Seorang budak lelaki sedang berjogging di sekitar taman permainan awam. Lariannya terhenti. Segera dia menghampiri pangkin itu. Punggungnya dilabuhkan.
Dia membuat sedikit renggangan pada tangan. Kepala menoleh ke arah sebatang pokok yang berhampiran. Seekor gagak tiba-tiba terbang membuat bunyi bising. Mata lelaki ini terlihat sesuatu. Objek yang dibawa oleh paruh gagak itu terjatuh.
Lelaki ini berjalan menapak ke arah objek berkenaan. Kilauan keemasan itu menarik perhatian lelaki ini. Tanpa disedari, lelaki ini mahu memegang objek berkenaan. Seperti serpihan berwarna keemasan.
"Mari bergabung dengan aku. Mari balas dendam!"
Mata lelaki ini tidak berkelip apabila mendengar suara seseorang. Tangannya perlahan-lahan mencapai serpihan itu.
"Jangan kutip barang orang!"
Aidil melarang budak lelaki itu mengutip sesuatu. Budak lelaki itu terus melarikan diri. Aidil hanya menggeleng-gelengkan kepalanya. Telefon bimbit dikeluarkan. Satu panggilan dibuat.
"Laporan. Ada objek tidak dikenalpasti dijumpai,"
"Menyibuk!"
Aidil segera mencari punca suara yang dia dengar tadi. Tiada sesiapa di sini kecuali dia.