Home Cerpen Seram/Misteri Tangga Loka Maya
Tangga Loka Maya
Diq Na
5/10/2020 20:44:33
3,044
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

          “Kalau mak tengok, tentu dia suka. Cantik-cantik dan segar. Ni kalau buat kerabu, gulai lemak dengan tulang ikan masin ke, memang terangkat.”

          Kawasan paya yang luas itu terletak di pinggiran hutan dan terpencil dari petempatan orang kampung. Mungkin kerana faktor lokasi dan jarang pula dijengah, paku-paku yang tumbuh di situ subur dan menghijau.

          Di seberang paya, rotan dan buluh merimbun-rimbun di lereng bukit. Suasana pagi begitu tenang. Udara juga nyaman. Dimeriahkan lagi dengan kerancakan nyanyian unggas.

          Tanpa melengah-lengahkan masa, Iwan memarkir motosikal. Dia mendongak ke langit. Mentari memancar garang. Dia perlu cepat mengutip pucuk-pucuk paku dan pulang sebelum hari tinggi.

          Sudah lebih seminggu Iwan bermasam muka dan berselisih pendapat dengan ibunya. Semua gara-gara Mak Ipah melarang keras Iwan mengikut Helmi berhijrah ke Kuantan. Kata Mak Ipah, ada orang kampung bercerita tentang kegiatan Helmi yang menyalahi undang-undang. Mak Ipah tidak mahu Iwan terpengaruh.

          Rentetan krisis itu, Iwan jarang lekat di rumah. Dia yang hampir setahun menamatkan pengajian dan masih menganggur berpendapat ibunya terlalu mengongkong. Keadaan menjadi lebih tegang apabila dia memilih untuk menumpang tidur di rumah Taufik, sahabat baiknya.

          Malam tadi sewaktu membantu Taufik di warung tomyam, mereka didatangi Hezri. Bekas teman sekelas yang juga sepupu Helmi turut bercerita hal yang sama. Katanya Helmi memang ada melakukan kerja sampingan demi menambah pendapatan. Helmi terlibat dengan perniagaan barangan tiruan. Sudah ditegur tetapi langsung tidak diendahkan. Hezri turut menasihati Iwan supaya membatalkan sahaja niat untuk mengikut sepupunya.

          Iwan sangat menyesal. Dia rasa berdosa kerana telah memprotes dan melawan kata-kata seorang ibu. Tindakannya meninggalkan rumah sebagai tanda tidak puas hati memang salah. Dia tidak mahu digelar anak derhaka.

          Iwan perlu segera meminta maaf atas keterlanjurannya. Dia mahu pulang tetapi bukan dengan tangan kosong. Seawal pagi dia menjelajah dari paya ke paya, mencari pucuk paku yang menjadi kegemaran ibunya. Dia hanya mencari yang terbaik. Moga-moga dengan berbekalkan pucuk paku itu, ibunya lembut hati dan mengampunkan semua kesalahan.

          Kebetulan pula hari ini ulang tahun ibunya. Iwan mahu membuat kejutan. Dia merancang sebuah majlis sambutan ringkas di warung milik keluarga Taufik malam nanti. Segala persiapan diserahkan kepada Taufik.  

          Iwan turun ke gigi paya. Nasihat orang tua Taufik supaya berhati-hati dengan binatang berbisa yang berkemungkinan turut menghuni paya itu terngiang-ngiang di telinga. Dengan lafaz bismillah, dia meranduk paku-paku yang tumbuh melata hampir di setiap inci ruang paya.

          Hanya pucuk paku muda yang masih bergulung di hujung menjadi pilihan. Itu yang terbaik dan manis jika hendak dibuat kerabu. Memang tidak susah mencari kerana kawasan berpaya itu seperti belum pernah diusik langsung. Di kiri kanan, depan dan belakang hanya pucuk paku muda sahaja yang tertangkap di pandangan mata.

          Pucuk paku yang dikutip hampir memenuhi plastik. Sudah cukup untuk santapan seisi keluarga. Kemudian dia teringatkan ibu Taufik yang juga penggemar kerabu tidak kiralah kerabu apa. Kalau dengan kerabu, ibu Taufik akan ratah begitu sahaja. Dia memutuskan untuk mengutip lagi. Boleh dibuat lebih dan diberikan kepadaTaufik. Lapang dadanya dapat mengembirakan hati dua orang ibu. Seorang ibu kandung dan seorang lagi ibu angkat.

          “Iwannn…”

          Iwan bagaikan terdengar namanya diseru. Suara perempuan. Dia menoleh kiri dan kanan.Tidak ada sesiapa di sekitar kawasan paya. Nun jauh, dia melihat motosikalnya. Sedar tak sedar, dia sudah menghampiri pinggir hutan.

          Ah, barangkali cuma mainan perasaan. Iwan buat tidak cakna dan meneruskan pekerjaannya. 

          Deruan angin menyapu tubuh. Pokok-pokok paku di sekeliling turut meliuk. Iwan terbau sesuatu yang sangat wangi. Bau bunga-bungaan tetapi tidak pasti bunga apa. Sekali lagi pekerjaannya terganggu. Mata menggelintar di seluruh kawasan. Tiada apa-apa selain tumbuhan yang menghijau.

          Cuma angin yang melintas lalu. Apa yang hendak dihairankan. Iwan memandang hutan tidak jauh dari tempat dia berdiri. Unggas rimba tidak henti-henti berkicau. Boleh jadi bau wangi itu datang daripada bunga-bunga hutan, andaian dalam hati. Sekali lagi dia mengabaikannya.

          “Kih, kih, kih…!”

          Kali ini suara kanak-kanak pula. Iwan tercium aroma masakan. Kari, deria bau amat peka kerana itu menu kegemaran. Dia memanjangkan leher, menjenguk-jenguk di celahan rumpun rotan dan buluh.

          Entah-entah ada orang asli yang sedang mencari hasil hutan. Mungkin Tok Batin Seman anak-beranak bermalam di situ. Si bapak meninjau rotan. Si ibu sedang membuat sarapan. Mi segera misalnya, cepat dan mudah. Anak-anak Seman seramai lima orang itu pula menyumpit binatang-binatang hutan tetapi tidak kena. Lalu mereka tertawa sesama sendiri. Telahannya sedikit lucu tetapi boleh jadi juga. Orang asli dan hutan berpisah tiada.

          Plastik sudah penuh dengan pucuk paku. Hati Iwan girang melihat hasil kutipannya. Tidak sabar mahu pulang ke rumah. Ketika dia hendak berpatah balik, deru angin melintas lalu lagi. Kali ini tiupan lebih deras.

          Matanya tiba-tiba pedih. Dia terasa seperti ada sesuatu sedang merayap di dalam kelopak lalu menggosoknya perlahan-lahan. Apabila rasa pedih itu hilang dia ternampak sebuah tangga batu di celahan rumpun buluh.

          Eh, sejak bila ada tangga di situ? Selama mengutip pucuk paku, tidak pula dia terperasan akan tangga itu. Iwan menjadi pelik. Belum pernah lagi dia mendengar orang kampung bercerita tentang kewujudannya di pinggiran hutan.

          Tangga itu bermula di gigi paya. Bentuknya sangat sempurna. Iwan pasti itu tangga buatan dan bukan terhasil daripada formasi alam semula jadi. Bagaikan diseru-seru, dia tertarik untuk mendekatinya. Dia meninggalkan pucuk paku yang dikutip.

          Satu demi satu anak tangga didaki. Iwan seakan merentas hutan buluh. Dia mendongak untuk melihat penghujung tangga tetapi tidak kelihatan. Boleh jadi penghujungnya masih jauh ke atas. Hembusan angin yang lembut seakan membelai jiwa. Desiran daun buluh yang kedengaran begitu mengasyikkan. Sungguh, dia terpesona.

          Gigi paya sudah jauh ditinggalkan. Iwan naik dan terus naik. Apabila kaki terasa penat dan lenguh dia berhenti seketika sebelum menyambung semula pendakian. Hati meronta-ronta untuk mengetahui di mana tangga berakhir. Tentu ada sesuatu yang menarik.

          Kemudian, Iwan terpandang cahaya yang terang. Pasti itu kemuncaknya. Dia mempercepatkan langkah. Sebaik melepasi anak tangga terakhir, dia terpanar. Sebuah taman yang sangat indah. Selain pelbagai bunga mekar mewangi terdapat juga pokok delima yang berbuah lebat dan masak ranum. Ada pula tali air yang mengalir di tengah-tengahnya.

          Iwan terasa sangat haus dan lapar. Dia terus ke tali air untuk minum. Kemudian dicapai pula sebiji buah delima. Soal siapa empunya taman itu akan difikirkan kemudian.

          “Selamat datang Iwan. Akhirnya kau sampai juga ke tempatku.” 

          Ada seseorang tiba-tiba menyapa. Suaranya mirip suara yang menyeru di paya tadi. Iwan memalingkan muka ke sisi kanan. Dia melihat wanita bersanggul tinggi dihiasi bunga-bungaan dan bergaun putih. Rupa paras sangat jelita. Matanya tidak lekang memandang.

          “Kau lapar Iwan? Mahu merehatkan badan? Rumahku di sebelah sana. Marilah.” Wanita jelita itu mempelawanya sambil tersenyum.

          Bagaikan sudah terpukau, Iwan kehilangan kata-kata dan hanya menurut.

          “Iwan, ni mak nak. Kamu di mana?”

          Iwan terus tersentak sebaik mendengar suara ibunya. Langkah ikut mati. Dia terpinga-pinga sambil melingas ke kiri dan kanan.

          “Baliklah nak. Mak, abah dan adik-beradik yang lain tunggu Iwan. Kami rindu. Balik ya…” Suara ibu kedengaran merayu-rayu.

          “Pedulikan Iwan. Ikut aku cepat. Marilah.” Wanita jelita itu segera memintas kata-kata ibunya.

          “Walau apapun salah kamu, sebesar mana sekalipun, mak ampunkan. Baliklah, mak tunggu.” Nada ibu semakin mendayu-dayu.

          “Jangan dengar Iwan. Itu semua helah saja. Lebih baik tinggal di sini bersamaku. Kau boleh hidup bebas sebebas-bebasnya. Betul atau salah, semua mengikut kehendak hati kau saja,” sambung wanita jelita itu lagi.

          “Baliklah nak,” Ibu mengulangi rayuan.

          “Jangan, ikut aku!” Nada wanita jelita itu semakin keras.

          Suara ibu dan wanita jelita itu bersilih ganti. Telinga terus berdesing. Iwan pantas menekup kedua belah telinganya.

          Wajah ibu menerpa minda. Kemudian muncul pula ayah. Tidak ketinggalan adik-beradiknya. Begitu juga Taufik. Sesekali menyelit dalam ingatan. Saling bertindihan dengan wajah-wajah yang lain. Rasa rindu menjalar. Rindu yang teramat sangat. Seolah-olah sudah lama dia tidak ketemu dengan mereka. Dada semakin sempit. Terasa sungguh sukar untuk bernafas.

          “Aku nak balik, aku nak balikkk!”

          Iwan memekik sekuat hati. Moga-moga kesakitan dan tekanan yang menyerang tubuh segera hilang. Suasana terus gelap-gelita. Dia meraba-raba bagaikan orang kehilangan arah.

          “Sampai hati Iwan. Kau dah setuju nak ikut aku.” Suara wanita jelita itu muncul lagi dengan nada yang sedih.

          “Tidak! Kau yang perdaya Iwan. Dah dengar bukan. Dia nak balik, lepaskan dia.”

          Kali ini kedengaran pula suara lelaki yang tidak dikenali. Telinga Iwan berdesing semula. Dia pun jatuh terduduk.

          “Ini bukan dunia aku!” Iwan bertegas.

          “Betul Iwan. Pulanglah semula ke tempat asalmu. Ingat Allah, Dialah segala-gala.” Lelaki misteri itu mengiakan kata-katanya.  

          “Aku berdosa dengan mak. Aku nak balik sekarang juga.” Ulang Iwan.

          Sayup-sayup Iwan mendengar azan. Bukan dilaungkan oleh lelaki misteri tetapi suara yang sangat dikenalinya. Dia cuba mengamati. Tidak silap lagi, suara ayah.

          Dada terasa lapang. Iwan menarik nafas dalam-dalam. Suasana yang seketika tadi gelap-gelita kembali cerah. Dia melihat tangga yang dinaikinya tadi. Dia bangkit menuju ke tangga lalu menapak turun.

          Setiap kali menuruninya, anak tangga di belakang akan lenyap satu demi satu. Sementara laungan azan ayah kedengaran semakin jelas. Iwan tidak berpaling lagi. Dia turun dan terus turun.

          Tidak semena-mena kaki tersadung. Iwan jatuh bergolek sebelum mendarat di permukaan yang keras. Dia menjadi lemah dan tidak mampu bergerak lagi.

          “Dah jumpa, dah jumpa. Iwan kat sini, cepat semua!”

          Iwan melihat Tok Batin Seman meluru ke arahnya. Dia ternampak ayah. Turut muncul Taufik, seorang lelaki tua berjanggut putih dan beberapa orang lagi yang tidak di kenali. Ada di antaranya yang berpakaian seragam. Mata semakin memberat. Pandangan beransur kelam. Hanya suara yang samar-samar kedengaran.

          Iwan Ditemui Selamat

          Misteri Kehilangan Iwan Bakal Terungkai

          Iwan Disorok Bunian?

          Berita penemuan Iwan mendominasi akhbar digital, media sosial dan media elektronik lewat petang itu. Selepas hampir sebulan kehilangannya menjadi bualan hangat, seluruh negara kegemparan lagi.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.