Home Novel Seram/Misteri ANTOLOGI MISTIK JEMBALANG : Bidadari Pencabut Nyawa
ANTOLOGI MISTIK JEMBALANG : Bidadari Pencabut Nyawa
Riduan Judin
20/12/2014 10:01:34
29,266
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
BAB 2

BAB 2

Lembah Perawan, Pedalaman Ranau

TOK PAWANG mengangkat sekujur tubuh cucunya, Paduka. Hatinya begitu remuk-redam melihat malapetaka yang menimpa menantunya, Seroja. Lebih melukakan apabila anak lelakinya Jairon masih belum pulang setelah memasuki hutan banjaran Nusawungu. Paduka yang pengsan, diletakkan di atas ribaan pembantunya.

Pintu kamar Seroja ditolak perlahan. Beberapa orang yang mengikutinya dari arah belakang pantas menutup hidung apabila bau hanyir membius deria bau mereka. Tok Pawang hanya tertunduk. Melihat sekujur jasad menantunya yang sudah tidak sempurna sifatnya kaku, dia jadi rawan.

“Angkara siapa, Tok?” tanya salah seorang daripada penduduk Lembah Perawan.

“Rogon…” sahut Tok Pawang tanpa berlapik kata lagi.

Orang itu serta-merta terdiam. Kerongkong yang terasa kering sengaja dibasahkan dengan air liurnya.

“Bala… bala!” ujar orang itu lagi.

Tok Pawang tidak menjawab. Malah, lidahnya dikunci rapat-rapat agar tiada kata-kata nista yang terluah. Dia risau pintu kemarahan makhluk itu terkuak kembali. Andai itu terjadi, maka darah dan nyawa akan jadi galang gantinya. Hanya dengan cara itu sahaja yang akan dapat menutup kembali kemarahan itu!

Lelaki 40-an itu menapak perlahan. Tulang-temulang yang tertinggal di atas lantai kamar itu dipungut dan disusun. Kulit dan rambut yang masih dibungkus darah beku, dikuis perlahan. Lantai yang berlumuran darah merah yang sudah mengering, dibiarkan begitu sahaja.

“Kita semadikan jasad Seroja,” bisik Tok Pawang perlahan. Kedukaan di hatinya sengaja disembunyikan.

“Tapi di mana, Tok?” Pembantunya iaitu John tiba-tiba datang dari arah belakang.

“Di hujung tanah Lembah Perawan ini,” balasnya.

“Tapi jasadnya…”

“Kita semadikan saja, takut rohnya… berkeliaran. Ingat, mukim kita ini banyak sejarah hitam,” tegas Tok Pawang yang juga penghulu mukim itu.

“Baik, Tok.” Pembantunya akur tanpa banyak bantahan.

“Lepas itu, kita cari Jairon dan Paloi di sekitar kaki banjaran Nusawungu itu.”

“Mereka sesat, Tok?” tanya pembantunya.

“Entahlah, tapi aku risaukan mereka,” luah Tok Pawang. Sebenarnya, hatinya begitu berat sekali hendak melangkah masuk ke lubuk hutan banjaran yang dianggap berpuaka itu. Cukup dilihat dari jauh, itu pun kalau boleh… dia hendak berpaling sejauh-jauhnya.

Selepas itu, jasad Seroja yang tertinggal, dikumpul dalam keranda yang diperbuat daripada kayu dan kulit hutan. Sisa-sisa jasad itu akan dikebumikan tanpa sebarang upacara keagamaan. Mereka, ialah orang-orang pagan.

PADUKA membuka matanya perlahan. Pembantu Tok Pawang yang meriba budak lelaki itu sedikit terperanjat. Tiada ketakutan yang menggayuti raut wajah suci anak kecil itu. Cuma, dia tampak penat dan lelah.

“Anak sakti…” tutur pembantu Tok Pawang.

“Paduka, cucuku… kau sudah bangun daripada tidur yang penuh dengan mimpi ngeri.” Tok Pawang mencapai tangan Paduka. Budak lelaki itu seakan mengerti apabila secara tiba-tiba, dia menapak lalu berdiri.

“Mama…” bisik Paduka perlahan. Pusara Seroja yang hanya ditandai dengan seketul batu, direnung lama-lama.

“Paduka, apa yang kau lihat, nak?” tanya datuknya, Tok Pawang. Paduka yang bijak dan petah bercakap, masih membisu walaupun bibirnya bergerak-gerak perlahan.

“Mama…” Paduka kelihatan tabah walaupun umurnya baru menjengah tujuh tahun. “Aku melihat, makhluk yang menyeramkan. Darah…” Sambungnya lagi.

“Paduka… kau anak sakti. Pewaris pahlawan leluhur kita.” Tok Pawang mengusap ubun-ubun cucunya itu. Jauh di sudut hati, hati tuanya benar-benar mengeyakan kehebatan hati budak lelaki itu.

“Rogon!” bisik Paduka perlahan. Tok Pawang tersentak mendengar kata-kata itu. Nampaknya, budak kecil itu juga tahu benar tentang sejarah mukim mereka.

“Anak sakti…” Perkataan keramat itu diulang semula. Tok Pawang sebenarnya sengaja memacu semangat satu-satunya cucu lelakinya hasil perkongsian hidup anak lelakinya yang masih hilang.

Laban Rata, Gunung Kinabalu

PUNCAK KINABALU kelihatan begitu jelas dari aras ketinggian ini. Air terjun yang terhasil daripada aliran takungan air di puncak Kinabalu, mengalir deras. Menjunam ke bawah sekali gus menghempas permukaan batu. Ini menyebabkan permukaan batu-batuan semakin terhakis serta meninggalkan lekuk.

Bayu berpuput perlahan. Angin yang menghembus dari banjaran pergunungan itu terasa sejuk mendakap tubuh. Di situ, satu perhentian sengaja dibina untuk berehat. Malah, ada bentuk-bentuk tulisan dan ukiran yang sengaja ditinggalkan oleh pengembara yang melalui kawasan itu sebagai satu tanda peringatan. Umpama batu prasasti kuno yang diukir pada batu-batu.

Fedor mengelamun jauh. Angin yang menampar-nampar wajahnya dibiarkan sahaja. Pandangannya sengaja dilontar jauh ke bawah. Kala ini, fikirannya terasa kusut. Rambutnya yang ditiup angin, kelihatan serabai dan tidak terurus.

Sejak melarikan diri daripada buruan Polis, Fedor menyendiri dalam pelarian. Dia tidak berani hendak menunjukkan muka di khalayak ramai lagi. Ternyata, kematian kekasihnya Kamelia mengundang bala yang hampir memusnahkan hidupnya.

“Kamelia…” bisik Fedor perlahan. Suaranya sayup-sayup kedengaran. Seolah-olah sengaja dibawa angin menyelusuri banjaran pergunungan itu agar sampai kepada hati Kamelia yang sudah lama mati. Hatta, sudah dikebumikan di tanah perbukitan Kundasang.

Imbas Kembali…

KAMELIA berpaling ke arah Fedor. Angin banjaran di daerah Kundasang itu mengelus rambut Kamelia yang sedikit ikal. Gadis itu tersenyum manis. Dalam keadaan begitu, Fedor menjadi kaku tatkala melihat keanggunan Kamelia. Hati lelakinya sukar hendak ditipu lagi. Dia seolah-olah dibius dengan wajah secantik itu.

Fedor mendekati Kamelia. Mata mereka saling bertentang. Ternyata, aura cinta yang lahir dari hati dan lubuk jiwa yang ikhlas menyebabkan mahligai syurga mereka kelihatan utuh. Malah, tiada satu pun daripada kalangan pemuda daerah tinggi itu yang mampu menggugah cinta mereka. Badai pergunungan itu pun tidak! Cinta mereka, cinta mati yang disimpul rapi.

“Koupusanku…” Fedor membisikkan kalimah indah itu di telinga Kamelia. Koupusanku bermaksud, ‘kekasihku’ dalam bahasa Dusun.

“Sitid timpak Nabalu gisom piginawaan om kopataion to…” (Di puncak Kinabalu ini tanda cinta sehingga kematian kita…) Lafaz Kamelia. Fedor tersenyum mendengar kalimah itu.

“Kamelia…” Fedor mengusap rambut kekasihnya itu. Gadis itu memandangnya dengan penuh kesayuan lalu mengukir senyuman manis.

“Ikau no koginawaanku,” (Kaulah hatiku) bisik Fedor dengan ikhlas.

Kamelia tersenyum manis. Dengan hati yang terharu, dia hampir menitiskan air mata. Walaupun Fedor bukan orang berada, tetapi hati budi lelaki itu yang menambat hati Kamelia. Fedor memandang mata gadis itu dalam-dalam, seolah-olah ingin mencari ketulusan cinta Kamelia terhadapnya.

BULAN mengambang terselindung dibalut awan di dada langit. Malam ini merupakan malam pertunangan mereka. Siapa sangka, malam ini juga merupakan malam kecundang bagi Fedor dan Kamelia. Walau cinta mereka sekukuh ‘Timpak Nabalu’, tetapi kematian jugalah pemisah yang paling setia. Dan semua insan pasti merasainya.

“Fedor!” laung Kamelia. Lelaki itu pantas berpaling.

“Lepaskan dia!” Fedor menjerit. Sepuluh jarinya dikepal rapat.

“Diam, atau dia mati!” Suara parau seorang lelaki bertopeng. Sebilah pisau belati yang tajam bersinar diacu. Tatkala pisau itu menyentuh kulit leher Kamelia, darah merah kelihatan mengalir perlahan ke arah bawah.

“Siapa kau? Apa dosa kami kepadamu?” tanya Fedor perlahan.

Lelaki bertopeng itu tidak menjawab. Mata pisau itu dijauhkan sedikit. Tangan Kamelia direntap, kemudian jari-jemarinya direnung lama-lama. Selepas itu, cincin pertunangan antara Kamelia dan Fedor dibuka perlahan. Masa inilah air mata gadis itu jatuh berlinangan. Seolah-olah menangisi perpisahan antara jari manisnya dengan cincin pertunangannya. Cincin itu, lambang cinta mereka berdua.

“Tolong, lepaskan aku…” rayu Kamelia. Lelaki itu mencebik di sebalik topeng yang menutupi wajahnya. Cincin yang dirampasnya sebentar tadi, dibaling ke arahnya. Cincin itu dipungut dengan segaris perasaan luka.

Fedor yang gagal mengawal emosinya, berlari pantas lalu membuat serangan kepada lelaki bertopeng itu. Malang begitu menyebelahi dirinya apabila satu pukulan hinggap di bahagian kepalanya. Serta-merta dunia menjadi gelap. Kebahagiaan yang dirasainya sebentar tadi bertukar sengsara.

“Mati kau!” sergah lelaki bertopeng itu.

Kamelia yang terkejut dengan serangan itu gagal berbuat apa-apa. Ternyata, lelaki bertopeng itu tidak bersendirian. Dia mempunyai sekutu yang bertongkah nafsu serakah syaitan!

Lelaki bertopeng itu menghempap tengkuk Kamelia dengan menggunakan tangannya. Gadis itu serta-merta pitam lalu jatuh pengsan. Lelaki bertopeng itu tidak menunggu lama, jasad kaku Kamelia diangkat dan dibawa pergi.

“Perempuan ini memang sesuai dijadikan tumbal. Bawa dia.” Suara seorang wanita kedengaran memberikan arahan. Rupanya, orang yang menyerang Fedor merupakan seorang wanita.

PENDUDUK daerah Kundasang dikejutkan dengan penemuan mayat Kamelia pada keesokan harinya. Gadis itu dibunuh dengan cara yang begitu kejam. Bahagian leher dan pahanya ditoreh dengan pisau. Dagunya dibakar. Perutnya berlumuran darah dan tujuh tikaman kelihatan di bahagian badannya.

Fedor tersedar apabila dia dikerumuni oleh orang ramai. Mereka melaung-laung agar dia dihukum atas pertuduhan membunuh Kamelia. Walau begitu, nasibnya agak baik apabila keluarga Kamelia membelanya. Dan jalan terbaik ialah dia harus meninggalkan Kundasang. Pergi sejauh-jauhnya, dan lupakan masa lalu yang penuh berdarah.

“Kamelia!” raung Fedor tatkala melihat jasad kaku tunangnya itu terbaring selang sehasta darinya. Jantungnya bagai direntap kasar. Luluh hatinya melihat insan yang dikasihi tidak bernyawa. Hatta, dibunuh dengan cara yang sangat sadis.

“Lebih baik kau tinggalkan Kundasang ini, Fedor.” ujar Manur, ayah Kamelia.

Lelaki itu tertunduk. Segala kepahitan yang dialaminya, pasti lebih perit dirasai oleh ahli keluarga Kamelia. Ternyata, cinta antara mereka berdua tidak kekal lama apabila berdepan dengan perpisahan yang tidak dijangka seperti kematian.

“Siapa yang membunuh Kamelia, bapa?” tanya Fedor. Tiada jawapan yang diberikan. Cuma satu keluhan panjang yang melewati rangkungan tua Manur.

“KAMELIA…” bisik Fedor perlahan. Seolah-olah sengaja menyuburkan semula nama itu di dasar hatinya. Kala ini, hatinya benar-benar menangisi kematian gadis yang dicintai. Cinta mereka, cinta yang sampai ke hujung nyawa walaupun tidak begitu panjang. Bayu Kinabalu yang mula menutupi kawasan Laban Rata itu, dibiarkan sahaja membataskan pandangannya. Selepas itu, Fedor terlelap di atas seketul batu leper.


Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.