HARI ini adalah hari cuti. Ramai rakyat Malaysia akan bercuti sempena
hari kebangsaan. Qhalif juga tidak melepaskan peluang dengan keinginannya yang
telah lama terpendam untuk keluar bersama papa dan mamanya. Papa dan mama Qhalif
sering sibuk dengan tugas masing-masing di pejabat. Tinggallah Qhalif seorang
diri di rumah dengan orang gaji yang mama upah. Kadang-kadang dia langsung
tidak tahu apa yang perlu dibuat seorang diri di rumah. Tambahan pula dia anak
tunggal.
“Qhalif, nak ikut
mama pergi pusat beli-belah?” tanya mama dengan lembut sekali.
Qhalif menganggukkan kepalanya menandakan dia mahu pergi
bersama mamanya ke pusat beli-belah. Dia mula tersenyum selepas mendengar
ajakan mamanya itu.
“Kalau nak pergi, Qhalif kena ajak papa.”
“Baiklah,” jawab Qhalif pendek.
Qhalif terus berlari ke ruang tamu mencari papanya.
Namun, tidak jumpa. Dia terus mengatur langkah ke halaman rumah pula. Ternyata
tubuh papa sedang berdiri di halaman rumah. Kali ini dia beruntung kerana boleh
bercakap dengan papanya. Kalau tidak, papanya mesti sibuk menjawab panggilan
daripada para pekerjanya di pejabat.
“Papa…”
Belum sempat Qhalif menghabiskan kata-katanya, telefon
bimbit papa berdering. Dengan pantas tangan papanya menekan salah satu butang
di telefon. Lalu, menjawab panggilan tersebut. Papanya sempat memberi isyarat kepada
Qhalif agar menunggu sebentar. Qhalif memuncungkan mulutnya. Dia berasa sangat
kecewa dengan sikap papanya yang lebih menitikberatkan hal kerja daripada
dirinya. Dia berjalan ke hulu dan ke hilir menunggu perbualan papanya tamat di
dalam telefon. Kelihatan sungguh serius wajah papanya ketika menjawab panggilan
entah dari siapa.
“Papa dah habis bercakap?” soal Qhalif yang sudah tidak
sabar mengajak papanya untuk keluar bersama.
Lalu, papanya terus mematikan telefon. Papanya mengangguk
dengan pertanyaan Qhalif menandakan ia sudah pun berakhir. Tanpa berlengah, dia
terus memberitahu tentang hasratnya itu.
“Qhalif nak apa sayang?” kata papa dengan bersahaja.
“Mama ajak kita semua pergi pusat beli-belah. Jom kita pergi
papa. Qhalif dah lama tak keluar dengan papa dan juga mama.”
Papanya mengerutkan dahinya selepas mendengar kata-kata
Qhalif itu tadi. Sempat juga papanya melihat jam di tangan. Selepas itu, Papa
Qhalif termenung seketika. Mungkin papanya mahu mengatur masa dan jadualnya
terlebih dahulu.
“Macam mana papa?” soal Qhalif lagi.
“Boleh sayang. Kita pergi ya.”
Papa Qhalif tersenyum memandang wajah Qhalif. Qhalif
sangat gembira setelah mendengar kata-kata papa sebentar tadi. Dia tidak sangka
akan keluar berjalan bersama keluarganya. Dia boleh mengira berapa kali sahaja
mereka pernah bersama. Tidak lama kemudian, Qhalif terus bersiap. Dia memakai
pakaian yang sangat bersih dan cantik.
Tiba sahaja di pusat beli-belah yang mama katakan itu,
Qhalif tersenyum gembira. Dia tidak sabar untuk menjelajah satu pusat
beli-belah itu.
“Mama jomlah kita pergi pusing-pusing.”
Mamanya hanya mengukir senyuman. Kemudian, mereka
membuka langkah pergi ke sebuah kedai.
“Banyaknya barang, papa tengok tu,” kata Qhalif yang
sangat teruja.
Qhalif terus memandang wajah papanya sambil menuding
jari ke sebuah kedai berhampiran. Keriangan Qhalif sebentar tadi hanya
sementara selepas melihat papanya sedang bercakap di telefon. Setelah itu,
Qhalif tidak hiraukan papanya lagi selepas terlihat sebuah kedai yang menjual
pelbagai jenis permainan. Antaranya, robot kesukaan Qhalif yang ada dijual di
situ. Dia ingin masuk ke dalam kedai tersebut, namun mamanya tidak
membenarkannya melangkah pergi. Mungkin juga mamanya risau jika Qhalif
meminta-minta untuk membeli permainan baru. Oleh itu, dia terpaksa menyimpan
hasratnya sehingga pulang ke rumah.
“Bang, saya nak ke tandaslah. Jaga Qhalif ya. Jangan
tinggalkan dia seorang diri,” mamanya bergegas pergi dari situ setelah memesan
sesuatu.
Papa hanya menganggukkan kepalanya. Dia sekadar memberi
isyarat tangan kerana sibuk berbual di telefon. Qhalif hairan, waktu cuti
begini papanya masih bekerja.
Kemudian, mereka berdua bergerak ke suatu tempat duduk
kosong. Hilang juga penat Qhalif setelah berjalan lama di pusat beli-belah itu.
Ketika itu, Qhalif teringat tentang kedai yang menjual
permainan tadi. Dia ingin sekali untuk masuk ke dalam kedai tersebut dan
melihat barangan yang di jual.
“Papa, jom kita pergi kedai permainan tadi.”
Papa membisu dengan ajakan Qhalif.
“Papa, kalau Qhalif pergi sendiri boleh?” soal Qhalif
lagi.
Papanya menganggukkan kepala. Papanya seperti tidak
sedar dengan permintaan anaknya itu. Tidak lama kemudian, Qhalif berjalan
sendiri ke kedai menjual permainan tadi tanpa pengetahuan papanya.
“Wah, banyaknya permainan ni.”
Dia rambang mata selepas melihat satu robot yang sedang
gah berdiri di dalam satu rak cermin.
“Nak suruh papa belilah.”
Kemudian, dia terus kembali mencari papanya. Namun,
tidak jumpa. Dia sudah sesat. Dia langsung tidak ingat jalan yang sama ke
tempat itu untuk pulang mencari papanya.
“Mana papa tadi? Papa bukan duduk di situ?” soal Qhalif
dengan sangkaannya sahaja.
Dia meliarkan matanya melihat keadaan sekeliling. Ramai
orang di situ. Dia juga takut kalau dia diculik oleh seseorang yang tidak
pernah dia kenal. Dia terus bersandar pada bahagian dinding kedai. Dia terus
duduk di atas jubin tersebut. Matanya tidak puas melihat keadaan sekeliling.
Hatinya mula memanggil-manggil mamanya.
“Mana mama ni. Qhalif takut. Qhalif nak balik jumpa mama
dan papa,” kata Qhalif sendiri.
Air matanya sudah mula keluar hingga membasahi pipi.
Budak seawal 8 tahun seperti Qhalif memang mudah menangis. Qhalif berasa sangat
takut. Dia menekup mukanya dengan tangan.
Secara tiba-tiba, bahunya disentuh oleh seseorang. Dia
terkejut dengan tangan yang besar menyentuh bahunya. Lalu, dia mengangkat muka
melihat tubuh seorang perempuan yang tinggi lampai berdiri dihadapannya. Qhalif
sudah boleh mengagak tentang perempuan yang berpakaian kemas seperti pekerja
pusat beli-belah itu.
“Kenapa adik menangis? Mana mama dengan papa adik?” soal
perempuan yang sangat cantik itu.
“Saya tak jumpa papa dengan mama,” kata Qhalif sambil
mengesat air matanya.
Perempuan itu sudah mendapat jawapan daripada Qhalif.
Dia terus membawa Qhalif ke kaunter pertanyaan pusat beli-belah. Perempuan itu
membuat pengumuman tentang seorang budak hilang.
Papa dan mama Qhalif terkejut selepas mendengar nama
Qhalif disebut. Mamanya sangat bersyukur kerana Qhalif masih lagi berada di
dalam pusat beli-belah itu. Kalau bukan kecuaian papa dan mamanya, pasti Qhalif
tidak hilang ketika itu. Wajah papanya sudah pucat. Dia sudah menyesal dengan
tingkah-lakunya yang sedikit cuai. Mamanya tidak henti menyalahkan suaminya
ketika itu.
Tidak lama kemudian, mama Qhalif bergegas ke tempat
pengumuman yang dibuat oleh seorang pekerja di situ. Ternyata Qhalif berada di
kaunter tersebut. Mamanya sangat bersyukur kerana Qhalif masih lagi selamat.
Papanya terus memeluk Qhalif dengan erat.
“Maafkan papa. Kalau papa tak sibuk macam tadi, mesti
anak papa masih ada di sebelah papa.”
Berderai juga air mata papa hingga membasahi pipi.
Qhalif menganggukkan kepalanya. Dia tidak menyalahkan papanya. Dia juga menyesal
pergi ke kedai mainan seorang diri. Dia berjanji tidak akan mengulangi
perbuatannya itu lagi.
TAMAT.