Home Cerpen Seram/Misteri Hantu Kak Wok Uli Karipap Cerita 4 bahagian 1
Hantu Kak Wok Uli Karipap Cerita 4 bahagian 1
Diq Na
23/3/2020 12:41:59
591
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

            Dalam kepekatan malam muncul kelibat, terhendap-hendap dari satu pokok ke pokok yang lain. Tatkala tiba di belakang sebuah kedai, kelibat itu terus mencangkung dan menggali tanah.

            Kemudian kelibat itu mengeluarkan sesuatu dari poket baju lalu diletakkan ke dalam lubang yang digali. Tanah dikambus semula. Selesai mengambus, kelibat itu bangun dan mengibas tangan.

            Tiba-tiba terdengar salakan anjing. Kelibat itu terus tersentak. Ditoleh kanan, kiri dan belakang. Tiada apa-apa yang mencurigakan. Di hujung kampung bersempadanan dengan pinggir hutan banyak tanah kebun. Ramai pemiliknya yang memelihara anjing untuk menjaga tanaman daripada diceroboh atau dimusnahkan oleh haiwan perosak. Tentu anjing-anjing itu yang berbunyi.

            Kelibat itu menuju ke jalan kampung. Anjing menyalak sekali lagi. Kali ini bunyinya lebih dekat lagi menyeramkan. Kelibat yang berjalan kaki terus buka langkah seribu, menyusup entah ke mana. Salakan terus kedengaran sahut-sahutan.

 

            Wok Resepi Warisan Frozen

            Papan iklan itu sempurna dinaikkan. Sementara papan iklan yang lama, tulisannya sudah pudar, tersadai di tepi longkang.

            “Yang tu, kalau lori besi buruk Uncle Salman Khan datang, angkat percuma aje. Barang-barang di belakang sana pun sama. Kasi terang semua.”

            “Cayalah Kak Wok. Lelaki boleh, perempuan lagilah boleh.”

            “Kita wanita, serba boleh!”

            Wok Maisara dan Eda berdiri di hadapan kedai sewa milik Wak Mud yang pada satu ketika dahulu pernah menjual masakan panas waktu malam. Namun setelah tiga bulan sewa tertunggak, penyewa cabut lari tengah malam.

            Di sinilah juga tapak asal kedai runcit Wak Mud sebelum berpindah ke bangunan yang lebih besar. Kedai sewa diubah suai menjadi bengkel membuat karipap, pau, samosa dan roti canai sejuk beku.

            Selepas kejadian seram misteri yang berlaku, Wok Maisara tawar hati untuk meneruskan perniagaan andaman pengantin warisan ibunya. Dia fikir eloklah beralih ke bidang yang lain pula.

            Bengkel sudah siap. Sesi temuduga pengambilan pekerja juga selesai dilakukan. Ramai yang hadir namun hanya tiga sahaja layak dan menepati ciri-ciri yang dikehendaki. Wok Maisara sebagai tauke sementara Eda menjadi rakan kongsi. Operasinya akan bermula tidak lama lagi.

            Sebuah motosikal membelok masuk keperkarangan kedai. Madi yang baru dilantik sebagai ketua kampung turun padang, meronda sambil menjenguk anak-anak buah.

            “Amboi Tok Empat Madi. Baru pegang jawatan terus sambar motor baru,” sindir Eda.

            “Ini motor anak aku nak pakai pergi sekolah. Sebelum rembas, tercabut sana, longgar sini, baik aku naik dulu,” balas Madi.

            “Terbaiklah tok empat. Dari pagi membawa ke petang, sampailah malam melawat kawasan,” Giliran Wok Maisara pula menyapa ketua kampung berusia pertengahan 40-an itu.

            “Tok empat nak tempah karipap ke? Kami ada tawaran istimewa. Pelanggan terawal dapat harga promosi,” terang Eda

            “Taklah. Setakat karipap aku buat sendiri. Pejam mata kelim karipap tu. Kalau sejuk beku, biarlah yang sibuk bekerja, terkejar sana terkejar sini tu beli. Lagipun anak aku setengah dozen. Setakat setengah kilo tepung, lekat celah gigi bebudak tu aje,” sambung Madi sambil tersengih-sengih.

            “Hai Bang Madi, macam tak sudi nak beli kuih kami. Janganlah macam tu. Kalau bukan orang kampung sendiri yang sokong siapa lagi. Perniagaan kami modal kecil. Pasaran pun terhad,” ulas Wok Maisara.

            “Bukan gitu maksud aku. Kuih sejuk beku tetap beli buat buah tangan melawat saudara-mara. Kalau bagi ke rumah-rumah orang susah pun boleh kan. Aku menyokong jugalah tu. Dah terlanjur jumpa kau orang, bila nak mula? Papan iklan pun dah naik,”  jelas Madi.

            “Dalam masa terdekat. Kami nak ke KLdulu beli peralatan buat kuih. Kat sana banyak pilihan,” jawab Wok Maisara.

            “Ada makan-makan tak sempena pembukaan nanti?” tanya Madi.

            “Mestilah ada. Kalau tak macam mana pelanggan nak tahu kesedapan kuih-muih kami. Mana yang kurang rasa boleh ditambah. Mana yang terlebih rasa, boleh dikurangkan,” sampuk Eda.

            “Bagus sangatlah. Bila dah ada tarikhnya, kau orang cakap dengan aku. Boleh wakilkan aku mengajak orang kampung,” kata Madi.

            Sesekali kedengaran hon di jalan kampung. Sesiapa sahaja yang melintasi bengkel itu mengangkat tangan dari kenderaan mereka. Mentari semakin tegak di atas kepala. Secerah hari, begitulah juga harapan Wok Maisara dan Eda. Moga-moga perniagaan kali ini mendapat sambutan hangat.


            Haruman karipap goreng menjelajah ke segenap kawasan berhampiran bengkel kuih sejuk beku itu. Beberapa orang remaja lelaki bermotosikal dan berbasikal baru pulang mengaji dari surau berdekatan turut berhenti sebaik melintasi bengkel.

            Aromanya sungguh luar biasa. Entah apa bahan rahsia yang diadun bersama resepi warisan pemilik bengkel. Sampai kembang kempis hidung kala terbau.

            “Ha, baru balik mengaji. Meh singgah dulu. Kak Wok nak belanja kuih.”

            Wok Maisara, Tauke Wok Resepi Warisan Frozen terjengul di pintu belakang lalu menggamit kesemua remaja di jalanan. Senyuman menguntum di bibir, sungguh manis bak gula. Hati remaja yang digamit turut berbunga-bunga.

            “Kak Wok nak belanja kami karipap goreng ke?” tanya remaja berbaju melayu kuning.

            “Yalah, tapi kalau kau orang nak kasi duit, tak ada hal. Sedap tak baunya?” soal balas si pemilik bengkel kuih sejuk beku.

            “Sedap, dahlah perut berkeroncong.” Remaja berkemeja biru mencelah.

            “Karipap aje, air-air tak da?” Remaja berbaju melayu merah pula menyoal.

            “Ada. Teh tarik madu kaw lagi. Pergilah ke depan sana, layan diri. Kak Wok nak habiskan uli karipap,” arah tauke Wok Resepi Warisan Frozen

            “Terima kasih Kak Wok. Kalau hari-hari belanja kami kan bagus. Menjual sambil beramal. Maju perniagaan nanti.” Remaja berjubah putih pula menyampuk.

            “Ewah! Kalau mak bapak kau orang ada syer bolehlah. Dah, pergi makan lekas. Sejuk tak sedap.” Wok Maisara pantas menjawab.

            Rezeki jangan ditolak. Keempat-empat remaja itu pun membelok masuk ke bengkel. Tidak sabar-sabar untuk menikmati apa yang terhidung lantaran perut juga tengah lapar.

            Man Lampung dalam perjalanan bertemu dengan dua orang kawan. Mereka mahu pergi memancing di sebatang sungai berhampiran kaki gunung. Mereka turut bercadang untuk bermalam di lokasi tersebut.

            Ketika melewati Wok Resepi Warisan Frozen, dia ternampak ada orang sedang duduk sambil makan-makan di situ. Dia pun memberhentikan kereta di bahu jalan besar. Apabila diamati, hanya anak-anak remaja lingkungan belasan tahun. Hendak dikatakan Wok Maisara buat jamuan pembukaan, bengkel itu kelihatan tertutup rapat.

            Man Lampung tertanya-tanya. Dia mengambil keputusan untuk meninjau apa yang sedang berlaku. Setibanya di situ, dia melihat ada sebekas karipap dan teh tarik.

            “Ada jamuan ke?” tanya Man Lampung sebaik turun dari kereta.

            “Taklah, kata Kak Wok malam ni dia nak belanja siapa yang lalu dekat bengkel. Kami ni kira bertuahlah. Jemputlah Cik Man, sedap sangat.” Remaja berbaju melayu menjawab bagi pihak kawan-kawannya.

            “Ya ke? Tapi kenapa pintu tutup. Kak Wok mana?” soal Man Lampung, masih tidak puas hati dengan jawapan yang diberi.

            “Kak Wok dalam bengkel tengah uli karipap. Pergilah tanya kalau Cik Man tak percaya.” Remaja berkemeja biru mencelah.

            Man Lampung pun menuju ke bahagian belakang bengkel. Melalui tingkap yang separa terbuka, dia melihat Wok Maisara sedang mengelim kuih karipap. Jadi betullah apa yang dikata oleh anak-anak remaja sedang enak mengunyah karipap di depan sana.

            “Wok, sungguh ke kau belanja karipap malam ni?”

            “Emmm…”

            “Seorang aje? Eda mana? Kata ada ambil pekerja, takkan tak datang tolong?”

            “Tak masuk kerja lagi. Karipap depan tu saja buat nak bagi orang rasa.”

            “Karipap inti apa Wok?”

            “Alah, banyak tanyalah Abang Man ni. Makan ajelah. Budak-budak depan tu, tak kesah pun karipap inti apa.”

            “Tanya inti karipap pun marah ke. Yalah, tak tanya dah. Inti apapun, Abang Man bedal aje. Kalau nak bawa sikit buat bekal memancing boleh tak? Abang Man promote sekali kat kawan-kawan memancing nanti.”

            “Yalah, bawalah banyak mana nak.”

            Mendengar sendiri jawapan Wok Maisara, barulah Man Lampung berpuas hati. Dia segera ke depan. Lambat-lambat karang, habis disapu bersih.

 

            Zaki baru pulang dari Pasar raya. Hari ini dia kerja lebih masa kerana banyak stok barang baru yang sampai.

            Sebaik melintasi Wok Resepi Warisan Frozen, dia melihat ramai orang sedang berkumpul sambil bergelak ketawa di situ. Dia memperlahankan motor. Rupa-rupanya anak jiran sekampung yang mengaji dengan Ustazah Saerah di surau berdekatan. Turut kelihatan, Man Lampung.

            Wok Maisara buat jamuan, sampai hati tak mengajak, hatinya berbisik-bisik.

            Zaki memberhentikan motor. Hendak singgah terasa segan. Tambah-tambah lagi pesaingnya ada. Kalau tak kena gaya, dapat makan sindir. Cemburu pun membara-bara.

            Kemudian ternampak pula Wok Maisara di belakang bengkel. Gayanya seperti sedang menguli tepung. Sama ada untuk dibuat karipap atau roti canai. Dia meninjau-ninjau kalau ternampak pekerja yang lain namun memang tiada sesiapa yang membantu.

            Zaki menanti seketika. Manalah tahu kalau-kalau Wok Maisara terperasan akan keberadaannya di situ. Sayang sekali, janda muda itu tetap tekun membuat kerja. Dia berasa hampa lalu meneruskan perjalanan.

            Beberapa meter ke depan, Zaki berpatah semula lalu berhenti betul-betul di belakang bengkel. Harap-harap Wok Maisara berpaling dan menjemputnya singgah. Hampir seminit menunggu, dia hampa sekali lagi.

            Zaki terus pulang. Dia sudah hampir dengan rumah tetapi kemudian mengambil keputusan untuk kembali ke bengkel. Setibanya dia di situ, Wok Maisara tidak kelihatan lagi. Kali ini hatinya betul-betul kecewa.

           “Nah, karipap dengan teh tarik! Kau jangan mengada-ngada nak singgah ya. Kalau bergaduh depan bengkel aku ni, siapa nak bertanggung jawab.”

           Wok Maisara tiba-tiba muncul di sebelah sambil menghulurkan beg plastik. Hati Zaki senang sekali bak bunga mekar setaman. Beg plastik bertukar tangan.

          “Ingatkan tak perasan tadi. Terima kasih, susah-susah aje. Kak Wok nak buat apa tu? Bersungguh-sungguh sangat gayanya.”

          “Uli karipap.”

          “Karipap yang ni inti apa? Ayam? Daging? Udang?"

          “Rahsia, kalau cakap takut kau tak nak makan. Dahlah, aku nak sambung uli karipap, banyak lagi tak siap.”

          Wok Maisara kembali ke bengkelnya. Zaki pula pulang sambil menyanyi-nyanyi. Tiba di pintu pagar rumah dia berhenti. Karipap dan teh tarik yang dibekalkan oleh Wok Maisara dimakan sampai habis.

          Masuk ke rumah Zaki terus capai tuala mandi. Tatkala ibunya menyuruh makan malam, dia menggelang dan memberi alasan sudah kenyang menjamu selera bersama teman-teman sekerja. Selesai mandi, perut mula memulas-mulas. Mungkin kerana terlalu banyak makan karipap. Dia menyapu minyak angin. Mudah-mudahan hilang sakitnya nanti.

          Zaki menjengah laman media sosial sebelum masuk tidur. Seharian dia tidak membuka muka buku dek kerana lambakan tugas yang perlu dibereskan. Dibeleknya satu demi satu status teman-teman di alam maya. Ada yang menarik. Tidak kurang juga yang membosankan.

          Yang dia ni asyik tunjuk gambar anak. Macam biasa, sejam sekali wajib letak. Anak demamlah, anak makan nasi tak bersepahlah, anak luka lutut jatuh basikallah.

         “Macamlah kau aje yang ada anak dalam dunia ni.” Zaki membebel perlahan.

         Yang dia tu tak sudah-sudah nak letak gambar makanan. Telur goreng mata kerbau pun nak bubuh juga. Permintaan anak-anak. Kesukaan encik suami. Begitulah katanya.

         “Lapar like betul akak ni. Menyampah!” Bebelan kedengaran lagi.

         Yang seorang lagi tak jemu-jemu bercerita tentang suami yang kononnya penyayang, bertanggung jawab dan romantik habis. 

         “Ayang anje, bahagia jangan ditunjuk sangat kak. Nanti laki kau dirembat orang.”

         Omelan demi omelan meluncur keluar dari mulut Zaki. Ada sahaja yang tidak betul dipandangan. Status terbaharu milik Eda muncul di skrin telefon.

         Makan malam di KLbersama Tauke Wok Resepi Warisan Frozen. Kami wanita tak gentar cabaran!

         Zaki terkedu. Diteliti foto yang dikongsi sekali lagi. Memang betul Wok Maisara. Kini bukan sahaja perut yang memulas, tekak juga terasa loya. Terbayang pula ‘Wok Maisara’ di bengkel Wok Resepi Warisan Frozen, inti karipap dan rahsia di sebaliknya. Terasa seperti isi perut sedang berperang hebat. Dia berlari ke bilik mandi.

        “Uwekkk!”

        Zaki memuntahkan segala. Di lantai mozek berwarna krim itu kelihatan ulat-ulat kecil sedang menggeletik. Mata terus berpinar-pinar.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.