Home Novel Seram/Misteri Potret Dua Wajah
SINOPSIS [kali ini saya letak sinopsis sebelum continue. Thrilling right?
Sinopsis
Dua jelitawan, Dania dan Danila yang berwajah seiras ialah pelajar genius dua bersaudara. Mereka terlalu akrab, dan amat menyayangi satu sama lain. Tidak pernah berpisah sedari kecil lalu sering disalah anggap sebagai kembar, meskipun berbeda usia setahun. Tamat tingkatan 3 Dania terus ke sebuah Insitiut Teknik , SMTSU di Selangor manakala Danila yang kecewa kerana terpaksa berpisah dengan adik kesayangannya, nekad menerima tawaran melanjutkan pelajaran di Universiti Southampton berbekalkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM. Di Institiut tersebut Dania menempa populariti kerana bakat melukisnya yang tiada tara. Dania yang memiliki pakej yg lengkap terus menjadi buah hati sekolah. Dia jadi anak emas sekolah. Disayangi oleh majoriti guru di sekolahnya dan menjadi anak angkat kepada Pengetua Encik Mat Nor. Dialah juara tenis antara sekolah. Dialah juara petandingan cerpen peringkat nasional . Paling mengagumkan, dia sentiasa mengungguli tempat pertama di mana-mana pertandingan melukis yang diadakan. Bermula dari peringkat sekolah hinggalah ke peringkat negeri dan nasional. Dia meraih ratusan trofi dan dianugerahi hadiah-hadiah lumayan disamping turut diberi peluang melawat Kota Paris. SMTSU menjadi masyhur kerananya. Kedatangan guru Fizik yang juga merupakan guru Lukisan kejuruteraan, bernama Masriezal ke situ telah membenihkan sesuatu yang diluar kemampuan untuk dia menolaknya. Dia gagal bertahan dan jatuh cinta. Sayangnya, guru itu tidak tertarik dan menganggapnya masih mentah. Meskipun dia berusaha sedaya upaya menarik perhatian guru tersebut bermodalkan kejelitaannya dan bakat melukis luar biasa yang dipunyainya. Tanpa segan-silu, dia menghadiahkan guru itu karya-karya lukisannya hampir sebilang masa. Meskipun cintanya tidak dilayan guru tersebut, namun Dania tidak pernah berputus asa. Sesuatu terjadi ketika guru itu menyambut pelawaan Dania bertandang ke kampungnya di utara, iaitu di Perlis. Barulah guru itu mengetahui betapa daif dan melaratnya gadis hebat yang menjadi ikon dan idola para pelajar SMTSU itu. Di sebalik semua itu, Masriezal berasa amat terharu dan kagum. Ini kerana Dania tidak pernah berasa malu menunjukkan kemelaratan hidup dia dan keluarganya. Yang gadis itu tahu, dia mahukan Masriezal yang dicintainya itu menikmati keindahan desa di mana dia dibesarkan. Dia seorang pelukis. Sudah tentu dia juga pencinta keindahan. Dan dia mahu berkongsi rasa dan minat itu dengan lelaki yang amat dikaguminya. Di tengah-tengah bendang sawah, Dania mempamirkan kemahirannya melukis yang sungguh tiada tara. Dia menunjukkan betapa mudahnya dia memindahkan segala keindahan di situ ke atas sebuah kanvas dengan semudah ABC. Masriezal kagum. Terlalu kagum. Minat yang mendalam terhadap bakat Dania menunaskan rasa kasih dalam dirinya terhadap gadis itu. Lalu bersemilah perasaan cinta. Tercetus konflik bila tiba-tiba Dania berubah sikap. Dia menjadi amat penyedih dan seakan-akan dibelenggu kesusahan atau masalah yang terlalu serius. Namun dia tetap enggan menyatakan punca dia berdukacita itu kepada Masriezal yang bahkan bersedia hendak membantunya bila-bila masa sahaja buat gadisnya. Dania seolah-olah terikat kepada sesuatu yang tidak mampu dirungkai oleh sesiapapun. Tiba-tiba saja SMTSU mengalami pertukaran Pengetua. Lelaki yang menjadi ayah angkat Dania digantikan oleh seorang pengetua yang lebih muda bernama Khir Nawawi. Pengetua baharu itu mendatangkan kecurigaan di hati Masriezal. Dia juga kelihatannya amat rapat dengan Dania. Masriezal mengesyaki ada sesuatu yang tidak baik berlangsung di antara Dania dan Pengetua yang masih muda itu. Atas sesuatu sebab, Dania tiba-tiba mengambil cuti untuk pulang ke kampungnya. Dia bertembung dengan kakaknya Danila yang baru pulang dari Southampton kerana bercuti juga. Namun hanya seketika mereka dapat bersama. Kerana Dania kembali semula ke SMTSU, tapi kali ini dengan sikap berbeza. Dia kelihatan lebih radikal dan lebih agresif. Perubahan itu tentunya mengejutkan Masriezal yang teramat mencintainya. Dania seperti mahu menjauhkan diri daripadanya. Tetapi kenapa? Dia malah, bersikap aneh dan berlagak tidak seperti dirinya sendiri. Apakah yang membelenggu Dania hingga mengubah personalitinya sedrastik itu? Masriezal sedih dan bingung. Beberapa hari sesudah itu Dania ditemui tergantung di kipas siling kelasnya. Paling menyayat hati, Masriezal yang tidak tahu apa-apa telah dituduh menghamilkan Dania sehingga menyebabkan gadis itu nekad membunuh diri.
Bukankah Dania mencintainya sepenuh jiwa?
Masriezal meninggalkan profesion perguruannya dan berkhidmat sebagai seorang eksekutif di sebuah syarikat pengilangan di Selangor. Dia berikrar tidak akan ke sekolah itu lagi. Juga tidak akan jatuh cinta lagi. Dia benar-benar kecewa dan sungguh-sungguh menderita dek kematian Dania.. Manakala Danila, sesudah kematian Dania, enggan meneruskan pengajiannya semula di Southampton. Dia menghidap kemurungan dan sentiasa mengurung dirinya di kamar adiknya yang dipenuhi alat-alat lukisannya. Walhal dia, amat bencikan lukisan malah memusuhi apa saja yang berkaitan dengan seni lukisan.
Jika benar Danila membenci apa saja elemen yang berkaitan seni lukisan, kenapa dia betah mengurung dirinya di situ. Siapa sebenarnya yang ditemui mati tergantung?  Ada misteri yang sukar dirungkai di sini. Di SMTSU itu pula, ramai kenampakan entiti yang menyerupai wajah Dania. Kelibat menyerupai arwah Dania itu dilihat bergentayangan di merata-rata tempat di sekolah tersebut. Fenomena itu menakutkan para pelajar yang belajar di sana. Kelas tempat Dania pernah belajar dulu terpaksa ditutup dan dijadikan stor. Penemuan nota kecil di luar pintu kondonya membuatkan Masriezal bertekad untuk kembali semula ke sekolah tersebut demi membersihkan nama Dania yang diaibkan dengan tohmahan membunuh diri. Dia tidak percaya pelajar bijak dan genius seperti Dania sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu. Masriezal dengan dibantu oleh beberapa orang pelajar Kelas Elit yang pernah dibimbing arwah Dania, berusaha menyingkap misteri di sebalik kematian pelajar genius tersebut.. . Maniam yang merupakan jaga sekolah tersebut akhirnya terpaksa dimasukkan ke wad psiakiatri setelah diserang lembaga yang berkeliaran di SMTSU. Sebelum mati, matanya asyik merenung ngeri kipas siling di wad di mana dia dirawat. Dia mati kejung dalam keadaan kedua tangannya kaku di leher seolah-olah sedang mencekik dirinya sendiri. Kenapa? Sebuah kisah sedih. Kisah impian yang berkecai . Kisah pengharapan yang luruh bersumberkan sebuah kisah benar seorang pelajar membunuh diri si sekolahnya setelah hamil diperkosa jaga sekolah ini. Namun sesudah derita ada bahagia. Ada kejutan menanti anda di hujung cerita.  Yang pasti, anda semua pasti suka ;)   Nantikan terbitannya...

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh