Home Cerpen Seram/Misteri Hantu Kak Wok Naik Pelamin Cerita 3 Bahagian 1
Hantu Kak Wok Naik Pelamin Cerita 3 Bahagian 1
Diq Na
9/3/2020 10:03:11
3,062
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

I

         Usai berpakaian dan bersolek, Wok Maisara terus keluar dari bilik. Malam ini dia ada banyak kerja yang perlu dibereskan. Semangatnya juga berkobar-kobar.

         Ini merupakan tugas pertama sebagai mak andam. Wok Maisara berterima kasih kepada Wak Mud dan Cik Miskiah kerana menggunakan khidmatnya di majlis perkawinan anak sulung mereka.

         Sekejap lagi dia akan ke rumah Shirah. Bekas rakan sekelas itu juga seorang mak andam tetapi mengambil keputusan untuk bersara awal kerana mahu memberikan tumpuan kepada anak kedua yang disahkan mengidap leukemia. Shirah mahu menjual beberapa kelengkapan perkahwinan seperti hiasan pelamin, bilik pengantin dan pakaian. Boleh dijadikan tambahan kepada kelengkapan sedia ada milik arwah ibunya.

         Sebaik menutup pintu bilik, dia menghantar WhatsApp kepada Adawiah, si raja sehari. Majlis besar akan berlangsung esok. Pesannya, jika urusan bersama Shirah cepat selesai, dia akan ke rumah Adawiah untuk menyiapkan sentuhan terakhir pada pelamin dan bilik tidur. Jika lambat selesai, dia akan datang awal pagi esok untuk menyudahkannya.

          Selesai menghantar pesanan, Wok Maisara menuju ke ruang tamu. Kurang lima minit lagi sepupunya akan datang. Meski sudah berjawatan tetap di sebuah bank, Eda juga rakan kongsinya. Dia sangat berminat untuk mendalami ilmu mengandam pengantin dan selok-belok perniagaan.

          Sebaik melintasi bilik tidur arwah ibu, langkah kaki terus mati. Bilik itu gelap gelita. Dia telah membuka lampu seawal senja tadi sama seperti lampu-lampu yang lain. Ini bukanlah kali pertama kejadian itu berlaku. Ada kalanya lampu terpadam seketika kemudian hidup semula.

          Selalu juga terjadi lampu berkelip-kelip kemudian terus padam. Semenjak dia menetap di rumah pusaka itu dua minggu lalu hampir setiap malam dia mengalaminya.

          Berkemungkinan litar atau suis yang rosak, telahan bapa saudaranya. Maklumlah, rumah sudah lama tinggal. Bapa saudaranya sudahpun meminta seorang sahabat untuk melakukan pemeriksaan ke atas semua pendawaian elektrik bagi mengelakkan kecelakaan yang tidak diingini. Mungkin dalam sehari dua lagi.

          Wok Maisara tidak mahu berfikiran negatif tetapi entah kenapa, setiap kali dia masuk ke bilik itu, jantungnya pasti berdegup kencang. Memandang peralatan pengantin peninggalan arwah ibu membuatkan dia seram sejuk. Tidak kira siang atau malam, dia terasa seperti ada yang sedang memerhati.

          Walaupun rumah sudah ‘diputihkan’ seperti saranan Wak Mud dan orang-orang lama yang lain, Wok Maisara berasa ada sesuatu yang masih tertinggal di situ. Dia turut menukar cat rumah kepada warna putih dengan alasan mahu melupakan semua kenangan pahit namun apabila menjengahnya bagaikan ada yang tidak kena.

          “Mai…”

          Wok Maisara seperti mendengar satu bisikan halus. Mata meliar ke sekitar rumah. Suasana hening. Kalau jatuh sebatang jarum pun bunyi pasti kedengaran, begitulah diibaratkan. Ah, boleh jadi hanya mainan perasaan. Orang kalau bersendirian, angin menderu pun disangka suara.

          “Mai…”

          Bisikan itu muncul lagi. Dia sangat pasti kali ini. Kedengaran lebih jelas. Suara perempuan menyebut nama timangannya. Perlahan-lahan dia menapak ke bilik arwah ibu. Tangan memulas tombol. Pintu bilik mulai merenggang.

           Ada hawa sejuk menerpa muka. Dia juga terhidu haruman bunga rampai, bauan yang semakin terpinggir di majlis perkahwinan masyarakat melayu dewasa ini.

           Tok, tok, tok!

           Wok Maisara tersentak dengan bunyi ketukan. Pintu yang renggang pun terkatup. Dia mendengar suara memberi salam. Tangan mengurut dada yang berdebar-debar.

           “Kak Wok, dah siap ke belum? Alah, malam-malam ni tak payah nak jaga imej sangatlah. Ringkas-ringkas aje sudah.”

            Eda sudah tiba. Sememangnya sepupu yang satu itu amat menepati masa. Ditinggalkan sahaja bilik yang gelap gelita. Wok Maisara terus menuju ke pintu utama. Sebelum gadis pertengahan 20-an itu mengomel entah apa-apa, lebih baik dia buka pintu dengan segera.

            “Amboi, jumpa kawan pun pakai baju lip lap lip lap. Betullah kau ni pentingkan imej. Mujurlah dah siap. Kalau masih terhegeh-hegeh lagi, siaplah kau.”

            “Eleh, sudahlah kau. Aku siap lambat membebel. Siap cepat pun kau membebel. Ni, aku ada hal nak bincang.”

            “Apa dia?”

            “Kau nak tinggal dengan aku tak?”

            “Tinggal dengan kau? Kena bayar sewa tak?”

            “Oi mak cik, aku ada tanya kau nak sewa rumah ni ke? Tak kan.”

            “Sebelum kau tanya, aku jawab siap-siap dulu. Ulang tanya, duduk percuma atau bayar sewa?”

            “Duduk percumalah. Tapi barang dapur, bil air, bil elektrik kita kongsi. Nak tak?”

            “Tak ada hal. Bila aku boleh masuk rumah sewa percuma tapi yang lain berbayar ni?”

            “Malam ni…”

            “Malam ni? Kau dah kenapa. Takutlah tu.”

            “Boleh ke tak?”

            “Boleh tapi bukan malam ni. Kau pun agak-agaklah. Esok lusa kan ada.”

            “Tak kesahlah bila kau nak pindah tapi secepat mungkin.”

            “Macam nilah. Disebabkan kau macam terdesak sangat, lusa aku pindah.”

            “Okey, lusa kau masuk. Dah, jom pergi.”

            Sebaik kereta meninggalkan halaman, lampu bilik yang terpadam berkelip-kelip. Selang beberapa saat padam semula. Susuk tubuh berbaju labuh putih pun menyelinap keluar.

 

II

            Si cantik yang berkebolehan. Itu yang terdetik di akal fikir Zaki. Mata tidak lepas memandang pelamin kuning keemasan yang hampir siap dihias. Wok Maisara terus tekun menyempurnakan sentuhan terakhirnya. Tangannya pantas dan cekap membetulkan susunan bunga-bunga yang melatari pelamin.

            “Bila tarikhnya?”

            Zaki mendengar suara. Dia lihat kiri dan kanan tetapi tiada sesiapa. Dia berpaling ke belakang. Sama, tiada orang. Siapakah yang bertanya tadi?

            Zaki berkalih pandangan ke depan. Wok Maisara berdiri di depan pelamin sambil mencekak pinggang. Mata yang terjegil itu menambahkan lagi kegarangannya.

            “Aku tanya ni, bila tarikhnya?”

            “La, Kak Wok yang tanya ya. Ingatkan siapa.”

            “Yalah, takkan bunga hiasan ni yang bertanya. Ha, bila tarikhnya?”

            “Tarikh apa?”

            “Tarikh nikah kaulah. Nak tempah pakej perkahwinan dengan aku kan. Sekarang ada tawaran promosi, diskaun 30 peratus bagi pelanggan terawal.”

            “Mana ada Kak Wok. Siapalah nak nikah dengan saya. Calon pun tak da lagi.”

            “Hai, punyalah ramai jurujual kat pasar raya tempat kau kerja, takkan tak da satu pun yang boleh dibuat calon.”

            “Mereka lebih suka layan Mat Bangla. Budak-budak tempatan macam kami tak pandang pun.”

            “Mat Bangla tu rajin bekerja. Budak-budak muda sini acah-acah pandai. Kerja tak seberapa mengular yang lebih. Sikit lagi, wujudlah banglasian. Siapa yang rugi.”

            “Banglasian?”

            “Yalah, anak campuran Bangladesh dan Malaysia. Lambat tangkaplah kau ni.”

            Zaki mencebik. Cakap Wok Maisara ada betulnya. Bukan seorang dua anak dara yang bekerja di situ. Ramai sangatlah. Sudah banyak dia menyusun ayat-ayat cinta tetapi tiada satupun yang sangkut.  

            “Kalau calon pun entah mana hulu hilir, tercegat situ dari tadi buat apa?”

            “Kak Wok ni, tak pernah tak garang dengan saya. Takkan tengok pelamin pun salah. Bukannya luak.”

            “Garang ke tak, ada aku kesah. Dah, pergi duduk atas pelamin tu. Jadi model sekejap. Aku nak tengok okey ke tak?Kau nak sangat naik pelamin kan.”

            “Betul ke ni Kak Wok.”

            “Betullah. Ada nampak aku main-main. Nak ke tak nak. Kalau tak nak aku panggil Man Lampung.”

            “Naklah, saya duduk sekarang juga.”

            Zaki pantas menuju ke pelamin. Apa salahnya. Sebelum naik pelamin betul-betul, ambil aura dahulu. Untung-untung dapat berkat, sampai seru, giliran dia pula. Namun sebaik duduk di singgah sana yang serba indah itu, terasa ada kekurangan.

            “Kak Wok, tak syoklah duduk seorang aje. Carilah satu perempuan buat pengantin olok-olok. Barulah menjiwai watak.”

            “Tahu pun. Aku ingatkan kau nak bersanding seorang aje atas tu. Dah, tak payah susah-susah cari. Aku pun boleh jadi pengantin perempuan olok-oloknya.”

            Hati Zaki berbunga-bunga sebaik Wok Maisara duduk di kerusi sebelah. Di luar rumah lagu Fantasia Bulan Madu, lagu masterpiece kumpulan Search sedang berkumandang. Namun penyanyinya bukanlah Amy Search tetapi Ali Saad bersama Slumber, kugiran pimpinannya.

            Di pelaminan, Zaki turut terbuai dalam keasyikan. Betapa bahagianya dapat meniti awan demi awan bersama si dia yang dicintai. Betapa indahnya meranduk selautan madu bersama orang yang dipuja-puja. Terasa seperti berada di syurga.

            “Oi Zaki. Yang kau duduk terkontang-kanting, tersengih-sengih atas pelamin anak aku tu apa hal. Dah buat tabiat.”

            Suara yang menyergah memusnahkan semua angan. Wak Mud mencerlungkan pandangan kepadanya. Zaki berpaling ke sisi kiri. Wok Maisara sudah tiada.

            “Tadi Kak Wok… errr, mana perginya?”

            “Mana lagi, tu kat bawah bangsal memasak sana. Tengah makan sup tulang resepi rahsia Man Lampung. Kononlah. Entah apa rahsianya, aku pun hairan. Nampak tadi sup punjut jual di kedai tu jugalah yang dicampakkan dalam periuk.”

            Mata Zaki ikut beralih ke arah yang dituding oleh bapa pengantin perempuan. Benar, Wok Maisara ada di situ, duduk semeja dengan Man Lampung. Mungkin dia terlalu hanyut bersama lamunan sampai tidak sedar janda muda itu meninggalkannya.

            Kalau diikutkan cemburu, memang membuak-buak. Mujurlah ada ramai lagi yang berada di situ. Rata-ratanya perempuan termasuk ibu sendiri. Jadi perasaan itu kendur begitu sahaja. Lagipun jika hendak dibandingkan dengan Man Lampung, dia lebih beruntung sebab dapat bersanding dengan Wok Maisara. Walau sekadar tipu-tipu tetapi dia rasa wanita pujaannya itu hampir pasti dalam genggaman.

            “Ha, berapa lama lagi kau nak duduk atas tu. Hilang serinya nanti. Kalau kau tak da kerja, periuk kawah banyak nak basuh belakang sana. Pergilah tolong.”

            “Kedekutlah Wak Mud ni. Saya duduk sekejap, saja-saja nak test pelamin kukuh ke tak pun tak boleh. Yalah saya turun sekarang.”

            “Hai, untunglah kau Wok Maisara. Satu kampung, baik tua baik muda, semua angaukan kau. Nampaknya makan kenduri besar lagilah orang kampung lepas ni.”


III

            “Susah-susah sangat Wok, pilih aje duda terhangat depan kau tu. Dapat satu, pakej sekali anak dan cucu.

            Kata-kata Juriah itu disambut dengan gelak ketawa. Wok Maisara tersipu-sipu. Man Lampung pula merah padam. Biasalah bila ada kenduri-kendara. Memang kurang lengkap kalau tidak disulami usik-mengusik. Budaya inilah yang mengeratkan lagi silaturrahim.

            “Buah peria daun mengkudu,

            Dibuat ulam bersama nasi;

            Janji seia rindu-merindu,

            Hati di dalam pinta diisi.”

            Wok Maisara menunjukkan kehebatannya berpantun. Dia mendapat tepukan gemuruh daripada kaum ibu yang sedang berlonggok di situ.

            “Ewah! Bukan main lagi mak andam muda kita berpantun. Man Lampung, orang dah jual, belilah apa lagi.”

            Cik Miskiah, ibu pengantin turut mencelah. Suasana di bangsal memasak itu bertambah gamat.

            “Anak itik pandai berenang,

            “Esok lusa abang pinang.

            Pantun balas Man Lampung itu turut mendapat sorakan ramai. Menghangatkan malam sesudah hujan rebas-rebas di penghujung musim tengkujuh. Di tengah halaman, Ali Saad dan Slumber mengubah selera pendengar dengan kerancakan irama 60-an pula.


IV

            Terang sahaja tanah, seisi rumah kegemparan apabila menemui taburan daun-daun kering dan ranting kayu di pelamin. Menurut Adawiah, di bilik pengantin pun ada. Mereka kehairanan. Dari mana pula datangnya?

            Wok Maisara dan Eda tiba di rumah pengantin tidak lama kemudian. Kedua-duanya turut terkejut melihat apa yang terjadi.

            “Betul Wak Mud. Saya tak datang malam tadi. Memanglah urusan saya selesai awal tapi waktu balik tu tersekat dek kemalangan depan kilang kayu. Sejam lebih jugalah menunggu dalam kereta. Lori tangki terbalik yang viral di grup WhatsApp kita, kemalangan tulah,” jelas Wok Maisara.

            “Jadi yang datang hias pelamin dan bilik pengantin saya malam tadi bukan Kak Wok…?” tanya Adawiah.

            “Bukan, percayalah. Tanya si Eda ni, dia rakan kongsi merangkap pengawal peribadi aku. Kami terus balik rumah sebab penat sangat,” balas Wok Maisara.

            “Biar betul Wok. Memang kaulah yang makan sup tulang dengan kami malam tadi. Bermangkuk-mangkuk tambahnya. Siap berpantun-pantun lagi,” sampuk Cik Miskiah.

            “Betul Cik Miskiah, bukan saya. Lagipun saya tak gemar sup tulang tapi kalau sup perut ya. Sampai berbalas pantun segala bagai, saya memang tak pandailah,” terang Wok Maisara lagi.

            “Habis tu kalau bukan kau, siapa yang sama dengan kami malam tadi?” soal Wak Mud.

            Kesemua mereka saling berpandangan. Tiada seorang pun yang tahu jawapannya. 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.