BAB 1
Kepalanya berdenyut-denyut. Sakit! Macam
baru kena baling dengan batu. Haifa cuba mengangkat, mahu memicit kepalanya
yang berdenyut-denyut itu. Ternyata dia tidak berdaya hendak mengangkat tangan.
Ada balutan putih di pergelangan tangan kanannya. Tangan kirinya pula dicucuk
dengan jarum dan ada wayar bersambung dengan botol air yang tergantung di tepi
katil.
Di
mana aku? Haifa cemas lantas memandang sekeliling. Sejurus kemudian barulah Haifa
sedar. Dia berada di dalam wad. Pantas matanya menerawang. Katil di sebelahnya
kosong tak berpenghuni. Dinding konkrit berwarna putih itu serta tabir biru
menghalang pandangannya.
Haifa cuba sekali lagi untuk bangun.
Tak berjaya. Dia cuba lagi. Pun tak berdaya. Terasa sakit pada semua sendi. Tak
ada daya dan kekuatan untuk dia menggerakkan tangan dan kaki. Terasa berat,
sakit dan pedih.
Kenapa aku boleh terlantar di sini? Haifa
segera mengerahkan otaknya supaya berfikir untuk mencari jawapan kenapa dia
boleh terdampar di sebuah hospital tanpa ada sesiapa yang menemaninya.
Dia
pejam mata, menarik kembali segala memori. Berat. Hendak berfikir pun terasa
lemah. Memorinya terasa ditinggalkan jauh ke belakang. Sukar hendak mengutip
semula.
Haifa
dapat rasa, dia telah tertidur dalam satu jangka masa yang agak panjang tanpa
disulami mimpi. Dan apabila tersedar, dia berada di sebuah wad. Aneh! Apa
sebenarnya yang sudah berlaku? Kenapa memoriku lambat benar untuk kembali? Dahinya
berkerut-kerut mencari jawapan sambil menahan sakit.
Kaki, tangan dan seluruh badan sakit-sakit.
Dia memandang seluruh anggota badannya. Melihat keadaannya itu, dia menduga
penyebab dia berada di situ tak lain dan tak bukan tentu kerana kemalangan.
Tentu
aku terlibat dalam kemalangan, sebab itu badan aku habis berbalut. Kemalangan
apa yang telah menimpa aku? Ya ALLAH, tolonglah hambaMu ini mengingati kembali
apa yang telah menimpa aku. Dia hanya mampu menggerakkan bibir dan jari-jemari.
Astaghfirullahhalazim. Haifa
beristighfar banyak-banyak. Dia membaca al Fatihah berulang kali.
Perlahan-lahan dia mula mengingati apa yang telah menimpanya sehingga
menyebabkan dia terlantar di hospital.
Lewat
senja itu, dia sedang memandu sebuah Proton Wira berwarna biru gelap. Sebuah
Perodua Kancil berwarna merah tiba-tiba muncul laju dari simpang kanan ketika
lampu isyarat sudah bertukar mewah. Haifa mahu menekan pedal brek, namun
tertekan pedal minyak. Wira milik ayahnya terus merempuh Kancil.
Hiafa menghela nafas panjang. Itulah
penyebab dia berada di situ. Dia memanjatkan syukur kepada ILAHI kerana masih dipanjangkan
umur.
Ayah!
Haifa teringat sesuatu. Dia tidak bersendirian di dalam kereta ketika
kemalangan. Ayah juga ada di sebelahnya. Hasrul, adik bongsu berada di
belakang. Ayah! Hasrul! Di mana mereka?
Dia
cuba bangun dari katil. Tapi... dia tidak berdaya untuk bergerak. Dia yakin
ayah dan Hasrul juga terlantar di wad. Dia mahu berjumpa dengan mereka berdua untuk
memastikan keadaan mereka.
Seorang lelaki yang tidak
dikenalinya tiba-tiba melangkah masuk.
“Doktor,
mana ayah saya?” Haifa terus mengajukan pertanyaan. Suaranya lemah.
Lelaki
berbaju biru itu menghampiri katil. Soalan Haifa dibiarkan tanpa jawapan. Dia bukan
doktor.
“Syukurlah,
awak dah sedar.” Dia berharap agar Haifa sudah mengecam wajahnya.
“Ayah
dan adik saya di wad berapa doktor?” Haifa cuba menarik tangan lelaki yang
disangkanya doktor itu.
“Saya
bukan doktor... awak dah tak cam saya?” berkerut keningnya memandang Haifa yang
masih tidak mengenalinya.
“Siapa
awak?” Haifa memandang lelaki yang disangkanya doktor itu atas bawah penuh curiga.
Mikhail
mengerutkan dahi. Dia merenung gadis yang terbaring di atas katil itu bagaikan
tidak percaya. Gadis itu yang merayu pertolongan darinya. Dan sekarang gadis
itu pura-pura tidak mengenalinya???
“Awak
dah tak ingat? Kita dah berkenalan sebelum ni. Kedai makan... Betong... ingat?”
Mikhail cuba mengingatkan Haifa dengan perkenalan singkat mereka.
Haifa
terkebil-kebil memandang lelaki yang tidak dikenalinya itu. Bila masa pulak aku
berkenalan dengan dia? Kenapa aku tak ngat? Kedai makan? Betong? Haifa tidak
faham apa yang cuba disampaikan lelaki itu.
“Haifa
kemalangan. Saya yang hantar Haifa ke sini.”
Jadi,
dialah insan yang baik hati yang telah menghantar aku ke sini. Aku ingatkan
siapa tadi. Tapi... pelik jugak. Macam mana dia tahu nama aku? Rasanya lepas
kereta aku menghentam Kancil, aku dah tak ingat apa-apa.
“Ayah
dan adik saya di wad berapa?” Haifa ketepikan soal bagaimana lelaki itu tahu
namanya. Dia mengandaikan lelaki itu mungkin telah melihat Kad Pengenalannya.
Perkara utama sekarang adalah mengetahui keadaan ayah dan adiknya yang turut
berada di dalam kereta ketika kemalangan berlaku.
Ayah?
Adik? Mikhail sekali lagi bingung. Kenapa Haifa tiba-tiba mengajukan pertanyaan
yang tak berkaitan?
“Ayah?”
“Masa
kemalangan tu ayah di sebelah saya. Adik saya pulak duduk di belakang.”
“Tak adalah. Haifa mangsa langgar
lari. Masa saya jumpa Haifa, tak ada orang lain kat tempat kemalangan tu.”
Mikhail menerangkan kedudukan yang sebenar. Dia yakin tidak ada lelaki lain di
tempat kejadian. Hanya Haifa seorang. Tubuhnya terhumban dalam semak.
“Eh, Mustahil! Kereta yang saya
pandu bertembung dengan kereta Kancil yang tiba-tiba muncul dari simpang. Saya
bukan mangsa langgar lari yang awak dakwa. Saya rasa... awak dah salah orang.”
Dahinya berkerut-kerut.
“Awak... awak rehat dulu. Saya
panggil doktor.” Mikhail segera meninggalkan bilik 107.
Pelik! Kenapa dia dakwa aku mangsa
langgar lari? Takkan Perodua Kancil tak mengalami sebarang kerosakan semasa
bertembung dengan Proton Wira? Takkan aku seorang yang tercampak keluar dari
kereta semasa kemalangan? Mana ayah? Mana Hasrul? Mana pemandu Perodua Kancil?