Kampung Malawari, Tahun 1987
“KAMI akan tinggalkan kamu di dalam liang lahad yang sempit dan gelap
gelita ini. Setelah tujuh langkah kami meninggalkan kamu maka akan datang dua
malaikat yang bernama Mungkar dan Nakir. Maka janganlah berasa gentar dan
takut. Janganlah kamu berdukacita dan risau serta janganlah kamu susah hati dan
terkejut. Bahawasanya Mungkar dan Nakir itu hamba ALLAH sebagaimana kamu juga
hamba ALLAH.
Mereka
akan bertanya Siapa TUHAN yang kamu sembah dengan sebenar-benarnya? Siapakah
Nabi kamu? Apakah agama kamu? Ke manakah kiblat kamu? Apakah ikutan kamu? Dan
siapakah saudara-saudara kamu?”
Belum
sempat bacaan talqin disudahkan, suara raungan milik seorang wanita kedengaran
kuat. Kawasan persekitaran kubur itu gempar. Masing-masing meremang bulu roma.
Mata terpaku ke arah kubur Suri yang terletak di bahagian paling hujung sekali.
Dari kubur itu kedengaran suara raungan dan jeritan wanita. Bahkan tanah yang
tertimbus menggelosor seolah-olah kubur itu bakal terbongkar bila-bila masa.
“Bumi
pun tak terima mayat manusia yang derhaka dengan TUHAN!” jerit satu suara yang
membuatkan penduduk kampung yang berada di situ mula riuh.
Ada
di antara mereka yang mula beransur-ansur meninggalkan kawasan perkuburan itu.
Tidak betah bertahan dalam suasana seram sedemikian rupa. Angin bertiup kencang
menerbangkan dedaunan dan butiran pasir ke udara.
Imam
Ishak merapati kubur Suri. Hanya beberapa orang lelaki yang seusianya sahaja
yang masih berada di situ. Manakala mereka yang lain menjauhi. Tidak kurang
juga yang melarikan diri. Masing-masing diamuk rasa seram dan takut mendengar
raungan itu.
Raungan
dan jeritan itu masih berterusan. Suara burung hantu galak bersiul. Tanah kubur
perlahan-lahan terbongkar. Mayat Suri muncul dari celah-celah tanah itu. Mayat
wanita yang siap berkapan itu terdedah bahagian wajahnya. Matanya terbeliak dan
mulutnya tidak henti-henti meraung. Cukup menyeramkan sesiapa jua yang melihat.
Tambahan pula kulit mukanya yang tertanggal dan hitam kemerahan.
Imam
Ishak mengucap panjang. Tidak pernah dalam pengalaman dia mengebumikan mayat
mengalami kejadian sedemikian rupa. Hembusan angin kencang masih tiada
tanda-tanda untuk berhenti. Butir-butir pasir halus berterbangan memasuki mata
sehingga sukar untuk mereka mencelikkan pandangan.
Dalam
kekalutan itu, mereka terdengar suara garau menderam kasar. Imam Ishak pantas
mengecam suara itu. Kelihatan satu susuk tubuh hitam muncul di satu sudut tanah
perkuburan itu. Bercangkung di atas dahan pokok dengan mata yang merah merenung
ke arah kuburan Suri. Sesekali dia menyeringai dan menderam. Bunyi nafasnya
kedengaran ganas dan penuh amarah!