Home Novel Thriller/Aksi INFERNO BODYGUARD
INFERNO BODYGUARD
Angel_k20
11/5/2020 15:51:47
242,063
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 10

JAUH termenung. Kita dah sampai ni,” kata Rayyan.

Ingatan Syafiq terhadap peristiwa “manis” itu terus berkecai. Rayyan sudah memarkirkan kereta di tepi warung dan membuka pintu kereta. Cepat-cepat Syafiq melepaskan tali pinggang keledar lalu turut keluar dari kereta dan mengambil tempat di kerusi meja makan yang diduduki oleh Rayyan.

“Tak ramai orang hari ni,” kata Syafiq sambil meliarkan pandangan ke sekeliling.

“Baru pukul 9.30 pagi. Kejap lagi pukul 10 penuhlah ni. Kan masa tu biasanya orang kerja pejabat keluar makan,” balas Rayyan.

“Kau nak makan apa? Oder je,” tanyanya pula kepada Syafiq setelah dia selesai memberitahu pesanannya kepada tukang ambil oder.

Pelayan lelaki itu beredar setelah mengambil oder Syafiq. Sementara itu, Rayyan melihat ke sekeliling. Orang masih tidak ramai tetapi semakin beransur ramai hingga sesak jadinya warung itu.

Sebenarnya, boleh saja dia pergi makan di restoran. Tak perlulah dia bersesak-sesak di warung kecil itu. Tapi ya, dia suka begini. Sekali-sekala bertukar angin, apa salahnya? Lagipun, bukannya dia tidak biasa dengan semua ini. 

Dia bukannya lahir-lahir sudah kaya raya. Allah yang memberinya rezeki untuk merasa menjadi orang kaya-kaya melalui usaha kerasnya dalam beberapa tahun ini. Dia dapat mengecap nikmat kekayaan setelah bermacam ujian menyakitkan ditempuh olehnya.

“Roti canai siap…” Pelayan membawa roti canai dan minuman panas yang dipesannya ke meja lalu berlalu pergi

“Sikitnya kuah dia,” sungut Syafiq.

“Kejap aku pergi minta tambah.” Tanpa bertangguh, Rayyan segera mengambil piring kuah lalu membawanya ke meja kuah tambah.

Warung ini viral kerana selain harganya yang murah dan kualiti makanannya yang sedap, kuah juga boleh ditambah sendiri oleh pelanggan kalau rasa kuah yang diberi oleh pelayan tidak mencukupi. Maklumlah cara makan setiap orang kan lain-lain. Ada yang suka makan roti canai kuah banjir dan ada juga yang sekadar buat kuah sebagai pencicah.

“Woi woi! Kepala otak kau!”

Sedang Rayyan menatang piring yang penuh dengan kuah, tiba-tiba telinganya menangkap bunyi pergaduhan. Kuat sangat kedengaran suara cacian dan makian hinggakan fokusnya terganggu. Automatik dia berpaling, mahu melihat apa sebenarnya yang berlaku di sebarang jalan. Namun, saat dia berpaling itulah tiba-tiba tangannya terasa dirempuh oleh satu objek.

“Allah!” Lencun baju kemeja Rayyan dengan tumpahan kuah dal campur kari dan sambal bilis.

“Hei!” Rayyan menalakan pandangannya kepada seseorang yang merempuh tangannya tadi.

Ya Tuhan, sungguh dia berasa sakit hati kepada makhluk berjantina perempuan yang mengacau moodnya pada pagi ini. Sudahlah tidak meminta maaf, bahkan menonong pergi dengan beg sandang penuh semacam digalas ke bahu. 

Berasa Rayyan memaksudkan dirinya mungkin, perempuan itu akhirnya menoleh kepada Rayyan. Terserlah wajahnya yang ditutupi dengan kaca mata hitam. Sekali pandang macam diva acah sombong gila, dua kali pandang macam orang buta.

“Kau ni tak reti minta maaf ke?” Rayyan merapati perempuan itu dengan senyum geram dipamer ke wajah.

“Sikit aje tu. Sorry,” balas perempuan itu dengan muka kerek.

Geram saja Rayyan menengok lagak perempuan itu. Tapi kejap… kenapa dia rasa wajah perempuan itu seperti orang yang dia kenal? Fikir punya fikir, akhirnya dia ingat.

“Lah, kau ke? Patutlah kerek semacam. Hana Mikayla bin Khalid rupanya,” kata Rayyan dengan ekspresi wajah seperti tadi cuma tahap geram dinaikkan sedikit. 

Sengaja dia menukar “binti” kepada “bin”, isyarat bahawa perangai perempuan itu tidak seperti perempuan yang biasanya lemah lembut dan bersopan santun. Kalau salah terus minta maaf, bukannya buat tak tahu. Ini, tak. Sudahlah kerek, perangai macam jantan. Nasib baik masih pakai elok macam perempuan dan tutup aurat dengan sempurna.

“Oh, kau ke? Mamat poyo hari tu. Rayyan Razien binti Zainal.” Hana membalas sinis. Mana boleh mengalah beb. Perempuan tak pernah salah. Sengaja dia tukar “bin” menjadi “binti”, isyarat bahawa dia suka balas balik kata-kata orang yang sesuka hati membuat moodnya hari ini rosak. Lagipun dia tidak tahu nama sebenar ayah Rayyan, jadi dia hentam sajalah ikut apa yang keluar dari fikiran.

Melihat Hana mengikut rentaknya berlawan kata, Rayyan semakin panas hati. Wah, suka menjawab ya perempuan ini! Geram sungguh dia menengoknya. Kecil besar kecil besar saja seorang Hana Mikayla di matanya.

“Kau ni memang jalan tak pakai mata kan? Macam makhluk pink kaki empat tak ada tengkuk saja aku tengok kau. Habis semua benda kau rodok,” balas Rayyan.

“Kalau aku macam babi, kau pula macam hyena tutul. Dahlah hodoh, suka mengata pula tu,” bidas Hana. 

Hyena merupakan haiwan karnivor berbulu kasar, sejenis anjing dari keluarga Hyaenidae. Spesies ini banyak ditemui di sebahagian besar Afrika dan ke arah Timur melalui Arab dan India. 

“Tapi hyena tutul mampu kalahkan singa, apatah lagi babi lembik macam kau.” Balas Rayyan, jangan tak balas.

Mendengar itu, Hana pula berasa semakin tercabar. Ingatkan pengetahuannya terhadap hyena si binatang pemangsa itu sudah cukup tinggi, rupa-rupanya lelaki itu lagi tahu pasal fakta itu. Hyena tutul merupakan hyena paling agresif sehingga mampu mengalahkan singa berbanding hyena coklat dan hyena belang.

“Kau mengaku kalah? Dah cepat minta maaf elok-elok.” Rayyan menarik senyuman kemenangan.

“Memang taklah aku nak kalah dengan kau. Kau tu kenapa duk tercegat macam pengemis di tengah jalan? Orang nak lalu pun tak boleh. Eloklah aku rempuh biar sedar sikit yang kau sekarang ni berada di tempat awam. Warung ni bukan kau yang punya.” Panjang lebar Hana membuat serangan balas.

“Cik kak, kalau nak rempuh orang pun beragaklah. Ni kau rempuh sekali dengan mandi kuah dal kau buat aku. Baju aku ni, kau mampu ke nak ganti? Memang taklah kan? Ni budak ni, kau ke nak tolong mandikan?” Rayyan menunjuk ke kepala seorang kanak-kanak lelaki yang sedari tadi melihat pergaduhan mereka dengan mata terpesir.

Mendengar itu, terus Hana melorotkan pandangannya pada budak itu. Benar, dari kepala hingga ke baju, lencun budak itu bermandi kuah roti canai. Lagi membuatkan matanya membulat di sebalik cermin mata hitam adalah tatkala melihat wajah ibu bapa budak itu. 

Alamak…

“Err…” Langkah Hana pincang. Malu pun ada apabila perasan yang perang mulut mereka ditonton oleh orang ramai. Namun, Hana tidak mahu kalah. 

“Akak minta maaf ya dik,” ucap Hana kepada kanak-kanak itu. Kepada ibu bapanya juga Hana minta maaf. Tapi kepada Rayyan, hell no!

“Jangan harap aku nak minta maaf kat kau. Kita dua-dua salah jadi kita dua-dua seri.” bisik Hana lalu cepat-cepat dia keluar dari warung itu.

Melihat lagak itu, Rayyan ketawa perlahan penuh jengkel. Tak sangka paginya yang indah kini dicemari dengan wajah perempuan itu. Tak apa, Hana Mikayla. Ada ubi ada batas, ada hari dia balas! Sudahnya, dia meminta kuah lain daripada pekedai lalu kembali ke mejanya.

“Dalam sejarah aku nampak Boss gaduh dengan perempuan.” Syafiq terus bersuara setelah Rayyan mengambil tempat di depannya.

“Kalau kau nak tahu, tulah Hana Mikayla. Minah pengacau sidang media kita tu,” jawab Rayyan dengan jengkel.

“Oh. Tapi dia cantik,” puji Syafiq.

“Cantik pun tak guna kalau tak ada akhlak.” Dua kali Rayyan berasa jengkel. Geram pula hatinya kerana Syafiq memuji Hana.

“Marah benar nampak.” Syafiq menggeleng sambil mulutnya penuh dengan roti canai.

“Aku ada meeting pukul 11 nanti. Dah jadi kerja pula nak iron baju baru,” bebel Rayyan.

“Tak apa, balik ni aku iron.” Syafiq faham mesyuarat sekejap lagi sangat penting kepada syarikat. Kerana itu dia faham kenapa Rayyan bengang sangat apabila Hana merosakkan baju bosnya itu. Kalau sikit tak apalah, ini sampai terkena seluar. Memang kena tukar keseluruhan penampilan pada hari ini. 

“Nasib betullah.” Dengan hati mendongkol geram, Rayyan memakan jua roti canainya walaupun seleranya kini sudah hilang dibawa angin geram.

Previous: BAB 9
Next: BAB 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angel_k20