Home Novelet Alternatif KHADAMKU
KHADAMKU
meddmenov
25/11/2022 07:00:29
24,531
Kategori: Novelet
Genre: Alternatif
Bab 3

Aku tidak kisah jika aku dimarahi kerana aku wajar dimarahi. Mungkin aku dimarahi kerana kesilapan yang aku lakukan itu bakal menjejaskan aliran sungai, aliran sungai tidak mengalir cukup mengikut masa dan sebagainya, dan menjejaskan pokok-pokok lain di sini. Namun itu tidak pernah berlaku sepanjang aku mengendali tiupan. Aku tidak kisah jika aku dimarahi jika marahnya itu punya isi, punya pengajaran yang aku boleh ambil, yang benar-benar serius dan perlu dilekatkan di benak sekejap-kejapnya kerana silapnya adalah hidup-mati kami. Aku boleh terima kemarahan itu. Ia kemarahan berupa kritikan membina dan emosi diperlukan demi menekankan keseriusannya. Seorang pemimpin memarahi dalam wajar, seorang parasit memarahi kerana memandang rendah pekerjanya dan membawa elemen peribadi dalam marah itu. Parasit, penumpang, penangguk!

 

Namun aku sedar, aku dimarahi tanpa kewajaran. Aku menjadi mangsa ketidakstabilan emosi seorang mak cik pertengahan umur. Hari demi hari, aku mula berasa bosan dan letih. Aku memandang Manhaman di kejauhan. Aku tahu dia menyayangiku. Aku tahu dia akan gusar seribu kali gusar jika aku meninggalkannya. Aku semakin hari semakin lali dengan pekerjaan ini, aku semakin mendambakan pujian Manhaman dan ganjaran yang digugurkan dari pokok. Aku semakin kepingin makan piza itu. Aku tidak nafikan, aku semakin gembira, meskipun kerja yang aku lakukan itu tidak lebih dari sekadar rutin, dan kerja yang bernilai rendah, taraf kuli. Namun ganjaran dan pujian itu memberi semacam kepuasan, memberi erti kepada keringat yang aku perah saban hari.

 

Namun pabila aku dileteri dan dibentak tanpa sebab munasabah, segalanya jadi tawar. Kerjaku di sini menjadi hambar. Tambah malang, Manhaman hanya mendengar dari mulut Nahmaran dan tidak sekali-kali mendengar dari mulutku, kerana padanya, aku hanyalah kuli Nahmaran. Manhaman tidak memandangku sebagai salah seorang pekerjanya, namun sebagai pekerja Nahmaran. Aku tidak dapat mengadu langsung kepada Manhaman. Jika Nahmaran menipu berkenaanku, Manhaman akan menelannya bulat-bulat. Jika dia Nahmaran, tahi pun Manhaman sanggup telan. Aku sangat ingin meninggalkan tempat ini. Bukan kerana membenci pekerjaanku, namun kerana membenci Nahmaran.

 

Segala yang datang dari mulut Nahmaran semuanya wangi, semuanya seharum kasturi dihidu Manhaman.

 

Aku mahu melarikan diri. Aku tahu bagaimana. Kabus-kabus merah di sekelilingku yang mulai terhindar membolehkan aku bertemu Marhaein lain yang bernama Sostrok, yang diselia Khadam Besar lain dan berada di jabatan lain. Aku bertanyakan Sostrok bagaimana salah seorang Marhaein yang kulihat pada hari itu lebur rantainya. Dari khabar yang kudengar, dia meminta baki tahunan penjaranya dibayar di dunia nyata.

 

Dipenjara? Aku menyoal. Sostrok menerangkan bahawa semua Marhaein yang dibawa ke alam merah ini menjalani hukuman penjara. Ia tertulis pada gelang rantai di tanganku. Baru kufaham apa maksud angka sepuluh itu, ia bermakna aku dipenjara selama sepuluh tahun di sini. Dan fahamlah aku pil yang diberikan isteriku itu adalah pil hukuman. Kata Sostrok lagi, ia kaedah baru memenjara pesalah demi mengurangkan kos kerajaan persekutuan.

 

Aku terkesima. Aku baru setahun di sini, apakah aku mahu membayar baki sembilan tahun di dunia nyata dengan dipenjara di sana? Tidak, itu bakal memalukan isteri dan anakku. Kata Sostrok lagi, dia sarankan agar aku habiskan sahaja tempoh sepuluh tahun itu di sini kerana jika aku sambung penjara di dunia nyata, aku akan memalukan keluargaku. Kata Sostrok, kerajaan merahsiakan status banduan yang mengambil pil itu. Kerajaan menjadikan statusku sebagai koma akibat penyakit misteri. Maka tiada sesiapapun yang tahu kesalahan lamaku dan aku mudah mendapat pekerjaan lain kelak.

 

Ya, kesalahan lama. Andai aku benar-benar bersalah. Namun tidak ramai yang tahu aku adalah mangsa khianat dan telah dikambinghitamkan. Aku tidak punya bukti bagi melepaskan diri. Nama baikku pasti akan kekal busuk sekiranya aku kembali sekarang.

 

Aku bertanya Sostrok mengapa kabus merah di sekelilingku memudar. Dia memberitahu pabila engkau sudah lama berkhidmat, engkau akan dibenarkan bertemu seorang demi seorang Marhaein lain. Buat masa ini, aku hanya bertemu Marhaein yang lebur rantai itu dan dua orang Marhaein yang menjalani hukuman lima tahun masing-masing dan Sostrok. Dua orang Marhaein itu berada di dalam jabatan yang sama denganku dan diselia Khadam Besar Nahmaran.

 

Selepas itu Sostrok menghilang. Aku rasa dia telah dibebaskan. Kini yang tampak di depan mataku ialah dua Marhaein yang berada dalam jabatan sama denganku, di bawah Nahmaran.

 

Yang mana satu Isytrok dalam kalangan mereka berdua ini?Aku dengar Isytrok kuat tidur.

 

Oh yang itukah?

 

**

 

Aku lihat Manhaman berwajah ketat. Sungai di hadapan Isytrok semakin cetek. Manhaman menjulur akarnya demi menggoncang tanah Isytrok, sebelum aku mengambil inisiatif mengejutkannya. Manhaman ansur mengundurkan akar. Sebentar, mengapa Manhaman yang melakukannya? Bukankah itu kerja Nahmaran?

 

“Isytrok!” Aku melaung.

 

Isytrok tidak bergerak. Air liur meleleh seperti stalaktit dari bumbung gua ke tanah. Kepala terlentuk seolah patah leher.

 

“Isytrok, bangun!”

 

Aku cuba mengejutkan Isytrok kerana sungai di hadapannya semakin kering. Isytrok baru selesai satu tiupan sedang aku sudah habis tiga tiupan hari ini. Sungaiku masih mengalir. Aku bimbang Nahmaran akan memarahi kami semua. Biasanya, jika seorang yang tersilap, satu jabatan akan dimarahinya. Jika mood-nya tidak baik, semua jabatan dalam alam merah ini akan menjadi bahan amuknya.

 

Aku mahu sahaja baling batu ke kepala Isytrok. Namun apakan daya dengan kedua belah tangan masih dirantai begini.

 

Woi bodoh...bangunlah...aku memaki dalam hati.

 

Tiba-tiba ada langau entah dari mana datangnya. Ia terbang berlegar di sekeliling kepala Isytrok. Mula-mula ia hinggap pada mata. Eloklah itu. Harap matanya terbuka. Kelopak mata Isytrok berdenyut-denyut. Dia menggoyang kepala dan kembali tidur, mata langsung tidak dibuka. Langau terbang kembali namun kali ini ia cuba memasuki lubang hidung Isytrok. Berjaya. Ia kini di dalam hidung Isytrok. Hidungnya memerah. Isytrok terbersin tiba-tiba dan tersemburlah langau itu jatuh ke lembah bawah. Matanya terbuka. Dia tidak lagi mampu menyambung lena tatkala mendapati aku asyik merenungnya.

 

“Engkau Isytrok bukan?”

 

“Siapa engkau?” Balasnya.

 

“Aku Abuzen. Aku sudah setahun di sini.”

 

“Oh orang barukah? Aku tidak pernah melihatmu. Kawasan engkau duduk itu sentiasa ada kabus merah. Tapi aku dengar Nahmaran selalu membebel padamu.”

 

Oh begitukah?

 

“Isytrok, baik kau tiup sekarang. Sungai kau dah kering.”

 

“Oh, alamak. Aku terlupa!”

 

Pantas dia meniup loceng di hadapannya. Di hadapan Isytrok ada tiga loceng. Dia meniup loceng di bahagian kanannya sahaja. Sungai di hadapannya kembali mengalir dan semakin deras.

 

“Eh Abuzen engkau berborak-borak kenapa? Buat kerja engkau! Berborak pula dia. Pantang aku tak perhati.” Nahmaran tiba-tiba bising.

 

Ya, ya Puanku. Aku tahu. Aku sudah meniup dan sungaiku masih deras. Aku sedang cuba mengejutkan Isytrok. Nanti kau pula yang susah.

 

Manhaman kulihat dari jauh sudah reda wajahnya. Tadi wajahnya cukup ketat tatkala melihat sungai Isytrok kering. Dia hampir memanjangkan akarnya demi mengejutkan Isytrok, jika aku tidak menunjukkan inisiatif melakukannya. Sebaik nampak aku menegur Isytrok, Manhaman beransur mengundurkan akarnya.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov