Home Novel Thriller/Aksi Rahsia Paling Rahsia (Sudah Terbit)
Rahsia Paling Rahsia (Sudah Terbit)
Meja Editor
10/10/2023 10:40:11
7,414
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
Bab 2

AMIR sudah tinggal di flat rakyat ini selama setahun. Harga sewanya RM800 dengan keluasan 600 kaki persegi dan ada lima tingkat. Rumah sewa Amir terletak di tingkat tiga. Tidak ada lif, hanya tangga. Cuma ada dua bilik dan memang kecil, tetapi selesa untuk dua orang.

Dia tinggal bersama Jackson Gemil, orang Iban dari Sarawak. Amir tidak pasti apa kerja Jackson Gemil, tetapi Jackson Gemil selalu bercerita tentang moyangnya, pahlawan Iban yang memburu kepala tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

Sebaik sahaja Amir tiba di tingkat tiga, ada seorang perempuan dari rumah depan yang baru hendak keluar. Namanya Manisha, berumur 20 tahun. Anak sulung kepada pasangan Indonesia yang sudah mendapat kad pengenalan merah. Manisha ini manis orangnya dan sering merenung Amir tanpa Amir tahu apa sebabnya.

Emak Manisha, Sulastri pula, jiran yang sangat baik. Sekiranya masak lebih, dia akan berikan kepada Amir. Jadi, melalui Sulastri dia tahu tentang Manisha yang bekerja di pawagam.

"Nak ke mana?" soal Amir.

"Jumpa kawan kat bawah."

"Boyfriend ke?" Amir tersenyum.

"Bukanlah. Hawa yang jual burger tu."

Amir terasa seperti dadanya ditumbuk. Mengapa selama ini dia tidak tahu yang Manisha berkawan dengan Hawa? Amir nampak ini satu peluang, tetapi dia tidak pasti apa yang boleh dilakukan dengan peluang itu.

"Aik? Tak pernah nampak pun?" kata Amir.

"Memanglah. Hawa tu pandai. Dia kat sini sampai darjah enam je. Lepas tu dia masuk asrama, kemudian masuk U. Memang beberapa kali je dia balik sini. Kalau balik pun dia duduk rumah je, belajar."

"Ooo ... patutlah." Amir mengangguk-angguk.

"Kenal ke?"

"Kenal nama je."

Manisha tersenyum.

"Saya pergi dulu, bang."

SEBAIK membuka pintu rumah sewanya, dia terus terpandang Jackson Gemil yang sedang duduk di sofa dengan TV terbuka. Tetapi Jackson sedang bermain telefon bimbit. Amir terus ke meja makan kecil yang dibeli di Ikea. Selesa untuk dua orang tetapi boleh dipaksa sehingga untuk empat orang.

Jackson bangkit dan memandang Amir yang membuka bungkusan burger.

"Burger Mak Cik Gemuk?" soal Jackson.

"Ha ah."

Amir mula menyuakan burger ke mulutnya yang tidak sabar.

"Aku pun beli kat sana tadi," kata Jackson.

Gigitan pertama selesai. Amir mengunyah dengan perlahan-lahan.

"Sedap, kan?"

"Sedap. Tapi kasihanlah Mak Cik Salbiah tu."

Amir yang baru hendak masuk ke gigitan yang kedua, berhenti. Dia memandang Jackson yang seperti pelakon Korea. Jackson memang mempunyai ramai peminat apatah lagi dengan rambut ikalnya yang diwarnakan coklat terang.

"Kasihan sebab apa?"

"Dia mengadu, ada orang bad mouth dia dan anaknya. Cakap dia gunakan anaknya tu untuk jadi pelaris."

Amir tersentak. Baru sahaja tadi dia berasa istimewa kerana Mak Cik Salbiah meluahkan masalah kepadanya. Tidak sangka Mak Cik Salbiah meluah kepada Jackson Gemil juga. Jangan-jangan, Mak Cik Salbiah meluah kepada semua pelanggannya.

Amir kembali berasakan dirinya tidak ada apa-apa keistimewaan. Dia memandang lagi wajah Jackson Gemil yang boleh menggetarkan hati setiap gadis. Adakah Hawa tertarik dengan Jackson? Amir mula rasa tidak menentu walaupun dia tahu Jackson sudah punya kekasih juruterbang wanita cantik, dan Jackson lelaki yang setia.

"Anaknya tu memang cantik," sambung Jackson.

"Hawa ...," kata Amir perlahan. Wajah Hawa yang sentiasa tunduk, masuk ke ruang fikirannya.

"Wow, kau tahu nama dia." Jackson memandang serius.

Amir ikut tersenyum. Bayangan Hawa semakin jelas dalam kepala.

"Dia cantik, kan?" soal Jackson.

"Ha ah. Cantik."

"Kau suka dia?"

Soalan Jackson itu membuatkan Amir tidak keruan.

"Rasanya ... tapi itulah, orang cantik mesti dah ada boyfriend."

Amir cuba mengembalikan diri ke alam nyata. Terlalu terbuai-buai dengan harapan bukanlah sesuatu yang bagus untuk hati. Risiko untuk melambung kemudian terhempas remuk itu tinggi.

"Ah, kau ni. Kau tanya jelah dia. Kalau dah ada boyfriend, masalah kau selesai. Terus tutup buku. Kalau belum, kau cubalah tackle dia. Kau pun handsome kot. Cuma ...," Jackson tidak meneruskan kata-kata. Dia terlihat berhati-hati.

"Cuma apa?"

Amir angkat kening dan selit rambut ke telinga.

"Kerja kau tu spoil sikit."

Amir tersenyum lebar. Apabila mengingat kerjanya sekarang, dia sendiri rasa tidak percaya.

"Kau jangan salah faham, Mir. Bukan nak hina kerja kau. Kau ada degree kot, tapi kau ikut bomoh jual ubat. Macam ...." Sekali lagi Jackson terhenti daripada berkata-kata. Tangannya diputar-putar seperti sedang mencari perbendaharaan kata yang tepat untuk situasi itu.

"Macam ... kau nak jadi pembantu bomoh je ke? Nak ke Mak Cik Salbiah tu bermenantukan pembantu bomoh? Lepas tu, kau rasa Hawa okey ke kalau tahu kau pembantu bomoh?"

Amir ketawa kecil. Sudah hampir setahun dia mengikut Faizal yang menjual ubatan tradisional daripada peria, halia dan daun misai kucing.

Dia bekerja dengan Faizal selepas berhenti daripada bekerja sebagai eksekutif pemasaran di sebuah syarikat penerbitan buku kerana tekanan kerja melampau. Selepas sehari mengikut Faizal, Amir memperoleh pendapatan yang agak lumayan. Dan dia gembira dengan kerjanya kerana Faizal seorang yang senang dibawa berunding.

Walaupun Faizal seorang majikan yang baik, tidak semua yang dia buat, Amir setuju. Misalnya, bagi menjadikan produknya laris, adakalanya Faizal berlakon menjadi bermacam-macam watak. Menjadi ahli silap mata, menjadi badut dan yang paling Amir tidak boleh terima ialah menjadi guru silat.

Amir dan rakan sekerjanya, Taufik, berlakon menjadi anak murid yang akan terpelanting ke belakang apabila cuba melawan Faizal. Kononnya itu semua kerana kekuatan tenaga batin Faizal. Amir rasa malu juga, tetapi setiap kali melakukan aksi itu, jualan mereka akan naik.

Paling Amir tidak boleh lupa, Faizal menggelarkan dirinya sendiri sebagai Bomoh Faizal Misai Kucing bagi menimbulkan kepercayaan pembeli, dan Amir pula digelar sebagai pembantu bomoh. Itulah yang membuatkan Amir tersenyum lebar kerana mengingat perkara aneh-aneh tentang Faizal.

"Aku pun rasa tak lama kerja dengan Faizal tu," kata Amir.

"Ah, kau. Sejak berapa bulan lepas lagi kata macam tu, tapi masih kerja juga."

"Tunggulah aku dapat kerja lain dulu. Nanti kau juga susah tak ada orang nak tolong bayar sewa."

"Kau kan Pewaris Kekayaan," kata Jackson dan itu membuatkan senyuman Amir hilang seketika. Namun kemudian berganti menjadi ketawa yang besar.

"Lah ... ketawa pula dia."

"Itulah benda paling lawak dalam hidup aku."

"Lawak apanya?"

"Kau percaya aku ni Pewaris Kekayaan?"

Amir masih ketawa.

"Kau cakap, itu pesan akhir ayah kau sebelum dia meninggal dunia. Mestilah aku percaya."

Tiba-tiba ketawa Amir terhenti. Fikirannya mula melayangkepada ayahnya yang lebih dikenali sebagai Mansur Yangami.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.