Home Novel Thriller/Aksi Sindiket II
Sindiket II
Meja Editor
11/11/2024 09:52:48
251
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 4

ZAWIYAH merenung selaran kulit suaminya yang legam dibakar mentari kerana mencari rezeki untuk dia dan anak-anak. Memilih lelaki itu sebagai suami adalah tindakan terbaik yang pernah dia lakukan. 

Hidup bersama lelaki itu menyedarkan dia erti kebahagiaan dalam sebuah alam perkahwinan. Walaupun hidup mereka melarat dan susah, tidak pernah sedetik pun dia mengeluh. Hari-hari yang dia lalui adalah kebahagiaan dan ketenangan sehinggalah penyakit ini merampas semuanya. 

"Terima kasih abang kerana menerima Yah. Yah bahagia dapat menjadi suri dalam hidup abang. Walau siapa pun abang, Yah tetapi mencintai abang sampai bila-bila," ujar Zawiyah dengan senyuman. 

Syukur merenung isterinya. Hatinya berbunga mendengar kata-kata itu. Penghargaan yang biasa bagi orang lain, tetapi luar biasa bagi dirinya. 

"Abang juga begitu, Yah! Hidup abang sudah lengkap dengan kehadiran Yah dan anak-anak. Sepatutnya abang yang mengucapkan terima kasih pada Yah," ujar Syukur. 

Zawiyah termangu. Air mukanya berubah. Syukur dapat mengesan perubahan wajah isterinya. 

"Ada apa, Yah? Adakah abang salah cakap? Maafkan abang, Yah," ucap Syukur. 

"Bukan pasal abang. Ini pasal Liya," luah Zawiyah perlahan. 

"Liya? Kenapa dengan Liya?" tanya Syukur dengan wajah hairan. 

"Kenapa abang begitu sabar dengan sikap Liya? Kenapa abang biarkan Liya hina, bersikap kurang ajar dan tidak hormat pada abang? Yah tak tahu kenapa abang menjadi begitu lembut pada anak kita tu," ujar Zawiyah. 

Syukur sedar isu anak perempuan sulungnya itu sering menimbulkan perdebatan hangat antara mereka. Sikap anak perempuannya cukup berbeza dengan anak lelakinya. 

Aliya begitu kasar terutama pada dirinya hingga tiada langsung rasa hormat ditunjukkan pada Syukur. Sejak kecil lagi, Aliya melihat dirinya seperti musuh yang sangat dibenci. Dia langsung tidak pernah mengakui yang dia adalah ayah dan suami pada ibunya. 

"Abang ... Yah minta maaf. Yah minta ampun atas sikap Aliya. Dia langsung tak hormat abang. Sudah lebih 10 tahun sikap dia seperti itu. Yah tengok semakin lama semakin menjadi-jadi kurang ajarnya. Yah sendiri dah tak tahu bagaimana nak nasihatkan dia." 

"Yah ... jangan sekali-kali berkata hal yang tidak baik pada anak kita. Sebagai ibu bapa, kita mesti mendidik dan mengajar mereka dengan baik. Yah doakan dia menjadi anak yang solehah dan lembut  hati," ujar Syukur dengan wajah suram. 

Zawiyah merenung wajah suaminya. Dia tidak tahu adakah di depannya itu manusia atau wali. Tidak pernah selama dia hidup bersama lelaki itu, Syukur meninggikan suara pada anak-anaknya apatah lagi memukul mereka. Dia lelaki paling penyabar yang pernah ditemuinya. 

"Maafkan Yah, abang. Bukan Yah membenci Liya. Yah sayangkan dia, tapi Yah benar-benar kesal dengan sikap dia. Dia tak pernah sekali pun menghormati abang sebagai ayahnya. Itulah yang Yah kesalkan," ujar Zawiyah dengan suara tertahan. 

Syakir yang memasang telinga mendengar perbualan kedua-dua orang tuanya mengeluh berat. Dia semakin benci dengan sikap kurang ajar kakaknya. Jika diikutkan hatinya, mahu sahaja dia tampar mulut biadab kakaknya. 

Tetapi, dia tidak berani kerana hal itu pasti mendatangkan kemarahan ayahnya. Dia tahu dalam hati ayah, kakaknya itu ada di tempat istimewa. Walaupun ayah tidak pernah meluahkan, tetapi sebagai anak dia menyedari perkara itu. 

"Kenapa abang baik sangat? Kenapa abang berlembut sangat dengan Liya? Tiap kali Liya marah dan maki, abang hanya mendiamkan diri saja. Saya sebagai isteri rasa geram. Abang tidak bersalah pada dia! Selama ini, persekolahan dan semua kehendaknya abang tunaikan tanpa banyak bicara. Malah, Yah lihat abang lebihkan Aliya daripada Syakir. 

Walaupun abang memberi segalanya pada Liya, namun tidak pernah dia hargai. Abang, dah terlalu lama kita simpan rahsia ni. Sikap Liya menjadi-jadi, Yah rasa dia harus tahu perkara sebenar.

Izinkan Yah ceritakan semuanya pada Liya, biar dia tahu siapa ayahnya yang sebenarnya. Apa yang Abang Rahim lakukan pada Yah dan keluarga kita selama ini. Biar dia sedar lelaki itu tak berguna!" ujar Zawiyah dengan nada bergetar. 

Syukur menarik nafas panjang, dia sedar peristiwa lalu telah menjerut dirinya dalam masalah ini. Masalah yang akan terus menghantui dan menggugat hubungannya dengan anak sulungnya. 

"Yah! Menceritakan perkara yang lepas tidak akan memberi sebarang faedah. Silap-silap Aliya akan memusuhi Yah pula, dia pasti ingat Yah cuba memburukkan ayah kandungnya. Apa yang berlaku di masa lalu tak penting lagi, hanya sejarah yang akan dilupakan. 

Yah! Dengar apa yang abang nak cakap ni. Walau apa yang dia katakan pada abang.Walau apa yang dia lakukan, dia berhak. Abang sentiasa maafkan apa sahaja yang dia buat. Dia marah dan kecewa dengan abang, dia meluahkan kemarahan itu pada abang. Biarkan. 

Abang mahu Yah berjanji dengan abang, jangan sekali-kali ceritakan apa yang sebenarnya berlaku. Abang dah berjanji, abang akan tahan dan bersabar dengan apa saja yang dia lakukan," luah Syukur perlahan. 

 "Abang ... kenapa abang jadi macam ni? Mana maruah abang sebagai seorang ayah? Mana maruah abang sebagai seorang manusia? Takkan sampai hati abang membiarkan anak sendiri memaki hamun abang?" tingkah Zawiyah dengan nada kecewa. 

"Yah! ALLAH kan ada. Abang berserah padanya. Jangan risau ... abang mampu bertahan," ujar Syukur sambil tersenyum. 

Zawiyah terpaku, dia memandang lelaki kurus di depannya. Perlahan dia mengeluh berat. Dia sedar tiada apa yang dapat mengubah pendirian lelaki kurus berkulit legam itu. 

Malam semakin larut, usai menguruskan isterinya, Syukur berehat di beranda. Angin laut menyapa tubuhnya yang tidak berbaju. Sambil duduk bersila, tangannya pantas mengait semula bahagian pukat yang koyak. 

'Aku harap esok atau lusa bolehlah aku turun ke laut. Beras di dapur sudah habis, duit pun tak ada. Kalau dapat sedikit duit pun, jadilah,' gumam Syukur dalam hati. 

Hidup nelayan kecil-kecilan seperti inilah, kais pagi makan pagi. Ombak yang sedang membadai ganas ketika ini sangat bahaya untuk sampan kecil Syukur. 

 Tetapi demi mencari sesuap nasi, dia perlu juga ke laut. Dari beranda, Syukur terdengar gelak ketawa anaknya di dalam rumah. Dialihkan pula pandangan kepada Zawiyah dan dilihatnya isterinya itu lebih banyak tersenyum saja. 

Itulah rutin mereka sejak tiga tahun kebelakang ini, Syukur dan Syakir akan bergilir-gilir menjaga dan melayan Zawiyah. Apabila Syukur ke laut, dia akan meminta Mak Besah, jiran sebelah rumahnya untuk melihat-lihat isterinya. 

 "Amboi, sakan ketawa ya! Mengumpat ayahlah tu?" ujar Syukur.

"Tak adalah, ayah. Mana ada kami mengumpat ayah. Syakir cerita dekat ibu pasal ayah jatuh parit masa menjala siang tadi. Ayah jatuh macam nangka busuk, ibu," ujar Syakir sambil ketawa. 

 "Ayah tak tahu lantai titi tu dah reput. Elok ayah tebar jala, kaki ayah terjerlus. Apa lagi bergoleklah ayah jatuh dalam sungai. Yah tahu tak, si Akir ni nakal juga, kita jatuh bukan dia nak tolong, dia tolong gelak lagi adalah," ujar Syukur dengan senyuman lebar. 

Zawiyah yang terbaring di atas tilam, ketawa kecil. Dia memandang ke arah dua orang lelaki yang begitu bermakna dalam hidupnya itu. Hatinya sayu.Dia seolah-olah seperti kain buruk yang tidak berguna lagi. Terbaring lesu dan tidak mampu berbuat apa lagi. 

'Aku mesti sihat kembali. Aku mesti lawan penyakit ini. Demi Syakir dan abang Syukur, aku mesti terus hidup,' tekad Zawiyah dalam hati. 

Tidak lama kemudian, terdengar bunyi enjin motosikal menjerit garang. Semakin lama semakin kuat bunyi enjin kenderaan itu. Kelihatan sebuah motosikal masuk ke halaman rumah. Syukur menghentikan kerjanya, dia merenung motosikal itu. 

'Dia!' gumam Syukur dalam hati.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.