Sudah hampir seminggu sejak kejadian Meiji mengamuk di surau berlalu.Suasana kembali tenang. Meiji khabarnya sudah dibawa pulang ke rumah oleh kedua ibu bapanya malam itu juga. Pihak sekolah meminta agar Meiji dibawa berubat secara moden dan juga alternatif. Jika asyik diganggu sebegitu rupa tak hairan jika mentalnya berada dalam keadaan tidak stabil.
Hari Khamis malam Jumaat, prep malam bermula agak lewat selepas Isyak berbanding selepas Magrib pada malam lain. Sudah menjadi rutin warga aspura dan aspuri untuk menunaikan solat magrib dan isyak berjemaah di surau, serta membaca surah Yassin beramai-ramai. Oleh kerana prep bermula pada pukul 9.00 malam makanya aku mengambil keputusan untuk singgah di ‘vending machine’ atau lebih lebih popular dengan nama mesin gedegang. Niat mahu membeli kopi mocha sejuk untuk menyejukan badan serta menyegarkan mata yang layu sejak bacaan Yassin tadi.
Dari kejauhan aku melihat kawan baik ku El sedang berbual dengan Meiji berdua sahaja sambil duduk di bangku batu di sebelah mesin menjual air itu. Mesin itu terletak di hadapan bilik guru,biasanya pada waktu malam laluan tersebut agak sunyi. Aktiviti lebih berpusat di bangunan yang menempatkan bilik darjah. Dalam hatiku terdetik juga, katanya Meiji sudah pulang ke rumah. Sudah sihat kah dia untuk kembali ke asrama. Ketika tak sampai lima meter untuk aku mendekati mereka, Meiji tiba-tiba bangun dan berlalu pergi tanpa menyapa aku.
“Weh...apahal tu? Tiba-tiba je blah macam tu je,”aku menyapa El yang juga kelihatan terpinga-pinga dengan tindakan Meiji
“Entah, nampak kau terus blah. Kau baca ayat apa?,”El bersuara sambil menghirup latte sejuknya dari cawan kertas.
“Ayat pengasih....apa punya soalan? Balik dari surau baca Yassin la. Kau tu tau la period, tak solat Isyak. Laju sangat sampai sini, kang dikokak dengan tutttt baru tau. Eh tapi bila Meiji balik asrama, kata cikgu suruh dia balik berubat? Dah sehat ke dia?,”aku bertanya pada El.
“Petang tadi dia cakap. Aku sampai sini dia tengah termenung sorang-sorang.Rasanya dia tak pergi surau kot, fobia agaknya pasal kes minggu lepas. Dia cakap sihat tapi aku tengok macam tak sihat sangat je. Dia cakap macam merepek-repek, lepas tu tunduk je tak nak tengok aku pun,”El menjawab.
“Dia cakap apa?,”aku bertanya lagi sambil duduk di sebelah El sambil meneguk mocha ais, sejuknya cukup menyegarkan.
“Dia cakap dia kena balik, ramai tunggu dia balik. Dia rindu sini, rindu sangat-sangat. Sekejap dia senyum sekejap dia menangis. Mana reti aku nak pujuk orang. Kau rasa Meiji tu OK ke tak?,”El bertanya kepada ku.
“Hai la. Kesian pulak aku dengar. Rasa macam tak OK kot, kalau kita kat tempat dia kita pun takkan ok. Aku rasa kan dia lari bila nampak aku mesti sebab dia segan pasal kes hari tu. Aku dengan dia kan setakat kenal-kenal macam tu je, dengan kau rapat sikit sebab korang satu blok walaupun lain rumah. Tak pa la, tak leh pujuk kau dengar je la,”aku sedikit sebanyak simpati pada Meiji.Bukan dia minta nasibnya begitu. Aku paling tak suka cakap-cakap orang yang menyatakan Meiji mesti ada melakukan sesuatu yang salah yang menjadi asbab semua ini berlaku. Senang nak bercakap kalau kita tak tau kebenaran.
“Itu la dia. Jom ah masuk kelas, jap lagi kalau Papa Razi buat spot check kita tak ada kat kelas naya hidup. Sia-sia kena demerit. Orang tua tu kan memang suka aim kita,”El mengajak aku. Isu Meiji berakhir di situ.
Malam Sabtu seterusnya adalah Makan Beradab Bulanan untuk para penghuni asrama. Bayangkan suasana macam jamuan makan Hogward dalam filem Harry Potter versi muslim. Kalau dalam Harry Potter pelajar memakai jubah ahli sihir, tapi di sekolah ini kami memakai baju batik berwarna kuning terang. Entah siapa lay ang reka, sudah la berwarna kuning terang berbunga-bunga, kainnya pula dibuat dari bahan kapas keras. Bukan main susah nak menggosok untuk menghilangkan kedut.
Para pelajar duduk di empat meja panjang mengikut rumah masing-masing.Pelajar lelaki di hadapan, manakala pelajar perempuan di bahagian belakang.Kebiasaannya menu yang dipilih adalah menu barat di mana kami perlu mempratikan etika makan yang betul. Kalau di Hogward, Professor Dumbledore akan menyatakan“let the feast begin”, di sini Pengetua akan memberi ucapan dan membaca doa tanda jamuan makan bermula. Nama pun sekolah sains dalam kurungan agama, makanya jamuan makan pun mestilah versi muslim.
Setelah makan malam berakhir, kami semua dikejutkan dengan pengumuman oleh warden bahawa kami semua tak dibenarkan naik dulu ke dorm masing-masing. Malam ini akan diadakan pemeriksaan mengejut ataupun "spot check" dorm untuk memeriksa barang terlarang yang di bawa oleh para pelajar. Pelajar lelaki diminta berkumpul di Dataran Aspura,manakala pelajar perempuan diminta berkumpul di Dataran Aspuri.
“Weh nasib baik handphone aku masukan dalam tin biskut, kalau tak mau sia-sia Ahad esok kena denda mencuci sekolah,”Kak She bersuara saat kami sedang berbaris mengikut dorm masing-masing di Dataran Aspuri.
“Aah nasib Ipad aku awal-awal aku simpan dekat locker kelas,”Kak Mok seorang lagi senior ku bersuara. Dorm aku ni memang zahirnya nampak macam dorm budak baik, tapi sebaliknya kami ni selalu juga buat jenayah. Tapi bak kata pepatah pandai makan pandai la simpan. Yang penting buat jenayah jangan bangga diri, jangan buka pekung, tu resepi nak kantoikan diri sendiri.
Mata ku sudah semakin berat, sudah la perut kenyang kini kena sidai pula dekat dataran. Kenapa la warden pilih malam minggu, kacau betul. Hilang minat nak berbual walaupun ahli-ahli dorm yang lain rancak bersembang, mata terasa berat sungguh. Di hujung mata aku melihat Meiji berada dalam kawasan asrama.Pelik juga macam mana Meiji boleh terlepas masuk sedangkan “spot check” belum selesai. Mungkin nak ke tandas kot. Meiji melambai ke arah ku seperti mangajak aku memgikutinya. Aku hanya melambai sebelum membuat isyarat tangan X untuk memberi isyarat aku tidak perlu ke tandas.
“Wok lambai siapa?,”Kak Nab bertanya kepada aku.
“Meiji kak. Tu dalam pagar Blok C. Entah apa mimpi, sakan dia melambai ajak pergi tandas,”aku menjawab pertanyaan Kak Nab ketua dorm ku. Meiji ni semenjak balik asrama perangai dia memang pelik-pelik.
“Wok awak ni biar betul, awak salah tengok kot. Jangan main-main malam-malam buta ni,”tiba-tiba suara Kak Nab sedikit tinggi menarik perhatia nahli dorm yang lain.
“Eh betul la kak. Tu depan tandas sebelah musollah Blok C tu. Kan dia lambai tu. Akak tak nampak ke?,”aku menunjukan ke arah Meiji.Semua mata ahli dormku automatik tertumpu ke arah yang aku tunjukan.
“Wok tengok akak, baca Ayat Kursi dengan 3 Qul. Tutup mata, buka balik lepas tu tengok semula. Ada lagi tak?”Kak Nab memberi arahan, dan aku hanya menurut walau dalam keadaan pelik.
“Eh tak ada dah. Dah masuk tandas kot,”aku menjawab.
“Weh Meiji mana ada sini. Dia dah balik rumah sejak minggu lepas lagi. Aku tau la, dia kan classmate aku,”Flynn bersuara.
“Eh bukan dia dah balik asrama? Malam Jumaat tu aku nampak dia sembang dengan El, dia bagitau dia baru balik asrama. Tadi tu aku nampak kot dia melambai. Weh serious la. Dah tegak bulu roma ni,”hilang terus rasa mengantuk yang teramat sangat tadi.
“Sungguh, Meiji tak ada balik pun. Cikgu Fatimah, cakap mungkin Meiji akan pindah sekolah. Orang yang berubat dia nasihat seeloknya Meiji dah tak masuk kawasan sekolah kita buat selamanya. Benda-benda kat sini dah suka sangat dengan dia,”Flyyn menambah.
“Jadi betul la khabar angin pasal roh Meiji tu? Eh Wok kau ni duduk dalam gua ke, tak tau cerita?,”Peah bersuara.Aku hanya mengerutkan dahi cuba menghadam situasi yang aku alami kini.
“Betul la tu, dah jadi ke Wok dah pun. Dengar khabar benda-benda tu sayang sangat ke Meiji dan tak nak lepaskan dia. Tiap-tiap malam dekat rumah, Meiji akan jatuh pengsan tak sedarkan diri. Bila dia sedar, dia cakap dia dia pergi jalan-jalan balik sekolah. Budak lelaki pernah nampak dia dekat surau tengah malam, dekat aspura pun pernah. Roh dia macam melayang balik sini berkeliaran sekitar sekolah,”Kak She menambah menyebabkan semua ahli dormku terdiam. Aku sendiri darah terasa kering. Siapa yang aku lihat dua hari ni.
Ketika itu terdengar pengumuman ketua warden yang menyatakan ‘spot check’ telah tamat. Beberapa nama pelajar dipanggil dan selebihnya boleh balik ke dorm masing-masing. Nampaknya ada yang kantoi membawa barangan terlarang dan sekali lagi tiada nama ahli dorm Biru 4 yang disebut. Walaupun pepatah ada berkata sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga, tapi untuk hari ni tupai-tupai Biru 4 masih selamat.
“Kak Nab, Wok nak pergi Merah 2 jumpa El boleh?,”aku meminta kebenaran dari Kak Nab selaku ketua dorm. Adab hidup di asrama, ketua dorm ibarat ketua keluarga. Walaupun beza umur hanya setahun tapi selaku ketua dorm, Kak Nab bertangungjawab dia atas keselamatan setiap ahli dorm.
“Boleh, jangan lewat sangat balik sebelum pukul 11.00. Jangan mengada nak skip mengaji. Nanti balik lalu depan jangan lalu jalan sunway. Tak ada pasal jangan cari pasal,”Kak Nab berpesan panjang. Biru 4 memang bertuah mempunyai ketua dorm seperti Kak Nab, dia bukan tipikal senior yang gila kuasa. Orang nya baik dan santai, tidak terlalu terikat dengan protokol senioriti. Selagi tak melampau batas boleh je kalau ajak buat jenayah.
“Wok jangan bawak balik Meiji. Suruh dia tidur Kuning 6 ja,”Peah menambah sambil tersengih.
“Ishhh...muluttt.... Ni namanya tak ada pasal cari pasal. Jom-jom balik semua. Wok dah cepat pergi jumpa El sana,cepat pergi cepat balik,”Kak She menekup mulut Peah rakan satu dorm ku. Dia ni memang kadang-kadang mulut tak ada insuran.
“Hehehe....baikkkk. Sekejap je 15 minit,”aku berdesup berlari masuk kedalam blok C untuk menemui El.
Besar mata El yang sepet itu bila aku menceritakan apa yang terjadi tadi.Apatah lagi rakan-rakan dorm El turut mengesahkan bahawa Meiji tiada di asrama sejak minggu lepas lagi. Bersungguh El menyatakan dia berjumpa dengan Meiji malam sebelumnya, lama juga mereka bersembang hampir 15 minit. Meiji kelihatan nyata walaupun sedikit pelik. Mukanya kosong seperti tiada emosi, dan dia juga tidak menjawab salam El seperti kebiasaan. El juga menyatakan dia beberapa kali ternampak kelibat Meiji di asrama. Magrib tadi pun dia terserempak dengan Meiji di bilik basuh, cuma agak bagi El kerana Meiji tidak kelihatan di dewan makan ketika majlis makan malam bulanan tadi.
Dek kerana terkejut El demam keesokan harinya. Lemah semangat sungguh kawan baikku itu. Bagiku sendiri pengalaman berjumpa Meiji yang bukan Meiji lebih kepada pengalaman misteri berbanding seram. Mungkin Meiji yang aku dan El temui menampakan diri nya di hapadan kami berdua kerana kami berdua tidak tahu sebenarnya Meiji yang sebenar tidak berada di sekolah. Tipu daya syaitan dan jin, ada saja ulahnya. Pengajaran buat aku dan El, sentiasa beringat. Kak Hawa yang juga ketua naqibah, ada berpesan untuk menjadikan salam sebagai amalan ketika bertemu satu sama lain. Memberi salam dan menjawab salam kan identiti makhluk Allah yang baik.