KOTA Raya Kuala Lumpur sentiasa hidup walau malam semakin ingin berganti siang. Warga kota yang tidak pernah ‘tidur' itu telah menghidupkan dunia keasyikan tanpa memperdulikan halal dan haram. Semakin dunia ini maju, semakin ramai yang alpa pada hukum ALLAH!.
Akan tetapi, di sebalik keriuhan malam yang dihiasi cahaya neon itu, ianya bakal ditemani satu tragedi yang bakal menggemparkan seluruh pelusuk rakyatnya. Satu kisah yang tidak terjangkau di minda seorang pemuda yang terhoyong-hayang di parkir kereta di bawah sebuah bangunan.
"Bodoh...orang yang bina tempat letak kereta ini memang berakal pendek betul! Menyusahkan orang...sampaikan aku susah jumpa mana kereta aku..." gerutu lelaki itu yang sedang berjalan seperti ular yang dipalu. Bau arak masih tersisa dari mulutnya.
Dia yang menghabiskan hampir satu jag air syaitan, pulang mencari kereta yang diparkirnya di bawah bangunan yang berdekatan dengan kelab malam. Seperti kebiasaannya, dia pasti akan meletakkan keretanya betul-betul berdekatan dengan pintu masuk kelab malam, namun hari ini nasibnya tidak secerah lampu neon yang berkelipan setiap kali muzik rancak berbunyi.
Dengan langkah yang terhoyong-hayang dan bersimpang-siur, lelaki itu menelek nombor petak parkir yang sunyi dan kelam itu lama-lama. Ditekannya punat pada kunci kereta untuk mengesan di mana letaknya kenderaannya itu, tetapi tiada sebarang bunyi yang singgah ke telinganya saat ini.
"Takkan tak ada pengawal yang jaga kawasan ini. Semua bodoh! Tak boleh diharap!" maki lelaki itu lagi.
Sememangnya suasana di dalam parkir itu sunyi. Sesekali bunyi air dari paip yang bocor kedengaran bergema dari kejauhan. Ada beberapa kenderaan yang diparkir di situ, mungkin pemiliknya sengaja memilih untuk meninggalkan kereta mereka di bawah bangunan tersebut, kerana ianya lebih selamat. Lelaki itu menapak perlahan-lahan sambil matanya melilau ke sana ke mari mencari kedudukan keretanya. Apabila sudah mabuk, sekaligus minda akan gagal berfikir secara tepat dan wajar. Hati akan menjadi panas dibakar minuman beralkohol itu.
Lelaki itu terus berjalan dan hanya bunyi tapak kasutnya sahaja yang kedengaran bercampur-baur dengan bunyi air paip yang menitis entah dari mana. Bergema-gema hinggap ke pendengarannya. Tetapi kali ini lelaki itu berhenti melangkah apabila ada sesuatu yang terlihat pada pandangan matanya. Digosok-gosokkan mata kaburnya itu berkali-kali. Ya! Dia terlihat ada sesusuk tubuh hitam melintasi di hadapannya dengan gerakan cukup pantas. Satu lintasan bak kilat, dan jarak di antara lelaki berbangsa cina itu dengan ‘makhluk' hitam misteri hanyalah di antara 8 hingga 10 kaki sahaja.
"Binatang apa yang melintas itu? Anjing ke? Takkan anjing sebesar manusia..." gumam lelaki itu bersama dengan debaran yang mulai berdendang di kolam jantungnya.
Bau hamis dan hancing mula menerjah-nerjah ke deria baunya. Sesuatu yang tidak menyenangkan sekali. Lelaki itu menutup hidungnya kerana tidak tertahan dengan bau yang menyengat itu.
"Hoi... siapa yang busuk kohong sangat nih!" jerkah pemuda mabuk itu seraya menutup hidungnya.
"Grrr..."
Bunyi menderam bagai bergetar di dada lelaki itu. Bunyi itu hadir di sebelah kirinya. Dia berpaling lekas ke arah bunyi yang didengarinya itu. Tetapi tidak kelihatan pada pandangan matanya. Hanya sebuah van berwarna putih sahaja yang ada di situ bergoyang-goyang seperti ada sesuatu yang melanggar badannya. Hati pemuda itu mula diserbu ketakutan. Terundur-undur dia ke belakang.
"Awooo...!!!"
Bergema nyaring kawasan parkir itu dengan satu salakkan yang cukup menyeramkan. Sepertinya ada serigala di kawasan bawah bangunan itu. Semakin cuak lelaki itu di kala suara binatang yang tidak terlintas di mindanya lantang menyalak di kawasan di mana hanya dia seorang diri sahaja ketika ini.
Lelaki itu membatalkan niatnya untuk terus mara ke hadapan mencari kenderaannya. Dia berpusing dan melangkah panjang ke arah pintu di mana dia tiba awal tadi. Di situ sebuah lif menanti dirinya untuk keluar dari kesuraman parkir itu.
"Rourrr..!"
Pemuda berbangsa cina itu mendengar satu ngauman dari belakangnya. Kuat dan menggetarkan perasaannya. Dia berpaling ingin melihat binatang apakah yang menyalak mengaum keras di kawasan parkir kereta itu. Dan tika bola matanya terhenti pada satu arah, baharulah dia dapat melihat dengan jelas. Makhluk itu bukan berada di atas lantai, tetapi merangkak di siling parkir tersebut. Cahaya lampu kalimantang yang menyala bersebelahan dengan makhluk itu telah menerbitkan satu pemandangan yang menggerunkan.
"Han... hantu...!" teriak lelaki itu panik.
Lintang pukang dia membuka langkah kakinya meredah laluan yang cukup sunyi kala ini. Ketika embun mulai turun dari langit bumi.
"Heee..."
Makhluk itu menyeringai melihat ‘mangsanya' membuka langkah seribu darinya. Makhluk itu sekadar merayap di siling bangunan dengan satu pergerakan yang cukup pantas! Sesungguhnya bukan serigala yang mampu berkedudukan dan bergerak sebegitu rupa. Merangkak bak seekor sesumpah dengan menggunakan kekuatan cengkaman kuku tangan dan kakinya menerbitkan ketakutan yang teramat sangat buat mangsanya itu.
"Tolong-tolong...!" jerit lelaki itu seraya terus melangkah seribu menuju ke arah pintu lif keluar dari parkir tersebut.
Ketika hanya beberapa langkah sahaja lagi untuk tiba ke pintu lif, lelaki itu berteriak nyaring seraya tersembam ke hadapan. Belakangnya terkoyak sehingga baju yang dipakainya dibasahi dengan darah. Mengerang kesakitan dia, tetapi dia masih mampu bergerak merangkak menuju ke pintu lif yang baharu sahaja terbuka.
Makhluk yang mencakar belakang badan pemuda itu berdiri sedikit terbongkok-bongkok, kuku tangannya yang panjang masih tersisa darah dan kulit mangsa. Anehnya makhluk itu bukan berbentuk binatang, tetapi tubuh dan kaki serta tangannya seperti manusia. Makhluk itu sekadar melihat sahaja mangsanya merangkak dan sedaya upaya mencuba masuk ke dalam lif yang sudah ternganga itu. Ia sekadar berjalan perlahan mengekori pemuda malang itu dengan tanpa perlu terburu-buru mengejarnya.
Pemuda berbangsa cina itu terus berusaha merangkak masuk tanpa mahu menoleh ke arah penyerangnya yang semakin menghampiri jasadnya itu. Makhluk itu berjalan dengan terbongkok-bongkok dengan tangannya yang panjang, laksana seekor beruk besar yang berkuku panjang dan ianya semakin mendekati pemuda itu.
"To... long... sa... kiit..!"
Suara lelaki itu kedengaran perlahan dan mengerang kesakitan. Makhluk itu kemudiannya mengangguk-angguk seperti sedang memahami sesuatu. Dan seusai dia menganggukkan kepalanya, satu serangan menjunam laju dari tangannya yang berkuku tajam dan panjang itu, langsung terus tembus ke tulang belakang mangsanya.
Dirobek-robeknya seluruh tubuh mangsa seperti mencari sesuatu. Menjerit lelaki itu seraya terbeliak kesakitan. Menggelupur dia menahan kesakitan yang tidak dapat dibayangkan sebelum rohnya berangkat pergi. Pemuda itu mati dengan serta-merta apabila makhluk itu menarik seketul daging yang berwarna merah kehitaman dari dalam jasad mangsanya.
Daging yang masih segar itu terus dilahapnya dengan penuh berselera. Satu aksi yang kejam dan memualkan sekali. Tiada sesiapa pun yang menyaksikan pembunuhan kejam itu. Di situ juga sudah tersedia satu kamera litar tertutup, terutama sekali di hadapan pintu lif yang kini menjadi pintu terakhir buat pemuda itu. Namun sayang sekali, CCTV yang terpasang itu mengalami kerosakan, ianya bagaikan sudah tertulis pada kitab takdir, dan wajah makhluk yang memburu jantung mangsa gagal terakam.
Makhluk itu terus berselera menikmati santapannya tanpa menghiraukan dirinya sebenarnya diperhatikan dari dalam sebuah kenderaan, di satu sudut yang sedikit jauh. Seorang lelaki tersenyum menyeringai melihat kekejaman yang berlaku di hadapannya. Lirikan yang terukir di wajahnya itu umpama satu kegembiraan dan kepuasan buat dirinya. Gembira menyaksikan satu kematian ngeri berlaku di tubir matanya!