Home Novelet Alternatif WANITA BEGITU BERHARGA
WANITA BEGITU BERHARGA
Asmah Hashim
3/6/2015 22:00:28
12,224
Kategori: Novelet
Genre: Alternatif
BAB 3- APA KENA AWEK?


Di sebuah hentian bas di tengah bandar Kuala Lumpur. Ditemani lampu jalan dan dereta kereta bertali arus membelah jalan yang berturap tar. Aku pula hari itu terpaksa balik naik bas kerana keretaku rosak dan sedang diperbaiki. Di sebelahku duduk pasangan muda yang sedang bercakap sesama sendiri. Aku buat tak tahu, biarlah mereka nak bersembang. Jangan buat maksiat depan aku sudahlah. Uh, mungkin juga mereka adalah suami isteri. Serius sahaja wajah mereka, bagaikan sedang membincangkan sesuatu. Keadaan wajah mereka begitu serius. Aku duduk beberapa inci daripada mereka. Malah aku boleh mendengar butir bicara mereka.

“Nak buat macam mana ni? Dah dua bulan Ina tak datang bulan! Jangan-jangan Ina mengandung tak?” kata gadis bernama Ina itu. Air mata mula mengalir keluar.

“Dah pergi periksa ke?” tanya lelaki itu pula.

“Tak payah periksa, dah tahu, mesti mengandung!” kata Ina agak kasar.

Sesekali matanya mencuri pandang ke arahku.

Mataku memandang ke arah lain, tetapi telingaku mencuri dengar cerita mereka.

“Nak buat macam mana ni?” tanya lelaki itu semula.

“Man… kita kahwin!” ajak Ina.

“Mana boleh? Orant tua Man mesti tak benarkan. Belajar pun tak habis lagi. Macam mana nak tanggung anak orang. Kalau mereka tahu awak mengandung anak luar nikah. Langsung mereka tak boleh terima! Kita tak boleh kahwin sehinggalah Man habis belajar!” cerita Man. Jelas terpancar kerisauan di wajahnya.

“Habis tu? Awak ingat orang tua saya tak mengamuk? Kalau pihak Kolej tahu, tentu saya kena buang kolej!” kata Ina, semakin kuat dia menangis.

Sudah hilang rasa malunya padaku. Aku menggeleng laju. Kesal mendengar setiap butir bicaranya.

“Gugurkan saja!” arah lelaki bernama Man tadi.

“Apa?” jeritku secara tiba-tiba. Sudahlah berzina, ini hendak membunuh pula. Membuntang mataku memandang pasangan itu. Mahu sahaja aku cekik-cekik dan kutanam di hutan belakang hentian bas itu.

Aku bingkas bangun. Nak marah orang tak boleh duduk, tak realistic, tak sampai pula apa yang ingin aku katakan. Kedua tangan sudah mula mencekak pinggang dan aku pula mula…

“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk..” ( al-Israa’ ayat 32)

Allah SWT berfirman di dalam Surah al An’am, ayat 151 : Katakanlah: “Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa; dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) - yang terang daripadanya dan yang tersembunyi; dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya.

 Apa kena awek? Gugurkan? Kau ingat yang dalam rahim perempuan itu anak kucing? Main campak, main buang. Hoi! Itu manusia macam kau jugalah. Berani buat, beranilah tanggung! Jangan nak lepas tangan aje. Kau ingat perempuan macam aku dan perempuan ini barang permainan. Waktu suka kau gomol. Tak suka kau buang? Memang jantan jalanglah kau ni! Kau suruh dia gugurkan kandungan? Kau ingat lepas gugurkan kandungan kau akan selamat? Lepas beban kau? Lepas itu apa? Buat lagi maksiat? Kau ni ada maruah dan harga diri ke? Kau tahu tak hukum orang berzina? Kalau dalam Islam orang yang berzina akan disebab 100 kali. ALLAH SWT sempitkan rezeki. Mukanya tidak berseri. Kelam dan malap. Diakhirat pula akan diganting pada dadanya dengan rantai api neraka. Dari farajnya akan keluar nanah dan danur busuk teramat busuk. Malah ahli neraka pun tidak sanggup menghidu bau busuk itu. Kau tahu tak? Manalah kau tahu, kau hanya tahu berseronok saja. Belajar saja tinggi, akal tak ada. Tak takut kau dengan hukum ALLAH!

Kau pula perempuan, mudah-mudah saja kau menyerahkan kehormatan diri. Sepatutnya mahkota dirikau itu hak suami kau! Bukan lelaki ini! Haram tau! Haram! Berdosa! Kau memang tak tahu malu! Buat apa menangis? Kau meraung sampai keluar darah daripada mata dan tekakkau pun tak guna dah! Dalam rahim kau dah berisi. Sepatutnya kau menangis sebelum terjadi perkara ini! Bahalol betullah kau. Itu sebab dalam Islam lelaki dan perempuan tak boleh duduk sekali. Tak boleh bergaul bebas. Takkanlah kau tak tahu? Takkan kau tak belajar sains di sekolah? Persenyawaan akan menghasilkan janin! Itu punya senang pun kau tak boleh fikir? Itulah ikut sangat syaitan, iblis. Sekarang ini apa kau nak buat? Nak buang anak di sungai? Dalam bilik air? Dalam tandas? Kerat dan bakar? Kau ingat buat semua itu boleh selesaikan masalah kau? Kau ingat orang takkan tahu? Kau takkan tertangkap? Nasib tak baik kau duduk dalam penjara. Tak malu ke?

Cinta? Hoi! Kalau jantan ni lelaki yang baik dan cinta kan kau, dia tak sentuh kaulah! Dia tak gomol kau sampai mengandung! Lelaki yang baik jaga haknya sehingga diijabkabulkan. Lelaki yang baik akan pelihara mahkota dirikau sehingga kau sah menjadi miliknya. Ini jalang! Sundal! Jantan tak guna! Menyusahkan orang! Perosak keturunan Adam dan Hawa!

Kau kena ingat, itulah jangan mengaji sahaja tapi tak tahu makna ayat yang kau baca. Kena ingat ya, lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Lelaki penzina untuk perempuan penzina. Kau berdua memang secocoklah. Kau jangan biarkan lelaki ini permainkan kau. Kena bertindak bijak. Jangan ikut saranannya. Kalau kau gugurkan kandungan, samalah kau membunuh insan yang tak berdosa. Jangan jadi bodoh sangat! Fikirlah dengan bijak. Tindakan kau dah tak bijak. Jangan jadi tak bijak lagi. Kalau kau gugurkan anak kau ini. Buatnya kau tak boleh beranak lagi? Kau nak buat macam mana? Waktu itu kau dah berkawin dengan lelaki lain. Nak menyesal pula ke? Dah tak gunalah. Nama saja sekolah tinggi, jangan-jangan sekolah saja tinggi tapi otakkau beku. Senang punya perkara pun kau tak boleh fikir?

Kau lelaki. Ketua keluarga. Khalifah di muka bumi. Sepatutnya penyelamat dan pelindung. Ini tidak jadi makhluk perosak! Cuba bayangkan jika adik, kakak atau sedara mara kau di buat macam ni, apa kau nak buat? Pergi serang lelaki itu? Atau bunuh lelaki yang buntingkan adik atau kakak kau? Kau sendiri rosakkan anak dara orang. Jangan buat dosa, kelak balasannya pedih. Jangan buat maksiat, nanti tak cukup ruang kau nak taubat. Jangan bikin ribut, nanti nyawa tercabut. Hati-hati bertindak, hati-hati mencari keseronokkan. Nanti diri sendiri yang parah. Kau kena bertanggungjawab. Anak itu anak kau. Kau takut orang tua kau marah? Kau sendiri buat, sendiri tanggunglah! Kenapa takut? Kau anak jantan ke pondan?

“Apa kami nak buat?” tanya lelaki itu ketakutan.

Hoi! Buntingkan anak orang pandai. Pandai-pandailah cari jalan penyelesaikan!

“Kita nikahlah!” ajak Ina sekali lagi.

Itulah jalan sebaiknya! Wahai perempuan di luar sana. Kalau cinta setinggi Gunung Kinabalu pun atau seteguh Menara KLCC jangan diserahkan ‘body’ kelak menyesal dikemudian hari. Biar dianggap ketinggalan zaman, jangan perut ke depan. Biar dikata tidak pandai bergaul, asalkan terpelihara diri. Jangan malukan keluarga kelak sampai mati dikenang. Jangan musnahkan masa hadapan kerana keseronokkan yang sementara. Kalau dah gatal, ajaklah kahwin saja. Tak usah minta hantara beribu ringgit cukuplah buat kenduri dengan bihun sebungkus. Asalkan tidak tanggung dosa dan noda, hidup pun aman dan tenteram. Nak kahwin ikut macam artis. Diri tak pandai jaga, akhirnya kahwin percuma. Perempuan yang baik takkan menyerah dengan mudah. Lelaki yang baik takkan minta tanda cinta sebelum menjadi suami isteri yang sah. Fikir-fikirkan sejenak sebelum memulakan langkah. Sekali melakukan noda, selamanya terpalit duka.

“Maafkan Man…”kata lelaki itu sendu.

“Kita dah terlajak langkah. Jomlah kita bertemu kedua orang tua kita, ceritakan hal yang sebenar,” kata Ina sambil menyeka air matanya.

Aku tersenyum gembira. Berbaloi aku naik bas hari ini. Sekurang-kurangnya aku berjaya menyelamatkan satu nyawa yang tidak berdosa, dan dua insan yang mampu kembali ke pangkal jalan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.