Home Cerpen Seram/Misteri Mak, Aku Ada Saka !!! ( Sambungan Nak Tak! )
Mak, Aku Ada Saka !!! ( Sambungan Nak Tak! )
Zhar Aruzi Hairi
9/11/2016 13:03:46
10,463
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang

Mak, Aku ada Saka!! ( sambungan Nak Tak! )


Oleh : Zhar Aruzi Hairi



Bas yang ditunggu belum tiba. Izudin terkebil-kebil menahan kantuk. Air tin coca-cola yang diminumnya masih tinggal separuh. Tangkai beg bajunya disilang ke bahu dan dirapatkan ke paha. Dia duduk dengan melunjurkan kaki ke hadapan.

Kalau diikutkan perasaan, sudah lama dia membuta diatas kerusi itu. Dia bertahan kerana waktu untuk bas sampai betul-betul suntuk. Kalau tertidur pasti dia ketinggalan bas. Sebatang rokok dinyalakan sebagai peneman.

Mujur Badrul bermurah hati untuk menghantar dia ke situ. Itu pun selepas mereka langsung tidak tidur kerana melepak semalam. Menuntut dengan Pak Seman pun satu hal lagi. Sampai sekarang dia dapat merasa adanya butiran kecil yang bergerak dalam salur darahnya. Kalau butiran itu lalu pada lengannya, jelas kelihatan bonjolan kecil yang bergerak di sepanjang urat darahnya. Debaran semasa akad malam tadi pun masih terasa lagi.

Sebiji bas dua tingkat berwarna merah dipakir betul-betul di hadapan Izudin. Dia mengeluarkan tiket yang dibelinya untuk memadankan nombor bas dan syarikat pengendalinya.

Izudin tersenyum."Sama". Memang itu bas yang ditunggu-tunggu!. Puntung rokok dibuang terus ke lantai. dan dipijak.



Beg bajunya diusung untuk masuk ke perut bas. Awek freehair berjeans ketat yang dilihat semasa menunggu tadi turut menurut dari belakang. Hatinya berdoa sangat yang gadis tu akan duduk di kerusi yang berpasangan dengan dia. Boleh jugak dia berkenal-kenalan dan bertukar nombor telefon. Kalau bernasib baik, boleh berselfie bersama-sama.

Angan Izudin mati tiba-tiba.nombor kerusinya bersebelahan dengan pakcik berkupiah yang awal-awal lagi sudah duduk di tepi tingkap. Beg plastiknya diriba diatas paha.

Terkial-kial dia untuk masuk ke kerusinya kerana orang hadapan telah merendahkan kerusi untuk tidur. Siap berdengkur lagi!.

Dia menguntum senyum kepada Pakcik di sebelahnya. Matanya sempat mengerling gadis tadi yang duduk bersama seorang makcik.

"Kemana pakcik?" Tanya Izudin yang cuba berbahasa dengan pakcik di sebelahnya.

"Nok gi KL, umoh anok" jawab pakcik itu dalam loghat pantai timur. Masing-masing tersenyum sebelum berpaling. Pakcik yang memakai kupiah itu bermisai dan berjambang penuh.

Izudin memusingkan beg silangnya ke hadapan dan dipeluk ke dada. Matanya bersiap-siap untuk tidur. Kepalanya sudah pening benar menahan mengantuk.

Dia menyeluk poket untuk mengambil telefon yang tiba-tiba berdering.

"Kat mana woii?" Jerit Badrul dalam talian. Bunyi desiran angin menyebabkan suaranya antara dengar dengan tidak.


"Dalam bas. Baru nak keluar dari stesen, apahal ?"


"Pak Seman dah meninggal!!"


"Innalillahilainnailaihirajiun. Tak sangka. Cepat sungguh."


"Dia dah meninggal dua hari lepas la!"

Badrul longlai seketika dengan jawapan itu. Bulu roma tangannya mulai meriding. Belakang tengkuk Izudin pulak yang mulai meremang. Badannya pula serta-merta seram sejuk.

"Habis..yang semalam dengan kita tu..adik kembar dia ke..eh"

Tiba-tiba sahaja rasa mengantuknya hilang.

“Ni la yang aku nak cerita?..Kau jangan panik yang bukan-bukan pulak…...yang kau ambik semalam tu… saka. Arwah pak Seman yang punya. Sekarang ni, secara rasminya kaulah tuan dia yang baru!”

“Saka!.gila ke apa?....apa yang aku nak kena buat wei?”

“Slow sikit cakap, sakit telinga aku. Kau cari la sapa-sapa yang boleh bua……” Pesan Badrul sebelum talian tiba-tiba terputus.

‘Mesti kredit dia habis!’ Fikir Izudin. Bila dia cuba menelefon semula, talian mudah alihnya sudah tiada apabila bas mula melalui highway.



“Bakpo mu napok laen bena ni?” Pakcik di sebelahnya bertanya kehairanan mendengar dia menjerit tadi.

“Kawan baru bagitahu, saya ada saka dalam badan…”

“Hok oloh, bakpo tak ghoyak awal-awal…”

“Pakcik boleh tolong buang ke?” Tanya Izudin bersungguh-sungguh. Gaya pakcik ini seakan seorang lelaki berilmu tinggi. Berkopiah dengan jambang panjang memutih. Soket mata yang sedikit dalam dengan kedutan di dahi dan hujung mata. Senyuman pula penuh misteri.

“Tak, Pokcik nok pindoh tempat duduk ja. Patut la ghaso lain sangat dari tadi” Pakcik tadi mengendung bungkusannya keluar dari tempat duduk dan duduk semula di kerusi paling belakang yang kosong.

“Menyesal aku cakap!!!”



Izudin bangun dari tidur setelah dikejut oleh pemandu bas. Bas itu sudah sampai ke hentian terakhir. Dalam rasa takut-takut tadi, dia tertidur jugak.

Cepat-cepat dia bangun menggalas beg. Matanya meliar mencari awek freehair yang sama-sama menaiki bas itu. Tidurnya tadi sempat bermimpikan awek freehair tersebut.

Sebaik keluar dari bas, dia kecewa melihat awek tersebut disambut oleh seorang jejaka kacak berjaket kulit. Mereka sama-sama melangkah kearah kereta Nissan GTR yang dipakir tidak jauh dari situ. Izudin kecewa seketika.



“Ni saka dalam badan nilah punya pasal !!!” Izudin meluahkan rasa kecewa. Kini dia ada “benda” yang boleh dipersalahkan.

“Assalamualaikum Mak, orang dah sampai!” Ucap Izudin melalui telefon bimbitnya. Maknya berjanji untuk menjemputnya di stesyen bas.



Izudin memilih nasi campur sebagai menu makan tengahharinya. Gerai yang ada pun berdekatan dengan stesyen bas.Perutnya tidak mampu lagi bertahan untuk menunggu lebih lama. Maknya pun akan mengambil masa lebih kurang sejam untuk datang mengambilnya.

“Iz kat mana? Mak dah sampai.” Suara emaknya di talian. Izudin meneguk teh ‘o’ aisnya dengan lahap. Nasinya cuma sempat dihabiskan separuh. Dia nak cepat!.

“Iz tengah makan kat gerai depan stesyen ni” beritahunya.

Kira-kira lima minit selepas itu, Kereta proton Waja milik emaknya dipakir berhampiran gerai itu. Izudin bangun untuk membayar.

“Iz, tunggu sekejap!” laung Puan Emma.

“Kenapa Mak?”

“Jangan bayar lagi, Mak pun nak makan jugak”

“Mak tak masak hari ni”

“Tak, ada kenduri dekat kawasan rumah. Kamu telefon tadi, tak sempat pulak mak nak makan”

“Lepas ni kita singgahlah kat kenduri tu, ”

“Tak nak la Mak. Pak Akob tu tak habis-habis nak kenen dengan Mak…seram pulak Mak! ”

“Laa…yang baru jadi duda tu ka…ish..ish.. Mak ni memang betul-betul laris la!!” Senyum Izudin. Puan Mimi hanya mengecilkan mata dan merenung tepat pada anak lelakinya itu. Geram!.

“Lupa nak tanya, kenduri siapa Mak?”

“Kenduri Lina. Anak Pak Hamid yang bukak kedai runcit tu?”

“Lina !!!!! yang sebaya dengan Iz kan”

“Ye la. Yang mana lagi. yang kau terjerit ni kenapa?”

“Dia tu kan girlfriend Iz!!! Dari sekolah lagi”

“Girlfriend konon. Kalau dia tunggu kamu, sampai ke tua la dia membujang”

Izudin mendengus kerana diperli. Puan Mimi tesenyum. Bukan senang dia nak mengenakan anak bujangnya itu.

Kemudiannya dia ke meja hidangan untuk mengambil nasi.



Kereta Puan Mimi bergerak dengan kelajuan sederhana. Izudin menyandar sambil melayan nyanyian lagu dari corong radio.

“Mak !” luah Izudin. Sedikit kuat. Melawan bunyi dari radio.Dia takut kalau-kalau Maknya yang memandu tidak dengar.

“Ya. Apa?”

“Orang ada benda nak beritahu”

“Ha..beritahu la. Mak dengar ni.” .Radio kereta diperlahankan.

“Orang ada saka”

“Saka! Apa yang kau kata tadi Iz?”

“Orang ada saka!”

“Saka ke sakaratul maut” Sempat Puan Mimi memerli sambil tertawa.

“Orang serius ni Mak!. Ada hantu dalam badan orangg..”

“Kau jangan main-main boleh tak. Keturunan kita mana ada simpan benda-benda macam tu”

“Orang tak main-main la Mak. Orang dah akad ambik benda ni”

“Ya Allah budak ni. Dah buang tebiat ke.Orang lain sungguh-sungguh nak mengelak benda-benda khurafat macam ni. Dia boleh akad pulak. Dah bernikahlah kamu kiranya dengan benda tu!”

“Nikah apa pulak Mak!. Itu agreement jer. Macam dokumen pindah milik”

“Haah…Mak memang tak faham apa yang kau cerita. Cuma satu benda Mak nak tahu. Kau bagi makan benda tu dengan apa ?. Darah, ayam hitam, ke telur”

“Tak ada menu Mak. Pak Seman cakap benda ni makan bertih”

“Bukan ke dalam whatapps orang kampung dah cakap Pak Seman dah meninggal dua hari lepas. Pak Seman mana yang cakap ni?”

Baru dia teringat yang Maknya sudah diterima sebagai ahli Whatapps kampungnya dahulu. Info hal-hal yang terjadi di kampung memang akan sampai pada Puan Mimi.

“aaaa…” Kepala Izudin ligat mencari ayat yang paling sesuai untuk menerangkan kepada Maknya.

“Siapa?”

“Benda tu sendiri yang cakap!!!” Balasnya gugup.

“Sekejap Pak Seman..sekejap saka yang cakap. Mana yang betul ni?. Karang Mak hempuk dengan lock steering ni baru tau!”

“Senang cakap..hantu tu yang cakap macam tu Mak”

“Kalau dah tahu hantu..kau nak simpan lagi ker?”

“memang tak aaa… Tapi benda ni boleh diwariskan kepada keturunan kita”

“Keturunan apa nye Iz oii… Kau tu bujang lagi…. Calon bini pun belum nampak”

“Orang ingat nak wariskan pada Mak je la….orang lama banyak pengalaman”

“Oi…ingat Mak ni apa? Semua bala kau nak bagi kat Mak, Derhaka kau nanti…. Cari la jalan nak berubat. Hish budak ni!” laung Puan Mimi sambil memperlahankan kenderaan memasuki kawasan taman perumahan.

“Mak kenal tak siapa yang boleh mengubat?”

“Kat taman kita tu, Bilal Noh boleh mengubat. Tak pun kau jumpa dengan Pakteh Long. Dia pun boleh mengubat.”

“Tu semua duda Mak. Nanti Mak komplen pulak, Bilal Noh dan Pakteh Long nak mengorat Mak. Orang kampung kita kan boleh reka macam-macam skandal.”

“Nasib baik kau faham betapa payahnya jadi janda cun macam Mak ni”

“Hmmm….dah mula la tu”



Izudin memandang tepat ke penjuru biliknya. Bau hapak dari kain selimutnya yang tidak berbasuh langsung tidak mengganggu konsentrasinya. Nafasnya turun naik kerana sudah lama menunggu.

"Keluarlah kau saka...berapa kali aku nak seru ni" luah Izudin yang hampir menjerit. Dari lepas Isyak tadi dia cuba untuk menjelmakan saka yang dimilikinya.

"Aku tuan kau. Kau kena patuh arahan aku!"bentaknya sebelum katilnya tiba-tiba digegar.

"Tak ada siapa pun beritahu aku apa yang kau boleh buat?..sehebat mana kau ni hah!!"

"He..heh..aku tak sehebat mana pun..aku bantu apa yang terdaya sahaja...he..he.." jawapan yang keluar sendiri dari mulut Izudin. Dia sendiri menelan gumpalan air liur. Sendiri tanya sendiri jawab.

"Kau ni apa ha!!!Hantu raya ke...jembalang ke...langsuir ke.."

"Aku ... Aku ni bayang-bayang kau….sahabat kau..saudara kau…" Izudin bermonolog lagi. Nafas Izudin turun naik. Namun bulu romanya tidak meremang seperti selalu. Rasa seramnya tidak seperti selalu.

"Macammana rupa kau?"

"Macam kau!"

"Kalau aku tak nak kau..boleh!"

"Boleh.."

"Macammana?"

"Kau pergi mati jer. Aku cari la tuan lain nanti..heh..he.."

"Celaka punya hantu...aku buka ayat-ayat ruqyah ni untuk kau rasa.."

Izudin menekan butang "enter" pada laptopnya untuk memainkan ayat-ayat ruqyah. Dia sempat meng'google'kan carian ayat-ayat ruqyah sebelum menyeru sakanya tadi.

Tubuh Izudin merasa seram sejuk sebaik suku dari ayat-ayat itu dibacakan. Hujung kakinya mulai kebas dan menyucuk. Aura panas tiba-tiba menyusur dari hujung kakinya itu.

"Arghhhhh....." Izudin mengerang kepanasan. Seluruh tubuhnya memijar dengan bahang panas dari serata arah, seolah-olah dipanggang hidup-hidup!

Tangannya terketar-ketar mencari dan menekan butang "enter" bagi menghentikan bacaan ayat-ayat ruqyah itu di laptopnya. Peluh mencurah-curah keluar dari segenap tubuhnya. Tilamnya lencun dibasahi peluh.

"Hmmm panas kan.....siapa yang panas hah!...he..he.." suara yang keluar dari mulutnya memerli.

"Ah..celaka!" Izudin menutup lampu biliknya. Dia meneguk baki air botol mineral diatas meja sehingga habis. Selimut ditarik dan dia berdengkur keletihan.



Bam! Bammmm!

Pintu plywood bilik Izudin diketuk oleh Puan Mimi.

“Bangun Iz..dah nak tengahhari ni. Saka dengan tuan sama jer. Hari meninggi pun masih nak membuta. Tolong Mak buat kerja boleh tak?” Bebel Maknya.

Izudin terbangun mendengar ketukan Maknya tadi. Dikesatnya mata yang masih mengecil dengan tangan. Mulutnya dibuka seluas-luasnya untuk menguap. Tangannya didepakan ke kiri dan kanan.

“Makk…orang demam” jeritnya sambil menarik semula selimut. Dia masih keletihan..

“Demam ke, Denggi ke..Mak nak kau keluar dulu!. Mandi dan siap-siap. Lepas makan kita pergi ke Bandar. Kalau Iz tak turun dalam masa sepuluh minit…siap!!!!” Ayat ‘veto’ dari Puan Mimi yang membuatkan Izudin terjun dari katil. Dia tahu tindakan Maknya selepas itu selalunya di luar kawalan. Contohnya, tindakan membakar motosikal kesayangannya!.



Setelah dua tiga kali berpusing-pusing. Akhirnya mereka sampai juga di pusat rawatan yang dicari. Puan Mimi menggeleng kepala kerana tempat yang dicari itu betul-betul di tepi jalan raya, mudah sangat untuk sampai sebenarnya.Malangnya signboardnya pula diletak menghadap ke kawasan taman. Susah untuk nampak dari arah jalan.

Izudin keluar dari kereta dengan menjinjing dua botol air mineral yang belum dibuka. Puan Mimi mengikut dari belakang.

"Betul ke kat sini Mak?"

"Betullah tu. Tak salah lagi alamat yang Ucu Deris kau bagi."

"Orang dah seram sejuk ni Mak. Rasa macam nak balik rumah jer"

"Kalau nak balik, kamu jalan kaki sorang-sorang. Mak tak nak bawak. Kita datang sini nak buang benda dalam badan kamu tu."

"Ye ler. Lagi cepat buang, lagi selamat. Tapi kan Mak…ada saka pun letih jugak berjalan…berat" Izudin sempat mengejek.

Seorang lelaki berjanggut menyambut di muka pintu sambil tersenyum. Dia menjawab salam Izudin dan menyerahkan satu borang untuk diisi.

"Sakit apa?" Lelaki itu sempat bertanya.

"Nak buang saka Ustaz?" Balas Izudin berbahasa.

"Memang kena tempatnya ni.InsyaAllah boleh. Nampak macam tak teruk lagi ni" Lelaki yang dipanggil Ustaz itu memandang Izudin atas bawah sambil tersenyum lagi.



Di dalam pusat rawatan itu sudah ada dua keluarga yang menunggu. Sepasang suami isteri dan satu keluarga dengan lapan orang termasuk datuk dan nenek. Puan Mimi memilih untuk duduk di sebelah pasangan suami isteri itu.

"Kenapa?" Tanya Puan Mimi kepada si suami.

"Orang rumah kena buatan orang. Kes dengki berniaga la ni" Rupanya isterinya berniaga kecil-kecilan di hadapan rumah. Jual jajan dan goreng pisang.

"Oh." Jawab puan Mimi sambil mengerling kearah perempuan yang bersandar di dinding dengan muka mencuka. Dahinya berkerut menahan sakit.

"Ni kali kedua datang. Sebelum ni dah datang. Banyak juga perubahan dia" ujar lelaki itu."Akak sakit apa?"

Berbunga sedikit puan Mimi dipanggil begitu. Lebih baik dari panggilan "makcik".

"Bawak anak berubat. Nak buang saka"

" Saka rupanya. Ingatkan tadi kena buatan orang jugak"

Izudin membiarkan sahaja Maknya yang beramah tamah dengan pesakit lain. Kepala pening sedikit dan terasa mengantuk. Letih kerana memandu berpusing-pusing mencari arah tadi.

"Hmmm.. kau nak buang aku?" Satu pertanyaan terlintas di fikirannya. Dia memandang sekeliling, kalau-kalau ada yang turut mendengar.

"Bodoh!..kalau kau buang aku, ,nyawa kau pun ada melayang sama...he..he..." ugut suara di dalam kepalanya.

Kata-kata itu mengundang debaran di hati Izudin. Rawatannya nanti membawa taruhan nyawa. 'Aku tak mahu mati lagi!' Jeritnya di dalam hati.

" Mengelamun apa?" Bahu Izudin dicuit Puan Mimi.

"Orang rasa takut pulak Mak. Kalau-kalau tercabut nyawa pulak masa berubat nanti."

"Ish kamu ni..ke situ pulak. Insha Allah ustaz tu kata tak pernah ada yang meninggal semasa rawatan, setakat ni"

"Orang mintak maaf Mak, kalau lepas ni orang dah tak normal macam sekarang ni. Orang sayang Mak tau"

"Yang emosi sangat ni kenapa?" Buah luku puan Mimi singgah di kepala Izudin. Puas dia menggaru untuk menghilangkan rasa sakit. Puan Mimi meninggalkan Izudin sendirian untuk berjumpa petugas rawatan di kaunter pendaftaran.



"Kalau kau nak, aku bagi duit. Nak ta?...........Lepas tu kau boleh balik" suara tadi kembali di kotak fikirannya. Izudin senyum. Sangkanya ‘benda’ itu sengaja melawak.

"Setakat cakap je. Aku pun boleh" dia bersuara mengejek.

Seorang perempuan separuh baya yang datang bersama keluarga besar tadi datang menghampiri Berdiri seketika sebelum duduk di sebelahnya. Tiada sepatah perkataan pun yang keluar dari mulut wanita tersebut. Tanpa disuruh, dia terus duduk dan membuka tas tanganya. Satu envelope dengan isi yang tebal dikeluarkan. Envelope itu diserahkan pada Izudin.

"Apa ni Kak?. Saya tak mintak pun"

"Tadi kata nak. Banyak ni... Takkan nak tolak" Gaya cakap perempuan tadi seakan senada dengan suara yang terbit dalam kepalanya.

"Ambik dan balik" Envelope itu beralih ke tangan Izudin. Perempuan tadi bangun dan kembali semula kepada keluarganya. Ahli keluarganya yang lain masih berbual seperti biasa seperti tiada apa yang berlaku!.

Izudin tiba-tiba berpeluh. Dikesatnya cepat-cepat. Envelope tadi diselit di poket depan kanan. Dia bergerak ke arah kaunter mencari Maknya. Segera dia teringatkan arahan ‘benda’ tadi.

"Orang nak balik la Mak. Perut rasa semacam ni" Izudin memegang perut dan sedikit menunduk.

"Tandaa kat hujung corner tu je. Pergi la buang dulu!"Arah Puan Mimi yagn menghalakan jari telunjukknya kea rah belakang kaunter.

"Bukan sakit nak membuang ni Mak. Dah macam gastrik ni!!!!! Sakit sangat.."

"Iz..sejak bila kamu ada gastrik ni"

"Ntak lah Mak. Sakit sangat ni.. Nak kena ke klinik jugak...Orang dah tak tahan.." Dia menarik tangan ibunya untuk keluar dari pusat rawatan itu.

"Kita balik ya Mak" Rayu Izudin bersungguh-sungguh hingga Puan Mimi terpaksa mengalah.




Izudin merenung siling tanpa berkelip. Kipas yang berpusing-pusing membuatkan matanya berpinar-pinar, bila dia cuba mengikut arah gerak kipas itu dengan matanya. Kemudian matanya menoleh ke arah susunan duit satu ratus yang bernilai lima ribu yang diletakkan bersebelahan. Diletakkan tangannya diatas wang tersebut.

"Tak kerja sebulan pun dak takpa kalau macam ni" Fikirnya singkat. Nafsu sudah menguasai pertimbangannya. Dia mulai yakin dengan keupayaan sakanya.

"Apa lagi yang aku boleh buat untuk senang?. Hah...Aku kena buat Pak Akob setuju nak kahwin dengan Mak Aku..lepas tu aku boleh bolot harta orang tua tu..baru cepat kaya..ha..ha..ha.." Akalnya mengatur rancangan.

"Setuju…" Satu suara terbit di benaknya. Suara dari ‘benda’ dalam tubuhnya.

Dia tidak menyangka yang akalnya dapat dibaca saka.Yang jelas kali ini, dia tidak pula membantah.



"Izzzz....,Tolong Mak" Puan Mimi mengetuk pintu bilik.

"Kenapa Mak?" Izudin keluar sambil menguap. Matanya masih mengecil dengan rambut berserabai.
"Pak Akob tidur di pintu pagar depan rumah kita!. Terkejut besar Mak tadi masa keluar nak buang sampah tadi"

Izudin menyelak langsir untuk melihat kelibat orang yang dimaksudkan oleh Maknya tadi. Seorang lelaki yang agak berumur dan berbaju batik sedang bersandar di pintu hadapan pagar rumahnya. Satu beg pakaian ada bersebelahan. Izudin menutup semula langsir tingkap.

"Orang keluar ke depan kejap Mak!"




"Pak Akob buat apa ni?" Izudin menepuk bahu orang tua tadi. Hampir melatah orang tua itu yang tersedar dari tidur. Dicapainya songkok yang jatuh bersebelahannya. Pak Akob bangun menghadap Izudin.

"Aku nak meminang Mak engkau. Dia ada tak?" Ucap Pak Akob yang cuba memegang tangan Izudin. Tangannya segera dilarikan. Takut kalau-kalau Pak Akob meleret tangannya untuk merayu.

Izudin menggaru kepala. Dia dapat menjangka apa yang sedang berlaku. Kerja saka la ni!.

"Tak boleh macam ni Pak Akob. Biar kena caranya. Bawak wakil Pak Akob yang sesuai untuk pinang Mak saya." Pujuk Izudin dengan baik. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja diterajang orang tua gatal tu!!!

"Aku dah tak boleh nak tunggu. Sejak semalam lagi..kalau pejam mata je..aku akan mimpikan mak kamu…Pejam je…mimpikan Mimi… Sebab tu aku terus tidur kat sini" jawab Pak Akob yang masih mengibas-ngibas debu-debu yang lekat di bajunya.

"Pak Akob kan orang lama kat sini. Malu nanti kalau orang bercerita. Bukan Pak Akob sahaja yang malu, saya dan Mak pun kena tempias jugak."

Orang tua itu masih kelihatan kabur. Anak matanya mengecil dengan muka yang penuh mengharap. Dia memeluk tiang pagar sambil melaung nama Puan Mimi!!.

Izudin segera menelefon ketua kampung meminta bantuan.



"Macammana ni Mak! Penghulu dah mintak kata putus. Kalau Mak tolak pinangan Pak Akob, sah-sah nanti dia ke hospital sakit jiwa nanti." Tanya Izudin.

"Kan Mak dah beritahu kamu, Mak memang tak nak Pak Akob tu. Dah tua-tua macam tu elok ke Mekah jer. Bukannya menikah!!"

"Mak ni pun. Pak Akob kan banyak harta. Bila dah kahwin nanti, sama-sama la ke Mekah"

" Kamu ingat harta dia yang banyak tu nanti dapat kat Mak. Anak dia jer dah 12 orang. Ingat diaorang nak diam bila bapak diorang kahwin lain. Daripada Mak menanggung siksa dengar tohmahan diorang lagi baik Mak solo macam ni. Yang kau beria-ia benar suruh Mak kahwin ni kenapa?"

"Tak lah Mak. Iz cuma taknak Mak sunyi kalau sorang-sorang. Kalau ada orang yang teman lain sikit. Lagipun Iz bukannya selalu ada di rumah pun."

"Mak tahu niat sebenar kamu. Jangan-jangan saka dalam badan kamu tu dah hasut kamu. Baik kamu buang cepat-cepat. Nak buang haritu dah kamu tak sihat."

"Baiklah, Iz ikutkan aje cakap Mak." Izudin mengalah. Niatnya tepat dibaca Puan Mimi.

"Rasanya saka ni dah silap rasuk. Patutnya Mak yang nak kena rasuk. Bagi dia suka Pak Akob. Ni pergi rasuk Pak Akob, dah sah-sah dia gilakan Mak. Tu yang jadi gila semacam tu" Ngomel Izudin sendirian.



"Assalamualaikum....." Suara orang memberi salam kedengaran dari pintu hadapan. Puan Mimi menjenguk dengan mengalih sedikit langsir tingkap. Kelibat tiga lelaki berserban ada di hadapan rumah.

"Awal pulak geng tabligh ni buat lawatan. Selalunya lepas Asar" rungut Puan Mimi. Dia memusingkan tombol pintu dan membuka grill hadapan.

"Waalaikumsalam. Cari siapa Ustaz?"

"Ini rumah Izudin Ismail?" Lelaki berserban yang paling hadapan bertanya. Puan Mimi mengangguk.

"Dia ada?" Puan Mimi mengangguk sekali lagi.

"Kenapa dengan dia Ustaz?"

"Puan ni Mak dia kan?"

"Ya"

"Boleh kita bincang kat dalam Puan. Panggil Izudin sekali!"

Puan Mimi menjemput mereka masuk. Dia ke tingkat atas. Bunyi ketukan pintu kedengaran agak lama sebelum bunyi pintu dibuka. Izudin dengan muka serabai menuruti ibunya turun ke ruang tamu.

"Saya Ustaz Asri dan ini Ustaz Sofwan dan Ustaz Ilyas dari pusat perubatan Ihya Syifa'. Puan pernah ke sana dengan Izzudin kan" Lelaki yang di hadapan sekali tadi memperkenalkan diri.

"Ya. Dua hari lepas. Tapi tak sempat nak berubat sebab Iz ni tak sihat"

"Oh..patutlah nama dah berdaftar tapi bila panggil tak ada orang." Ustaz Sofwan menyampuk.

"Kami punya hajat lain sebenarnya" Ustaz Asri menerangkan.

"Dua hari lepas, ada pelanggan yang mengadu kehilangan wang di pusat kami. Wang itu dikatakan diserah kepada Usraz Ilyas.Tapi Ustaz Ilyas tidak menerima apa-apa. Kami bertiga cuma nak tahu ada tak Puan dan Izzudin nampak apa-apa?" Sambungnya.

"Pelanggan yang mana. Saya cuma sempat berkenalan dengan pasangan suami isteri yang kena buatan orang tu je"

"Bukan pasangan tu. Yang mengadu ni ahli keluarga yang hantar Mak mereka untuk habiskan pengubatan"

"Entah. Saya pun tak pasti" Izudin menokok. Namun dadanya berdegup kencang.

"Dari siasatan kami, salah seorang dari ahli keluarga Makcik tu ada menyerahkan envelope berisi wang kepada Izudin. Tapi katanya anak Makcik tu, menyerahkan wang itu kepada Ustaz Ilyas." Mata Ustaz Asri teralih kea rah Ustaz Ilyas.

"Ye ke. Saya tak ingat terima apa-apa envelope pun" Dalih Izudin. Kedua-dua penumbuknya dikepal dan diletak diatas paha. Izudin berasa kurang selesa.

Ustaz Asri mengeluarkan telefon bimbitnya. Satu video dimainkan dan handphonenya diserahkan sementara kepada Puan Mimi untuk ditonton.

"Puan nampak kan apa yang berlaku dalam gambar tu. Ini salinan video dari CCTV yang saya simpan…Saya bukan apa..Cuma nak kalau boleh..Kalau rasa terambil, harap pulangkan. Tuan punya duit tu sangat memerlukannya" rayu Ustaz Asri. "Kami tidak mahu membawa kes ini kepada pihak polis lagi" Kali ini matanya bertentangan dengan Izudin.




Izudin yang tadinya tenang mulai bertukar karektor. Wajahnya menyeringai dan menggeramkan mulut seakan marah. Ustaz Asri memberi isyarat mata agar kedua-dua temannya itu bersedia.

"Iblis ni tak pernah serik!" Getusnya sambil terkumat- kamit membaca ayat ayat suci al-Quran.

"Kenapa kamu ganggu aku. Aku tak pernah pun kacau kamu atau ahli keluarga kamu." Templak Izudin dengan nada berbeza.Matanya merenung tajam Ustaz Asri.

"Kamu ambil benda yang bukan milik kamu...."

"Aku tak ambil. Dia yang bagi" balas Izudin dengan disambut tawa kecil yang menakutkan.

"Pulangkan segera atau aku pasungkan kau" Ugut Ustaz Asri.

"Kalau kau nak budak ni pun mati. Buatlah" ugut Izudin tanpa rasa bersalah. Ustaz Asri meneruskan bacaannya.

Izudin menjerit kesakitan. Lehernya seolah dijerut hingga tidak boleh bernafas. Terkapai-kapai seolah dia meminta nyawa.

"Ambik balik duit tuuu...ada atas meja dalam bilik atas....lepaskan akuuuu..." suara tersekat-sekat keluar dari kerongkong Izudin.

"Aku nak kau keluar dari tubuh budak ni. Jangan kau hampiri dia sampai bila-bila."

"Mana boleh..aku dah janji nak bertuankan dia..sampai bila-bila.."

"Oh..dia tuan kau...kau akan patut semua arahan dia kan...bagi dia yang bercakap sekarang!!!!"

Izudin menggeliat sebelum menggelepar diatas karpet. Puan Mimi memerhati dengan rasa takut.

Ustaz Asri menghampiri Izudin.

"Mengucap dan baca surah An Nas tiga kali" Izudin menurut dan membaca dengan fasih.

"Kamu tahu kan ada makhluk dalam tubuh kamu. Kamu dengar apa yang dia cakapkan." Izzudin mengangguk.

"Sekarang..kamu suruh dia buat apa yang kamu nak" Saran Ustaz Asri. Dia berharap agar Izudin meminta makhluk itu keluar dari tubuhnya.

Izudin menggetap bibir. Dahinya berpeluh.


"Aku nak kauuu..mengucap dua kalimah syahadah!!!!" Luah Izudin dengan nada yang agak kuat.

"Hah!!!" semua yang ada agak terperanjat.

"Kau sanggup tak..??????" Jerkah Izudin lagi. Lantang. Sisa-sisa tenaga yang ada digunakan untuk melaung sepenuhnya.

Suasana sunyi seketika...

"Asha..........." ucapan syahadah keluar dari bibir Izudin dengan juraian air mata. Ucapan yang datang dari makhluk lain di dalam tubuhnya. Suara yang diucapkan dengan tersangkut-sangkut. Ustaz Asri membantu dengan menyebut seruan syahadah itu bersama-sama makhluk di dalam badan Izudin.

"Alhamdullillah" ucap Ustaz Asri sebaik selesai mengucap syahadah.

“Alhamdullillah…” Bunyi yang sama terukir di bibir-bibir yang lain.

“Kita dah jadi saudara. Saudara seagama” Ucap Izudin. Tubuhnya sudah pulih seperti sediakala. Cuma peluh masih menitis di dahinya. Dia kelihatan sangat letih!



"Mulai hari ini aku seorang muslim dengan nama Abdul Hakim.. Aku mahu ke Mekah … belajar dengan saudara seagama di sana.." Suara tadi keluar semula dari mulut Izudin.Serentak dengan itu Izudin merasakan adanya arus sejuk yang keluar dari ubun-ubunnya.

" Bagus..Kau sepatutnya kembali ke pangkuan golonganmu. Aku doakan kau sejahtera di sana..” Ustaz Asri memberi kata akhir.

“Aminnn..” Sahut yang lain. Puan Mimi sudah boleh bernafas lega.



Semua orang kini berada di perkarangan rumah. Ustaz Asri menyeluk masuk envelope yang diserahkan Izudin ke poket jubahnya.

“Makcik tu berterima kasih pada kamu. Ustaz baru hubungi dia tadi” Jelas Ustaz Asri.

Izudin masih kelihatan sangsi selepas apa yang berlaku tadi.

“Saka tu betul-betul masuk Islam atau sengaja nak lepaskan diri Ustaz? Saya ingat nak uji dia saja masa rawatan tadi.” soalnya untuk dapatkan kepastian.

“Betul atau bohong dia, biar Allah taala sahaja yang tentukan. Doakan yang baik-baik untuk dia pun dah cukup. Kamu cuba amalkan doa yang Ustaz bagi tadi. Insha Allah, apa yang kamu harapkan akan termakbul!. Jangan lagi meminta-minta dengan makhluk…..” Nasihat Ustaz Asri.



Izudin merasakan beban di bahunya sudah hilang. Kepalanya semakin ringan. Dia sudah tenang semula.Terfikir juga dia kemungkinan untuk berjumpa Abdul Hakim, kalau di ke Mekah suatu hari nanti!!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Zhar Aruzi Hairi