Home Jenaka Lucu Kena Cium
Kena Cium
Siti Norshimah Binti Md Yasan
4/7/2015 22:31:58
9,180
Kategori: Jenaka
Genre: Lucu

Hari raya, hari yang paling dinantikan oleh semua orang. Tak kira tua, muda walhal yang paling ternanti-nantikan hari raya sudah tentulah kanak-kanak. Pergi setiap rumah sambil mengutip duit raya memang seronok. Tapi, bila dah besar dan dewasa semuanya tinggal kenangan. Dan kenangan lalu sudah tentu tak boleh nak dilupakan.

Kenangan…. Bila kita kenang kembali ada masa boleh tersenyum sendiri. Yelah, macam-macam berlaku terutama sekali bila kita masih lagi kanak-kanak. Cerita yang nak ku kongsi pun cerita tentang hari raya sewaktu aku kecil dulu. Lebih kurang dalam 30 tahun lepas. Masa tu aku berumur lebih kurang lapan tahun.

Biasalah budak-budak, kan. Bila dah namanya raya mesti nak kutip duit raya. Sanggup berpanas semata-mata nak cari duit raya. Dulu tak macam sekarang ni. Dulu duit raya kebanyakkan rumah bagi 20 sen. Yang paling mewah aku dapat 50 sen. Masa tu kita orang memang tak banyak soal. Berapa tuan rumah bagi kita orang terima dengan rasa syukur.

Al-kisah terjadinya pada dua hari raya, aku dengan keras kepalanya nak ikut pak sedare pergi cari duit raya. Maklumlah, kalau ikut bebudak lelaki ni jalan jauh sikit. Pujuklah bukan main aku ni nak ikut pak sedare. Lagi pulak pak sedare semuanya lebih kurang sebaya.

Mula-mula tu dia orang tak bagi juga. Nak tahu apa yang dia orang kata? “Apa kelas budak pompuan ikut. Susahkan orang nanti.” Aku apa lagi? Naik angin tahap gabanlah. Lepas tu boleh pula aku buat muka seposen dan cebikkan bibir semata-mata nak ikut dia orang.

“Yelah! Yelah! Nanti kalau penat jangan mengadu.” Aku angguk macam burung belatuk. Sebelum dia orang ubah fikiran baik aku ikut belakang diaorang. Terkedek-kedek aku mengejar mereka dari belakang. Aku ni sudahlah tak cukup ketinggian. Dia orang tinggalkan aku kat belakang. Sampai hati! Tapi tak boleh nak bebel banyak. Sendiri yang nak ikut, kan?

Apa yang bestnya ikut pak sedare-pak sedare aku ni, dia orang kalau berjalan memang sah-sah jauh punya. Ada masa sampai kampung sebelah. Dan aku pun penat le nak menjawab bila tuan rumah tanya anak siapa. Aku punya bangga ikut pak sedare sampai kepala dok conggak berapa duit raya yang aku dah dapat sambil aku baju merah hasil tangan mak aku.

Dalam perjalanan pulang balik rumah, setelah penat beraya dan senak dengan makan kuih raya kami terus melalui kawasan pohon getah untuk pulang ke rumah. Yang pasti aku yang paling akhir sekali. Dah namanya perempuan dan ketinggian yang tak memberangsangkan dah tentu aku kena tinggal. Ada aku kisah? Janji aku dapat duit raya. La….La….la…..

Tiba-tiba aku tengok pak sedare aku riak muka dia orang dah berubah bila mereka pandang pada aku. Eleh…. Aku tahulah aku ni cantik tertarik dan memang de bomb, tapi buat muka cuak tu memang tak patut sungguh. Tapi, tak lama lepas tu aku tengok dia orang langkah dah makin laju. Aku pun ikut dengan langkah yang makin laju. Yang pasti aku tak berani nak pandang belakang. Hish! Jangan pandang belakang, manalah tahu ada hantu?

“Lari!!!!! Lembu!!!!” Hah? Dengar dia orang menjerit baru aku berani pandang belakang. Bila tengok lembu dah macam nak ‘mengorat’ aku, aku lari macam tak cukup tanah. Laju juga lembu tu kejar aku. Menjerit aku sambil lari lintang pukang. Pak-pak sedare aku? Dia orang dah selamatkan diri dulu. Memang pentingkan diri sendiri betul. Terpaksalah aku angkat kain tinggi semata-mata nak lari laju. Bila tengok pak sedare aku hilang ke mana, terpaksalah aku fikir cara nak lepaskan diri. Dan akhirnya aku ambik keputusan yang bernas dengan terjun terus dalam semak.

Sudahlah aku kena cium dengan ranting-ranting kayu, pastu kena pulak main sorok-sorok dengan sang lembu yang kejar aku tu. Memang malang betul aku rasa masa tu. Rasa macam nak menangis pun ada. Bila aku tengok lembu tu dan betul-betul tinggalkan aku, barulah aku berani nak keluar dari semak tu. Itu pun aku kena jerit dengan pak sedare. Air mata dah laju mengalir. Apa tidak, sakit kena ranting. Bercalar sana sini. Tapi syukur juga sebab aku pakai baju kurung. Kalau aku pakai t-shirt? Erm, memang jatuhlah saham aku.

Memang itulah kenangan yang tak boleh aku lupakan sehinggan kini. Sampai bila-bila pun kenangan itu memang terpahat dalam kotak fikiran aku. Dan cerita itu juga yang akan aku hiaskan pada anak dan cucu ku nanti. Inshaallah…..

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.