Home Novel Umum Senyuman Nadia
Senyuman Nadia
Izatul Husna
23/9/2020 15:56:49
55,452
Kategori: Novel
Genre: Umum
Bab 5

Farah memetik gitar elektirk sebagai pemula. Petikan gitar diselang dengan ketukan drum memenuhi ruang tamu.

Suara nyanyian Nabil menambahkan lagi seri lagu yang didendangkan. Suara Aiman sebagai sandaran suara Nabil sangat harmoni.

Nadia leka melihat Aiman mengetuk beberapa jenis drum yang berbeza saiznya. Farah memetik gitar elektrik dengan cemerlang. Lagu selamat hari jadi versi rock.

Nazafi menghentak kakinya mengikut rentak lagu itu. Aiman menamatkan lagu dengan drum. Farah tidak berminat untuk bernyanyi sekali. Latihan dilakukan beberapa kali sebelum ayah pulang.

“Kak Farah, kek ini tak ada lilinlah,” sampuk Munirah apabila memandang kek coklat yang terhidang di atas meja kopi. Farah menghentikan latihan dan segera ke arah kek tersebut.

“Farah, kita tak habis lagi latihan,” tegur Nabil apabila melihat Farah meninggalkan band. Farah tidak membalas.

“Kita rehat sekejap,” arah Nazafi. Nabil dan Aiman mengangguk perlahan. Nabil mengambil segelas air sejuk lalu diminum rakus.

“Air untuk saya tiadakah?” tanya Aiman yang melihat Nabil sedang meminum air tanpa memandang kiri dan kanan.

“Ambil sendiri. Macam tak biasa pula,” ujar Nabil. Aiman mencebik bibirnya.

Nabil berjalan ke arah kek coklat. Farah seperti sedang berfikir sambil dilihat oleh Nadia dan Munirah.

“Kalau tak letak lilin boleh tak? Haram,” kata Farah sambil memandang Nadia dan Munirah silih berganti. Nadia dan Munirah mengerutkan dahinya.

“Apa yang haram? Kenapa tak boleh letak lilin? Bukan kek hari jadi kena ada lilin ke, kak Farah?” tanya Nadia sambil memandang Farah dengan penuh tanda tanya. Farah terdiam. Farah memandang Nazafi meminta bantuan.

Nazafi tergelak saja melihat tindakan Farah. Tahu menegur tapi tidak tahu memberi sebab dan alasan.

“Isk kamu ni Nadia. Kan letak lilin atas kek itu dah ikut budaya kafir. Mana boleh. Kita tak boleh ikut budaya kafir, jadi geng mereka pula. Haram. Ada faham?” sampuk Nabil dengan penuh bergaya.

Nadia masih mengerutkan dahinya. Cuba mencerna bait-bait ayat Nabil. Munirah seperti mengerti sedikit. Farah memberikan isyarat bagus kepada Nabil. Aiman memandang Nazafi. Seperti biasa, Nazafi hanya gelak.

“Nadia, cuba bayangkan. Abang tiup lilin yang ada api. Abang tiup sekali dengan air liur. Satu kek kena sembur dengan air liur abang. Nadia nak makan tak kek tu?” soal Nazafi sambil memandang Nadia. Nadia terus menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Cuba bayangkan lagi. Abang tiup lilin semua tu tapi abang lupa nak gosok gigi dari pagi tadi. Abang sempat makan petai, bawang. Kemudian tiup lilin. Nadia nak lagi makan kek itu?” soal Nazafi lagi sambil menahan tawanya.

“Nadia tak nak makan kek macam itu. Gelilah!” gertak Nadia. Munirah turut menyokong Nadia. Farah tersenyum melihat reaksi Nadia dan Munirah.

“Paksu, macam lama sangat ayah keluar. Nabil pergi cari ayah ya,” pinta Nabil selepas melirik jam dinding. Hujan mula membasahi bumi dengan lebatnya.

“Paksu teman Nabil cari sekali. Aiman jaga rumah sekejap ya. Farah jaga Nadia dan Munirah,” pesan Nazafi sambil bergegas ke pintu rumah.

“Nadia nak ikut cari ayah!”

Nadia menarik tangan Nabil. Nabil terhenti. “Nadia mana boleh ikut. Nadia duduk je dekat rumah. Ok?” arah Nabil kepada Nadia.

Mata Nadia mula bergenang apabila Nabil tidak membenarkan dia ikut sekali. Nazafi yang sedang memulas tombol pintu terhenti seketika. Segera Nazafi mendekati Nadia.

“Nadia jaga kek ayah ya. Nanti abang Aiman makan. Kesian ayah tak dapat makan,” kata Nazafi sambil mengenyitkan sebelah matanya pada Aiman. Aiman tersentak. Farah tergelak.

“Baik paksu. Nadia akan jaga kek ayah,” ujar Nadia gembira apabila ditugaskan untuk menjaga kek coklat ayah. Nazafi tersengih. Nazafi terus memegang bahu Aiman dan memberikan sebuah telefon bimbit.

“Kalau abang dengan Nabil tak balik dalam 2 jam lagi atau ada pencuri masuk ke apa ke, telefon nombor kenalan 1,” pesan Nazafi kepada Aiman dalam keadaan berbisik. Aiman mengangguk faham.

***

“Lepaskan dia!” jerit ayah dari jauh.

Cikgu Hidayah ditolak ke tepi kasar. Terduduk beliau dibuatnya. Dua orang lelaki bertopeng warna emas memandang ayah. 

Sepucuk pistol dihalakan tepat ke arah kepala Cikgu Hidayah. Cikgu Hidayah memejamkan matanya.

“Apa yang kamu berdua mahu?” tanya ayah sambil berjalan mendekati mereka bertiga.

“Jangan bergerak! Aku tembak dia ni nanti!” jerit seorang lelaki yang memegang pistol itu.

“Sabar Lim. Biar aku uruskan,” tahan seorang lagi rakannya. Lelaki itu berjalan perlahan ke arah ayah. Topengnya dibuka. Matanya terbuntang melihat wajah dibalik topeng itu.

“Farhan!”

“Aku tak suka tengok kau hidup. Jadi aku nak kau mati,” sinis sahaja ayat Cikgu Farhan. Sepucuk pistol dikeluarkan dari poket kanan Cikgu Farhan lalu dihalakan ke arah ayah.

“Bawa berbincang Farhan. Kita boleh selesaikan masalah ini dengan berbincang,” pujuk ayah sambil cuba menepis pistol itu.

“Boleh. Dengan kematian kau,” jawab Cikgu Farhan. Ayah meneguk air liur. Cikgu Hidayah cuba membela ayah.

“Jangan bunuh Zainal, Farhan. Bunuh saja aku. Dia ada anak yang masih perlukan dia,” jerit Cikgu Hidayah dari belakang.

Lelaki yang menjaga Cikgu Hidayah terus melempang supaya tidak bersuara lagi.

“Bagus Lim. Sekarang ini engkau seorang saja.” Cikgu Farhan tersenyum sinis melihat reaksi muka ayah yang tidak dapat mengukirkan segaris senyuman pun. Hatinya puas.

“Apa salah aku, Farhan?” tanya ayah dengan berani.

“Aku tak suka kau.”

Bang!

Satu das tembakan dilepaskan. Bahu kiri ayah menjadi sasaran. Cikgu Hidayah menjerit apabila melihat insiden itu.

“Lepas ini, dekat kepala kau.” Pistol dihalakan tepat pada kepala ayah.

Bang!

“Ayah!”

Pistol milik Cikgu Farhan terjatuh. Rakan Cikgu Farhan mengalami kecederaan pada kakinya akibat tembakan yang dilepaskan. Nabil berlari mendapatkan ayah. Nazafi tidak sempat menahan Nabil.

“Bapa tak dapat bunuh. Anak pun jadilah.”

Cikgu Farhan melepaskan tembakan ke arah Nabil. Ayah segera menghalang peluru itu mengenai tubuh badan Nabil. Belakang ayah menjadi mangsa.

“Argh!”

Nabil terduduk melihat ayah sedang melindunginya. Mulut ayah mula berdarah. Ayah melutut. Nabil memegang bahu ayah. Tiba-tiba ayah rebah dalam pelukan Nabil.

“Ayah!”

Nazafi terus mengejar Cikgu Farhan tetapi Cikgu Farhan sempat melarikan diri dan meninggalkan rakannya yang tercedera. Telefon bimbit Nazafi dikeluarkan.

“SO4! Emergency! Strawberry pie!”

Nazafi segera menggari Lim kemudian menghampiri Nabil dan ayah. Cikgu Hidayah segera mendapatkan ayah. Nabil cuba mengejutkan ayah.

Kring! Kring!

“Abang! Tolong! Ada..”

Panggilan dimatikan. Nazafi memandang ke arah Nabil. Bahu Nabil dipegang. Badan ayah yang kaku dibaringkan. Cikgu Hidayah hanya mampu memerhati.

“Nanti ada polis dan ambulans datang sebut tempahan SO4. Tolong ya,” pesan Nazafi sambil berlari meninggalkan mereka bertiga.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Izatul Husna