Home Cerpen Thriller/Aksi JIN GALAH 0.2: SUAMI
JIN GALAH 0.2: SUAMI
Amiene Rev
18/6/2015 22:04:23
4,075
Kategori: Cerpen
Genre: Thriller/Aksi

JIN GALAH 0.2: SUAMI

Penulis: Amiene Rev

Blog: http://dukeamienerev.blogspot.com

NOTA: Karya ketiga dalam koleksi cerpen Jin Galah.

Suriati merasakan inilah masa yang sesuai untuk dia memberitahu Jefri. Dia sudah mengandung tiga bulan. Namun, dia tidak pasti sama ada dia mampu untuk melahirkan anak ini atau pun tidak. Mereka yang masih hidup, terus-menerus menjadi pelarian, diburu oleh makhluk-makhluk yang dipanggil Jin Galah. Dengar kata, Jin Galah suka menggigit perut mangsa buruannya, menarik usus-usus keluar untuk dimakan. Suriati memejamkan mata, tatkala dia membayangkan kengerian itu. Dia tidak boleh mati, selagi anak ini belum lahir!

“Abang Jefri, Yati ada sesuati yang perlu kepada Abang,” ujar Suriati pada suatu hari.

“Ya, Sayang?” 

“Yati... Yati dah mengandung tiga bulan.”

“Itu berita baik, Yati.” Wajah Jefri kelihatan berseri-seri.

“Tapi... tapi dalam keadaan yang begini. Yati risau, Yati akan membebankan Abang!” Suriati menangis teresak-esak. Sudah lama dia memendam kerisauan ini. Emosinya terganggu.

“Apa gunanya Abang berkahwin dengan Yati, kalau Abang tak sanggup hadapi semua ini bersama-sama Yati?” Jefri menutur hujahnya selembut-lembut yang boleh.

“Kita tak mampu melawan semua Jin Galah itu!”

Jefri merenung dari tingkap apartmen mereka. Dia melihat kabus tebal di bawah. Kelihatan pokok-pokok hijau yang aneh di merata-rata tempat. Jefri tahu, itu pokok-pokok itu adalah hasil penyamaran sekalian Jin Galah. Dia tidak boleh keluar sebarangan dari kediamannya. Cuma, sekali-sekala dia menyelinap masuk ke pasar raya yang berada di tingkat terbawah apartmennya, untuk mendapatkan bekalan makanan.

Jefri seorang arkitek, dan isterinya adalah suri rumah sepenuh masa. Sepanjang masa dia memikirkan bagaimana mahu mencipta satu kubu pertahanan yang dapat menghalang kemaraan makhluk-makhluk asing bernama Jin Galah ini.

Matanya tertarik apabila melihat sekumpulan tiga orang berkeliaran di sekitar pokok-pokok hijau itu. Seorang wanita, seorang gadis kecil dan seorang remaja lelaki.

“Oh, Tuhan. Mereka tidak tahu apa yang mereka lakukan!” Jefri merapati ke kaca tingkapnya.

“Siapa bang?”

“Ada orang! Mereka dalam bahaya!”

“Perlukah kita selamatkan mereka, Bang?”

“Yati tunggu di sini, Abang pergi tengok mereka. Kalau-kalau Abang dapat bantu...”

“Bahaya, Bang. Hati-hati!” Yati dilanda perasaan risau lagi. Perasaan inilah yang selalu melandanya, setiap kali Jefri keluar dari apartmen mereka untuk mencari bekalan makanan.

Jefri mencapai senapang yang ditemuinya di bilik pengawal keselamatan. Dia menuruni anak tangga. Tingkat 11 ke tingkat terbawah. Memang penat untuk turun ke bawah. Nasib baik lif masih berfungsi. Bekalan elektrik masih belum putus sepenuhnya. Buat masa ini, belum ada Jin Galah yang pernah masuk ke dalam bangunan ini sampai ke tingkat 2.

‘Cepat... cepat...’ Suara hati Jefri bertempik meminta lif itu cepat. Jefri bimbangkan keselamatan ketiga-tiga orang yang baru dilihatnya tadi. Mereka pasti tidak tahu mengenai kewujudan Jin Galah Hijau.

Lampu lif menunjukkan tingkat G. Pintu lif terbuka. Jefri meluru keluar dari lif, menuju ke pintu utama.

“Pergi dari situ!!!” Wanita yang berusia sekitar 40-an itu menjerit!

Jefri menunggu waktu yang sesuai untuk bertindak. Ketiga-tiga orang yang tidak dikenali itu masih belum menyedari kehadiran Jefri. Jefri menyorok di sebalik perabot-perabot di dalam bangunan itu. Dia memerhati seekor demi seekor Jin Galah mula berubah rupa, daripada sebatang pokok ke bentuk lembaga gergasi yang amat tinggi. Setinggi bangunan dua tingkat.

“Pergi!!!” Remaja lelaki itu pula menjerit. Rupa-rupanya mereka sedang menyelamatkan anak gadis tersebut. Ketiga-tiga mereka mungkin satu keluarga. Masih ada manusia yang terselamat.

“Lebih baik kamu biarkan, saja mereka.” Satu suara tegas, tiba-tiba berbisik.

Jefri terkejut. Dia memandang ke belakang. Azfar, salah seorang penghuni di apartmen itu juga nampaknya telah turun. Bukan dia sahaja, malah beberapa orang penghuni yang lain juga telah turun. Nampaknya, masih ramai manusia di bangunan tersebut. Mereka belum mahu meninggalkan apartmen mereka atas sebab-sebab tertentu.

Suara auman Jin Galah kedengaran bersahut-sahut! Jefri kembali menumpukan perhatian kepada ketiga-tiga orang yang tidak dikenali tadi.

“Kalau mereka tak beredar dari situ, habislah mereka!” Seorang lagi penghuni di apartmen itu bersuara.

Jefri berasa serba-salah. Tadi, dia memberitahu isterinya dia mahu menyelamatkan ketiga-tiga manusia tersebut. Namun, penghuni-penghuni di apartmen itu nampak seperti belum mahu bertindak berbuat apa-apa.

Ketiga-tiga orang yang tidak dikenali itu pun melarikan diri ke sebuah kereta. Enjin kereta dihidupkan. Kereta itu memecut laju.

“Harap-harap mereka selamat!” Seorang wanita pula bersuara.

Kesemua penghuni apartmen itu sekadar berharap dan berdoa di dalam hati. Mereka tidak berani bertindak menyelamatkan ketiga-tiga orang yang tidak dikenali itu. Apabila melihat kereta itu semakin jauh meninggalkan kawasan itu, kesemua penghuni pun mula berbisik-bisik. Perbualan mereka adalah mengenai ketiga-tiga orang yang tidak dikenali tadi. Jefri belum menarik nafas lega.

=O=

Tidak jauh daripada kelompok penghuni apartmen itu, kelihatan seorang pengawal keselamatan. Dia dipanggil Pak Jalil. Mukanya kelihatan masam. Dia memakai cermin mata hitam. Dia tunduk. Tidak ada sesiapa yang berani menduga apa yang sedang difikirkannya. Kelibat Pak Jalil disedari oleh Azfar.

“Pak Jalil?” Azfar menghampir Pak Jalil. “Pak Jalil tak apa-apa?”

Pengawal keselamatan itu mendiamkan diri. Azfar mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada diri orang yang sedang berdiri di hadapannya ini.

“Pak Jalil sudah makan?” Azfar memancing Pak Jalil untuk bersuara.

Pak Jalil diam. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Azfar merapati Pak Jalil. Dia cuba memegang bahu Pak Jalil. Sejuk. Sangat sejuk seperti mayat.

Pak Jalil menempik garau! Serentak dengan itu, Azfar berundur ke belakang. Mulut Pak Jalil ternganga luas. Rahang Pak Jalil terbuka seluas-luasnya seperti mahu tercabut. Seram Azfar melihatnya. Situasi yang pelik itu mula disedari oleh penghuni-penghuni apartmen yang lain.

“Bukankah itu, Pak Jalil?”

“Ya, dialah tu. Tapi kenapa dia macam itu?”

Pak Jalil terus-menerus bertempik. Tangan dan kakinya mula memanjang dan urat-urat di seluruh anggota badannya bergerak-gerak dan berselirat. Lidah Pak Jalil meluncur keluar seperti lidah katak mahu menangkap lalat. Lidah tersebut cuba menyambar Azfar. Azfar gagal mengelak!

Lidah yang berwarna putih itu terus melilit Azfar. Azfar menjerit ketakutan. Para penghuni di ruang legar bangunan itu mula menjerit-jerit. Lidah itu berpecah menjadi beberapa cabang lidah yang lebih kecil dan menusuk masuk ke mulut, lubang hidung, telinga dan mata Azfar. Badan Azfar menyusut, meninggalkan kulit manusia seperti getah. Makhluk itu telah memakan isi-isi di dalam badan Azfar.

“Diam! Diam!” Jerit seorang lelaki yang lain.

Prangg!!! Kaca tingkap dipecahkan dari luar. Seekor Jin Galah Hijau meluru masuk ke dalam bangunan itu. Sementara itu, Pak Jalil kini sudah berubah rupa, menjadi lebih tinggi dan rupanya tak ubah seperti... Jin Galah! Jin Galah yang berwarna putih.

Semua penghuni apartmen mula melarikan diri menerusi tangga. Jin Galah Hijau mengaum beberapa kali, sebelum membuka langkah mengejar manusia-manusia tersebut. Jin Galah Putih tidak mahu ketinggalan. Kedua-dua Jin Galah itu pun mengejar mereka. Makin lama makin banyak Jin Galah Hijau meluru masuk ke dalam bangunan itu.

Jin Galah Putih mengaum sekuat-kuat hatinya. Sekalian Jin Galah yang berwarna hijau pun berhenti mengejar. Jin Galah Putih mendekati makhluk-makhluk hijau itu. Jin Galah Putih bersuara dalam satu bahasa yang tidak difahami. Makhluk-makhluk yang berwarna hijau itu kelihatan seperti mengangguk-angguk. Nampaknya Jin Galah Putih itu tentulah berpangkat lebih tinggi. Jin Galah Putih pun memeluk tubuhnya. Tubuhnya makin mengecut. Perlahan-lahan urat dan akar-akar yang berselirat di tubuhnya memadat dan mengecil. Fizikalnya mirip seorang lelaki bertelanjang bulat. Rupa-rupanya Jin Galah berubah rupa menjadi manusia semula. Rupanya kelihatan seperti Azfar. Dia memalingkan kepalanya ke belakang, tempat dia mula-mula berubah rupa tadi. Dia melihat cebisan pakaiannya yang koyak-rabak, berselerak di atas lantai. Dia memerlukan pakaian baru. Jin Galah melihat pakaian Azfar. Kulit Azfar yang seperti getah itu masih tersisip di pakaian tersebut.

Jin Galah Hijau yang lain pun beredar. Mereka sudah tahu ada manusia di dalam bangunan itu. Mereka pun perlahan-lahan berubah menjadi pokok kembali.

=O=

Malam. Suriati dan Jefri menemani Liyana. Liyana masih kelihatan amat sugul. Dia belum dapat menerima kematian Azfar. Cahaya lilin yang malap menyuramkan lagi suasana.

“Tuhan lebih sayangkan Azfar.” Suriati memeluk Liyana. “Sudah takdirnya, Azfar akan pergi.”

Jefri diam membisu. Dia merenung gambar perkahwinan Liyana dan Azfar yang terlekat di dinding kediaman itu.

Tok! Tok! Tok! Bunyi pintu diketuk beberapa kali. Liyana berhenti menangis. Suriati mula berasa tidak sedap hati. Jefri berdebar-debar.

Tok! Tok! Tok! Ketukan pintu semakin kuat.

“Biar Abang pergi tengok.” Jefri bangkit dari duduknya. Dia menapak ke arah pintu.

“Bang, Yati rasa tak sedap hati, Bang...”

“Tak apa, biar Abang tengok.” Jefri mengintai dari lubang pintu. Ternampak samar-samar lembaga manusia. Suasana cukup gelap di luar. Tidak ada lampu yang dihidupkan.

“Siapa?” Diam. Lembaga tersebut mendiamkan diri.

“Kamu di luar, siapa kamu?” Jefri mengeraskan suaranya. Diam.

“Bang... jangan buka, Bang.” Suriati semakin cemas.

“Liyana... buka pintu!” Lembaga tersebut bersuara. Suaranya mirip Azfar, tetapi lebih garau.

Jefri tergamam.

“Tak mungkin! Azfar dah terbunuh tadi...” Tangan Jefri menggeletar. Hantukah? Jefri mula memikirkan sesuatu. Mengingat semula peristiwa yang berlaku siang tadi.

“Liyana... buka pintu...” Kali ini, suara itu lebih lembut. Seperti memujuk.

“Abang Azfar?” Liyana bangkit berdiri. Dia memandang ke arah pintu lama-lama. Liyana tersenyum. “Itu suara Abang Azfar!”

Suriati terpinga-pinga. Dia curiga.

“Abang Azfar belum matilah, Yati,” Liyana tersenyum. Dia mengelap air matanya. “Buka pintu!”

“Tidak!” tegas Jefri.

“Buka pintu! Itu suami akulah!” Liyana berkeras.

“Azfar dah mati! Aku nampak dia dibunuh tadi.”

“Siapa yang bunuh?”

“Jin Galah! Jin Galah Putih!”

“Habis tu, di luar tu siapa?”

“Itu....”

“Itu Abang Azfarlah!” Liyana berlari ke arah pintu. Dia cuba membuka pintu. Cepat-cepat Jefri menariknya.

“Jangan!”

“Liyana, buka pintu...” Suara lembaga itu semakin lembut dan tenang.

“Jangan terpedaya!”

“Ahhh....”

“Abang.... betulkah Azfar dah mati?” Suriati menyoal.

“Kau juga tak percayakan Abang, Yati?” Jefri memandang isterinya dengan mimik muka yang agak terkilan.

“Kau jangan halang akulah, Jefri. Itu suami aku. Aku sayang suami aku! Lepaskan aku, biar aku buka pintu!” Kali ini, Liyana meronta-ronta sekuat-kuat hatinya. Pegangan Jefri terlepas. Liyana pantas membuka pintu.

Pintu terbuka. Benar. Cinta itu buta. Mampu membutakan fikiran.

Jefri memandang ke arah pintu. Suriati merapati suaminya perlahan-lahan. Memegang tangan suaminya yang menggeletar.

Liyana tersenyum. Tersenyum melihat Azfar di luar pintu.

“Akhirnya, abang dah balik...” Lembut dan manis sekali tutur kata Liyana. Dia memandang Azfar dengan penuh kasih sayang.

Lembaga yang dikatakan Azfar itu, merenung mereka semua dengan muka yang sangat masam. Matanya dipenuhi urat darah merah.

Jefri memetik picu senapang. Bersiap-sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

BACA KARYA KEDUA JIN GALAH: Cerpen Jin Galah 0.1: SPESIES

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.