Home Buku Cinta Uncle Bos Mama
Uncle Bos Mama
19/3/2020 15:46:58
51,885
Kategori: Buku
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 10

DIA tiba kembali di pejabat pada jam 3.30 petang. Sebaik sahaja pintu utama dibuka, Fish sudah nampak sebuah kotak berisi semua barang-barangnya. Dia tidak pasti siapa yang mengemasnya, tetapi dia tahu pasti arahan itu datang daripada Joshua. Ini bukan kali pertama ia berlaku. 

Suatu masa lalu, ketika dia baru bekerja di syarikat itu selama dua bulan, Joshua pernah melakukan perkara yang sama. Lelaki itu muncul bersama sebuah kotak lantas memberikannya kepada Taufiq, yang ketika itu hanya eksekutif biasa di bahagian editorial.

“Tolong kemas barang-barang Charlie. Lepas tu, call dia dan suruh dia datang ofis untuk ambil kotak ni. Beritahu dia yang dia tak perlu datang kerja esok. Starting tomorrow, you’re going to be the new head of the editorial department,” ujar Joshua.

Charlie tidak muncul untuk mengambil barang-barangnya. Kotaknya masih ada di pantri pejabat sehingga hari ini. 

Fish sempat bertentang mata dengan Joshua ketika dia mendekati mejanya untuk mengambil kotaknya. Lelaki itu masih di meja kerjanya sendiri, bersandar di kerusi sambil memerhatikannya. Fish menjenguk ke dalam kotak. Ada sebuah buku nota, pengecas bateri telefon pintar dan  bingkai gambar yang menempatkan gambar dia, Akma dan Farahani ketika dia masih remaja. 

Ada sampul surat berlogo Kuaci Media diselitkan di dalam kotak itu. Fish tak perlu melihat isinya untuk tahu ia tentang apa. Dia sendiri pernah menyediakan surat yang seakan-akan sama untuk Charlie sebelum Joshua menandatanganinya dan menyelitkannya di dalam kotak Charlie.    

Fish tidak cuba merayu untuk mendapatkan kerjanya kembali. Dia tahu ia usaha yang tidak akan membawa sebarang keputusan yang baik. Dia kenal perangai Joshua setelah setahun lebih bekerja di bawah penyeliaan majikannya itu. Lebih baik dia pergi dengan aman dan cuba mendapatkan kerja lain dengan secepat mungkin.

Lagipun, dia juga sudah terlalu letih untuk cuba mempertahankan apa-apa. Di saat itu, Fish cuma mahu tidur. Mungkin dia boleh memandu kereta ke puncak bukit dan melelapkan mata buat seketika untuk melupakan segala-galanya.  

Fish mengoyakkan sehelai kertas daripada buku notanya, lantas mencatat sesuatu. Dia meninggalkan nota itu di bawah papan kekunci komputernya.

“Sorry, Fish…” ucap seseorang.

Fish mengalihkan pandangan kepada suara itu. Rakan sekerjanya, Ana dan Rajiv sedang berdiri di belakangnya. Ana segera berikan pelukan kepada Fish.

“Kalau ada apa-apa yang boleh kami tolong, cakaplah ya?” ujar Ana.

Fish mengangguk, cuba menahan air mata. Seorang demi seorang para pekerja Kuaci Media datang untuk berjabat tangan, mengucap selamat atau memeluk Fish buat kali terakhir. Ia terpaksa dileraikan tidak lama kemudian apabila Joshua mengetuk-ngetuk cermin dan mengisyaratkan dengan tangan agar semua orang kembali ke tempat masing-masing.

“Kalau nak apa-apa, call I,” ujar Nadra, eksekutif bahagian grafik, orang terakhir yang memeluk Fish di dalam pejabat itu.

“Okey,” balas Fish.

Dia menoleh sekali lagi pada Joshua yang kini sudah kembali sibuk dengan kerjanya sendiri, lantas keluar membawa kotaknya.

Insan terakhir yang ditemuinya sebelum dia pulang adalah Nabilah. Mereka bertembung di luar pejabat ketika gadis itu baru pulang dari perjumpaan dengan klien. Mereka berbual seketika, berpelukan dan mengucapkan selamat tinggal sebelum Fish kembali ke dalam Proton Exoranya dan memecut pergi.

Goodbye, Kuaci Media! Getus Fish.

















Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.