Prolog
Udara malam berpuput lembut memenuhi
setiap ruang. Bintang kelihatan bertaburan didada langit. Bulan sabit pula
mengintai disebalik awan yang tebal. Dedauan pokok ditepi rumah bersiul
mengiringi rentak angin yang bertandang. Suara cengkerik dan unggas malam terus
bersimfoni menghiasi malam yang mula dingin. Namun itu semua tidak mampu
menarik perhatian seorang remaja yang sedang tekun dengan buku dan nota diatas
meja diberanda rumah. Sejak dari tadi dia berkeadaan begitu. Asyik benar.
Seolah – olah tidak terganggu dengan bunyi deruan motor anak – anak kampung
yang sesekali melintas didepan laman rumah. Tidak termakan dengan bujukan
kedinginan malam yang semakin terasa. Seolah – olah buku dan notanya lebih
penting dari yang lain – lain.
Diruang dapur pula kelihatan seorang
wanita lingkungan lewat tiga puluhan sedang sibuk menyiapkan hidangan malam
untuk anaknya. Tidak ada orang lain lagi selain dari mereka berdua. Sejak
kematian suaminya sepuluh tahun dulu, Linda tidak pernah berkeinginan untuk
mendirikan rumahtangga lagi. Baginya dia sudah bertekad untuk membesarkan
anaknya sedaya yang mungkin. Bukan tidak ada lelaki yang mahu menyuntingnya.
Namun semua itu ditolaknya dengan baik. Baginya Adi sudah cukup membuat dia
bahagia. Melihat Adi membesar didepan matanya itu sudah memadai. Bahagia Adi,
maka bahagialah dia. Sengsara Adi bermakna dia turut sama merasa
kesengsaraannya. Bagi Linda, Adi adalah segala – galanya didunia ini.
Pun begitu dia tetap manusia biasa.
Sesekali godaan datang dan menghimpit hati dan perasaan wanitanya. Tatkala itu
dia merasa bimbang. Tidak sedikit dia dijamah dengan rasa was – was. Disaat itu
kegelisahan menjadi penemannya. Kebinggungan menjadi rakannya. Ketika itu dia
sedar dia sedang berdiri disebuah persimpangan. Dan seperti selalu,
persimpangan itu menjadikan dia takut dan keliru. Dia terperangkap diantara
janji dan keinginannya. Ya! sebagai seorang wanita dia perlukan perlindungan
dari seorang lelaki yang bergelar suami. Linda akui ada waktu – waktunya dia
bagaikan tidak berdaya untuk mengharung semua cabaran dan godaan dunia ini.
Pujuk rayu dunia ini adakalanya terlalu sukar untuk dielakkan. Ada masa –
masanya dia didesak dengan nafsunya sendiri. Itulah yang dibimbanginya selama
ini. Rupanya bukan muda menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal. Terlalu banyak
godaan dan cabarannya.
Seringkali dia merasa berdosa
tatkala memikirkan tentang anaknya nan seorang itu,Adi. Dia akui yang dia
pernah berjanji untuk menjaga Adi sebaik mungkin selepas kematian suaminya.
Janji itu tetap dipeliharannya sebaik mungkin. Dia ingin melihat Adi membesar
didepan matanya. Sebagai seorang ibu dia ingin melihat Adi berjaya didalam
hidupnya. Tidak sepertinya, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Sekurang – kurangnya dia mahu melihat Adi berjaya lebih dari apa yang
diperolehi dari arwah suaminya. Dan dia tahu bukan mudah untuk membesarkan
seorang anak. Lebih – lebih lagi anak lelaki. Melihat keadaan beberapa orang
anak muda dikampungnya membuatkan dia kecut perut. Bukan sedikit terlibat
dengan dadah. Pecah rumah dan bermacam – macam lagi. Belum lagi cerita tentang
anak – anak muda yang gemar merempit disekeliling kampung. Bukan tidak ada yang
terjongkang masuk parit dan sebat tiang lampu. Namun tidak pernah ada seriknya.
Memikirkan tentang itu, hati Linda sering digayut dengan rasa takut dan cemas.
Janganlah Adi ikut seperti itu, fikirnya lagi. Yang sudah tu, sudahlah. Jangan
Adi terjebak sama.
Asam pedas ikan gelama diletakkan
diatas meja. Kemudian Linda memanjangkan lehernya kearah depan. Cuba mengintai
kelibat anak lelakinya, namun gagal.
“ Adi!”
suaranya memecah keheningan malam.
Tidak ada
balasan dari panggilannya. Linda melangkah lagi. Mengambil kendi lalu diisikan
dengan air disingki.
“ Adi! Meh
makan,” sekali lagi nama anak lelakinya dilaungkan.
Pun begitu
tidak ada jawapan dari seruannya itu. Linda mengeluh. Entah apa yang dibuat
oleh Adi, hatinya merungut sendiri.
“ Adi! Meh
makan!” kali ini suaranya dikuatkan. Matanya terus dihalakan kearah muka pintu
depan yang terbuka luas. Dia pasti benar yang anaknya sedang duduk diberanda
rumah. Jarang anaknya keluar rumah. Lebih – lebih lagi diwaktu malam. Memang
sengaja dia menyekat kebebasan anaknya. Meski pun begitu dia tidak pula terlalu
mengongkong aktiviti Adi. Hanya apabila perlu saja dia akan membenarkan Adi
keluar. Dengan adanya Adi dirumah, sekurang – kurangnya keselamatannya agak
terjamin.
“ Adi!” suara
Linda makin kuat. Beberapa saat dia menunggu lagi.
“ Ada apa
mak?” bayang Adi tidak kelihatan. Yang terdengar cuma suaranya saja.
“ Adi buat apa
kat luar tu. Meh makan,” ajak Linda. Lauk yang terhidang diatas meja
diperhatikan lagi. Seleranya mula terangsang.
Adi menutup buku notanya. Pen
diletakkan diatas meja. Perlahan – lahan dia bangun dan melangkah masuk. Linda
menarik kerusi tatkala Adi berdiri disisi meja.
“ Mak masak
apa malam ni?”
“ Alah....
yang biasa – biasa aje. Dahlah.... jom makan,” arah Linda. Adi lantas
melabuhkan punggung diatas kerusi. Gelama
asam pedas yang terhidang diatas meja benar – benar membuka selera anak muda
itu. Dia mula terkecur sendiri. Linda menghulurkan kendi pada Adi dan pantas
anak muda itu menyambut. Sesuap demi suap Adi menyorongkan nasi kedalam
mulutnya. Sesekali tangannya mencubit sambal belacan diatas piring. Linda
tersengih melihat anaknya makan dengan penuh selera.
“ Adi nak
dengar cerita tak Di?” dengan tidak semena – mena Linda bersuara. Memecahkan
keheningan yang berlabuh dimeja makan malam itu.
Adi mendongak.
Cepat – cepat nasi didalam mulutnya ditelan. “ Cerita apa mak?” anak muda
berambut lebat itu bertanya. Ada sesuatu bermain didalam mindanya ketika itu.
Seperti ada yang lucu, Linda ketawa
kecil. Menjadikan Adi semakin tidak faham. Kenapa ibunya harus ketawa begitu?
Apa yang lucunya?
“ Kenapa mak?”
Linda hanya
menggeleng – gelengkan kepalanya. “ Tak ada apa – apa Di.”
“ Dah tu....
mak ketawa tak pasal – pasal,” perilaku ibunya menarik perhatian Adi. Nasi yang
berada ditangannya tidak jadi disuap.
“ Nak dengar
cerita tak?” soal Linda yang langsung tidak menghiraukan akan pertanyaan
anaknya itu. Adi diam sebentar. Fikirannya berputar – putar lagi.
“ Cerita apa
mak?”
“ Cerita
hantu,” pendek Linda menjawap.
“ Hish.... mak
ni mengarut aje,” cebik Adi dengan tiba – tiba. Sejenak dia menjeling kearah
tingkap dapur yang masih lagi terbuka. Diluar gelap malam membuatkan
perasaannya jadi tidak keruan dengan tidak semena – mena. Desir daun – daun
pokok kedengaran sesekali mencecah cuping telinganya. Entah kenapa dia
merasakan ada mata ghaib sedang merenung kearahnya. Bulu roma dipangkal
tengkuknya berdiri tegak. Sendi – sendinya terasa lemah.
“ Ya Di. Nak
dengar tak cerita hantu ni?” ujar Linda. Adi terasa pelik. Kenapa ibunya harus
tersenyum begitu tatkala ingin menyampaikan cerita seram padanya? Ternyata
pertanyaan yang membenih dalam mindanya tidak mampu untuk dijawap.
“ Mak ni
mengarut ajelah,” sahut Adi dengan rasa kurang senang.
Linda
meledakkan ketawanya. Adi makin diterkam dengan perasaannya sendiri.
“ Betul Di.
Mak tak bohong,” ujar Linda setelah ketawanya reda sedikit. Adi tidak menjawap.
Nasi yang sudah berada didalam mulutnya dikunyah perlahan – lahan.
“ Mak Timah
ada datang siang tadi,” sambung Linda lagi. Adi mendongak memerhatikan raut
wajah ibunya. Dia kenal benar dengan wanita yang disebut oleh ibunya tadi.
Siapa yang tidak kenal dengan perempuan itu? Serasanya satu kampung kenal. Mak
Timah sering berkunjung kerumah orang kampung untuk menjual kain dan baju.
Sejak dia dari kecil lagi dia selalu nampak Mak Timah mejinjing dua buah beg
besar. Kehulu dan kehilir kampung menjaja baju dan kain.
“ Apa kena
mengena Mak Timah dengan cerita yang mak nak cakapkan ni? Mak Timah dah jadi
hantu ke?” nakal saja mulut Adi meluncurkan kata – katanya itu. Linda merenung
wajah anak kesayangannya. Sambil tersenyum dia menggelengkan kepalanya.
“ Bukan macam
tu.”
“ Habis tu?”
kening Adi terjungkit.
“ Masa dia
datang tadi dia ada bagitau mak cerita hantu ni,” ulas Linda.
“ Ohh....,”
Adi melopongkan mulutnya, besar.
“ Adi percaya
tak ada orang jumpa pocong siang – siang hari?”
sengaja Linda menduga anak lelakinya itu. Adi terhenti lagi menyuap
nasi. Kali ini dia merenung wajah ibunya yang bulat itu lama – lama. Padanya ada
sesuatu yang aneh pada percakapan ibunya.
“ Mak ni asyik
nak mengarut aje. Mana ada orang jumpa pocong siang – siang hari,” akhirnya Adi
tersengih. Dia mula tidak percaya dengan cerita ibunya. Memang ada sesuatu yang
tidak kena pada fikirannya dikala itu.
“ Betul Di.
Mak tak bohong. Memang ada orang jumpa pocong siang – siang buta,” Linda cuba
menyakinkan anak tunggalnya.
Adi tidak
berkutik walau sedikit pun. Yang dia mampu lakukan cuma merenung roman ibunya
lama – lama.
“ Adi
dengarlah cerita mak ni,” lanjut Linda lagi. Bersedia untuk menceritakan apa
yang disampaikan oleh rakannya, Mak Timah siang tadi.
Bab 1
KAMPUNG LONG MAMAT
Hidungnya
menangkap bau sesuatu digoreng didapur. Lantas dia membuka kelopak matanya.
Memandang kerarah siling rumah yang sudah kekuningan akibat sudah lama tidak
dibersihkan. Paling akhirnya dia menyapu sawang disiling ketika seminggu lagi
hendak menyambut hari raya. Itu pun tahun lepas punya cerita. Tahun ini haram
sekali pun dia tidak pernah membersihkannya.
Kelopak matanya masih lagi terkebil
– kebil memandang siling. Seolah – olah ada sesuatu yang menarik perhatiannya
sedang melekap disiling tersebut. Nafasnya dihela dengan perlahan. Dadanya yang
agak kempis itu kelihatan turun naik dengan lembut. Selimut yang sudah pun
mengelusur kepinggangnya ditarik kembali hingga kebawah dagu. Udara sejuk yang
menerobos masuk melalui celahan dinding kayu rumah menjadikan tubuhnya merasa
sejuk.
Begitulah rutinnya dikampung.
Diwaktu pagi sejuknya memang terasa. Enak kalau terus berselubung disebalik
gebar tebal sambil kepala dialas dengan bantal empuk. Lalu kelopak mata menjadi
kuyu. Minda akan menarik kembali mimpi agar berbunga semula menyerikan tidur
sambil ditemani dengan kedinginan diwaktu pagi. Suara ayam berkokok ditepi
rumah sering kali diabaikan. Adakalannya suara anak – anak kampung melintas
didepan rumah juga tidak mampu memadamkan mimpi yang bertandang. Yang boleh
menghalau semua itu ialah suara isterinya. Ya! hanya suara Bedah boleh merentap
mimpi indahnya. Dan sememangnya itulah yang sering dia alaminya selama ini.
Sejak dia mendirikan rumahtangga bersama wanita yang dicintainya itu, sejak
itulah dia sering dijerkah oleh Bedah. Hampir saban hari. Sejak sebelum beranak
hingga kini mereka dikurniakan dengan tiga cahaya mata sebagai penyeri
rumahtangga mereka. Dua putera dan seorang puteri. Selama ini juga suara Bedah
menjadi ‘jam loceng’ yang mengejut dia hampir setiap hari.
Usin mengerekot. Membengkokkan
tubuhnya laksana udang dibakar. Membiarkan sejuk meratah tubuhnya yang hanya
bersinglet nipis dan berkain pelikat disebalik selimut. Enak benar saat itu
bagi Usin. Kelopak matanya yang terbuka tadi kini kembali menjadi layu sedikit
demi sedikit. Cuma pagi ini keenakannya seperti terganggu. Ya! terganggu dengan
bau yang muncul dari arah dapur. Perlahan – lahan Usin mengangkat kepalanya.
Memandang kearah pintu yang separuh terbuka. Apa saja yang dimasak oleh Bedah
pagi – pagi buta ni, rungutnya didalam hati.
Usin mengaku yang seleranya mula
terangsang dengan bau yang sedang mengasak dan mengoda lubang hidungnya ketika
itu. Kelopak matanya gagal untuk dikatup kembali. Diwaktu yang sama lubang
hidungnya terus kembang kempis mengiringi bau yang kian mencucuk.
Selimut mula dilemparkan hingga
kehujung kaki. Sejenak dia menoleh kearah jam kecil disebelah katil. Usin
mengeluh. Baru dia teringat yang pagi ini dia ada program bersama dengan anak –
anak muda dikampung itu. Kembali dia terlentang mengadap siling. Memikirkan
sesuatu namun dirasakan sia – sia saja. Bayangan – bayangan yang melintas
dimindanya dibiarkan berlalu pergi tanpa mahu dianalisisnya seperti selalu.
Usin mengerakkan kaki dan sepasang tangannya. Mengendurkan urat yang dirasakan
tegang. Tidak pasti apakah kerana tidur malam tadi atau pun sejuk pagi itu yang
membuatkan urat – urat dianggota berkenaan terasa tegang dan sakit. Mungkin
kedua – duanya sekali. Usin tidak mahu memikirkan perkara itu lagi. Tidak
penting baginya.
Yang penting ialah tentang program
dia bersama anak – anak muda lain yang dipersetujui olehnya sendiri. Sedetik
kemudian dia menyumpah dirinya semula. Gatal – gatal pergi setuju, siapa yang
suruh? Bagaikan ada suara asing menerjah masuk melalui cuping telinga hingga
hinggap keotaknya pagi itu. Dalam keadaan masih terlentang Usin mengeluh lagi.
Air mukanya bertukar keruh. Diburukkan lagi dengan keadaan rambutnya yang kusut
masai. Pelbagai bentuk ‘peta’ yang melekat disarung bantal tidak dihiraukan.
Baunya juga bagaikan tidak menganggu ketenteraman hidungnya. Sudah mangli kata
orang. Tanpa disedarinya bau kuat yang datang dari arah dapur tidak lagi
menjadi perhatiannya. Kini tumpuannya dihalakan pada program yang dia perlu
hadir. Usin memuncungkan bibirnya jauh kedepan. Kalau hendak diikutkan hatinya
memang dia malas hendak turut serta. Kalau diupah dengan duit ringgit pun belum
tentu dia mahu lagi. Dia memang malas. Sesekali rasa macam tidak ada
keperluannya pun. Tapi....
Usin mengeluh lagi. Mukanya
bertangkup. Suram dan tidak bersemangat. Tanpa dipaksa dia mula tercari – cari
akan akal untuk melepaskan dirinya. Program itu biarlah berjalan seperti biasa
cuma bezanya dia tidak ada disitu. Pendek kata dia tidak perlu berada disitu.
Lagi pun entah bila habisnya program tersebut dia tidak pasti. Memang leceh
punya kerja, hati mudanya berbisik sendiri. Kedua belah tangannya dilipatkan
kebelakang. Masih lagi memandang kearah siling. Fikirannya terus diputar –
putarkan. Semakin lama semakin ligat.
Cakap saja engkau sakit perut, kan
senang. Seperti tadi ada suara asing merasuk fikirannya agar menipu. Seketika
kemudian Usin menjuihkan bibirnya. Alasan seperti itu biasa sangat. Carilah
alasan lain. Yang nampak ada kelainannya sikit, hatinya memberontak sendiri.
“ Dah bangun
dah bang?”
Usin terkejut
dan menoleh kearah pintu bilik. Bedah
sudah tercegat disitu. Merenung tajam kearahnya. Usin menjuihkan lagi bibirnya.
Beza benar Bedah yang sedang berdiri
dimuka pintu dengan Bedah yang dikenalinya hampir lima belas tahun dulu. Dulu
Bedah lawa. Badannya pun solid. Pendek kata Bedah semasa anak daranya dulu
memang ada rupa. Ada kormesilnya kata orang kampung. Muka pun boleh jual. Kalau
berlenggang dikeliling kampung dia dan beberapa orang anak muda kampung pasti
akan menoleh. Selalunya dia bersiul dan mengusik nakal. Cari peluang untuk
bertemu mata dan menunggu senyuman dari Bedah. Dan kalau Bedah menghadiahkan
senyumnya ketika itu, pasti senyuman itu akan dibawa tidur bersama. Dikenduri
–kenduri kahwin yang diadakan dikampung pasti dia tidak ketinggalan. Bukan
kerana dia tergolong dalam kategori pemuda rajin. Tidak sama sekali.
Kehadirannya semata – mata kerana Bedah dan Anita. Ya! Kedua – dua gadis
pingitan itu memang menjadi idamannya sejak dulu lagi. Baginya Anita lebih
cantik kalau hendak dibandingkan dengan Bedah. Anita menjadi pilihan utamanya.
Bukan Bedah. Namun entah kenapa nasibnya tidak baik. Mungkin sudah bukan
rezekinya, fikir Usin. Anita terlepas ketangan orang lain. Anita dijodohkan
dengan seorang lelaki yang ada jawatan dari bandar. Dan khabarnya hidupnya pun
kini sudah bahagia.
Pun begitu Usin redha dengan
ketentuan dari Illahi. Memang rezekinya. Akhirnya dia dijodohkan dengan Bedah.
Bahagianya tidak terkira. Hampir saja dia melompat melepasi bumbung rumah
tatkala menerima berita yang pinangannya diterima oleh keluarga Bedah. Sejak
hari itu dia merasakan dunia ini indah belaka. Apa saja yang dia lakukan, apa
saja yang keluar dari mulutnya, semuanya terasa indah. Hari – hari yang
dilaluinya dirasakan cukup bahagia dan bermakna. Tapi itu lima belas tahun yang
dulu.
Kini kebahagian itu tidak lagi
dirasainya. Atau mungkin saja dia sudah merasa jelak dan bosan. Entah Usin
tidak pasti. Mungkin apa yang dia rasakan sejak kebelakangan ini adalah sesuatu
yang normal. Mungkin juga pasangan – pasangan lain diatas muka bumi ini
mengalami perkara yang sama. Mungkin juga, hatinya bersetuju dengan tiba –
tiba.
Usin menjeling lagi kearah pintu
kamar. Ya! Bedah masih lagi tercegat macam tadi. Sedang memerhatikan kearahnya.
Ada lagi dia kat situ, sumpah Usin didalam hati.
“ Awal pulak
abang bangun pagi ni,” tegur Bedah lagi. Usin tidak menjawap. Sebaliknya dia
sekadar memerhatikan kearah Bedah yang melangkah masuk. Kamar itu terasa
bergoyang sedikit. Ya! Bedah sudah tidak seramping dulu lagi. Ukur lilit
pinggangnya sudah berganda – ganda saiznya. Lemak juga sudah banyak menumpang
ditubuhnya. Kalau ada sesiapa yang mencarinya diwaktu yang tidak kena, mudah
untuk dia bersembunyi disebalik tubuh isterinya yang besar itu. Kalau hendak
main sorok – sorok itulah tempat persembunyian yang paling strategik sekali.
Bedah menguak tingkap agar udara pagi masuk kedalam. Usin tidak
membantah walau pun hatinya mahu menyanggah laku Bedah pagi itu.
“ Awak ada nak
kemana ke?” Bedah menjeling dan bertanya.
“ Nak keluar
kejap,” sahut Usin dengan suara malas. Tangannya mengosok – gosok kepala.
“ Kemana?” ternyata Bedah berminat untuk
tahu.
“ Uuhh....,”
Usin menepuk – nepuk pula belakang tengkuknya. Kalau diikutkan hati memang dia
malas hendak menjawap pertanyaan isterinya itu.
“ Ada kerja
sikitlah Dah.”
Bedah
melangkah mendekati suaminya. “ Kerja apa pulak ni bang. Awak ada ikut Leman
bertukang lagi ke?”
Secepat kilat
Usin mendongak. Tiba – tiba lehernya terasa sakit. “ Mana ada kerja? Dah berapa
lama Leman tak ada projek.”
Sejak berhenti dari kerja kilang,
Usin hanya mampu buat kerja – kerja kampung saja. Mujur juga dia tahu serba
sedikit membuat rumah. Ada juga Lema tukang memanggil dia untuk membantu.
Selebihnya dia akan mencari ikhtiar lain untuk menambahkan pendapatan. Orang
kampung sepertinya, sudahlah tidak berpelajaran tinggi. Memang susah hendak
melamar kerja. Apa yang ada sapu sajalah. Jangan tunggu lama – lama. Nanti tak
berasap dapur!
“ Habis tu.
Pagi – pagi buta awak dah bangun,” ujar Bedah. Ada nada kecewa dari nada
suaranya itu.
“ Abang ada
kerja sikit pagi ni.”
“ Yelah....
kerja apa?” Bedah berpaling lagi. Riak tidak puashati terzahir diromannya
ketika itu. Tidak pasti pula kenapa suaminya mahu berahsia dengannya pagi ini.
Selalunya tidak.
Usin mengeluh. Melunjurkan
kakinya ditepi katil. Urat – urat disitu masih lagi terasa tegang. Ada rasa
bisa menjalar. Perlahan – lahan dia mendongak. Memerhatikan raut wajah Bedah
yang nampak mencuka.
“ Hal orang
lelakilah, awak peduli apa?” bukan dia mahu berahsia. Cuma dia merasakan
program pagi ini tidak ada kena mengenanya dengan Bedah. Baik dia tutup mulut
saja. Apa yang dia tahu selesai program pagi ini dia tidak mendapat apa – apa.
Duit? Jauh sekali. Mungkin yang dia dapat cumalah penat. Mengenangkan itu Usin
mengeluh lagi. Rasa malasnya makin menjadi – jadi pula.
Bedah berlalu. Tidak kuasa dia
hendak melayan suaminya itu. Kalau sudah memang Usin mahu berahsia dengannya,
dia tidak punya pilihan lain. Kalau didesak nanti, mungkin pertengkaran yang
akan terjadi. Buka sehari dua dia hidup dengan lelaki itu. Sudah hampir lima
belas tahun. Dia cukup masak dengan perangai Usin. Daripada dia berdiri
tercegat disitu, ada baik nya dia turun semula kedapur dan membereskan kerja –
kerja yang masih lagi terbengkalai.
Melihat Bedah keluar, Usin bangun
perlahan – lahan. Seperti kelaziman dia mengeliat kekiri dan kekanan. Mulutnya
terbuka luas menyanggap. Membiarkan tubuhnya yang agak kering itu dipanah
cahaya matahari pagi. Kepalanya digosok – gosok lagi dengan tangan.
Tuala dipenyidai dicapai lalu dia
meninggalkan kamar tidur. Melangkah perlahan – lahan menuju kedapur. Bunyi
Bedah mengoreng sesuatu cukup jelas menampar cuping telinganya. Aroma jemput –
jemput pisang makin kuat mengasak lubang hidungnya. Segera seleranya
terangsang. Pun begitu dia harus mandi dulu.
Usai mandi dia berebut – rebut
memakai baju. Jemput – jemput pisang yang mungkin sudah terhidang diatas meja
sudah tidak sabar – sabar lagi utuk dijamah. Memang perutnya berkeroncong
kelaparan.
“ Budak –
budak dah pergi sekolah ke?’ soalnya sebaik saja mencecahkan punggungnya diatas
kerusi. Bedah menuangkan teh panas kedalam cawan.
“ Dah.”
“ Nan dah
bangun belum?”Usin merujuk pada anak bongsunya yang kini belajar didalam
tingkatan satu. Anaknya itu bersekolah disebelah petang.
“ Belum. Nan,
bukan awak tak tahu?” cebik Bedah. Turut melabuhkan punggung bersebelahan
dengan Usin. “ Macam awak jugak, payah nak bangun pagi,” sambung Bedah lagi.
Usin diam. Sekadar menjeling. Tidak pasti apakah isterinya itu masih marah kerana
dia enggan menjawap pertanyaannya dibilik tidur tadi. Gasaklah, bukan penting
sangat pun, keegoan membuatkan hatinya berkata begitu.
Jemput – jemput pisang disogokkan
kedalam mulut. Mengunyah perlahan – lahan sebelum menelannya. Sesekali anak
matanya dihalakan pada Bedah.
“ Tengahari
karang saya balik.”
Giliran Bedah
memandangnya. “ Tau,” ucap Bedah seperti tidak bersemangat.
“Nita dah
mintak duit buku bang,” celah Bedah tidak lama kemudian. Usin terhenti menyuap
jemput – jemput.
“ Buku apa
lagi?” keningnya terjungkit dan dahinya berkerut. Menanti penjelasan dari
Bedah.
“ Ntah....
katanya buku latihan. Cikgu dia suruh beli.”
Usin mengeluh.
Cawan dicapai dan teh yang sudah mula suam dihirupnya sedikit. “ Budak ni macam
– macamlah. Nak buku apa lagi. Tak cukup ke buku yang ada – ada tu?”
Bedah mencebik seraya
menjungkitkan bahunya. “ Manalah saya tau bang. Bukan saya yang bersekolah.
Tanyalah Nita bila dia balik nanti.” Usin tersandar. Melurutkan rambutnya yang
masih lagi lembab. Tidak habis – habis dengan masalah, fikir Usin runsing.
Lepas satu, satu. Tidak ada sudahnya. Muka Usin bertangkup.
“ Tak sudah –
sudah dengan buku. Kejap buku itu, kejap buku ini. Pandainya tak jugak,” Usin mula
membebel sendiri. Bedah cuma menjeling.
“ Dalam bilik
dia tu dah bersepah dengan buku. Nak buku apa lagi?” Usin membeliakkan matanya.
“ Manalah saya
tau? Kan saya cakap tadi bukan saya yang bersekolah. Abang ni pun,” Bedah mula
lemas. Telinganya memang sakit setiap kali mendengar bebelan suaminya. “ Budak
– budak sekarang bang. Jangan abang tak tau. Bukan macam zaman kita sekolah
dulu.”
Usin
memasamkan mukanya. Putus terus seleranya untuk menjamah penganan pagi itu.
Sudahnya jemput – jemput pisang sekadar dilihat saja dengan mata. Boleh botak
kepala aku dibuatnya, rungut Usin lagi didalam hati. Fikirannya mula merusuh.
Kalaulah dia boleh bujang, tentu
dia akan membujang semula. Tiba – tiba dia merasa seronok hidup membujang macam
dulu. Dia boleh bebas sebebas bebasnya. Tidak ada siapa yang peduli dengan apa
yang dia buat. Hendak bangun sampai matahari tegak diumbun – umbun kepala pun
tiada siapa yang marah. Paling kuat ibunya sekadar berleter saja. Ayahnya pula
cuma mampu menjeling tajam saja. Tidak lebih dari itu. Tidak pening – pening
kepala seperti sekarang. Semua benda dia kena fikirkan. Semua benda dia kena
ambil tahu. Berasap ke tidak dapur rumahnya? Cukup ke tidak makan anak
beranaknya? Bersalin ke tidak pakaian mereka? Semuanya tertampuk atas kepalanya
selaku seorang suami dan seorang ayah. Bil setiap bulan yang tergantung diruang
tamu perlu juga dijenguk – jenguk. Jangan sampai eletrik dan air dirumahnya
kena potong. Susahnya jadi laki orang, hatinya merungut lagi.
Dia masih ingat lagi, sesekali dia
terpaksa juga menebalkan mukanya ‘mengadap’ muka emak dan ayahnya. Meminta duit
untuk menyambung penghidupan mereka sekeluarga. Beras habis, gula tinggal
sedikit. Anak nak beli buku. Bil elektrik tertunggak dan sebagainya. Bukan
kehidupan seperti ini yang dia impikan. Namun sudah ditakdirkan begini, dia
harus terima. Benar kata orang. Biar pun pahit, jadam kehidupan ini harus ditelan
jua. Dia tidak punya banyak pilihan.
“ Duit bantuan
seratus yang dia dapat tu ada lagi?” Usin teringatkan akan wang bantuan yang
diterima oleh anak – anaknya.
Bedah menjeling meluat. “ Duit tu
yang abang nak harapkan? Dah habis dah bang oiii. Tak nampak ke kat tangan dia
orang tu apa?” bulat mata Bedah memandang Usin.
“ Apa?”
“ Tu....
handset. Tu yang dibelinya bang oiii. Tak sempat nak suruh simpan sikit,” sela
Bedah lagi. Sebiji jemput – jemput pisang disuapkan kedalam mulut. Usin
mengeluh panjang. Memang tak boleh diharapkan betullah budak – budak ni,
sumpahnya didalam hati. Kulit mukanya bertukar merah menahan geram.
“ Budak – budak ni pun satu. Dah tau
payah nak carik duit, buat apa membazir,” keras suara Usin pagi itu. Mengejutkan
‘tompok’ kucing hitam berbelang putih yang sedang leka menjilat bulu sendiri
dipintu dapur. Tercangak – cangak ia memerhatikan Usin yang mula naik angin.
“ Saya dah
cakap dah dengan dia orang. Dia balas balik. Membazir apa katanya. Itu
keperluan. Senang kalau ada apa – apa,” sahut Bedah. Usin mengelengkan
kepalanya tanda kesal. Mati hujahnya kali ini.
Bunyi hon motorsikal diluar
mengejutkan kedua laki bini itu. Masing – masing memanjangkan leher kearah
pintu dapur yang terdedah luas. Seketika kemudian muncul seorang lelaki
bertubuh sederhana. Berkemeja agak lusuh. Seluar jeansnya juga kelihatan
seperti tidak dibasuh dua tiga hari. Tersengih – sengih dimuka pintu.
“ Dah siap ke
Sin?’ tegur Alang tanpa mengucapkan salam seperti kelazimannya. Sejak dari dulu
lagi dia mulutnya memang berat hendak memberi salam.
“ Dah,” sahut
Usin sepatah. “ Eh.... kau tunggu kejap Lang, aku nak ambik beg duit,” Usin bangun
dan berlalu semula ketingkat atas. Bedah berdiri.
“ Nak kemana
pagi – pagi buta ni Alang,” dikesempatan itu Bedah mengambil peluang untuk
mencungkil rahsia suaminya.
“ Ada kerja
sikit Dah. Usin tak cakap ke?” macam tadi juga, lelaki berkumis nipis itu masih
lagi tersengih – sengih.
“ Dia pun macam kau jugak. Bila ditanya, cakap ada kerja.
Ntah kerja apa , aku pun tak tau,” panjang bibir Bedah terjuih kedepan. Nampak
hodoh benar.
“ Tok
Penghulu panggil ke?” cepat – cepat Bedah bersuara lagi. Kalau Usin sudah
datang tidak ada peluang untuk dia bertanya lagi. Alang hanya menganggukkan
kepalanya.
“ Dah dekat pilihanraya agaknya?” soal Bedah lagi. Lazimnya
begitulah. Jika musim pilihanraya tiba, suaminya sibuk lebih dari biasa. Kadang
kala hendak melihat kelibat dirumah pun payah. Sibuk mengalahkan Pak Menteri.
Sekejap kehulu, sekejap kehilir. Usung poster kesana sini. Tampal sana, tampal
sini. Gantung sana, gantung sini. Andai hendak berjumpa dengannya jangan cari
dirumah. Nescaya hampa. Pergi saja kebalairaya yang dijadikan ‘bilik
gerakan’parti secara percuma. Pasti dia ada disitu. Dan dia jugaklah antara
‘muka – muka’ yang selalu perabihkan makanan yang disediakan.
“ Mana ada kak Bedah,” sahut Alang yang selalu memanggil
Bedah dengan panggilan ‘kakak’.
“ Dah tu.... sibuk benar pagi ni?”
Alang tersengih lagi. “ Tok penghulu pangggil sebab pagi ni
ada program kat kampung seberang sana.”
“ Program apa?” belum pun sempat Alang menjawap, Usin sudah
muncul semula didapur. “ Dah Lang, jom kita pergi.”
Usin dan
Alang terus menuju kearah motor buruk Alang didepan rumah. Bedah sekadar mampu
melihat saja. Sebaik saja kedua bayang lelaki itu hilang dipandangan matanya,
dia mengeluh kecil. Entah program apa yang disertai oleh suaminya pagi itu tidak
pula dia ketahui. Tiga empat hari sebelum ini pun suaminya tidak ada kata apa –
apa pun. Senyap saja. Mungkin dia boleh bertanya pada Timah jiran sebelah
rumahnya. Mungkin suaminya juga turut terlibat sama, fikir wanita itu lagi.
Bedah masuk semula kedalam dan menutup pintu dapur.