Home Cerpen Kanak-kanak SESAT
SESAT
Zakuan Faizz
13/12/2015 09:46:44
5,466
Kategori: Cerpen
Genre: Kanak-kanak

HARI ini adalah hari cuti. Ramai rakyat Malaysia akan bercuti sempena hari kebangsaan. Qhalif juga tidak melepaskan peluang dengan keinginannya yang telah lama terpendam untuk keluar bersama papa dan mamanya. Papa dan mama Qhalif sering sibuk dengan tugas masing-masing di pejabat. Tinggallah Qhalif seorang diri di rumah dengan orang gaji yang mama upah. Kadang-kadang dia langsung tidak tahu apa yang perlu dibuat seorang diri di rumah. Tambahan pula dia anak tunggal.

“Qhalif, nak ikut mama pergi pusat beli-belah?” tanya mama dengan lembut sekali.

Qhalif menganggukkan kepalanya menandakan dia mahu pergi bersama mamanya ke pusat beli-belah. Dia mula tersenyum selepas mendengar ajakan mamanya itu.

“Kalau nak pergi, Qhalif kena ajak papa.”

“Baiklah,” jawab Qhalif pendek.

Qhalif terus berlari ke ruang tamu mencari papanya. Namun, tidak jumpa. Dia terus mengatur langkah ke halaman rumah pula. Ternyata tubuh papa sedang berdiri di halaman rumah. Kali ini dia beruntung kerana boleh bercakap dengan papanya. Kalau tidak, papanya mesti sibuk menjawab panggilan daripada para pekerjanya di pejabat.

“Papa…”

Belum sempat Qhalif menghabiskan kata-katanya, telefon bimbit papa berdering. Dengan pantas tangan papanya menekan salah satu butang di telefon. Lalu, menjawab panggilan tersebut. Papanya sempat memberi isyarat kepada Qhalif agar menunggu sebentar. Qhalif memuncungkan mulutnya. Dia berasa sangat kecewa dengan sikap papanya yang lebih menitikberatkan hal kerja daripada dirinya. Dia berjalan ke hulu dan ke hilir menunggu perbualan papanya tamat di dalam telefon. Kelihatan sungguh serius wajah papanya ketika menjawab panggilan entah dari siapa.

“Papa dah habis bercakap?” soal Qhalif yang sudah tidak sabar mengajak papanya untuk keluar bersama.

Lalu, papanya terus mematikan telefon. Papanya mengangguk dengan pertanyaan Qhalif menandakan ia sudah pun berakhir. Tanpa berlengah, dia terus memberitahu tentang hasratnya itu.

“Qhalif nak apa sayang?” kata papa dengan bersahaja.

“Mama ajak kita semua pergi pusat beli-belah. Jom kita pergi papa. Qhalif dah lama tak keluar dengan papa dan juga mama.”

Papanya mengerutkan dahinya selepas mendengar kata-kata Qhalif itu tadi. Sempat juga papanya melihat jam di tangan. Selepas itu, Papa Qhalif termenung seketika. Mungkin papanya mahu mengatur masa dan jadualnya terlebih dahulu.

“Macam mana papa?” soal Qhalif lagi.

“Boleh sayang. Kita pergi ya.”

Papa Qhalif tersenyum memandang wajah Qhalif. Qhalif sangat gembira setelah mendengar kata-kata papa sebentar tadi. Dia tidak sangka akan keluar berjalan bersama keluarganya. Dia boleh mengira berapa kali sahaja mereka pernah bersama. Tidak lama kemudian, Qhalif terus bersiap. Dia memakai pakaian yang sangat bersih dan cantik.

Tiba sahaja di pusat beli-belah yang mama katakan itu, Qhalif tersenyum gembira. Dia tidak sabar untuk menjelajah satu pusat beli-belah itu.

“Mama jomlah kita pergi pusing-pusing.”

Mamanya hanya mengukir senyuman. Kemudian, mereka membuka langkah pergi ke sebuah kedai.

“Banyaknya barang, papa tengok tu,” kata Qhalif yang sangat teruja.

Qhalif terus memandang wajah papanya sambil menuding jari ke sebuah kedai berhampiran. Keriangan Qhalif sebentar tadi hanya sementara selepas melihat papanya sedang bercakap di telefon. Setelah itu, Qhalif tidak hiraukan papanya lagi selepas terlihat sebuah kedai yang menjual pelbagai jenis permainan. Antaranya, robot kesukaan Qhalif yang ada dijual di situ. Dia ingin masuk ke dalam kedai tersebut, namun mamanya tidak membenarkannya melangkah pergi. Mungkin juga mamanya risau jika Qhalif meminta-minta untuk membeli permainan baru. Oleh itu, dia terpaksa menyimpan hasratnya sehingga pulang ke rumah.

“Bang, saya nak ke tandaslah. Jaga Qhalif ya. Jangan tinggalkan dia seorang diri,” mamanya bergegas pergi dari situ setelah memesan sesuatu.

Papa hanya menganggukkan kepalanya. Dia sekadar memberi isyarat tangan kerana sibuk berbual di telefon. Qhalif hairan, waktu cuti begini papanya masih bekerja.

Kemudian, mereka berdua bergerak ke suatu tempat duduk kosong. Hilang juga penat Qhalif setelah berjalan lama di pusat beli-belah itu.

Ketika itu, Qhalif teringat tentang kedai yang menjual permainan tadi. Dia ingin sekali untuk masuk ke dalam kedai tersebut dan melihat barangan yang di jual.

“Papa, jom kita pergi kedai permainan tadi.”

Papa membisu dengan ajakan Qhalif.

“Papa, kalau Qhalif pergi sendiri boleh?” soal Qhalif lagi.

Papanya menganggukkan kepala. Papanya seperti tidak sedar dengan permintaan anaknya itu. Tidak lama kemudian, Qhalif berjalan sendiri ke kedai menjual permainan tadi tanpa pengetahuan papanya.

“Wah, banyaknya permainan ni.”

Dia rambang mata selepas melihat satu robot yang sedang gah berdiri di dalam satu rak cermin.

“Nak suruh papa belilah.”

Kemudian, dia terus kembali mencari papanya. Namun, tidak jumpa. Dia sudah sesat. Dia langsung tidak ingat jalan yang sama ke tempat itu untuk pulang mencari papanya.

“Mana papa tadi? Papa bukan duduk di situ?” soal Qhalif dengan sangkaannya sahaja.

Dia meliarkan matanya melihat keadaan sekeliling. Ramai orang di situ. Dia juga takut kalau dia diculik oleh seseorang yang tidak pernah dia kenal. Dia terus bersandar pada bahagian dinding kedai. Dia terus duduk di atas jubin tersebut. Matanya tidak puas melihat keadaan sekeliling. Hatinya mula memanggil-manggil mamanya.

“Mana mama ni. Qhalif takut. Qhalif nak balik jumpa mama dan papa,” kata Qhalif sendiri.

Air matanya sudah mula keluar hingga membasahi pipi. Budak seawal 8 tahun seperti Qhalif memang mudah menangis. Qhalif berasa sangat takut. Dia menekup mukanya dengan tangan.

Secara tiba-tiba, bahunya disentuh oleh seseorang. Dia terkejut dengan tangan yang besar menyentuh bahunya. Lalu, dia mengangkat muka melihat tubuh seorang perempuan yang tinggi lampai berdiri dihadapannya. Qhalif sudah boleh mengagak tentang perempuan yang berpakaian kemas seperti pekerja pusat beli-belah itu.

“Kenapa adik menangis? Mana mama dengan papa adik?” soal perempuan yang sangat cantik itu.

“Saya tak jumpa papa dengan mama,” kata Qhalif sambil mengesat air matanya.

Perempuan itu sudah mendapat jawapan daripada Qhalif. Dia terus membawa Qhalif ke kaunter pertanyaan pusat beli-belah. Perempuan itu membuat pengumuman tentang seorang budak hilang.

Papa dan mama Qhalif terkejut selepas mendengar nama Qhalif disebut. Mamanya sangat bersyukur kerana Qhalif masih lagi berada di dalam pusat beli-belah itu. Kalau bukan kecuaian papa dan mamanya, pasti Qhalif tidak hilang ketika itu. Wajah papanya sudah pucat. Dia sudah menyesal dengan tingkah-lakunya yang sedikit cuai. Mamanya tidak henti menyalahkan suaminya ketika itu.

Tidak lama kemudian, mama Qhalif bergegas ke tempat pengumuman yang dibuat oleh seorang pekerja di situ. Ternyata Qhalif berada di kaunter tersebut. Mamanya sangat bersyukur kerana Qhalif masih lagi selamat. Papanya terus memeluk Qhalif dengan erat.

“Maafkan papa. Kalau papa tak sibuk macam tadi, mesti anak papa masih ada di sebelah papa.”

Berderai juga air mata papa hingga membasahi pipi. Qhalif menganggukkan kepalanya. Dia tidak menyalahkan papanya. Dia juga menyesal pergi ke kedai mainan seorang diri. Dia berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya itu lagi.

                                                             TAMAT.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.