Home Novel Thriller/Aksi CODE NAME: RYZEN
CODE NAME: RYZEN
Angel_k20
29/7/2020 15:09:11
52,011
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 7

SHAURIN gigit bibir. Jet ski merupakan sukan air yang paling dia minat. Tapi, mami pula buat hal. Mami itu garuda, dia pula anak garuda. Macam mana? Tolonglah, dia tak nak jumpa Nasrun!

"Ryzen," panggil Shaurin akhirnya.

"Apa?" Ryzen yang sudah berkira-kira mahu beredar mematikan langkah. Shaurin setuju mengikutnya ke?

"Err..." Sekali lagi, Shaurin menggigit bibir.

Beritahu? Tak nak beritahu? Agak-agak, Ryzen setuju tak dengan permintaan dia? Tolonglah Ryzen, tolonglah setuju. Tanpa alasan kukuh untuk diberi kepada mami, jangan harap dia dapat melepaskan diri daripada berjumpa Nasrun!

"Apa?" Ryzen sudah mula hilang sabar . Eh budak ini, boleh pula main pintal-pintal hujung tudung.

"Boleh tak kau jadi boyfriend aku?" pinta Shaurin lalu memejam mata sehabis rapat.

Ternganga Ryzen mendengar permintaan tidak masuk akal daripada partner baru di depannya. Wah, berani betul gadis bernama Shafa Raisha! Tiada angin tiada ribut, tiba-tiba minta jadi boyfriend?

"Kau demam ya?" soal Ryzen dengan dahi berkerut.

"Tak. Aku serius ni. Aku nak ikut kau main jet ski, tapi aku tak boleh ikut kalau kau tak tolong aku." Sekali lagi, Shaurin menunduk lalu menguis-nguis lantai kantin.

Ryzen tergelak keras melihat aksi mak cik kantin sememeh lagi tidak kemas di depannya. Oh, rupanya mata kailnya tersangkut juga dimakan oleh anak garuda ini. Bagus Shaurin, tapi yang itu dia tak nak tolong. Boyfriend? Alah, daripada couple, lebih baik kahwin terus.

"Kenapa aku perlu jadi boyfriend kau?" duga Ryzen walaupun dia sudah tahu jawapannya.

Shaurin ini sangat kasihan sebenarnya. Menurut Tuan Azam, budak ini kurang kasih sayang. Sengaja Shaurin diletakkan sebagai partner barunya semata-mata untuk mengelak daripada dimakan oleh "jerung".

"Err..." Shaurin serba salah. Hujung kukunya diketip-ketip dan bibir mulutnya juga diketap perlahan.

Ryzen menarik senyuman sinis melihatkan kelakuan Shaurin. Yalah, Shaurin menang. Kasihan betul. Jadi, biarlah kali ini dia pula tolong gadis ini. Keluhan nipis diluah, ketawa kecil terletus.

"Rules pertama sebagai partner aku. Tiada rahsia antara kita," beritahu Ryzen seraya menepuk perlahan kepala Shaurin dengan fail lembut.

"Rules kedua, sama macam rules kau," beritahu Ryzen lagi seraya menunduk sehingga mencapai aras mata Shaurin yang galak memandangnya.

"Tapi." Ryzen berjeda lalu senyuman sinisnya dikoyakkan sekali lagi.

"Aku tak suka kalau hubungan kita sekadar pura-pura," beritahu Ryzen jujur.

Mendengar bait-bait ayat jejaka di hadapannya, automatik Shaurin menalakan pandangannya kepada Ryzen. Apa maksud jejaka itu sebenarnya? Dia tak faham.

"Kira jadi ya. Sabtu ni, pukul 5.00 petang, Pantai Teluk Laga." Terus Ryzen memberikan arahan tanpa sempat Shaurin membalas.

Muka Shaurin dilihat terkejut, tapi apa ada hal? Lagipun, dia sebagai seorang Ryzen telah berjanji pun kepada Tuan Azam bahawa apa-apa risiko yang bakal berlaku, dia akan bertanggunggjawab dan menjadi pelindung buat Shaurin.

'Rin, aku takkan benarkan kau dirampas oleh Nasrun. Si nerd berkaca mata tebal tu hanyalah luaran, dalamannya aku lebih tahu bahawa dia ialah jantan keparat.' Wajah Shaurin dipandang sekali lagi.

"Tapi. " Shaurin ingin membantah. Sebenarnya, hari Sabtu inilah hari yang sesuka hati saja maminya mengatur temu janjinya dengan Nasrun.

"Nasrun atau aku, mana lagi kacak?" cantas Ryzen sambil menjongketkan kening.

"Mestilah kau," jawab Shaurin polos sebelum matanya membulat.

"Eh?" Shaurin tercengang. Macam mana Ryzen tahu pasal Nasrun?

"Hei, My Lovely Miss Iceberg, Nasrun langsung tak sesuai untuk kau. Tahu?" Sekali lagi, Ryzen mengetuk perlahan kepala Shaurin dengan fail di tangannya.

Senyumannya disengetkan, matanya menerjah tikam tepat kepada anak mata Shaurin yang turut menikam anak matanya. Shaurin kelihatan bertambah terkejut, tapi apa boleh buat apabila sebenarnya dia sendiri yang merayu kepada Tuan Azam agar Shaurin diletakkan di bawahnya.

"A... aku..." Shaurin kehilangan kata.

"Okeylah, aku ada kelas ni. Jangan lupa tau, Sabtu," kata Ryzen seraya tersenyum manis lalu bergerak meninggalkan Shaurin yang masih statik terkejung tanpa kata.



"CIKGU Harraz, eh Ustaz Harraz," tegur Sohok sambil tersengih-sengih.

Ryzen kebetulan naik ke pejabat untuk mengambil fail pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam ketika ini. Kedengaran janggal jugalah apabila Sohok dan cikgu lain memanggilnya dengan panggilan sekejap cikgu, sekejap ustaz. Tapi, nak buat macam mana jika itulah tugasnya di sekolah.

Menyahut panggilan Sohok, Ryzen hanya melemparkan senyuman, mengangguk perlahan seraya mengangkat tangan kepadanya. Kalau tak layan nanti dicop sombong pula. Tak naklah begitu. Dia orang baru jadi kenalah bersikap peramah.

. Itu pegangannya apabila setiap kali dihantar ke sesuatu tempat untuk melaksanakan misi. Lagipun,

"Ustaz," panggil Sohok lagi dengan suara meleret.

Meremang bulu roma Ryzen mendengar panggilan lembut lagi ayu daripada Sohok. Aduhai, Sohok! Tak mahu bertaubatkah kamu? Kenapalah terus menyotong sejak dulu sehingga kini tanpa tanda mahu berubah?

"Ada apa, Sohok?" Ryzen berbasa basi.

"Ustaz kacak," ucap Sohok sambil terkepit-kepit.

Astaghfirullahalazim. Istighfar panjang Ryzen mendengar ayat yang terluah dari mulut Sohok. Kalau memuji atas dasar lelaki tak apalah, ini dasar pondan memuji lelaki. Sah, Sohok ini mungkin sudah terputus fius!

"Terima kasih puji," balas Ryzen dengan senyuman teragak-agak.

"Ustaz cari apa? Biar adik So Hot yang cari," ujar Sohok sambil mengerdip-ngerdipkan matanya beberapa kali kepada Ryzen.

Seram. Itu yang dirasakan oleh Ryzen sekarang ini. Wallahi, ketika ini dia berasa mahu cepat-cepat keluar dari pejabat. Hairan betul dia kenapa Pak Imam Saleh tidak menasihati atau mengambil tindakan terhadap Sohok.

Baginya, kemungkaran ini semakin bermaharajalela dan ia sangatlah tidak bagus untuk perkembangan pelajar. Sohok sudah melampau baik dari segi perbuatan dan tindakan serta etika kemanusiaan.

Namun, memandangkan orang kampung ini sedang mengalami keruntuhan akhlak, Ryzen dapat rasa yang Pak Imam Saleh sudah tidak mampu halang perbuatan Sohok. Mungkin sekadar nasihat sajalah dia boleh beri kepada lelaki itu.

"Mana fail subjek Pendidikan Islam? Saya perlu masuk kelas ni," tanya Ryzen.

Sengaja dia menanya terus si Sohok dengan harapan dia dapat keluar daripada belenggu yang melemaskan ini secepat mungkin. Sohok sudah lama bekerja di sini dan mungkin dia tahu di mana fail tersebut diletakkan.

"Oh, ada. Sekejap adik ambil." Berlenggang, Sohok berjalan terkepit-kepit ke almari kaca yang menempatkan fail-fail dan buku serta dokumen rasmi sekolah.

"Tada... ini dia ustaz." Sekejap saja dia berjaya menjumpai fail yang dimaksudkan lalu memberikannya kepada Ryzen.

"Terima kasih," ucap Ryzen lalu melemparkan senyuman teragak-agak.

Bukan dia tidak ikhlas tetapi itulah, meremang lagi bulu romanya melihat pandangan tajam tambah gedik Sohok kepadanya ketika ini. Tidak menunggu lama, terus Ryzen blah dari situ. Tolonglah, janganlah wujud spesies umat Nabi Luth a.s di sini. Janganlah pula bertambah kuasa tiga misi dia sekarang! 

Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angel_k20