Home Novel Thriller/Aksi CODE NAME: RYZEN
CODE NAME: RYZEN
Angel_k20
29/7/2020 15:09:11
50,285
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 6

SEJAK tadi lagi jantung Ryzen berdebar kencang. Entah kenapa kelas Tingkatan Satu Halia ini semacam memberikan aura negatif saja kepadanya. Ya, negatif! Ada satu aura "membunuh" yang tidak dapat dideskripsikan dengan kata-kata.

"Selamat pagi, cikgu," ucap ketua kelas dan diikuti oleh semua pelajar dalam kelas tersebut.

"Selamat pagi," jawab Ryzen tenang.

Cis, tenanglah sangat! Padahal, sudah berbakul-bakul perasaan tidak senang singgah dalam hati. Bukannya dia tak perasan cara pandang pelajar lelaki di dalam kelas tersebut kepadanya. Itu dia, macam gengster ajak bertumbuk!

"Class, cikgu Sejarah kamu dah ajar sampai topik mana sebelum ni?" tanya Ryzen sekadar berbasa-basi.

Padahal, dia tahu saja setakat mana Cikgu Robiah mengajar sebelum surrender ke tingkatan tiga. Guru manalah yang tahan mengajar pelajar kelas tercorot ini. Perangai seorang-seorang pelajar sememangnya nauzubillah.

"Topik cinta kita, cikgu," jawab pelajar perempuan di belakang sekali disusuli dengan gelakan keras secara berjemaah.

'Tak bertamadun punya budak!' selar Ryzen dalam hati.

Hampir saja kapur tulisnya melayang ke kepala si budak perempuan itu jika tidak kerana kesabarannya masih menebal. Anak didiknya ini bukanlah budak-budak darjah satu hingga enam yang boleh dipiat telinga sesuka hati. Mereka ini anak remaja yang berdarah panas.

'Cool, Ryzen,' pujuk hatinya sendiri sambil perkataan bersabar, bertabah dipasak kukuh dalam dirinya sendiri.

"Topik cinta kita ya? Nice. Jadi, setakat mana dah cinta kita berputik, Salehah?" soal Ryzen seraya tersenyum sinis.

Itu dia, terdiam terus si pelajar yang bernama Salehah apabila disindir olehnya. Itulah, tadi galak sangat bercakap tak pandang kiri kanan. Ingat dia ini lelaki murahan ke?

"Kembali ke topik asal. Dengan cikgu, jangan sesekali bermain kata cinta. Cikgu takkan beli." Ryzen menarik senyuman sinis lagi.

"Siapa yang jawab salah soalan cikgu, dendanya ialah lap cermin tingkap," ugutnya pula.

Ketika itu, bisik-bisik tak puas hati mula kedengaran. Ryzen memejam mata seolah-olah menikmati desis dan desas daripada para pelajarnya. Sorry, tapi cermin tingkap kelas dia orang ini sudah boleh dibuat pertandingan melukis. Dasar budak pemalas!

"Cikgu, kenapa cikgu handsome sangat? Aye is cairlah." Cuba pula seorang pelajar perempuan lain sambil tergedik-gedik.

'Allahu!' ucap Ryzen dalam hati.

"Ya, cikgu tahu cikgu handsome. Tapi, cikgu tak suka orang yang tak berdisiplin macam kamu ni, Halimah," tangkis Ryzen dengan tenang.

Terus gegak gempita seisi kelas mentertawakan Halimah. Halimah terkenal dengan perangai diva tetapi itulah, agak tidak mengikut peraturan orangnya. Ada ke patut datang ke sekolah bermekap tebal? Kalau kemas tak apalah, ini tidak. Bercapuk di sana sini. Boleh tertukar dengan hantu.

"Sampai hati cikgu," cebik Halimah dengan gaya divanya.

"Hatiku sentiasa sampai untuk mendendamu, Halimah. Pergi buang mekap kamu, sekarang," arah Ryzen tegas.

"Cikgu tak ada hak nak mengarah saya!" bantah Halimah seoktaf nada.

"Yakah?" Ryzen menjongketkan kening.

"Eh?" Halimah mula diserang hairan.

"0138904..." Ryzen mengeluarkan telefon pintarnya lalu sengaja menekan dan membaca kuat-kuat nombor telefon dengan senyuman sinis terukir di bibir.

"59..." leret Ryzen lagi. Halimah berubah cuak, dia semakin seronok membaca nombor telefon tersebut.

'Kau nak lawan aku ya, budak? Dalam mimpi sajalah.' Hati Ryzen ketawa lagi.

"Ti..." Ayat Ryzen dicantas oleh Halimah.

"Baik cikgu. Jangan call mak saya. Tolong!" rayu Halimah berkali-kali.

'Tahu takut ya? Bagus!' Ryzen tersenyum kemenangan.

Haruslah Halimah takut, emaknya cikgu disiplin di sekolah itu. Ada ke patut emak bukan main mendisiplinkan anak orang lain tetapi anak sendiri tidak berdisiplin.

"Okey. Now, go!" arah Ryzen.

"Baik cikgu." Menekup muka, Halimah terkocoh-kocoh keluar dari kelas lalu menuju ke tandas.

Senyap sunyi semua pelajar yang berada dalam kelas setelah Halimah dikenakan sebegitu rupa oleh cikgu tampan.

"Hari ini kita belajar topik tamadun. Buka muka surat tu," arah Ryzen lantang.

Tanpa ada yang membantah, semuanya menurut arahan. Bunyi helaian kertas diselak serentak sebetulnya mendamaikan rentak jantungnya yang berasa puas dapat melihat para pelajarnya berkelakuan baik. Setidaknya, ketika dia mengajar.

'Bagus.' Ryzen tersenyum nipis.



TELEFON pintar dalam poket apron Shaurin bergetar. Sengaja dia menetapkan telefonnya dalam mod senyap semata-mata tidak mahu tugasnya terganggu. Lagipun, dia tidak suka mendengar bunyi notifikasi ataupun nada dering. Pelik, kan?

"Hujung minggu ni?" tanya Shaurin setelah menjawab salam.

"Please mami, Rin tak nak," bangkang Shaurin.

Panggilan ditamatkan dan dalam lima saat, skrin telefon berubah gelap. Panggilan daripada ibunya, Mami Zariah sememangnya sentiasa menjadi kelemahan dalam hidupnya. Sumpah dia berasa ingin menangis sekarang.

Memaksa. Mengongkong. Menyekat. Segala perkataan "me" yang tidak elok, ada pada diri maminya. Segala yang tidak baik itu malangnya dilempiaskan pula kepada dia, si anak tunggal.

Bunyi ketukan di kaunter segera menyedarkan Shaurin daripada menungan panjangnya. Figura Ryzen yang terpacak kukuh di hadapannya dipandang dengan wajah berkerut. Lah, sudah kenapa si cikgu berada di sini ketika ini?

"Kau free tak hujung minggu ni?" soal Ryzen dengan riak wajah serius.

Shaurin menjongketkan kening. Apa hal tiada salam tiada mukadimah, terus-terus saja bertanya sama ada free atau tidak hujung minggu ini. Kalaulah Ryzen tanya awal-awal sebelum maminya menelefon tadi, maka sudah tentulah jawapannya akan "free".

"Aku tak free, sorry," jawab Shaurin lemah. Menunduk dia ke bawah seperti gaya orang putus harapan hidup.

"Seriuslah? Mak cik kantin macam kau pun takkan sibuk kot hujung minggu?" tanya Ryzen dengan dahi berkerut.

Itu dia, pak cik tua ini sudah mula masuk mod bergurau tak kena tempat. Kecil besar saja Shaurin melihat figura Ryzen di hadapannya sekarang. Hatinya sudahlah sakit diberikan arahan mandatori oleh maminya, kini tersakiti pula oleh Ryzen?

Shaurin menarik senyuman semanis mungkin lalu tanpa membilang satu, dua atau tiga, terus dia sepak batang betis Ryzen sekuat hati.

'Woi, Shaurin! Kau dah kenapa? Semalam elok saja aku panggil kau mak cik kau tak marah pun!' Berkerut Ryzen menahan sakit. Terhincut-hincut kakinya.

"Rules pertama, jangan sekali-kali panggil aku mak cik," tutur Shaurin sambil mengetap bibir.

"Rules kedua, aku cuma dihantar untuk membantu kau dalam misi. Jadi apa-apa hal yang bukan berkaitan misi, aku takkan tolong." Shaurin bercekak pinggang.

Garang betul dia hari ini. Semuanya sebab dia marah kerana hujung minggu ini, mami mahu dia keluar dengan si Nasrun, si nerd itu. Maminya sama saja dengan wanita-wanita kaya lain. Sikit-sikit nak jodohkan anak dengan anak kawan baik. Mami ingat ini zaman batu? Stres!

"Kejamnya kau mak cik. Aku baru aje nak ajak kau pergi main jet ski hujung minggu ni," beritahu Ryzen lalu berpura-pura melepaskan keluhan.

'Jet ski?' Shaurin memandang tepat ke muka Ryzen.

"Tapi tak jadilah. Tak ada partner," ujar Ryzen lagi. Sengaja dia mahu melihat reaksi Shaurin yang semakin bermuka tak rela.

'Jet ski.' Shaurin dua kali rasa mahu menangis. Ryzen, dia nak ikut!

Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angel_k20