1-Bab 6

ACT 1: Part 6

PERJALANAN dari Desa Ilmu ke daerah Asajaya agak jauh dan membosankan bagi yang tidak sabar. Proton Saga hitam tahun 86' itu dipandu selaju yang mungkin ke tempat yang ingin dituju.

Coral merenung ke luar tingkap. Apa yang ada cuma pokok dan rumput di tepi jalan. Terdapat satu dua rumah yang dibina dan mempunyai penghuni berkeluarga. Setahunya, Asajaya lebih cepat dimasuki dengan menaiki feri berbanding menggunakan jalan darat. Cuma, nak menunggu giliran itu leceh. Kerana itulah ramai yang menggunakan jalan alternatif seperti jalan darat, walaupun jaraknya jauh lebih jauh berbanding jalan sungai. Ada sesetengah penduduk yang membina gerai, kedai runcit serta menjual minyak kerana tiada stesen Shell atau Petronas di sepanjang jalan.

Tanda-tanda pembangunan sudah ada, cuma sangat lambat. Selagi ada jalan raya, selagi ada penduduk yang perlukan kemudahan, selagi itu pembangunan masih boleh dilaksanakan.

Dengan bantuan Farha, akhirnya rumah besar yang terbiar di tanah kosong itu berjaya dijejaki. Kuro, Aki, Farha dan Coral menapak keluar dari kereta tanpa sekalipun melepaskan pandang pada kediaman yang sangat berbeza dari rumah biasa itu.

"Tell me why are we here again?" soal Coral. Bulu roma terasa meremang di seluruh tubuh. Lalu lengan digosok.

Kuro yang bergerak ke bonet belakang, menjawab, "Kitorang ke sini sebab nak tengok apa yang kitorang boleh korek. Kau ikut sekali sebab kau jealous tengok Farha dengan Aki bersama lagi."

"Apa dia?" Farha menoleh bila mendengar nama disebut.

"Mana ada!" jerit si gadis Bidayuh dengan muka merah.

Lelaki itu cuma terkekeh nakal sambil melambung lampu suluh pada Aki. Sebilah pisau Rambo bersama strapper dilekatkan pada paha. Kuro menutup bonet dan bergerak ke pintu rumah yang dah hilang pintunya itu. Pelipat lutut tiba-tiba ditendang dari belakang, hampir membuatkan Kuro terjatuh. Kepala dipaling lipat maut ke belakang, cuma untuk melihat Aki melintasinya dengan muka selamba.

"Haram jadah..." Geram.

Ruang rumah yang berdebu dan kotor dimasuki. Jika dilihat pada kesan tapak kaki di lantai, Farha bercakap benar tentang dia dan Mior sudah berkali-kali datang ke sini bagi menyiasat apa yang terjadi.

"Apa je yang korang dah jumpa?" soal Kuro pada Farha. Dari ekor matanya, terlihat Coral merapatkan diri pada Aki, mungkin nak menumpang kekuatan kerana berada di dalam rumah hantu. Si kawan lelaki itu sekadar menggosok kepala Coral sambil terus meneliti isi rumah.

Farha menjungkit bahu. "Aku tak tau apa yang aku nak cari. So aku tak jumpa apa-apa. Aku basically duduk saje sebab bosan."

"Okay." Angguk. "Mior pulak macammana?"

"Dia macam... entah. Dia bukak almari, bukak drawer, selak itu ini... aku tak rasa dia jumpa apa-apa."

"Aku faham." Kuro merenung seluruh ruang rumah. Memang kosong sekosong-kosongnya. Perabot dibalut dengan plastik, chandelier berhabuk di siling, dan dinding cukup kosong tanpa sebarang gambar. "Kenapa orang bina rumah semewah ni kat tempat macam ni, ne'way... buang duit, buat elektrik..."

"Unless dia ada tujuan tersendiri," balas Aki sambil menaiki tangga ke tingkat atas. Kayu rapuh itu berbunyi bila dipijak, malah debu-debu yang melekat pada tangga turut terjatuh pada setiap langkah.

"Takda apa kat atas tu. Aku dah tengok dah. Sama je macam kat bawah ni," ujar Farha, namun Aki buat tak peduli. Kuro turut mengabaikan kedua-dua perempuan itu, mula buat perangai sendiri dengan meneroka rumah tersebut. Setiap pintu bilik diselak buka, dan setiap celah dinding disuluh. Yang ada cuma sawang, debu, habuk, anai-anai dan labah-labah. Penginap tetap di rumah kayu dua tingkat.

Aki memasuki loteng. Baju diangkat ke mulut bagi menutup udara yang cukup pekat dengan habuk. Lampu suluh ditala ke seluruh ruang yang penuh dengan kotak dan barang-barang yang ditinggalkan. Beberapa buah kotak kelihatan sudah dipunggah. Cuma berisi baju-baju lama. Fabrik juga menunjukkan tanda rosak kesan digigit lipas mahupun tikut. Sepasang bra kotor diangkat dari lantai. Ergh. Apa dia yang Mior dah buat di sini sebenarnya?

Lelaki berkulit cerah itu turun dari loteng, cuma untuk bertembung dengan Kuro yang baru nak masuk ke dalam sebuah bilik.

Kuro menjeling. "Ada apa-apa kat situ?" soalnya sambil menyuluh ke loteng.

"Ni." Bra putih yang digumpal pada tangan, dibaling ke muka Kuro.

"Kau dah puas hidup ke apa..." desis Kuro bila melihat bra yang jatuh ke lantai.

Aki sekadar terkekeh. Tombol pintu di hadapannya cuba dipusing, namun berkunci. Kedua-dua lelaki itu berpandangan. Kuro bergerak setapak ke belakang, dan bam! Penendang sulung dilepaskan ke pintu yang menghampiri reput. Engsel berkarat membuatkan daun pintu itu tertanggal terus hingga jatuh ke lantai.

Udara panas berdebu berdesir keluar dari ruang bilik yang terperam. Aki dengan Kuro sama-sama menutup hidung, menahan bau hapak yang agak lain dari bau hapak kayu reput di setiap ruang rumah. Bilik itu masih kelihatan cantik walau berdebu. Dindingnya merah jambu lembut, katil masih kemas, dan buku-buku bersusun cantik pada rak. Sebuah katil kecil untuk bayi juga ada, cukup set dengan barang-barang mainan untuk hiburan kanak-kanak bawah 3 tahun.

Aki terus memicit hidung sambil memerhati gambar-gambar di dinding. Seorang perempuan cantik, seorang budak lelaki dan seorang bayi. "Bilik ni yang paling cantik, tapi bilik ni jugak yang paling busuk..." Perut yang terasa memulas sekadar ditahan. Kuro yang meneliti buku-buku langsung tidak dipedulikan. "Seriously dude. Bau macam bangkai reput... bau macam..."

"Bau macam kau tak mandi?" sambut Kuro senada, membuat rakannya menoleh sengal. Buku-buku berkulit tebal itu cukup berhabuk, termasuk rak sekali. Terlihat satu garisan yang agak bersih dari habuk, tanda buku coklat berkulit tebal itu pernah ditarik keluar. Kening Kuro terjungkit sebelah, lalu buku coklat tanpa tajuk itu ditarik.

Klank.

Sebuah pintu kecil di sebelah katil tiba-tiba terbuka. Kuro dan Aki spontan menoleh, melihat daun pintu paras lutut itu terbuka ke dalam dinding, membuktikan sebuah ruang rahsia yang tersembunyi dari pengetahuan orang lain. Kali ini, bau reput menusuk ke hidung kedua-duanya, segar dari bilik yang benar-benar terperam dari sebarang udara segar.

"Awesome..." Aki ternganga rendah sambil memicit hidung.

"Ergh... bau macam perempuan tua." Kuro mengangkat baju ke hidung sambil mencangkung di tepi pintu. Lampu suluh ditebak ke dalam ruang gelap dan panas tersebut.

Bilik rahsia itu memiliki ruang yang agak kecil. Gelap tanpa lampu, tiada tingkap, tekanan udara panas cukup terasa pada kulit nipis, manakala lantai cukup tebal dengan habuk dan sawang tanda tak pernah dijejaki bertahun-tahun. Ppunca busuk yang keras dan tengik itu pula masih tidak diketahui. Kedua-dua sahabat itu berpandangan, lalu mereka merangkak masuk.

Baru saja nak bangkit berdiri, bahu Aki terlanggar sesuatu. Bila lampu suluh dialihkan ke siling, perkara pertama yang dilihat ialah tengkorak reput yang tergantung pada leher.

"Graah!" jeritnya, terjatuh ke lantai. Habuk berterbangan di ruang udara hingga membuatnya terbatuk-batuk.

Kuro menoleh, turut menyuluh ke arah objek di hadapan rakannya. Tengkorak yang tergantung itu terhayun sedikit. Sifatnya sempurna kaki, tangan dan kepala. Daripada bentuk tengkorak, dikenal pasti bahawasanya insan yang mati ialah seorang perempuan.

"Perempuan tua alright." Hidung dikipas kembali, menipiskan udara panas yang dah sedia nipis. Tali yang mengikat leher mayat itu dipandang. Tembakan cahaya dibawa pula ke bawah, pada kerusi yang terjatuh ke tepi. Suspek dijangka bunuh diri.

"Seriously." Aki memalingkan kepala sambil melepaskan batuk ringan, masih cuba redakan gatal di anak tekak. Lampu suluh dihala lagi ke seluruh tubuh mayat. Daging yang tidak sempurna proses pereputannya memberi rasa gerun di hati. Sengsaranya kematian dia ya Allah. Terdapat beberapa tulang kecil yang dihias seperti rantai di leher mayat. Kulit berbulu yang tertinggal pada pakaian mayat dicapai. "Kulit tikus," ujarnya sambil ditunjukkan pada Kuro.

Si kawan melepaskan nafas berupa sedakan sebelum beralih, menyuluh ke tempat lain. Mencari apa yang boleh dicari. Aki masih mengadap tengkorak di hadapannya, cuba menilai penemuannya itu.

"Dude, kau rasa 'makhluk' yang aku tengok malam tu ialah dia ni?"

"Aku tak tau," balas Kuro tanpa menoleh. Bilik itu tidak diisi benda lain selain satu kerusi di bawah mayat, serta sebiji meja jepun di tepi dinding. Sebuah buku ada di atas meja. Diselaknya. Terdapat sekeping gambar Babamok. Malah dipangkah dengan pen merah serta dalam keadaan koyak-koyak seperti dicucuk dengan sesuatu yang tajam.

"Ni bapak Mior."

"Huh?" Aki mendekat. Gambat berukuran passport itu dilihat. "Mana kau tau?"

"Aku tengok muka dia dalam web polis hari tu." Meja pula dilihat. Sama macam gambar itu, meja juga dilakar dengan ayat-ayat kemarahan. Darah beku turut bersisa, mengotori meja berhabuk itu. Pemandangan yang brutal.

"Apa kaitan bapak Mior dengan mayat ni?"

"Well, jawapan mungkin ada kat anak dia. Untung nasib, kita boleh korek lebih dari Mior sendiri." Gambar koyak diselitkan ke dalam buku dan buku diselit ke belakang pinggang. Bahu Aki ditepuk, mengajak si kawan keluar terus tanpa menutup pintu bilik rahsia.

Mereka sama-sama menuruni tangga. Farha di tingkat bawah melayan bosan dengan duduk di sofa sambil menghayun kakinya ke depan ke belakang. Sekali sekala dia menyanyikan lagu yang melintas di kepala.

"Ni yang kau buat dari tadi? Real helpful," getus Kuro sambil merapat dengan muka tak puas hati.

"Habis tu kau nak aku buat apa?" balas Farha geram sambil bangkit. Punggung disapu-sapu, membuang habuk.

"Kau yang mintak tolong kitorang carik pembunuh bapak kau!"

"Aku suruh korang buatkan Mior berhenti buat kerja bodoh, bukannya mintak tolong cari klu pembunuhan! Dan aku tak ajak datang ke sini, bukan? Aku dah cakap aku dah ke sini berkali-kali. I found nothing!"

"Kau cari dengan mulut, memang la tak jumpa. Aku cari dengan mata, so aku jumpa sesuatu." Diari merah di belakang badan, ditunjuk dengan senyum riak.

Farha terpaku. "Apa tu?" Lekas tangannya memanjang nak mencapai buku merah tersebut, namun selekas itu juga Kuro melarikan buku itu.

"Menari bogel depan aku kalau kau nak benda ni." Datar serius.

Buk!! Sekali lagi pelipat lutut menerima hentakan dari belakang. Kali ini jauh lebih kuat dan cukup momentum untuk membuatkan Kuro terduduk melutut ke lantai. Giliran Farha meletupkan gelak menang.

Aki melintasi Kuro dengan muka tak bersalah dan terus mencapai lengan si gadis yang disukai. "Apapun, jom balik. Dah lama sangat kita kat sini," ujarnya, terus menarik gadis itu dari terus dekat dengan Kuro.

Lelaki berjambang itu bangkit bersama dengusan geram. Perasan jumlah mereka kurang seorang, kepala ditoleh-oleh. "Kejap. Mana Coral?"

Terdiam seketika. Kedua-dua lelaki itu menoleh-noleh di seluruh ruang tamu sebelum sama-sama memandang Farha dengan pandangan penuh persoalan.

Gadis itu terkebil seketika. "Mana la aku tau," balasnya senada.

"Ha??" Kedua-dua lelaki terjengil serentak.

Farha tertunduk spontan, terasa dimarahi. "Korang semua berpisah. Aku seorang je yang duduk kat sini dari tadi. Rasanya aku ada nampak dia naik atas, cari korang."

Kuro dan Aki terdiam. Berpandangan. Tapi kenapa tak bertembung dengan gadis itu di tingkat atas? Jantung mula berdebar. Terasa sesuatu yang tak kena.

"CORAL... Coraline! Dammit, jawablah aku panggil!!" Kuro menyergah ke tingkat atas.

"Coral! Kau kat mana weh?! Dah nak pukul tujuh dah ni. Jom balik!" Aki melaung sama. Namun tiada jawapan di mana-mana.

Ulah cemas kedua-dua lelaki membuat Farha turut cemas. Kemana mereka pergi, di situ dia mengekori. Jam di tangan menunjukkan lebih pukul enam. Kira-kira empat lima belas minit lagi, Maghrib akan masuk. Kalau Coral masih ada di rumah yang sama, dia sepatutnya membalas jeritan-jeritan itu. Tetapi panggilan langsung tidak bersahut.

"Damn, dia nak main sembunyi-sembunyi pun, tengok la tempat, masa dengan keadaan!" desis Kuro, mencekak pinggang.

"Korang takda nombor telefon dia?" soal Farha kemudian.

Aki dan Kuro menoleh serentak, sebelum sama-sama menyumpah masing-masing. Serentak juga keduanya menarik smartphone dari poket jeans, namun Aki lebih laju menelefon.

Kuro menyimpan iPhonenya ke dalam poket kembali. Ruang tingkat dua itu direnung. Habuk-habuk di lantai diperhati. Selain tapak-tapak kaki, ternampak garisan halus yang cukup kecil. Mata dipicing, meneliti kemana garisan itu menghilang.

"Korang dengar tak ringtone dia?" soal Aki, membuat perhatian Kuro teralih. Pendengaran dihalusi.

"Tingkat bawah," ujar Farha.

Mereka berpandangan. Dengan langkah laju, anak-anak tangga dituruni dengan beberapa kali loncat. Aki terus cuba mendail, menghidupkan ringtone yang membawa mereka ke pintu rumah.

"Aaaahh!!"

Terperanjat dengan jeritan Farha, mereka menoleh. Gadis itu menuding pada dinding, pada tulisan berdarah yang tertulis perkataan – KELUAR. Tulisan itu tidak teratur, huruf besar dan kecil bercampur aduk. Malah cakar ayam sifatnya. Persoalan siapa yang menulis langsung tidak diambil peduli kerana tulisan berdarah itu membawa makna maut jika tidak dituruti.

Sepantas kilat mereka berlari keluar. Kuro membaling diari merah ke dalam kereta sebelum menghalang usaha Farha yang nak masuk ke dalam Saga. Farha terperanjat, cuba nak menarik tangannya namun genggaman Kuro terlalu ketat. Lelaki itu memandang rumah kayu di hadapan dengan nafas kencang serta mata mencerlang. Rumah itu kini memberi aura ancaman dan kematian, jauh berbeza berbanding semasa mula-mula datang sejam tadi. Nafas di dada terasa cukup terhimpit sekarang. Sendat!!

Aki yang masih cuba menelefon Coral berjaya menemui sumber telefon. Samsung putih itu tersadai di tanah berumput.

"Kuro!" panggilnya sambil menunjukkan Samsung yang ditemui.

Farha mula tersedu. "Kenapa handphone dia ada kat luar sedangkan aku yang jaga pintu masuk dari tadi..." Suaranya menggigil hebat, terlalu takut. 'Sesuatu' benar-benar ada di rumah ini, dan bersifat bahaya jika mereka berlagak berani bodoh.

"One explanation. Ada benda lain dalam rumah ni, selain kita..." ujar Aki, menahan debar sambil menoleh ke rumah kayu dua tingkat itu. Bayangan hantu perempuan yang ditemui dahulu terbayang di minda.

Dan bayangan yang sama turut melalui ingatan Farha. Gadis itu nak terkucil kini. Bergegar lututnya.

"Hantu..."

"Bukan hantu!!" jerkah Kuro sambil menoleh. Farha mendecit, terkejut. Lelaki itu mendengus, kembali masuk ke dalam rumah tanpa melepaskan genggaman dari lengan si gadis.

Melihat tindakan Kuro, Farha terjerit-jerit. Tangan lelaki itu dipukul-pukul, mahu mahu dirinya dilepaskan. "Jangan!! Aku taknak masuk!! Kau gila! Dalam tu ada hantu!"

Kuro menoleh dengan muka yang cukup tegang. "Rumah ini ada sejarah orang mati. Bukan sekali, tapi berkali-kali!! Bukan mati dalam iman dan ditemani keluarga, tapi mati dalam keadaan sengsara sebab dibunuh! Sekarang, seorang kawan aku hilang dan aku taknak seorang lagi hilang sebab ditinggalkan berseorangan! Aku tak kira!! Kau kena ikut aku!" Farha ditolak kasar ke arah Aki. "Aki, kau jaga dia. Jangan alihkan mata kau dari dia."

Farha menahan sedu sebelum melangut pada lelaki yang merangkul tubuhnya. Air muka Aki nampak tenang dalam akur. Baru saja nak bertenang kerana duduk di luar rumah, Farha cuak lagi bila Aki pula menariknya ke dalam rumah tersebut.

"Tolonglah keluar... benda tu dah suruh kita keluar... kenapa masih nak masuk?! Korang gila!! Aku nak keluar dari sini cepat!!" Pintu pecah yang satu-satunya memancar sinar harapan bagi meneruskan kehidupan dengan tenang di luar sana, kini dimasuki dengan paksaan. Farha kini kembali berada di dalam rumah yang semakin gelap, seiring dengan alam yang menginjak senja.

"Kita takkan keluar selagi kita tak jumpa Coral," balas Aki perlahan namun penuh ketegasan. Farha menangis lagi. Aki cuma mampu memberi kasihan, namun tidak berempati. Tangan Farha digenggam erat dan terus ditarik. Lampu suluh menembak cahaya, menerangi jalan. Kuro yang menaiki tangga ke tingkat atas dipandang. "Kau nak ke mana?"

"Aku nak cek something."

Sambil memaksa Farha menaiki tangga, Aki mengekori gerak langkah Kuro. Bilik merah jambu tadi dimasuki. Lelaki bertubuh sasa itu dilihatnya sedang meneliti lantai hingga ke sebuah almari dinding. Dibiarkan Kuro, Aki berkerut dahi pada dinding di sebelah katil. Bila masa pintu bilik rahsia itu tertutup balik? Boleh tertutup sendiri, kah?

Kuro masih menolak-nolak dinding almari, namun tiada kesan. Lampu suluh dihala ke seluruh bilik. Terlihat sesuatu di dinding.

Satu lagi tulisan berdarah ada di situ – LAMBAT.

Farha terasa sesuatu yang lembut menyentuh kaki. Dia menunduk –kepala Coral sedang tergolek di lantai. Leher yang terputus itu masih mengalirkan darah – mengotori lantai.

Akal terpadam.

Jeritan terlepas nyaring, mengejutkan Kuro dan Aki. Jeritan nyaring si perempuan bertukar raungan ketakutan dan seterusnya histeria. Farha hilang kawalan pada waras dalam kepala. Jeritannya bersambung-sambung dan berlanjutan hingga seolah-olah takkan padam.

Aki lekas memeluk gadis itu dari belakang. Mata itu ditutup, enggan membenarkan Farha terus melihat kepala yang tergolek-golek di lantai. Dari rentetan darah pada leher yang terputus, kepala itu datang dari pintu yang dah pun bertutup. Bila masa??

"Apa dah jadi..." soal Kuro, mula cuak. Pintu cuba dibuka, namun terkunci. Lelaki itu berkasar, namun masih gagal dibuka. Bersama sumpah seranah, Kuro menendang pintu. Masih tidak berkesan. Kecelakaan apakah?!

"Kuro." Aki memanggil sambil melepaskan pelukan pada Farha yang dah hilang semangat. Gadis itu memeluk lutut sendiri sambil menggumam nama Allah berkali-kali, membaca sebarang surah walau berterabur hukum dan tajwid. Aki terus menyuluh ke dinding, pada tulisan berdarah yang bertulis 'LAMBAT' itu.

Kerut di wajah Kuro bertambah lapisnya. Aki merenungnya dengan riak tegang.

"Kita dah jumpa Coral. Farha dah tak boleh berjalan. Jom keluar."

"Gerh!!" Penendang dilepaskan lagi pada pintu, namun gagal, seperti ada sesuatu yang menahan dari luar. "Apa jenis hantu yang bermain dengan kepala anak dara orang, bodoh!!" pekiknya pada pintu.

Aki beralih pada tingkap. Langit oren yang bercampur warna merah kini cukup memakan suasana kosong di luar rumah dan jalan raya sana. Berada dalam rumah ini semasa malam semakin menginjak sebaik-baiknya dielakkan. Papan yang dipaku merentangi tingkap ditarik sekuat hati hingga tertanggal. Kerusi di depan meja solek dicapai. Diangkat melepasi kepala, lalu dibaling ke tingkap. Kaca tingkap pecah berkecai, memberi pintu keluar. Saki baki kaca yang bersisa pada tingkap turut disiku, dibuang.

Aki menoleh pada Farha yang membenamkan mukanya pada lutut sebelum menoleh pada Kuro. "Jom." Isyarat kepala diberikan, mengajak keluar sekarang. Aki meletakkan kaki pada birai tingkap dan terus terjun ke tanah berumput.

Kuro mengangguk. Farha diangkat bridal style. Sebelum menaiki tingkap, Kuro sempat menoleh ke belakang, pada kepala Coral yang tersadai di lantai. Muka gadis itu tampak terkejut. Mata terbuntang dan mulut ternganga. Dendam yang membara di hati dipasak dalam-dalam, berazam akan datang semula dan membalas dendam.

Dengan sekali loncat, Kuro selamat turun ke bawah bersama anak dara di dukungan. Sakit lututnya dan kebas juga otot paha kerana menahan impak berat Farha sekali, namun diendahkan. Aki yang dah menunggu di Saga sambil mengurut kaki yang belum sembuh, dihampiri. Farha dimasukkan ke tempat duduk belakang. Enjin dihidupkan. Rumah besar dua tingkat itu sempat dipandang dengan pandangan sedih sebelum memandu pergi.

Previous: 1-Bab 5
Next: 1-Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh