Aku bukan ‘Playboy’Bab 12 – Shasha
____________________________________
Pejam celik. Pejam celik. Hari Sabtu pun tiba. Seperti yang direncanakan oleh ibu, malam ini akan ada makan malam istimewa.
Istimewa bukan kerana makan malam itu. Tapi kerana tetamu istimewa yang akan hadir pada makan malam itu nanti. Tan Sri Hezry dan ahli keluarganya akan hadir.
Yang paling penting sebenarnya, keluarga ku ingin memperkenalkan aku dengan anak Tan Sri Hezry. Anak keduanya. Bernama Aishah.
Aku sedang santai duduk di sofa di ruang tamu. Mengadap tv. Channel Cinemax. Menonton filem lama bertajuk, 'Pretty Women'. Lakonan Julia Roberts dan Richard Gere.
Sedang aku asyik menonton babak cinta Julia Roberts sedang bercium dengan Richard Gere di atas Piano, bahu kiri aku ditepuk perlahan oleh bapa. "Dah solat Maghrib ke Zul?" Tanya bapa. Menghentikan tumpuan aku kepada babak romantis itu.
"Ha?"Tersentak dengan soalan itu, baru aku sedar. Telah 20 minit masuk waktu Maghrib. "Oh, belum lagi bapak. Tak perasan lak dah Maghrib." Kataku.
"Baik solat sekarang. Kang kejab lagi kawan bapak sampai pulak."Kata bapa lagi.
Lantas aku bangkit dari sofa. Menuju ke bilik solat. Menunaikan kewajipan sebagai umat Islam. Mengerjakan solat 5 waktu.
Ketika berjalan ke bilik solat, aku selisih dengan Ibu yang nak ke dapur menyediakan makanan untuk makan malam. Ibu menegur, "Zul. Kang tukar baju. Takkan nak pakai kain pelikat je kan? Tetamu datang kejap lagi."
Aku hanya menganguk kepala kepada ibu. Dalam hati ku, ala ibu. Macam tak biasa lak. Kalau kat rumah memang aku selesa berkain pelikat dan baju t-shirt je. Tapi kalau dah pakai kain pelikat ni, faham-faham lah. Memang tak pakai seluar dalam la. Agaknya sebab itu ibu takut. Aku melayan tetamu tanpa pakai seluar dalam. Hahahah.
Selepas habis solat, aku menukar pakaian casual. Seperti yang dimahukan ibu ku. Berseluar jeans biru denim. Baju kemeja berkotak-kotak biru laut. Aku spray sikit perfume Dashing Bold ke seluruh baju yang ku pakai. Bagi membangkitkan aroma wangi pada badanku.
Aku memandang jam dinding di ruang tamu. Menunjukkan pukul 8.15 malam. Aku pandang ke ruang makan. Kelihatan ibu sedang sibuk mengangkat lauk-lauk untuk di susun di atas meja makan. Meja makan ni saiz besar dengan 8 kerusi. Hampir separuh meja penuh dengan lauk-pauk.
Aku menghampiri meja makan. Terkejut melihat lauk-pauk yang banyak. Aku bertanya, "Ibu. Ni makan malam ke kenduri bu? Banyaknyer lauk?"
Ibu seraya tersenyum menjawab, "Ala. Sekali-sekala. Ibu tak tau keluarga Tan Sri suka makan apa. Jadi ibu masak la 8 jenis lauk ni. Sikit je pun."
"Ibu masak semua ni ke? Ayam masak merah, gulai ayam lemak cili api, ni pulak ikan keli masak lemak cili api, pajeri nenas, sayur campur dengan kailan ikan masin, ketam goreng bercili, udang galah masak lemak cili api, tomyam campur lagi. Pergh... Ibu masak ke beli ni?" Tanya aku yang betul-betul pelik dengan hidangan sebanyak ini.
"Ish kamu ni. Ibu masak la. Dari siang tadi ibu kat dapur sorang-sorang. Bukan kamu nak tolong." Nada ibu sedikit geram dengan pertanyaan aku.
"Hebat la ibu. Masak semua ni. Ramai ke datang malam ni? Tengok gaya lauk ni, mau 20 orang makan ni."
Ibu kembali tergelak. "Eh takde la sampai 20 orang. Tapi entahlah. Cuba tanya bapak kamu. Dia ada call Tan Sri tadi. Kan bang?"
Aku memandang bapa yang sedang duduk di sofa di depan tv. Dengan mata yang masih menatap siaran Buletin Utama Tv3, bapa menjawab, "Tadi Tan Sri kata dia datang bertiga je. Tan Sri dan Puan Sri serta Shasha."
"Shasha?"
"Ye. Aishah tu nama manjanya Shasha" Jawab ibu yang melihat aku menyebut nama Shasha dengan kemusykilan.
"Wow. Agaknya lawa macam Shasha Saidin artis kumpulan Elite tu ke ibu?"
"Entah. Kamu nengok la sendiri kejap lagi."
Wah. Tiba-tiba aku menjadi 'excited' pulak menunggu tetamu malam ni. Bukan apa. Kot-kot lah memang Shasha ni putih lawa macam Shasha Saidin artis tu kan. Memang taste aku la putih-putih ni. Hehehe. Aku tersenyum sendiri.
Baru aku melangkah dan mahu duduk di sofa sebelah bapa, kedengaran loceng rumah ditekan.
Ding! Dong!
"Ha, sampai dah tu."Kata bapa. "Buka kan pintu tu Zul."
Aku berjalan untuk membuka pintu sambil bapa mengekori dari belakang. Memang pintu pagar rumah sudah sedia dibuka. Jadi sesiapa yang datang sebagai tetamu malam ini, pasti boleh terus masuk sampai ke depan pintu utama rumah ini.
Sebaik sahaja daun pintu aku buka. Berdiri seorang lelaki umur lebih kurang 50an sebaya bapa ku. Tingginya juga lebih kurang aku. 165cm. Rambut hitam lebat. Disikat tepi. Berbaju batik hijau.
Dengan tersenyum, lelaki itu memberi salam. "Assalamualaikum."
Bapa terus memotong dan berdiri di depan ku. Bapa menghulur tangan dan menjawab, "Waalaikum salam. Tan Sri Hezry."
"Ah! Kau dengan aku Din, jangan nak ber-'Tan Sri' sangat dengan aku. Ry je sudah. Hehehe." Dengan ketawa kecil dia bersalam dengan bapa.
Bapa memperkenalkan aku, "Ini anak aku. Zul. Yang aku ceritakan tu."
Lalu aku menghulurkan tangan dan menundukkan kepala sedikit tanda hormat. Tan Sri menyambut salam dan masih tersenyum.
"Eh. Sila lah masuk Ry. Semuanya." Bapa mengajak semua tetamunya masuk ke dalam rumah.
Aku mengundurkan diri sedikit ke belakang. Namun masih berdiri mengadap pintu. Tujuannya hanya satu. Ingin melihat orang yang bernama Shasha ini.
Ibu terus datang dari dapur dan menyambut tetamu yang hadir. Bersalaman dengan seorang wanita sebaya Tan Sri. Berpakaian kebaya. Dan berselendang pink kena dengan baju kebayanya warna merah lembut. Dengan gayanya yang 'vogue' tetapi telah berusia, aku percaya dia ini 'Puan Sri'.
Ketika itu, muncul seorang gadis di belakang Puan Sri. Tapi yang bezanya. Gadis ini tidak 'vogue' atau bergaya seperti ibunya Puan Sri.
"Oh ini lah Shasha ye."Kata ibuku. Lalu bersalam, berpeluk dan berlaga pipi.
Baru aku pasti. Gadis ini lah yang bernama Shasha atau nama betulnya Aishah. Bertudung labuh. Warna biru laut. Berbaju kurung bercorak bunga-bunga warna biru 2 ton. Biru cerah di atas dan biru gelap di bawah. Sungguh sopan dia ketika bersalam dan mencium tangan ibuku.
Dapat ku lihat, kulitnya putih bak telur rebus yang dikupas. Putih bersih. Cerah. Dahinya luas. Mukanya bentuk oval. Matanya bentuk 'almond' . Kening yang normal. Hidungnya agak mancung. Bibir mulutnya yang nipis tapi lebar. Sama seperti bibir Julia Roberts dalam filem 'Pretty Woman' yang aku tonton tadi.
Namun yang amat menarik tentang wajahnya, ialah lesung pipit yang jelas kelihatan lekuknya dihujung bibir sewaktu dia tersenyum. Sepintas pandang, kelihatan macam artis wanita bernama Wawa Zainal. Ayu, manis dan cantik.
Tampak tadi sewaktu bersalaman dengan ibu ku, dia sedikit membongkokkan badannya. Kerana dia lebih tinggi daripada ibu ku. Aku dengan ibu ku lebih kurang sama tinggi. Maknanya, Shasha ini lebih tinggi daripada ku.
Hatiku berkata, wow! Dah lah putih. Lawa. Tinggi pulak. Orang tua-tua kata, kalau isteri tinggi daripada suami, maknanya murah rezeki keluarga itu. Hahaha. Eh, melalut pula aku sampai ke suami isteri pulak. Ini baru episod perkenalan je.
Lamunan aku terhenti ketika ibu berkata, "Inilah anak tunggal kami. Zulkefli namanya. Panggil Zul je." Sambil tangan ibu menunjuk ke arah aku.
Aku menundukkan sedikit kepala tanda hormat kepada Tan Sri dan Puan Sri.
Namun aku perasan, Shasha juga menundukkan kepalanya. Tidak memandang kepada ku. Hatiku berkata, eh! Dia ni malu ke atau tak sudi memandang ku.
Bapa membawa Tan Sri, Puan Sri dan Shasha duduk di ruang tamu. Sambil aku terus membantu ibu menyiapkan meja makan di ruang makan.
Ketika itu, Shasha bangkit dari sofa dan menuju ke arah ibu di dapur.
"Makcik. Ada apa boleh saya tolong?" Kata Shasha lembut.
Aku cuba meninjau sedikit sambil tangan ku membalikkan pinggan di atas meja makan.
"Eh. Shasha kan tetamu. Dok aje kat depan. Biar makcik yang buat semua. Zul pun ada ni tolong makcik."Kata ibu sambil gelak kecil.
Shasha datang kepada ku. "Awak nak saya tolong apa?"
Ketika itu, Shasha hanya selangkah di depan ku. Baru aku puas melihat wajah dia sedekatnya. Namun ketika itu, haruman wangi menusuk ke hidung ku. Dalam hati ku, mak ai. Wanginya awek ni. Sebotol minyak wangi ke dia pakai ni? Tapi tak pernah pulak aku bau perfume jenis ni.
Tiba-tiba jantung aku berdegup laju. Aku memandang matanya yang berbentuk 'almond' itu. Dapat kulihat, warna matanya hijau seakan mata kucing siam. Aku cuba menjawab soalannya, tapi lidah ku kelu.
"Aa... tolong...."Aku cuba mencari benda yang boleh dibuat. "Ha! Tolong sendukkan nasi je la." Bijak aku mencari tugas untuk Shasha.
"Bang. Jemputlah Tan Sri, Puan Sri meh sini makan." Kata ibu yang datang ke sebelah Shasha kerana nasi telah disendukkan atas pinggan.
Aku mempersilakan semua tetamu duduk. Tan Sri duduk di sebelah Puan Sri dan anaknya Shahsha. Sederet sisi kiri meja. Bapa duduk di hujung meja. Ibu duduk di sisi kanan meja sebelah bapa. Aku pula duduk sebelah ibu. Namun berhadapan Shasha.
Ketika sedang menyendukkan lauk ke dalam pinggan makan, Tan Sri bertanya,
"Hah, Zul kerja mana sekarang?"
Terhenti tangan aku untuk menyuapkan nasi ke mulut.
"Kerja swasta je Tan Sri. Executive biasa je di syarikat swasta di Kuala Lumpur."Jawab ku ringkas.
"Em. Shasha ni belum kerja lagi. Baru balik dari Mesir. Belajar perubatan kat sana. Tengok la sikit hari lagi. Nak bukak klinik sendiri ke nak makan gaji je. Tak tau lagi dia." Jelas Tan Sri tanpa aku bertanya apa-apa.
Wah doktor rupanya Shasha ni. Aduh, menarik ni. Paras rupa lawa. Doktor pula. Tapi jarang aku jumpa doktor bertudung litup ni. Takpe. Slow-slow aku adjust tengok apa yang boleh dibuka nanti. Hehehe.
Selesai makan dan disudahi dengan 'dessert' puding aiskrim yang dibuat khas oleh ibu, semua tetamu mulanya duduk ruang tamu. Namun kemudian, bapa ingin merokok. Diajaknya bersama Tan Sri yang juga menghisap 'paip' untuk duduk di gazebo di laman rumah.
Puan Sri bangun dari sofa untuk membantu ibu yang mengemaskan meja makan dan mencuci pinggan mangkuk di dapur.
Ketika itu, hanya aku dan Shasha di ruang tamu. Kerana Shasha ditegah oleh Puan Sri untuk bangun. Walaupun aku nampak Shasha cuba bangun dari sofa untuk ke dapur membantu ibu. Mungkin sengaja Puan Sri nak biarkan aku berbual dengan Shasha.
Ini lah masanya untuk aku berkenalan lanjut dengan Shasha. Aku cuba mengatur ayat pertama.
"Awak ni umur berapa?" Ayat pertama yang keluar dari mulutku.
"25 tahun. Awak pula?" Tanya Shasha kembali.
"Oh. Sebaya la kita. Tapi bukan ke belajar jadi Doktor ni makan masa lama?"
"Em, saya pergi luar negara lepas SPM. Apply guna result trial SPM. Then persediaan ekspres lepas SPM. Setahun lepas SPM, dapat result SPM terus ke Mesir." Jawab Shasha tanpa menatap wajah ku. Hanya bercakap dan memandang tangannya sahaja.
Aku pula lebih excited berbual dengannya sambil fokus ke raut mukanya. Walaupun dia hanya menundukkan mukanya, masih dapat aku lihat dari tepi.
"Awak memang pakai tudung macam ni ke? Memang pemalu macam ni ke?"
Dengan tersenyum dan menimbulkan lekuk lesung pipitnya, dia menjawab, "Em dulu tudung biasa. Tapi bila dah lama di Mesir, saya berkawan dengan pelajar-pelajar jurusan syariah yang kita panggil ustazah, hati saya terbuka untuk bertudung labuh macam ni."
Aku angguk kepala tanda setuju dan faham lalu berkata, "Elok lah. Nampak ayu. Sopan. Saya suka pompuan macam awak ni." Aku semakin berani berbual dengannya.
"Kenapa ye?"
"Oh. Begini." Aku membetulkan posisi duduk aku sambil mula bercerita. "Dulu masa sekolah, ustazah saya pernah berpesan. Kalau kita nak beli buah macam buah cempedak atau buah nangka, kita akan pilih buah yang dijaga dibalut bungkus dari kecik atau buah yang dibiarkan tanpa dibalut?"
"Mestilah buah yang berbalut. Sebab ulat atau serangga tak hinggap dan rosakkan buah itu."Jawab Shasha.
"Macam itu jugalah kalau kita nak pilih wanita untuk dijadikan isteri. Mestilah yang bertutup sebab dalamannya lebih cantik dan elok seperti buah tadi. Betul?" Aku memberikan penjelasan.
Shasha makin tertunduk malu. Faham aku memujinya.
Semakin dia malu, semakin terserlah ayu mu Shasha. Aku pula menjadi semakin berani.
"Kalau awak sudi. Saya nak berkenalan lanjut dengan Doktor Shasha ni."Kata ku.
Shasha menganggukkan kepala tanda setuju.
Lalu aku menghulurkan handphone nokia ku kepadanya. Iklan di tv ada menunjukkan cara berkenalan begini. Bezanya dalam iklan, lelaki pelakon iklan itu menyerahkan terus handphonenya kepada wanita yang diminatinya. Agar lelaki itu mudah menelefon wanita itu semula dengan telefon yang diberikan. Tapi aku pula memberi handphone kepada Shasha seraya berkata, "Masukkan nombor telefon awak dalam handphone saya boleh? Nanti senang saya nak hubungi awak."
Ini maksudnya, aku suruh Shasha berikan nombor telefon je. Handphone tu aku nak balik. Hehehehe.
Handphone diserahkan semula kepada ku, setelah nombor telefon dimasukkan. Menariknya nombor handphone Shasha. 019-2226660. 'Special number' ni.
Aku faham. Untuk episod pengenalan begini. Aku tidak boleh terlalu gelojoh. Nak mengorat kena slow-slow. Dari mata turun ke hati. Memang mata Shasha berwarna hijau menarik perhatian ku. Ditambah kulit putih melepak dan lesung pipit yang manis ketika dia senyum. Serta ditambah haruman badannya yang wangi telah menambat jiwa ini. Nombor telefon dah ada. Pandailah aku adjust nanti.
Jamuan makan malam istimewa dua buah keluarga malam ini berjalan lancar. Berjaya mengikat hati aku kepada Shasha. Cuma apa perspektif Shasha terhadap ku hanya dapat aku ketahui, jika aku telah mengenal dia lebih lanjut.
Lebih kurang jam 11.30 malam, keluarga Tan Sri bergerak balik dari rumah ku. Katanya ingin bermalam di Hotel Pullman, Putrajaya. Esok hari, Tan Sri dijadualkan bermain Golf dengan Ketua Setiausaha Negara di IOI Golf Resort.
Sewaktu melambai pergi keluarga Tan Sri, aku mengucapkan selamat jalan kepada mereka semua. Terutama, kepada 'bintang hati' yang baru aku kenali, Shasha...