Home Novel Thriller/Aksi APOKALIPS (Trilogi Distopia #2)
APOKALIPS (Trilogi Distopia #2)
kenhendri
13/6/2021 07:57:50
19,325
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 3

30 Disember 2024,
Kampung Tengah Selatan.

Bunyi seekor gagak menggauk sedang bertenggek di atas tiang api di sebelah rumah dan gerai yang sudah usang. Rumah, gerai bahkan kawasan itu sudah ditumbuhi anak-anak pokok, lumut dan rumput hijau. Ianya bakal menjadi semak-samun nanti. Kali terakhir tempat itu dilihat meriah adalah pada dua tahun yang lalu sebelum serangan besar-besaran daripada Karnivor. Kini, sunyi dan sepi. Tidak ubah seperti kawasan terbiar. Kerajaan hanya tutup mata, memfokuskan pembangunan bandar berbanding luar bandar. Menganggap bahawa mukim itu sudah tidak berpenghuni.

Kedengaran suara televisyen datang dari rumah arwah Pak Su dan Mak Su. Rumah itu sudah berlumut. Daun-daun pula memenuhi lantai. Sudah tidak ada penghuni lain lagi di kampung itu selain, Kein. Lelaki yang berambut panjang sehingga menutup mata itu sedang menyuap ubi kentang rebus yang ditanam di belakang rumahnya sambil duduk di atas sofa, menonton televisyen. Dia mendengar berita dari luar negara tentang perkembangan isu semasa.

Menurut berita yang didengarinya, negara Amerika Syarikat, Britain, Rusia, Perancis dan China sudah terkawal daripada serangan Karnivor. Manakala, Jepun, Jerman, Iran, Mesir, Kepulauan Australia, Korea Utara, Korea Selatan dan beberapa negara lain pula nampak semakin membaik. Tetapi, negara-negara kecil dan membangun yang lain pula sudah hampir hancur. Disebabkan itulah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengadakan mesyuarat.

Mesyuarat yang hanya dianggotai oleh negara-negara kuasa besar dunia dan negara yang sudah terkawal daripada ancaman Karnivor itu, nyata menunjukkan ketidaksefahaman yang jelas. Amerika Syarikat dan Rusia mencadangkan untuk menghantar bantuan ketenteraan dan mentadbir negara-negara yang hampir musnah sehingga pulih seperti sedia kala.

Namun, cadangan itu ditentang hebat oleh China, Jepun, dan beberapa negara yang lain termasuk Malaysia. Cadangan itu tidak ubah seperti percubaan untuk menjajah negara-negara kecil dan meluaskan kuasa imperialisme mereka. Ianya tidak ada beza dengan permulaan Perang Dunia Kedua di mana negara-negara kuasa besar ketika itu cuba menjajah negara-negara lain untuk kepentingan peribadi.

Cadangan itu dibincangkan sehingga undi dikeluarkan. Sebanyak tujuh puluh peratus daripada pemimpin dunia yang hadir dalam mesyuarat itu menolak cadangan tersebut. Namun, mesyuarat itu tidak terhenti di situ. Amerika Syarikat menggunakan Kuasa Veto untuk membatalkan undian menolak. Bermakna, mereka terpaksa menerima cadangan tersebut.

Kuasa Veto atau Kuasa Pembatal itu sangatlah tidak adil. Jika semua cadangan mampu dibatalkan oleh lima negara kuasa besar dunia, untuk apa mesyuarat diadakan? Hanya menghabiskan waktu dan air liur sahaja jika dari awal lagi negara pemilik Kuasa Veto bercadang untuk menggunakan kelebihannya. Dengan kata lain, semua cadangan mereka adalah muktamad dan tidak boleh dibangkang sama sekali.

Kein yang mendengar berita tersebut, hanya tersenyum. Dia sudah menjangka bahawa keadaan seperti itu akan berlaku. Lagipun, hal itu tidak ubah seperti yang diberitakan oleh Kris pada dua tahun yang lepas ketika dia dan Eyman sedang berbincang tentang maklumat-maklumat yang dicuri mereka daripada khemah tentera.

Mesyuarat PBB yang diberitakan, tidak berhenti di situ. Britain, negara yang menyokong cadangan Amerika Syarikat dan Rusia itu akan memberi bantuan kewangan serta ketenteraan jika negara-negara Komanwel di bawahnya berada di ambang kemusnahan termasuklah Malaysia.

Tetapi, setakat ini, Asia Tenggara ialah kawasan yang boleh dikategorikan sebagai kawasan yang terkawal daripada Karnivor. Jumlah kemunculan Karnivor dan mangsa korban menunjukkan penurunan terutamanya di Indonesia dan Myanmar. Jika dilihat sebelum ini, dua negara itulah yang paling terjejas.

Adakah mesyuarat itu menunjukkan tanda awal kepada isyarat Perang Dunia Ketiga yang dikatakan bakal meletus suatu saat nanti? Jika ianya terjadi, peperangan yang maha dahsyat bakal disaksikan oleh mata-mata mereka kerana teknologi dan senjata pada masa kini yang semakin canggih dan mampu mematikan segala kehidupan dalam jumlah yang besar.

Siaran televisyen ditukar. Kini, berita dalam negara pula didengarinya. Tatkala mendengar dan melihat paparan yang dipertontonkan, ubi kentang rebus berhenti dimamah. Kein terlihat agak terkejut dengan berita tersebut. Ianya berita tentang 'Karnivor Air' yang menyerang anggota keselamatan semalam.

Kelihatan, ramai orang yang mengerumuni jasad 'Karnivor Air' yang diperkatakan itu. Wajah Unit Satu juga muncul saat rakaman itu direkodkan di tempat kejadian. Kein mengenali wajah-wajah mereka tetapi dia mengendahkannya. Dia cuma melihat jasad 'Karnivor Air' yang diperkatakan. Tetapi, tatkala dia memerhati lama. Dia berdecit.

"Karnivor air? Apa yang korang mengarut ni? Itu kan buaya. Sudah tentu dia terkena jangkitan semasa berada di atas darat. Media sekarang, macam rancangan TV untuk kanak-kanak. Perkara macam itu pun tak boleh fikir. Membosankan."

Ubi kentang rebus kembali digigit. Kein menukar rancangan televisyen lagi. Sudah bosan mendengar berita-berita 'kurang cerdik' daripada media tempatan yang hanya ingin menarik perhatian umum. Sepatutnya, berita seperti itu tidak perlu ditayangkan sebelum kajian tidak selesai dijalankan.

Begitulah kehidupan seharian Kein. Kini, dia hidup seorang diri setelah ayah, ibu, kawan-kawan dan warga kampung halamannya ditelan oleh 'kekejaman' dunia. Tetapi, dia sedar bahawa dia tidak boleh berada di situ untuk selamanya. Dia juga akan ke tempat lain suatu hari nanti. Apabila negara berada dalam kacau-bilau.


*****


30 Disember 2024,
Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Jalan itu sibuk. Orang ramai lalu-lalang menuju ke destinasi masing-masing. Bunyi ekzos kenderaan dan skrin besar LED menggamatkan lagi suasana. Di seberang jalan, tidak jauh di hadapan skrin besar tersebut, ada sebuah restoran yang tidak sampai tiga bulan dibuka. Namun, pengunjungnya amatlah ramai. Mungkin, disebabkan masakannya yang sangat sedap.

Kelihatan dua orang lelaki berada dipenjuru kedai di sebelah dinding cermin lut sinar, menghadap skrin besar, sedang menghirup secawan kopi. Seorang berambut pendek, berbadan sasa, tidak ubah seperti pengawal peribadi manakala seorang lagi tidak kelihatan wajahnya. Dia memakai hoodie dan cap untuk menutup kepala. Topeng muka berwarna hitam pula hanya dibuka untuk menghirup air. Mereka berdua berpakaian serba hitam.

"Kau akan ke sana lagi ke untuk diambil sampel darah?" tanya lelaki berbadan sasa itu dengan nada perlahan.

"Untuk kebaikan, aku akan ke sana. Terima kasih, Falcon sebab sentiasa ada dengan aku." Perbualan mereka sengaja diperlahankan agar tidak didengari oleh orang awam.

"Aku ditugaskan untuk mengawal kau. Kalau ada apa-apa yang terjadi, aku yang bertanggungjawab. Kau orang penting bagi kerajaan. Kau senjata rahsia. Lagipun, kita tidak tahu berapa ramai musuh negara dan musuh Islam yang sedang cuba menyerang Malaysia."

"Aku akan buat apa sahaja untuk agama dan negara. Aku tidak kisah berapa banyak uji kaji yang perlu aku lalui. Kalau ianya untuk keamanan dan kebebasan, aku sanggup mengorbankan diri seperti dahulu. Seperti Kris."


Pada masa yang sama, di sebelah restoran iaitu di tempat parkir kereta terlihat sebuah kereta Mercedes-Benz berwarna hitam dan bertingkap gelap. Kereta itu dihuni oleh K-Rebellion. Darith yang berada di tempat duduk memandu sedang menunggu Fritz menggodam skrin besar LED. Tindakan ini seperti yang telah dirancang oleh mereka semalam.


Andalus dan Arora yang berada di tempat duduk belakang pula berasa tidak selesa. Bukan tidak selesa kerana melakukan kerja-kerja jahat itu tetapi tidak selesa dengan kehadiran Karl yang juga berada di tempat duduk belakang. Mereka berdua merungut tetapi apakan daya, Darith tidak boleh membantah kerana itu ialah arahan daripada Komander Jargon.

Komander Jargon telah mengarahkan Darith untuk membawa Karl ke dalam mana-mana plan atau rancangannya kerana dia ingin melihat laporan tentang kobolehan Karl. Memandangkan Karl merupakan K-User dan juga K-Subject, setakat ini, kebolehan Karl didapati mampu untuk menyembuhkan orang lain melalui darah yang didermanya.

Darah Karl yang disuntik ke dalam tubuh seseorang yang mengalami luka akan bertindak balas bersama dengan sistem imun orang yang disuntik menyebabkan luka yang dialami itu sembuh lebih pantas daripada manusia normal. Namun, disebabkan darah Karl tergolong dalam darah kategori AB+ jadi, darahnya hanya mampu disuntik dalam tubuh orang yang mempunyai kategori darah yang sama dengannya sahaja.

Setelah mengetahui perkara itu daripada panggilan telefon Komander Jargon semalam, jelas kekesalan tertayang di wajah rakan sepasukan Karl. Dia pula dipersalahkan sehingga teruk dibelasah oleh Darith. Walaupun lukanya sudah sembuh, tetapi kejadian semalam masih mentah dalam ingatan Karl. Dia ingin membalas dendam tetapi sudah tentu dia akan kalah jika bertarung dengan ketuanya.

"Boleh tak kau cepat? Aku dah serabut duduk di sebelah budak ni," luah Arora yang berada di antara Karl dan Andalus.

"Kau ingat ini kerja yang mudah? Tunggu sekejap sahaja lagi," balas Fritz.

"Kenapa kau tak beli kereta yang lebih besar dari yang ni? Tak perlulah aku berkepit dengan budak ni."

"Kau nak salahkan aku?" soal Darith pula. Arora hanya mengiyakan soalan itu.

"Kenapa kau tak salahkan budak tu? Kalau dia tak ada, kau tak perlu merungut."

"Nak buat macam mana, komander terlalu sayangkan dia," celah Andalus sambil memerhati kukunya.

Dalam restoran pula, Falcon dan seorang lelaki misteri masih berbual. Makanan yang tidak dijamah oleh lelaki itu diberikan kepada Falcon. Sudah beberapa kali dia tidak menyentuh makanan setiap kali mengunjungi restoran itu. Jika makanan itu tidak sedap, kedengaran tidak logik pula sedangkan restoran itu menerima ramai pengunjung.

"K, sudah berapa kali kau tolak makanan setiap kali masuk ke restoran ni? Kau patut banyak makan untuk kesihatan kau."

"K... ya... K ialah kod nama aku. Apa-apapun, untuk kesihatan, aku tidak boleh makan makanan yang berminyak dan berkolestrol tinggi. Cuba kau tengok orang-orang di sekeliling kau. Cuba kau cari orang yang tubuh sama seperti kita. Hanya beberapa orang sahaja yang ada. Yang lain, semuanya terlebih makan. Sebab itulah, rakyat Malaysia dikategorikan sebagai rakyat yang paling gemuk di Asia."

"Memanglah, tapi nak buat macam mana..." tidak sempat Falcon menghabiskan kata-katanya, K menyuruh lelaki itu diam. Tiba-tiba, terdengar laungan azan asar dari televisyen di dalam restoran. Mereka berdua mendiamkan diri. Menjawab setiap laungan azan.

Dalam ketenangan azan itu, Falcon memandang sekeliling. Masih ada yang asyik berbual seperti telinga mereka telah disumbat dengan sesuatu. Adakah mereka mendengar atau buat-buat tidak dengan akan azan yang sedang berkumandang? Sekurang-kurangnya, hormatlah azan yang hanya tiga minit itu dan sambunglah perbualan yang berjam-jam itu nanti.

Setelah azan tamat dan doa selepas azan pula ditadahkan, K dan Falcon keluar dari restoran. Wajah K masih tidak terlihat oleh sesiapa pun. Dia bijak menyembunyikan rupa. Falcon pula mengikutinya dari belakang. Mereka ingin ke masjid, menunaikan kewajipan sebagai seorang muslim.

Ketika itu juga, Fritz sudah hampir berjaya menggodam skrin besar LED. Tetapi, Karl yang sudah tidak tahan dicaci dan dihina oleh Arora dan Darith mengambil peluang itu untuk melarikan diri. Pintu kereta dibuka, dia melangkah keluar dari kereta. Arora hanya membiarkannya. Darith pula mengetap gigi, melihat Karl dari cermin pandang belakang.

"Arora, pergi dapatkan dia sebelum dia hilang," arah Darith dengan geram.

"Biarkan dia hilang. Lagipun, dia tidak penting."

"Arora! Kalau Komander tahu akan perkara ni, apa yang kau nak jawab nanti?" Suara Darith ditinggikan. Arora pula mengeluh sebelum akur dengan arahan tersebut.

Karl yang melarikan diri pula berfikir bahawa dia akan bebas daripada Darith dan yang lain. Ingin sahaja dia menangis tatkala teringat akan saat dibuli. Tetapi, lamunan itu tidak lama. Dia terlanggar bahu K lalu terjatuh. Falcon pantas membelakanginya. Dia sentiasa bersiap sedia melindungi lelaki itu. Tetapi, K menyuruhnya ke tepi tanda bahawa dia tidak ada-apa. Malah, dia secara sukarela membantu Karl, menghulurkan tangan.

Tanpa banyak soal, Karl menggapai tangan K. Ketika itulah, dia terlihat mata lelaki itu yang selama ini disorok daripada pengetahuan awam. Terkelu dan terkejut besar. Bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Mata tajam lelaki itu membuatkan lidahnya terpaku.

"K-K... K...." tidak terkeluar kata-kata yang cuba diucapkan. Lidahnya masih lagi kelu.

"Kau tak apa-apa?" soal Falcon. Dia pantas memegang tangan Karl agar dia melepaskan tangan K. Bahkan, dia bertindak sedemikian kerana takut bahawa lelaki itu sengaja melanggar K walaupun dia masih tidak tahu bahawa Karl ialah anggota K-Rebellion. Pasukan rahsia yang akan menghuru-harakan Malaysia.

Pada masa yang sama, Arora datang dengan personaliti yang berbeza. Dia memanggil Karl dengan nada lembut seperti seorang kakak sedang memanggil adiknya untuk pulang. Dia mendekati K dan Falcon dengan wajah yang ceria.

"Cik kenal ke dengan budak ni?" soal Falcon.

"Ya. Maaflah, dia ni adik saya. Maaf sebab susahkan encik. Maklumlah, dia ni cuba nak lari sebab tak nak ke hospital. Budak-budak zaman sekarang, memang takut kena suntik. Maaf sekali lagi, ya."

"Tak ada apa-apa. Kalau boleh, pantau dia elok-elok."

"Sudah tentu. Saya akan pantau dia dengan lebih ketat selepas ni."

Arora mengheret tangan Karl dengan paksaan menuju ke arah kereta. Falcon hanya melihat tanpa mengesyaki apa-apa. Namun, pandangan berbeza pula dilemparkan oleh K. Dia menjeling tajam ke arah Arora dan Karl. Seperti ada sesuatu yang sudah diketahuinya. Ataupun, mungkin ketika matanya dan mata Karl bertentangan, dia mengesyaki bahawa Karl sudah mengenalinya.

"Ada apa, K?" soal Falcon yang menyedari pandangan K ke arah mereka agak berbeza.

"Mereka berdua K-User."

Tiga patah jawapan yang keluar daripada mulut K telah membuatkan Falcon terkejut besar, "K... K-User? Macam mana kau tahu?"

"Aku boleh mengesan aura berbeza daripada mereka."

"Kalau macam tu, izinkan aku untuk menahan mereka."

"Jangan. Bahaya. Gadis itu... aura dia lebih kuat. Aku takut kalau kau bertindak sekarang, dia akan menyerang orang awam untuk melepaskan diri. Lagipun, ramai orang di sini."

Falcon akur dengan kata-kata K. Mereka meneruskan perjalanan. Ingin sahaja berjalan menuju ke arah kereta mereka, tiba-tiba, skrin besar LED digodam. Jelas tertanya sosok tubuh seorang lelaki yang berpakaian seperti seorang raja Yunani dan memakai topeng harimau. Orang awam terpaku melihatnya. Ada yang sanggup memberhentikan kenderaan mereka dengan tiba-tiba tatkala melihat sosok tubuh itu muncul kembali pada skrin besar. Kemalangan kecil pula terjadi.

K dan Falcon juga terkejut.

"Wahai rakyat Malaysia! Kalian tidak rindukan aku ke? Aku sudah hidup kembali untuk membalas dendam! Saksikanlah huru-hara yang akan menimpa kalian jika kerajaan ini masih merahsiakan K-Subject! Bongkarkan K-Subject dengan segera atau seluruh negara ini akan hancur! Jangan sesekali mencabar aku! Kalian tidak ingatkah apa yang aku telah lakukan? Aku ialah Raiqal Kris dan aku akan musnahkan sesiapa sahaja yang menghalang aku! Paksa kerajaan kalian untuk bercakap tentang perkara yang sebenar atau Karnivor akan bangkit semula di negara ini!"
















Untuk membaca kesemua Trilogi Distopia boleh follow kenhendri di aplikasi wattpad.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.