Home Novel Seram/Misteri Potret Dua Wajah
BAB 2 Bayangan Daniakah...

Aisyah, Syamira, Falora dan Bella termengah-mengah kepenatan mendaki tangga menuju ke dorm mereka. Apatah lagi perut masih berat kerana baru sahaja diisi kenyang-kenyang ketika makan malam tadi. Iman masih berlengkar di atas katilnya. Sesekali kedengaran dia menuturkan sesuatu yang tidak begitu jelas. Aisyah dan rakan-rakannya itu mentertawakan Iman.

“Dahlah berdengkur macam kambing menggelupur, bercakap dalam tidur pulak. Janganlah dapat kakak ipar macam ni!” seloroh Aisyah.

Syamira, Falora dan Bella ketawa terkekeh-kekeh.

“Tak ada kerja lainkah hah?” tengking Iman apabila melihat Aisyah dan rakan-rakan yang lain mengelilinginya.

Aisyah dan rakan-rakannya itu tergamam apabila tiba-tiba sahaja Iman bingkas dari tidurnya. Akibat ketakutan, mereka terus melompat ke atas katil masing-masing.

“Haa... tahu pun takut!” Iman menjungkitkan sebelah keningnya kepada empat sahabat itu dan tersenyum lebar.

Bibiey dan rakan-rakannya pula muncul, juga termengah-mengah akibat mendaki tangga ketika perut kekenyangan. Terdengar dari jauh gelak hilai dan senda gurau mereka. Jadi, mereka agak gugup apabila melihat Iman sudah bangun.

“Jangan salahkan kami pulak, puas kami kejutkan kau, tapi tak bangun-bangun jugak!” jelas Bibiey.

“Aku tak kisah pun. Di dalam almari aku tu, penuh dengan makanan. Kalau aku lapar, aku makanlah apa yang ada. Falsafah aku, biar tak makan tapi jangan tak tidur!” balasnya selamba lalu mencapai tuala dan bergegas menuju ke bilik air.

“Ada jugak orang macam tu!” bisik Aisyah kepada Syamira, Bella dan Falora. Mereka menggelengkan kepala masing-masing dan membuat bunyi berdecit.

Malam itu, dalam perjalanan ke surau untuk menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah, Bibiey, Iman dan Jijah terserempak dengan pelajar lelaki yang menghala ke arah yang sama. Iman menyindir Firdaus kerana berjalan tertunduk-tunduk tanpa menyedari bahawa dia sedang beriringan dengan mereka. Firdaus lantas mengangkat kening sebagai isyarat menyapa.

“Kita dalam perjalanan ke rumah ibadah, hentikanlah berbuat maksiat. Masing-masing dah ada wuduk, tapi masih mahu berzina dengan mata,” tegurNik Hazuan yang jarang-jarang kelihatan bersama kumpulan pelajar lelaki itu.

Bibiey mencebik bibirnya lalu menarik lengan Iman dan menyuruh rakan-rakannya yang lain supaya melangkah lebih pantas untuk mendahului kumpulan pelajar lelaki itu.

“Ehm... kau tu pun sama Iman, tegur mereka buat apa?” Bibiey terkilan.

“Eh, kat kelas mereka tu bukan main rancak berborak dengan kita! Kat surau kena tukar imej pulak ke? Macamlah aku ada feel kat mereka! Langsung tak ada thrill!Semuanya serabai. Lagipun aku tegur cikgu tuisyen aku tu je.” Iman mempertahankan tindakannya. Memaksudkan Firdaus yang selalu membantunya menyelesai masalah dalam subjek Matematik Tambahan.

Jijah dan Wawa ketawa. Hanya Anis yang diam seperti sedang memikirkan sesuatu.

“Eh,Nik Hazuan tu smart apa!” bela Jijah. “Dia dengan Nazuan lebih kurang je. Handsome!”

“Smartsekejap, bila gel kat kepala tu dah cair, serabailah balik!” balas Iman lalu tersengih.

“Mak datuk mulut kau! Nak ke surau, tapi mengata!” marah Bibiey lagi. “Memuji hanya kepada Allah...” Dia bertazkirah. “Sesama manusia pula, jangan mengumpat...”

“Ya tak ya jugak, besok aku minta maaf kat dia!” balas Iman selamba.

“Mana si Aisyah Kepoh dan teamnya tu? Tak nampak batang hidung pun?” soal Anis.

“Daruratlah tu!” Iman meningkah.

“Takkan semua sekali kut?” Anis menyoal hairan.

“Biasalah tu... kan geng boria tu! Boria Pulau Pinang. Boria anak mami,” balas Iman lalu ketawa kecil.

“Setahu aku yang bercakap tu yang memegang status anak mami!” perli Bibiey.

Iman membuat muka cemberut. Dia cukup marah dengan gelaran anak mami yang dilabelkan kepadanya itu. Disebabkan irasnya yang ala-ala Hindustan itu.

“Kau tu tak tahan gurau, cuma kau aje yang boleh kenakan orang. Bila kena diri sendiri, datanglah baran kau tu!” tegur Jijah.

Iman membiarkan kata-kata itu berlalu. Ada sesuatu yang lebih memukaunya daripada tempelakan sinis Jijah itu saat ini.

“Damn!” terdengar dia menyeranah sendirian.

Mata Iman terpaku ke satu arah. Dia asyik memerhatikan kelibat kain putih yang sedang mengibas-ngibas seperti ditiup angin di puncak pokok beringin yang mengatasi ketinggian bumbung surau itu. Dia bertasbih dengan agak kuat. Rakan-rakannya menoleh ke arahnya dengan rasa hairan.

“Kenapa Iman?” Jijah yang sudah berkerut dahinya kerana kehairanan,menjungkitkan bahunya.

Iman menggerakkan bahunya. Mengisyaratkan tidak ada apa-apa yang perlu dihebohkan. Jijah mendengus agak kuat. Tidak puas hati.

“Dinginnya angin malam ni. Tiba-tiba aje pulak tu!” keluh Bibiey. Berasa seriau.

Iman mengerling ke arah Bibiey seketika dan kemudian menapak ke hadapan dengan lebih laju. Dia mendahului mereka masuk ke dalam surau. Kelibat yang dilihatnya tadi menggegar sedikit pertahanan batinnya walau pun tidak sepenuhnya. Perlakuannya yang terkocoh-kocoh itu menyebabkan rakan-rakannya diserbu rasa hairan.

Ketika di dalam surau, Iman bersimpuh di saf belakang. Matanya melilau ke saf hadapan yang belum dipenuhi. Dia bangun semula. Hasratnya hendak menambah bilangan jemaah pada saf ketiga yang masih jarang. Biar rapat. Syaitan tidak mampu mencelah di antara saf yang rapat.

Tiba-tiba dia terpandangkan Aisyah di sebelahnya yang sedang berteleku di atas sejadah. Dia sedang menekup sebelah mukanya dengan telekung yang dipakainya. Gadis itu hanya memandang ke sebelah kanan, seolah-olah sedang mengelak pandangannya daripada bertembung dengan sesuatu di sebelah kirinya. Iman menghampiri gadis itu dan sama-sama duduk bersimpuh.

“Kau menangis ke Syah? Ada masalah?” Tidak lagi kasar nadanya.

Aisyah menggelengkan kepalanya. Dia melepaskan tangannya tetapi masih menunduk. Matanya mengerling ke arah Iman. Dia berasa pelik dengan keramahan drastik senior sombong itu.

“Aku fikir kau menangis tadi. Kadang-kadang aku ni memang snobbish sikit tapi aku tak dapat tahan perasan aku bila melihat orang dalam keadaan sugul macam kau ni. Susah betul jadi orang baik macam aku!” Iman cuba berseloroh.

“Kalau Syah tahu macam ni, lebih baik masuk sekolah lain aje!”

Iman mengerut-ngerutkan dahinya kurang memahami keluhan Aisyah. Dia menarik jari-jemari Aisyah yang menutup mukanya, perlahan-lahan.

“Apa halnya ni? Beritahulah Kak Iman. Ni tak pasal-pasal nak tukar sekolah. Apa hal?” Iman masih gagal membaca permasalahan juniornya itu.

“Kak Iman, pandang ke jendela sebelah kiri!” ujar Aisyah dengan nada gementar.

Iman hanya menurut. Dia membulatkan matanya dan selepas beristighfar, dia kembali memandang Aisyah. ‘Tadi kat atas... sekarang kat bawah pula. Ekspres betul,’ bisiknya.

“Itu fenomena biasa. Relakslah. Aku ada, buat apa takut! Aku pun nampak benda tu tadi! Buat tak tahu aje! Tadi dia kat atas. Penat agaknya, so dia turunlah. Sekejap dia ada... sekejap tak ada,” seloroh Iman.

“Macam tu Kak Iman kata fenomena biasa?” Aisyah pula mengerut-ngerutkan dahinya. Kaget dia menatap wajah seniornya itu.

“Iyalah. Biasa. Alam ni kan menjadi habitat pelbagai makhluk dan benda, termasuk jugak kita, Syah! Tidak kira entiti itu bernyawa atau sekadar makhluk dari alam ghaib. Mereka juga sah dikira penghuni alam ciptaan Tuhan ini. Kadangkala deria keenam kita mengheret kita agar terserempak dengan benda-benda macam tu, relakslah... Buat apa takut? Kita ni makhluk yang lebih tinggi darjatnya daripada mereka,” jelas Iman bersahaja.

Aisyah menggelengkan kepalanya. Kata-kata seniornya itu tidak dapat diterima oleh akalnya.

“Syah rasa nak terimalah semula tawaran sekolah integrasi tu. Tak sanggup nak duduk di sini lagi kalau macam tu punya bahana pun, Kak Iman kata fenomena biasa.”

“Eh, kat mana-mana sekolah berasrama penuh benda tu gerenti ada punya! Entah-entah di sekolah integrasi benda tu siap tinggal di dalam kelas lagi, siapa tahu? Anggap aje benda tu sebagai aksesori dan dekorasi sekolah berasrama penuh!”

“Mulut Kak Iman ni betul-betul laser!” Aisyah menunjukkan wajah ketakutan.

“Biasalah... dia pun makhluk Allah juga. Cuma dia makhluk yang telah dilaknat. Mungkin dia mengintai tu kerana kesal tidak berkesempatan berbuat seperti apa yang kita buat sekarang ini. Mendirikan solat dan berbuat ibadah. Mungkin juga dia menyesal kerana tidak menjiwai puisi Tun. Dr. Mahathir, iaitu ‘Perjuangan yang Belum Selesai’. Jadi, kita yang masih hidup ini, ambillah iktibar. Selesaikan perjuangan untuk ukhrawi kita agar tidak terintai-intai seperti benda tu bila kita dah berhijrah ke alam yang satu lagi nanti. Biar mati kita dalam husnul khotimah!”

Aisyah merenung wajah Iman. Sukar baginya hendak mempercayai kata-kata nasihat itu yang terluah dari bibir Iman. Namun, nasihat Iman yang berbaur dengan kata-kata jenaka itu membuatkan dirinya lebih tenang. Emosinya kembali stabil. Ketakutan juga semakin pudar.

“Semasa mula-mula masuk ke sekolah ni dulu, saya ingat Kak Iman sombong orangnya.”

“Mungkin raut wajah Kak Iman yang macam artis Bollywood ni yang buat muka Kak Iman nampak sombong!” Spontan Iman menjawab.

“Eii... perasannya Kak Iman ni!”

Tiba-tiba seorang senior yang merupakan Ahli Jawatankuasa Majlis Perwakilan Pelajar, juga Penolong Ketua (MPP), yang berada di saf hadapan menegur Aisyah. “Tak tau diam ke, hah pendek?” Dia mempamerkan wajah garang.

“Hei... Nadwa, ini surau kan? Biar beradab. Jangan nak tunjuk garang di sini. Muka kena manis! Lagipun muka yang kau buat tu tak menakutkan langsung!” Iman membela Aisyah.

Aisyah tersenyum. Wakil MPP bernama Nadwa itu, membalas teguran Iman dengan wajah kelat. Senyuman Aisyah itu seakan-akan menempelaknya. Terasa dia sebagai Penolong Ketua MPP, telah diperlekeh oleh seorang yang rendah tarafnya berbanding dirinya..

Kasihan Aisyah!

Secara tidak langsung dan tanpa disedari Aisyah telah menempah seorang musuh kronik pada hari pertama dia berada di SMTSU. Yang pasti, itu bukanlah pertemuan terakhir Nadwa dengan Aisyah. Nadwa yang amat pantang diperlekeh-lekehkan itu menyimpan agenda di kepalanya hendak mengajar Aisyah suatu hari nanti!

Di saf belakang, ada mata-mata yang kehairanan, sedang memerhatikan Iman dan Aisyah. Jijah, Bibiey dan Wawaberasa pelik bila melihat Iman melayan Aisyah dengan sopan dan ramah sekali. Setahu mereka, Aisyah dan rakan-rakannya cukup fobia dengan Iman. Tetapi tanda-tanya mereka terusir sebaik sahaja kedengaran seruan azan daripada muazin. Azan yang dilaungkan oleh Nazuan begitu merdu sekali pada malam itu. Tersentuh hati mereka yang mendengar. Begitu terasa akan Keagungan Ilahi.

“Ah, Nazuan... suaramu benar-benar memukauku!” gurau Jijah. Rakan-rakannya menahan diri daripada tergelak.

“Hormat azan!” tegur Bibiey dan masing-masing patuh.

Selesai azan, Bibiey menghulur sedikit tazkirah.

“Kita sepatutnya menjawab azan bukan bercakap-cakap ketika azan. Azan ini diilhamkan oleh malaikat dalam mimpi Abdullah bin Zaid dan Sayyidina Umar ra. Iaitu setelah Junjungan kita bermusyawarah mencari jalan bagaimana hendak memanggil para jemaah solat di masjid. Kemudian diajarkan kepada bilal oleh Abdullah bin Zaid, bila disuruh Baginda Rasulullah saw. Bait-bait azan itu ilham daripada malaikat tersebut dan jika yang datang itu daripada malaikat, apa maksudnya? Cuba guna akal logik!”

Bila masing-masing terpegun, Bibiey menyambung.

“Setiap sesuatu yang terjadi adalah menurut kehendak-Nya!”

Menurut HR Abu Dawud, Rasululullah pernah terfikir memanggil jemaah bersolat dengan menggunakan loceng. Tetapi Baginda menukar fikiran kerana memikirkan amalan itu sudah didahului oleh kaum Nasrani. Ketika Abdullah bin Zaid menceritakan pertembungan mimpinya dengan lelaki berjubah hijau yang mengajarkannya azan itu, Rasululullah bersetuju. Baginda menyuruh azan itu diajarkan kepada Bilal yang suaranya lebih keras dan kuat. Umar Al Khatab yang terdengar azan itu dari rumahnya terus mencapai selendang dan bergegas menemui Rasululullah. Sahabat Rasulullah itu menceritakan bahawa dia juga bermimpi tentang azan itu lantas Rasulullah segera bertahmid.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh