Home Novel Thriller/Aksi Diseksi (Di antara Hati yang Merah)
Diseksi (Di antara Hati yang Merah)
Yaseer Fikri
15/7/2019 20:05:13
17,056
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 6

HANYIR dan hamis.


Raziman mengerah otot-otot lehernya untuk mencari ruang udara tersisa. Sekeras mungkin,tangannya berusaha dikuakkan bagi mengapungkan dirinya ke permukaan air. Arus deras yang busuk itu memasuki rongga hidungnya. Raziman terbatuk. Dia kian kepenatan. Ketika sampai di permukaan, dia menarik nafas semahunya. Seketika,kakinya ditarik ke dasar semula.


Dia berada di dalam lautan darah yang merah menyala. Hanyir dan busuknya sudah mengisi daya hidunya sehingga refleks muntah di tekaknya merelakan sahaja cecair darah itu menembusi terowong kerongkongnya.


            Dia mengumpulkan baki tenaga yang masih tinggal. Ketika sampai di permukaan, dia melambai-lambaikan tangan memohon pertolongan. Arus semakin menggila dan membawa dirinya entah ke mana.


            “ Allah……tolong aku !!!!” Raziman mengeluarkan suara yang tersekat-sekat dan berselang-seli dengan batuknya ketika cecair itu berada di kerongkong.


            Tangannya direntap tiba-tiba. Dalam ketakutan yang semakin merenggut, Raziman bisa merasakan pegangan kejap tangan yang dingin.Tubuhnya terangkat ke tebing serta-merta. Raziman mendongakkan dagunya. Titisan darah menuruni wajah dan meleleh ke lantai tebing.


            “ Terima kasih…” Raziman bersuara lemah. Ternyata diasendirian. Tiada kelibat sesiapapun bersamanya. Dadanya langsung berkocak semula. Nafasnya pendek dan tenat. Dadanya seperti ditekan ke dalam.


            “ Imann !!!”


            Raziman tersentak lalu tersedar. Dia kepenatan. Peluh membasahi selimut di tubuhnya. Pancaran mentari dari luar, masuk melalui tingkap bilik. Mulutnya ternganga mengumpul nafas. Janggut nipisnya juga basah dengan peluh. Raziman menyapu wajahnya. Suhu dingin di biliknya menerpa seperti bayu bertiup.


            Raziman termanggu di sisi katil buat seketika. Matanya melilau ke sekeliling bilik. Susun atur biliknya seperti biasa. Tiada yang berubah mahupun berselerakan. Langsir tingkapnya tidak di tutup penuh. Raziman menggosok dahinya yang lebar, meluruti rambutnya ke belakang. Peluh masih berkumpul di situ.


            Punat pada alat kawalan jauh penghawa dinginnya ditekan.Deruan mesin penyejuk itu berhenti serta-merta. Raziman menarik nafasnya dalam-dalam. Dia mengeliatkan tubuh semahunya lalu beransur ke luar bilik.Tubuhnya yang rata dan dadanya yang tertonjol ke depan   terasa dingin kerana tidak berbaju.


            Pintu balkoni terbuka luas. Tirai pada pintu balkoni bergerak-gerak ditiup angin perlahan. Seorang gadis bertubuh kecil berdiri diluar balkoni. Rambutnya yang kekuningan beralun-alun.


            “ Kau baharu bangun ?” Raziman menyapa gadis tersebut sambil menggaru-garu dadanya yang gatal.


            Gadis itu lantas menoleh. Matanya membulat. Dia sedikit terkejut. Bola matanya bergerak-gerak ke kanan kiri saat kepalanya tertunduk.Tangannya memegang dada. Rambutnya yang beralun diterpa angin menampakkan rahangnya yang bersegi. Belahan dagunya membuatkan bahagian bawah mukanya kelihatan runcing. Dia mengalihkan rambut yang menutupi dahi dan matanya kesisi telinga.


            “ Maaf, kalau mengejutkan awak….” suaranya terketar sedikit.


            “ Siapa nama kau ?” Raziman menyandarkan sikunya pada pagarkaca balkoni. Dia menyalakan sebatang rokok, menyedutnya dalam-dalam lalu asapnya terbang jauh bersama angin.


            “ Saya Valerie…saya minta maaf, kerana menyusahkan awak,”gadis itu menundukkan mukanya. Tangannya menggosok jari-jemarinya yang putih.


            Raziman mengerling ke arah Valerie. Asap rokok dimulutnya keluar perlahan. Bibirnya dikatup ke dalam.


            “ Entahlah. Semua ini mungkin akan datangkan masalah pada aku kelak…..” Raziman memadamkan api rokoknya. Puntungnya yang masih panjang dibuang ke dalam bekas abu bewarna perak pada penjuru balkoni.


            “ Di mana keluarga kau ?”


            Gadis itu melontarkan pandangannya ke arah kumpulan pokok Pain di bulatan di seberang pagar utama ke pangsapuri The Tranquility 4 itu.


            “ Di Miri…dan, kali terakhir saya melihat mereka adalah pada hari saya diculik beberapa  orang lelaki,”kelopak mata Valerie berkerut. Dadanya turun naik dengan laju.


“Setelah sedar…saya sudah berada di bilik hotel, di Kuching. Saya tidak tahu berapa lama saya pengsan…atau ditidurkan,” mata Valerie mulai berkaca. Dia menahan air matanya daripada gugur.


Garis-garis timbul diantara alis Raziman yang lebat. Kelopak matanya berlipat ke dalam merapatkan jarak mata dan alisnya. Jantungnya juga ikut berkocak. Mangsa dan pemangsa berada bersebelahan. Taringnya tersembunyi ke dalam atas rasa belas yang muncul entah dari mana.


“ Saya tidak tahu nasib saya selepas daripada itu. Saya sering bertukar tangan, daripada lelaki Cina kepada lelaki yang lain yang saya tidak kenali siapa. Semuanya bukan dengan kerelaan saya…..” air mata Valerie berderai jatuh. Bahunya terhenjut-henjut menahan sebak.Tangannya mengenggam pagar kaca dengan kejap.


Raziman mahu menggapai Valerie ke dalam pelukannya, lantas untuk membuang sejauh mungkin rasa bersalahnya terhadap gadis comel itu. Gerakkannya terhenti. Telefonnya berdering kuat daridalam rumah.


“ Siapa yang memberitahumu?,” senyuman Raziman terukir girang setelah mendengar kata-kata Chullo menerusi telefon. Dia mundar-mandir di ruang tamunya yang bertingkat.  


“ Baiklah. Aku jumpa kau sekarang, ya,” pipi Raziman terbit kemerahan. Dia ingin bersorak kuat,namun terhenti akibat renungan kehairanan daripada Valerie di balkoni. Raziman menelan tawanya lekas-lekas.


“ Kau jangan kemana-mana, ya,” tangannya yang masih memegang telefon bimbitnya menunding kearah Valerie. Mata Valerie melebar.


“ Apa kau ingin makan sesuatu ? Aku boleh belikan ?”


Valerie menggeleng lembut. Sudut bibirnya terangkat, menampakkan dua lesung pipit yang sungguh manis di kedua pipinya.


            Raziman mengangguk cuma. Dia meninggalkan Valerie kejanggalan di balkoni. Valerie gugup. Dia kekok kerana terpaksa menumpang di rumah lelaki yang tidak dia kenali. Setelah kesemua tenaganya beransur gagah semula, terbit pula rasa segan pada dirinya kini.


            Dengan ihsan yang Raziman telah berikan padanya, dia tidak ingin membantah. Baginya, satu-satunya cara untuk dia melambangkan terima kasih kepada Raziman adalah dengan menuruti kehendaknya. Raziman sudah cukup baik kerana tidak memulangkannya kepada lelaki buas yang selalu menghantui mimpinya. Chullo !!


            “ Oh ya, berapa saiz baju dan seluarmu?” Raziman tiba-tiba menapak di hadapan Valerie.


            Valerie sedikit terkejut. “ Saya….tidak ingat, encik,”Valerie berpaling kiri dan kanan melihat tubuhnya berkali-kali.


            “ Aku belikan saiz ‘S’, ya. Seluarmu barangkali saiz 25 atau 26,” Raziman menunjukkan ibu jarinya. Senyumannya melebar. Tampak giginya yang putih dan teratur. Jambang dan  janggut nipisnya ikut melekuk.


            “ Satu lagi, jangan panggil aku Encik. Kita bukan di pejabat.Panggil aku Iman,” Raziman menghadiahkan senyuman pada Valerie lalu melangkah laju ke biliknya.

            “ Baik… Iman,” Valerie berbisik di hatinya. Nafasnya dihempas perlahan.

 

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.