Home Novel Thriller/Aksi CODE NAME: RYZEN
CODE NAME: RYZEN
Angel_k20
29/7/2020 15:09:11
52,011
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 8

HARI ini, ketika ini, perasaannya betul-betul marah. Kemarahan yang dikawal sebaik mungkin sejak tadi akhirnya gagal dibendung lagi apabila berita yang diterima daripada orang kanannya benar-benar memberikan tamparan hebat buatnya.

"Apa kau cakap?" jerkah Nasrun seraya menampar keras pipi Tuan Cincau.

Berasap teruk perasaannya ketika ini. Tak sangka betul yang projek penanaman ganjanya di sini juga diserbu oleh pihak polis. Sudahlah projek ketum bersama bekas banduan bernama Tok Dalang memberi hasil haprak, kini projek ganjanya pula sia-sia.

"Malaun mana yang kacau projek aku hah?" tempik Nasrun pula lalu menerajang keras kaki kerusi.

Kaki kerusi yang diterajangnya terpatah dua namun dia masih tidak berpuas hati. Amarah semakin menguasai diri dan akalnya seakan-akan dirasuki iblis. Kini, tidak cukup dengan kerusi, kaki meja juga disepaknya sehingga terpatah dua.

"Cincau,aku nak kau perhatikan betul-betul siapa yang buat kacau projek aku tu," arahnya pula seraya mengacukan jari telunjuk kanan ke muka Tauke Cincau.

"Baik, tuan." Tauke Cincau menekur lantai.

Kecut perutnya melihat kepala kerja haramnya naik minyak ketika ini. Namun, dia faham kenapa ketuanya bertambah bengang. Selama ini elok saja bisnes dadah mereka berjalan lancar. Namun, entah di mana puncanya, berturut-turut ladang ketum dan ganja mereka diserbu oleh pihak berkuasa.

Nasrun meramas kasar rambutnya yang disikat rapi terbelah tengah sehingga berserabai. Marahnya meluap-luap menanti masa untuk meletup. Kali ini, nasibnya memang malang bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga. Teringat dia akan panggilan Datin Zariah tadi.

Imbas kembali.

"Maaflah Nasrun, anak aunty tiba-tiba pula ada kerja hujung minggu ni," ujar Datin Zariah di talian.

"Yakah? Tak apalah aunty, saya faham. Tugas Raisha sebagai pegawai diplomatik antarabangsa memang sibuk," jawab Nasrun dengan sopan.

"Entahlah, aunty pun tak jangka sebenarnya. Elok saja dia kata boleh, tak boleh pula. Aunty minta maaf ya," pujuk Datin Zariah lagi.

"Eh, tak apa aunty. Tak apa. Saya faham tugas dia macam mana. Jangan risaulah, saya tak simpan dalam hati," balas Nasrun pula.

"Baiknya kamu. Sejuk hati aunty dengar kata-kata kamu ni," puji Datin Zariah seraya ketawa kecil.

"Saya biasa aje." Nasrun merendah diri.

Perbualannya bersama Datin Zariah, isteri kepada usahawan emas terkenal iaitu Dato' Salam di talian semalam betul-betul menggamit memori. Keluhan kasar dilepaskan sekali lagi dek mengenang nasib diri yang sehingga kini gagal memenangi hati anak perempuan pasangan tersebut.

Shafa Raisha, usahanya dalam memikat sekeping hati gadis tersebut sememangnya menempuh jalan yang amat sukar. Apa kurangnya dia jika dibandingkan dari sudut kekayaan? Dia dua kali ganda lebih kaya daripada keluarga Dato' Salam. Hanya saja rupanya tidak seberapa hot di mata gadis itu berbanding rakan-rakan lelakinya yang lain. Namun, perlu ke dia ditolak mentah-mentah?

Nasrun mengeluh kasar. Berkecamuk hatinya mengenangkan bisnes mula dikacau, gadis pujaan pula seakan panjang akal untuk mengelak daripada berjumpanya. Malang sangat nasibnya ketika ini. Raisha, Raisha. Gadis itu memang suka main kasar ke?

'Raisha, aku akan buat apa saja untuk dapatkan kau,' azam Nasrun dalam hati.



ANGIN pantai bertiup kencang petang ini. Suasana redup pantai pada jam lima petang itu kelihatan meriah dengan laungan keriangan anak pulau, namun suasana itu tidak lama apabila kelam beransur datang.

Shaurin melebarkan pandangannya ke sekeliling. Sejak hari pertama dia menjejakkan kaki ke tempat ini, inilah kali pertama dia mengambil angin dan berjalan-jalan melepaskan stres yang agak membelenggu jiwa.

Sebagai seorang Shaurin, dia sememangnya sejenis manusia yang tidak suka berjalan-jalan. Jika dia meluangkan masa mengambil angin, itu bermakna fikirannya sudah berserabut di skala sepuluh persepuluh. Namun, kali ini lain.

"Aku tak sangka pula pulau ni sebenarnya maju walaupun nampak mundur," ujar Shaurin seraya membetulkan tudungnya yang berkibaran ditiup angin pantai.

Ujaran Shaurin disambut oleh Ryzen dengan senyuman seraya bajunya juga dibetul-betulkan. Kuat betul angin petang ini dan ombak pun nampak agak ganas. Entah selamat atau tidak untuk bermain jet ski sekejap lagi, tambah pula awan hitam kian bergulung di badan langit.

"Rin," panggil Ryzen.

"Ya," jawab Shaurin. Matanya tetap saja ditala kepada pemandangan menakjubkan di depan mata. Laut yang terbentang luas di depan matanya sangat cantik. Subhanallah.

"Terima kasih sebab pilih ikut aku," ucap Ryzen ikhlas.

"Terbaliklah, Ryzen. Aku yang sepatutnya ucap terima kasih kepada kau kerana sudi menyamar sebagai boyfriend aku. Atas jasa itulah, aku dapat beritahu mami yang aku tiba-tiba ada kerja hari ni." Shaurin menalakan pandangannya kepada Ryzen lalu seulas senyuman manis dihadiahkan kepada si jejaka. Fikirannya kembali teringat kepada perbualan dengan maminya.

Imbas kembali.

"Mami, maaflah Rin betul-betul ada kerja hujung minggu ni. Bos Rin minta temankan dia ke pulau untuk urusan rasmi," beritahu Shaurin dengan debaran menghentak keras dadanya.

"Bos Rin tu single?" soal maminya.

"Dia boyfriend Rin." Shaurin memejam mata. Harapnya, si mami menerima alasannya tanpa banyak soal.

"Seriuslah? Habis Nasrun macam mana?" Seperti diduga, suara maminya naik seoktaf.

"Rin tak suka Nasrun. Mami, Rin kena pergi sekarang. Bye." Terburu-buru Shaurin memutuskan talian.

Teringat itu, Shaurin melepaskan keluhan. Daripada gaya maminya, memang nampak sangat terdesak mahukan menantu. Mungkin kerana itulah, si nerd Nasrun pun dirembatnya sebagai bakal menantu sparepart. Tolonglah. Si Nasrun itu sangatlah annoying tak boleh dibawa bincang langsung.

Jika dalam proses berkenalan pun mahukan permintaan sentiasa dituruti, nanti kalau lepas kahwin macam mana? Mengongkong dan cemburu buta, itu sifat Nasrun yang tidak disenanginya. Paling tidak dengan mengatakan kepada maminya bahawa dia sudah ada boyfriend, dia terselamat. Mungkinlah.

"Terima kasih juga sebab sudi jadi boyfriend palsu aku," tutur Shaurin.

Ryzen ketawa perlahan mendengar ujaran Shaurin. Rin, Rin. Kalaulah Shaurin tahu yang dia sukakannya sejak pertama kali melihat kehadirannya sebagai rekrut baharu organisasinya, tak adalah dia sengaja meminta Tuan Azam menghantar gadis itu ke sini.

'Tuan, yang ni aku sangat berterima kasih. Akhirnya kau faham yang aku tak suka diberikan partner selain daripada yang aku sendiri minta.' Ryzen mengolah senyum.

Bukan main lagi susah dia nak meyakinkan Tuan Azam mengenai Shaurin. Ketuanya itu memanglah suka saja menaikkan darah panasnya. Nasib baik permohonannya agar Shaurin menjadi partner diluluskan. Jadi, dia ada geng untuk dibahan sepanjang menjadi guru di sini.

"Ryzen, aku rasa kita tak boleh mainlah," ujar Shaurin sambil menunjuk ke atas langit.

Ryzen menalakan pandangannya pada langit. Betullah, awan hitam semakin bergulung dan deru angin pantai juga semakin menderas. Ombak pula semakin mengganas. Penyewa jet ski telah beransur mengemaskan barang sewaannya dan anak-anak pulau juga kian beransur pergi dari gigi pantai.

"Ya, nampaknya. Tak apalah, lain kali saja. Jomlah kita lepak di gerai sana. Nampak udang celup tepung tu macam sedap," ajak Ryzen.

Ajakan daripada Ryzen disambut akur oleh Shaurin. Nak buat macam mana, tak ada rezeki untuk mereka bermain hari ini. Lagipun, maklumat awal mengenai pulau ini sudah diperoleh tadi. Maka, lain kali sajalah mereka bermain.

Tanpa sepatah kata yang terluah, mereka berdua mula mengorak langkah ke arah gerai makan. Namun, belum pun sempat sepuluh langkah mereka menapak, tiba-tiba langkah mereka terbejat. Bunyi itu sangat dekat dengan mereka!

"Ke tepi!" jerit satu suara panik disertai dengan bunyi ringkikan dan derapan tapak kaki kuda yang menghala laju ke arah mereka berdua.

"Ke tepi!" jerit suara itu lagi.

Mereka berdua pantas berpaling ke belakang dan ketika itulah, mata mereka terbuntang luas. Seekor kuda yang ditunggang oleh seorang budak remaja hilang kawalan! Tanpa mempedulikan keselamatan diri, Ryzen terus menolak Shaurin ke tepi sekuat tenaganya sebelum dirinya berasa dirempuh dan melayang serta terhentak keras di atas pasir.

"Ryzen!" jerit Shaurin nyaring. Figura Ryzen yang tergolek di atas pasir pantai benar-benar meragut semangatnya! 

Previous: BAB 7
Next: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angel_k20