaga nama baik dan reputasi Puan Raihan, mahu tidak mahu, dia terpaksa melakukannya.

“Eh! Apa ni?” tegur Dalia seraya menarik lengannya dari pegangan Ziqri.

“Jom kita ke hospital,” ajak Ziqri. Lengan Dalia masih dalam genggaman.

“Aku tak naklah!” tolak Dalia, keras. Dia masih meronta minta dilepaskan.

“Woi!” tegur Shafiq tiba-tiba.

Dalia dan Ziqri terkejut. Masing-masing menghalakan mata ke arah yang menegur.

“Kurang ajar!” sergah Shafiq seraya menumbuk ke wajah Ziqri. Terjelepok Ziqri akibat tumbukan itu. 

“Kau nak buat apa dengan adik aku?” tanya Shafiq bernada marah.

Ziqri bangun dari jatuhan. Dia meraba pipinya yang terasa sakit. Sudahlah tadi dia dipukul oleh Rafiq dan kali ini dengan Shafiq pula.

“Dia ke yang tolak kau, Dalia?” tanya Shafiq inginkan kepastian. Melihatkan kedatangan lelaki itu, dia yakin lelaki itu yang menolak Dalia.

“Shafiq…” Dalia serba salah. Khuatir Shafiq akan membuat yang bukan-bukan terhadap Ziqri.

“Kau, kan?” tanya Shafiq kepada Ziqri. Kolar baju Ziqri ditarik kasar mengarahkan Ziqri bangun.

“Shafiq!” tegur Dalia bernada risau.

“Cakap! Kau, kan?” Shafiq bersedia untuk menumbuk Ziqri.

“Shafiq!” panggil Rafiq dengan tiba-tiba.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.