Home Novel Seram/Misteri ANTOLOGI MISTIK JEMBALANG : Bidadari Pencabut Nyawa
ANTOLOGI MISTIK JEMBALANG : Bidadari Pencabut Nyawa
Riduan Judin
20/12/2014 10:01:34
28,832
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
BAB 1

BAB 1

Lembah Perawan, Pedalaman Ranau

SEROJAmelihat bulan mengambang di dada langit. Sesekali matanya dilontar jauh ke puncak hutan banjaran Nusawungu. Teringatkan suaminya, Seroja jadi risau. Apatah lagi siang tadi suaminya Jairon telah berjanji akan pulang sebelum matahari tenggelam. Dan sekarang, matahari sudah pun bertukar menjadi rembulan.

“Mama, bapa belum pulang lagi?” tanya anak lelakinya, Paduka.

“Sebentar lagi, dia pulanglah tu,” pujuk Seroja. Paduka yang baru berumur enam tahun, memaut pergelangan tangan ibunya.

Malam semakin larut. Suasana Lembah Perawan itu semakin sepi. Dahulu, tempat itu tidak bernama. Apabila nenek moyang mereka berhijrah dan menetap di situ, mereka membuka penempatan baharu. Atas peristiwa dan kisah silam, tempat tidak bernama itu akhirnya dinamakan sebagai Lembah Perawan. Atas sebab apa? Hanya penduduk di situ yang mengetahuinya.

Seroja menganggar waktu berdasarkan kedudukan bulan mengambang yang sudah beranjak ke bahagian barat. Ini menandakan, putaran matahari akan mengunjur semula ke bahagian timur menjelang besok pagi.

Apabila terlalu lama menunggu kepulangan suaminya, Seroja membawa Paduka masuk ke dalam bilik, lalu didodoikan sehingga tertidur. Selepas itu, Seroja baring-baring sambil mengusap ubun-ubun kepala anaknya.

Masa inilah anak telinganya mendengar bunyi-bunyi sayup di luar rumah. Seperti kepakan sayap yang terbang mengelilingi rumah. Deruan angin malam membuatkan bulu romanya meremang. Seram! Teringat pula dengan kisah-kisah mistik yang bertatih dari lidah ke lidah penduduk di situ sehingga dia dewasa.

Deruan angin itu semakin hilang. Seroja hanya menelan liur membasahkan tekaknya yang terasa kering. Nafasnya dikawal perlahan. Cahaya lampu tanah yang bersinar, menghilangkan sedikit kesuraman malam yang mendakap kegelapan.

“Seroja…” Satu suara kedengaran dari arah luar rumah.

Wanita 20-an itu termangu. Suara itu membuatkan hatinya berbunga semula. Malah, suara itu begitu dikenalinya. Selang beberapa detik, kedengaran ketukan pintu yang bertalu-talu. Seroja pantas berdiri, lalu menapak ke arah pintu utama rumah mereka.

“Abang, lewatnya pulang…” tutur Seroja sambil menyambut kepulangan Jairon. Bakul yang berisi akar kayu diambil dan diletakkan di atas para.

“Abang tersesat di dalam hutan, Seroja,” jawab Jairon. Wajahnya yang serius disembunyikan di sebalik cahaya lampu minyak tanah yang dinyalakan.

“Abang, marilah di kawasan terang ini. Nanti Seroja sediakan air minum untuk abang.” Seroja mendapatkan suaminya. Layanan lelaki itu langsung tidak disalah tafsir walaupun agak dingin terhadapnya.

Dek kepenatan meredah hutan banjaran, Jairon terus masuk ke dalam bilik tidur. Seroja yang simpati dengan kelelahan suaminya, segera masuk lalu mengurut-urut bahu lelaki itu. Alangkah terkejutnya dia apabila badan lelaki itu dipenuhi bulu-bulu kasar lagi panjang.

‘Bulu?’ Hati Seroja berbisik.

Masa inilah tangan kiri Jairon memanjang, lalu mencapai lampu minyak tanah dan memadamkannya. Seroja yang terkejut melihat perubahan itu teriak sekuat hatinya. Dia pantas berdiri, tetapi dicapai oleh tangan kanan Jairon yang secara tiba-tiba juga menjadi panjang.

“Jangan berjanji kalau tidak ditepati!” Jairon yang sudah mengagak perubahan isterinya berkata penuh simbolik sambil tersenyum sinis.

Seroja kehilangan kudrat. Suaranya tersekat di rangkungan. Kala ini, Jairon berubah perwatakan. Menjadi bengis dan badannya ditumbuhi bulu-bulu kasar lagi panjang. Tiada sekelumit perasaan kesian. Kuku-kuku tajam ditusuk sehingga membuakkan darah berwarna merah pekat.

“Barau… Barau!” Seroja berusaha berkata-kata dalam kesakitan. Setiap perkataan yang terluah di lidahnya, diselangi dengan darah yang menyeruak dari luka di perutnya. Barau bermaksud, sejenis hantu yang suka menyerupai seseorang dalam bahasa sukuan Dusun.

Lembaga manusia itu mencapai sekujur tubuh badan Seroja. Segala isi dan daging wanita itu dilahap. Dimakan mentah-mentah. Apa yang ditinggalkan cuma kulit, baju, rambut dan tulangnya sahaja. Makhluk itu menyeringai. Mulutnya dipenuhi darah mangsanya.

PADUKA menggenggam buah limau nipis yang ada di dalam biliknya itu. Air matanya berlinangan. Melihat malapetaka yang menimpa ibunya, lidah dan tubuhnya menjadi kaku dari celah-celah lubang bilik antara mereka. Hendak bersuara tetapi tidak terluah. Tangisannya hilang di sebalik cucuran air matanya yang penuh kelukaan dan ketakutan.

Malam ini, keluarganya habis binasa. Malapetaka yang menimpa mereka bagai badai yang dipercikkan oleh Sang Petaka Nyawa! Lebih parah dan menyakitkan, ibunya mati di depan mata dengan cara yang begitu sadis dan penuh tragis.

“Barau!” bisik Paduka perlahan. Ketakutannya sukar dibendung lagi. Dari cerita yang didendangkan oleh ibunya, makhluk yang disaksikannya sendiri itu sama dengan ciri-ciri yang diceritakan kepadanya.

Makhluk itu menoleh ke arah bilik Paduka. Matanya bersinar merah. Hidungnya seperti mencium bau sesuatu. Paduka pantas menahan nafasnya. Nasibnya agak baik apabila makhluk itu tiba-tiba melayang keluar melalui tingkap yang terbuka luas. Dari bilik itu, kedengaran deruan angin dan kepakan yang menyerupai kuakan sayap yang mengelilingi rumah itu.

Akibat mengalami ketakutan yang melampau, Paduka pengsan bersama buah limau nipis yang dibelah dua di dalam genggaman tangannya. Dunia serta-merta menjadi gelap bagai dipenuhi bala. Sang rembulan pula mula diarak awan hitam. Seolah-olah sengaja berkabung atas malapetaka berdarah yang menimpa Lembah Perawan itu.

Kematian itu pasti, walau dengan apa cara sekalipun!


Previous: PROLOG
Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.