Home Novel Thriller/Aksi Diseksi (Di antara Hati yang Merah)
Diseksi (Di antara Hati yang Merah)
Yaseer Fikri
15/7/2019 20:05:13
17,057
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 4

RAZIMAN  melangkah laju meninggalkan keretanya yang diletakkan di bawah tempat letak kereta berbumbung genting kemerahan. Perkarangan luas rumah agam itu diselaputi pasir dan daun-daun kering. Sekelilingnya hanyalah pohon-pohon tinggi yang memisahkan rumah tersebut dengan kesibukan Matang Jaya yang tiada hentinya. Jauh dari hiruk-pikuk sekitar. Dinding putih banglo dua tingkat itu sedikit lusuh dan berlumut. Jendela-jendelanya yang bewarna hitam masih utuh menghiasi ruang depan di tingkat atas. Di bahagian bawah, jendela setinggi empat kaki terkunci rapi. Sebuah pintu masuk berukuran besar yang dihasilkan daripada kayu belian bewarna coklat, masih gagah menanti tamu.


           Raziman memasuki ruang legar banglo itu yang menyambutnya dengan bau hamis dan hanyir. Sebuah ruang tamu luas tanpa perabot benar-benar di depan pintu masuk. Lampu hiasan yang sudah tua bergantung tanpa nyawa di tengah-tengah ruang tamu. Lantai marmarnya kelihatan kusam dan dipenuhi habuk-habuk merata. Raziman mencari-cari kelibat Chullo. Bahagian kanan tingkat bawah terdapat sebuah pintu gerbang untuk ke ruang dapur. Suasananya benar-benar kelam di laluan masuk ke sana.


“ Kuatnya bau darah?”Raziman menyapa Chullo yang menuruni anak tangga tidak jauh dari ruang tamu.Chullo menghisap rokok di bibirnya dalam-dalam. Puntung rokok kemudian dijentiknya ke lantai.


“ Seperti biasa, Razi.Tangan ini kebas bila tidak ‘memotong’ nyawa,” Chullo mengelap peluh di tubuhnya dengan baju yang dibuka. Tatu helang biru dan merah di tengah dadanya ikut behenjut besama perutnya yang buncit. Seutas rantai perak besar bergoyang-goyang di lehernya.


“ Berapa orang ?”Raziman menghampiri sebuah kotak kayu di penghujung anak tangga. Rokok yang tercuit di bibirnya dinyalakan. Tekaknya loya dengan bau hamis darah yang mengisi ruang legar di situ. Ditambah dengan bau peluh dari badan Chullo,Raziman jadi tidak senang duduk. Lekas-lekas dia menyedut dalam asap rokoknya,lalu dihembus kuat. Rasa pahit rokok mengisi rongga mulut dan hidungnya.


“  Kau harus ikut aku kesan budak perempuan itu,Razi. Jahanam kita jika dia sampaikan maklumat ke telinga polis,” Chullo menyarungkan bajunya.


“ Kenapa terlampau cuai budak-budakmu? Leka dengan judi di telefon, budak sekecil itupun mereka tidak bisa jaga !” Raziman mengerling Chullo tajam.


“ Budak-budakku bekerja atas gaji yang kau beri, Razi. Ini tanggungjawab kau dan aku !” Chullo bercekak pinggang. Nafasnya sedikit kencang.


Raziman berdiri sambil memadamkan sisa rokok dengan kakinya di lantai. Dahinya yang berpeluh diusap ke belakang. Rambutnya yang berkilat langsung tidak terurus.


“ Gadis ini penting buat aku, Razi. Kau tahu Tony juga selalu menggunakan gadis yang lari ini buat pelengkap nafsunya. Kadang-kadang Ah Sun juga,” Chullo mengecilkan matanya memandang ke arah Raziman. Kerutan di dahinya menyimpan resah yang berantaian.Mujur, semuanya bisa dia lepaskan dengan haruman darah gadis yang baharu dirobeknya tadi.


“ Aku tidak pernah lihat gadis itu. Kau kenal mukanya, bukan?” Raziman menyoal.


“ Sangat kenal, Razi.”Chullo menapak ke bahagian dapur. “ Aku sendiri yang menculiknya. Masakan aku lupa wajahnya,” suara Chullo sayup-sayup kedengaran dari arah dapur. Ruang rumah yang luas menyebabkan suaranya bergema.


“ Kau ingat Reynold Luhat, bukan?” Chullo datang semula dengan dua tin bir di tangannya. Satu tin dia hulurkan kepada Raziman. Chullo meneguk laju lalu menghabiskan satu tin dengan pantasnya. Cecair pahit bir itu tidak sempat menyinggahi lidahnya.


“ Ahhh…..kotak penyejuk, aku simpan ais di dalamnya. Bolehlah minuman kita berlama-lama di dalamnya,” Chullo mengelap lebihan air di bibirnya yang tebal.


“ Kenapa dengan Reynold?” Raziman meneguk perlahan bir. Dia memusatkan matanya pada Chullo menunggu jawapan.


“ Budak keparat itu adalah anak gadisnya. Kau tahu?” Chullo menunding jari ke arah luar rumah.Matanya bulat memandang ke arah Raziman dengan tajam. Bibit-bibit geram tertumpah pada matanya.


Raziman tersengih. Dia meneguk minuman di tangannya. Sejurus kering air di dalam tin, dia melemparkan tin itu ke penjuru dinding ruang tamu. Gema tin yang terjatuh memecahkan hening yang menyelubungi.


“ Patutlah kau resah.Bukan kerana takutkan polis semata rupanya,” Raziman menepuk perlahan bahu Chullo. Dia mengeluarkan sebatang rokok lalu menyelitkannya pada mulut Chullo.Setelah api dipetik, Chullo menyedut perlahan asap rokok dan beransur tenang.


“ Jangan kau khuatir,Chullo. Aku akan bantu kau untuk kesan gadis itu. Kuching ini tidak sebesar mana,” Raziman tersenyum yakin. Sesekali dia memerhati ke tingkat atas banglo tersebut, lalu memandang wajah Chullo kembali.


“ Petang nanti, ada sebuah van yang akan ke mari. Teman kita dari sempadan akan hantar lima gadis baharu,” Raziman menghampiri pintu. Seketika dia menoleh kembali ke arah Chulloyang melabuhkan punggungnya ke atas kotak kayu di sisi tangga. “ Kau hilang satu, aku ganti lima, Kaban*,” Raziman melebarkan senyumnya. Chullo hanya menyambut dengan bibir yang terangkat sedikit.



 

WAJAH seorang wanita berambut perang,dan, matanya yang bulat dengan bulu mata yang melentik tebal, membuatkan matanya kelihatan besar, lenyap dari pandangan minda Raziman. Dia terkejut dengan panggilan pengawal keselamatan yang memintanya menggerakkan kereta setelah berhenti di pondok pengawal untuk pemeriksaan.


            Hening senja sudah menutupi sebahagian ruang parkir di pangsapuri mewah The Tranquility 4 itu.Tiada kelibat penghuni di bahagian ruang legar lobi ketika Raziman meletakkan keretanya pada ruang parkir yang bertanda nombor unit rumahnya. Hanya beberapa kereta keluar masuk melalui pagar utama. Raziman mengutip bekas-bekas tin minuman dan kotak rokok yang sudah kosong di dalam keretanya. Sampah-sampah itu dimasukkan ke dalam plastik 7-Eleven di tangannya.


            Sejurus mengunci kereta, plastik itu dia ikat kemas dan Raziman berjalan perlahan menghampiri tong sampah hijau besar pada penjuru kiri pangsapuri. Tong sampah diletakkan di dalam sebuah pondok berbumbung, dengan pintunya diperbuat daripada besi. Raziman membelek-belek telefonnya sambil membalas beberapa pesanan daripada Chullo yang baharu sempat dia baca.


            Bau masam dan busuk daripada tong sampah besar itu mulai menusuk hidungnya saat pintu besi itu terkuak. Beg plastik dilemparnya terus kedalam tong sampah yang separuh penuh. Saat dia leka memerhatikan pesanan-pesanan di telefonnya, tong sampah besar beroda di dalam pondok tiba-tiba bergerak. Raziman terkejut dan hampir saja telefonnya terlepas daritangan.


            Raziman menguak luas pintu besi pondok sampah tersebut. Barangkali, kucing yang mencari makan fikirnya. Sinaran mentari yang masih berbaki membolehkan dia melihat seorang gadis muda yang duduk memeluk tubuh di sebalik tong sampah.


            “ Hantu !!!,” darah menderu mengisi kepalanya. Jantungnya segera berdenyut pantas. Raziman tertolak ke belakang dan hampir jatuh akibat rasa terkejut yang bukan kepalang. Dia berusaha untuk membuka luas langkahnya.


            Namun, tiba-tiba gadis itu merangkak keluar dari balik tong sampah. Raziman sempat menangkap pandangan lesu gadis tersebut. Dia kelihatan sangat tidak bertenaga. Rambutnya kering dan kusut, dan hujung rambutnya berpintal-pintal. Bibirnya sudah hampir membiru. Kotoran hitam bertompok-tompok pada bahagian pipi dan dahinya menyebabkan bola matanya semakin tenggelam. Bau hanyir dan busuk menusuk Raziman kuat.


            Raziman berusaha menilai dalam. Matanya mengecil dan cuba mengenal wajah gadis muda itu. Keseluruhan pahanya disaluti kotoran. Seluar dalam yang dipakai gadis itu sudah kehitaman. Begitu juga dengan t-shirt kebiruan pada tubuhnya.


            “ Tolong saya, encik,” gadis itu bersuara lemah. Dia sedaya-upaya mengensot tubuhnya menghampiri Raziman. Raziman tidak berganjak.


            “ Kau…..manusia atau jin?” Raziman tidak menunggu jawapan. Gadis itu benar-benar lemah. Raziman bingkas bangun lalu mencapai sekeping plastik hitam di lantai pondok sampah. Beberapa keping surat khabar dia kumpulkan bersama.


            Raziman memeluk bahu gadis itu dan membantunya berdiri. Bau hancing dan hanyir bergilir-gilir memasuki hidungnya. Sesekali, Raziman menoleh ke tepi mengambil nafas. Gadis itu melangkah perlahan. Raziman memerhati ke sekeliling kawasan pangsapuri jika ada penghuni yang barangkali boleh membantunya, namun hampa.

 

 

*Kaban (bahasa Iban)- Kawan

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.