Home Buku Cinta Uncle Bos Mama
Uncle Bos Mama
19/3/2020 15:46:58
51,905
Kategori: Buku
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 7

SEBAIK sahaja dia membuka pintu rumah, ada tiga orang manusia sedang duduk di atas sofa sambil menunggunya. Si kakak sedang menocang rambut adik perempuannya, sementara adik angkat mereka pula di sebelah si sulung, bersungguh-sungguh membantu mengurut bahunya.

“Mama kena pecat ke?” Soalan pertama yang terbit dari bibir Shaina.

Fish tersenyum lantas menggeleng.

Ketiga-tiga mereka menghela nafas lega.

“Mana Aril?” soal Fish.

“Tidur lepas makan ubat. Tadi, dia meracau kejap dalam kereta. Mungkin dia teringat…” Shaina tidak jadi menyambung ayatnya. Mereka semua tahu apa maksudnya.

“Kalau dia masih meracau atau buat benda-benda pelik, beritahu mama. Nanti mama bawak dia jumpa Doktor Halimah,” ujar Fish. 

Dia segera mengambil tempat di sebelah Shaila, sempat menolak gadis kecil itu dengan pinggulnya, membuatkan Shaila ketawa. 

“Bos mama tak pecat mama? Pelik tu,” ujar Shaila.

“Apa yang pelik? Mungkin dia rasa mama aset berharga dalam company, sebab tu dia tak pecat mama,” balas Fish.

“Aset berharga tu apa?” soal Faiq di belakang Shaina.

“Aset berharga tu macam mamalah. Kalau mama tak ada, Iq pergi sekolah pakai baju berkedut,” balas Fish.

Faiq mengangguk-angguk, mengambil serius kata-kata Fish tanpa benar-benar memahami maksudnya.

“Siapa alihkan sofa ni balik ke tempatnya?” soal Fish apabila menyedari sofa yang didudukinya itu sudah kembali menghadap televisyen. 

Shaila mengangkat tangan.

“Tapi Faiq tolong,” ujar Shaila.

“Bagus. Ini barulah anak-anak mama.” Fish mengusap-usap kepala Shaila dan Faiq. 

“Alah, kalau kita orang buat salah pun, kita orang tetap anak mama jugak. Bukannya mama boleh buat apa pun,” balas Shaila.

Fish ketawa mendengarnya. Memang benar. Tidak ada apa yang boleh dia lakukan. Tidak, bukan tidak ada apa yang boleh dilakukan, tetapi dia tidak mahu akur pada pilihan-pilihan lain yang telah diberikan. Baik buruk perangai mereka, mereka tetap miliknya.

 Malam itu, usai solat isyak, Shaina datang mengetuk pintu bilik Fish. Fish yang masih di atas sejadah mengisyaratkan jari ke bibir supaya gadis itu tidak mengganggu tidur Shairil.

“Ada apa?” soal Fish separa berbisik.

Shaina segera mengambil tempat di sebelah Fish.

“Nana nak cakap pasal Aril,” ujar gadis itu, turut sama memperlahankan suara.

“Kenapa dengan dia?”

“Tadi kat sekolah, Nana tanya Aqila classmate Aril pasal dia jatuh tu. Dia kata dia yakin Aril bukan jatuh sendiri, ma. Dia kena tolak.”

“Astaghfirullah. Siapa tolak dia? Kenapa dia tak cakap dengan mama pun kat hospital tadi?”

“Aqila kata budak yang tolak dia tu anak orang kaya. Khalif namanya. Budak tu memang kurang ajar sikit. Dia selalu buli Aril, tapi Aril diamkan aje.”

“Aqila ni nampak ke benda ni jadi?”

Shaina menggeleng.

“Dia tak nampak benda tu jadi. Tapi dia kata lepas Aril jatuh, dia nampak Khalif dan geng dia lari dari arah longkang yang sama. Lagipun, mustahil Aril jatuh sendiri. Selama ni pun dia pergi kantin lalu jalan yang sama, tak pernah pun dia terbabas masuk longkang. Besar kut jalan tu,” sambung Shaina lagi.

Fish mengerling pada Shairil di atas katil. Si anak nampak begitu aman dalam tidurnya.

“Kita nak buat apa, ma?” soal Shaina.

“Kita tak ada bukti nak tuduh orang, Nana. Esok lusa bila Aril dah okey sikit, biar mama tanya dia betul-betul. Kalau dia tak nak cakap, tak payahlah kita bising-bising.”

“Tapi takkan kita nak biar aje budak tu terlepas? Dia buli Aril macam tu, melampau tau. Dahlah Aril tak boleh jalan, ibu dah tak ada, abah pun jauh, kenapa masih ada orang yang kejam macam tu pada dia? Dia tak buat salah pada sesiapa pun. Dia tak pernah langsung persoalkan apa yang jadi pada dia. Dia terima aje semuanya, tapi masih ada orang buat macam ni pada dia. Mana boleh kita…” Kata-kata Shaina terhenti sampai di situ apabila air matanya mula berguguran.

Fish segera memeluk si anak dengan erat.

“Hei, hei... tak nak menangis. Kita dah janji tak nak menangis pasal hal ni, kan?” Kepala Shaina dikucup lembut.

“Benda ni tak adil, ma.”

“Mama tahu… Tapi kalau kita tuduh orang tanpa bukti pun tak adil, Nana. Apa pun keputusan Aril, kita kena sokong aje, okey?” Suara Fish lembut memujuk.

Shaina mengangguk perlahan.

“Nanti mama uruskan semua ni. Nana tolong tengok-tengokkan Aril aje kat rumah esok, okey? Dan jangan beritahu benda ni pada Lala. Mama tak tahu apa budak seorang tu akan buat kalau dia tahu. Dia tu unpredictable sikit,” pesan Fish.

Shaina mengangguk sekali lagi.

“Nana lapar tak? Yang lain dah lapar? Nak makan apa malam ni?” soal Fish.

“Nana tak ada selera.”

“Tak naklah macam tu. Mama buat nasi goreng ya?” 

Shaina menggeleng kepala.

“Habis tu nak apa?”

“Nak chicken soup macam ibu buat.”

Fish tersenyum sendiri. Sup ayam Akma memang kesukaan semua orang. Malah ketika Fish masih di bangku sekolah dan tinggal bersama neneknya, Akma sering kali datang melawat dan membawa bersamanya sup ayam yang direnehnya. Ayamnya direbus bersama bawang kuning dan daun saderi, kemudian diracik sampai halus dan dimasukkan ke dalam mesin pengisar agar hancur. Tujuannya untuk memudahkan nenek Fish yang tidak ada gigi untuk menikmatinya. Tetapi akhirnya hidangan itu menjadi hidangan kesukaan ramai.

“Okey. Pergilah siapkan kerja sekolah ke, tengok TV ke, apa ke. Biar mama masak kejap,” ujar Fish.

Shaina menyeka air mata lantas segera beredar.

Fish mengalihkan pandangannya pada Shairil di atas katil sekali lagi. Kalau diikutkan hatinya, malam itu juga dia mahu mencari tempat tinggal budak yang bernama Khalif itu dan menumbuknya sampai pengsan. Mungkin ibu bapanya juga harus dibelasah sekali. Kalau dia masih Fish yang dulu, yang tidak punya sebarang tanggungjawab selain kepada dirinya sendiri, mungkin dia akan lakukannya. Tetapi kini dia ada tanggungan. 

Adakalanya kita harus menahan diri daripada mempertahankan orang yang kita sayang demi mempertahankan orang yang kita sayang.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.