Home Novel Seram/Misteri Rahsia bukan rahsia
Rahsia bukan rahsia
Maryani Zailani
14/2/2024 00:27:17
20,519
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 7
“Kau dengar cerita tak?” Fatimah bertanya kepada Manisah. Ketika itu masing-masing sedang menunggu kedatangan pensyarah. “Eh, mana si Najwa ni? Tadi dia kata dah on the way. Lambat betullah!” 

 “Dengar cerita apa wei?” Manisah mencuit lengan Fatimah. “Nanti sampailah tu.”

 “Haisy, nilah aku nak cakap. Dengar cerita kita dah tukar lecturer tau untuk subjek sekarang ni.”

 “Kenapa?”

 “Kau tak perasan ke Puan Farha dah sarat? Dia dah cuti nak bersalin tau!”

 “Oh, ya! Lupa! Siapa ganti?”

 “Siapa lagi kalau…”

 Manisah tidak sempat menghabiskan kata-katanya. Raudhah menolak pintu bilik kuliah. Dia masuk dengan penuh gah. Langkahnya deras. Air mukanya serius. Semua pelajar automatik berdiri. Terus sunyi.

 Raudhah merenung tajam setiap wajah mereka bagai ada sesuatu yang dia tidak kena pada matanya. Dia berjalan dari baris ke baris. Para pelajar sudah gelisah. 

 Raudhah kembali ke hadapan. Memeriksa kedatangan. Menghitung dalam diam jumlah pelajar.

 “Tak cukup lagi seorang,” suaranya tinggi. Mereka terkulat-kulat, saling merenung. “You guys bagitahu saya, siapa seorang lagi?”

 Mereka senyap.

 “Tak nak cakap? I denda you all nanti.”

 Serentak itu, pintu bilik kuliah terbuka. Mata-mata mereka memerhati termasuklah Raudhah.

 Raudhah mulanya menanti dengan angkuh. Namun, lama kelamaan, keangkuhannya pudar malahan bertukar menjadi ketakutan. 

 Najwa berbusana baju kurung putih dengan corak abstrask minimal, berselendang satin putih, telinganya diselitkan mawar merah. 

 “Kamu…” Raudhah kehilangan kata-kata. Kemudian, dia kembali meradang. “Kamu ada ke mana-mana? Kamu…”

 Najwa bermain-main dengan bunga mawar merah. Pada pandangan mereka, Najwa tidak bersikap seperti kebiasaan. Mistik. Misteri. 

 “Saya…” Najwa mengukir senyuman misteri. Matanya turut tersenyum. Redup dan mengandungi maksud tersirat. Dia menghidu mawar merah. “Maafkan saya lambat. Saya baru balik dari menziarahi.”

 “Siapa yang kematian?” Raudhah berdebar-debar hebat.

 Najwa mengekek. “Mungkin orang yang berkaitan dengan puan?”

 “Kamu… kamu sengaja mencabar saya!” Raudhah sudah tidak mampu menahan sabar.

 Najwa menggumam lagu yang tidak jelas liriknya. Semakin dibiarkan semakin menyeramkan! 

 Raudhah tidak betah di situ. Dia mencapai fail kedatangan dan beg tangan. Dengan pantas meninggalkan bilik kuliah tanpa tidak lepas menatap wajah Najwa.

 “Gila!” Raudhah merungut perlahan.


Raudhah terfikir-fikir latar belakang sebenar Najwa. Dia termenung. Jari-jemari diketuk-ketuk pada meja. 

 “Budak tu… aku tak suka dia semenjak kali pertama aku lihat dia. Dia… sesuatu! Macam nak cetuskan provokasi.”

 Ting! Pesanan masuk ke dalam aplikasi Whatsapp. Rupanya pesanan daripada kumpulan pelajar yang mahu menemu bual dirinya tempoh hari. Fatimah mengirimkan kepadanya soalan-soalan temubual. 

 Disebabkan Fatimah pandai berbahasa, panas hati Raudhah surut seketika. Dia meneliti soalan satu persatu dalam kiriman fail PDF.

 Semua soalan dirasakan normal. Klise. Tiada yang luar biasa. Dia membacanya secara ala kadar. Baru mahu menutup fail itu, matanya membesar bulat. Dia terpandangkan soalan yang agak sensitif untuk ditanya.

 “Boleh puan ceritakan perasaan puan semasa dapat tahu rakan serumah puan, Maisarah meninggal dunia?”

 “Macam mana hubungan puan dengan Maisarah?”

 “Benarkah kekasih Maisarah kini suami puan?”

 Raudhah tidak menunggu lama. Dia membuat panggilan ke nombor Fatimah. Hidungnya sudah kembang kempis menahan marah. 

 Panggilan bersambut. Fatimah memberi salam dengan penuh hormat.

 “Siapa buat soalan ni?” 

 “Kami bertiga, puan. Kenapa puan?”

 “Maksud saya soalan yang…” Raudhah terus menyebut soalan-soalan tadi.

 “Najwa, puan.”

 “Bagus. Memang ada niat tersembunyi ni!”

 “Maksud puan?”

 Raudhah terus mematikan panggilan. Dia tidak senang duduk. Terus keluar dari bilik menuju ke bahagian rekod maklumat pelajar.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.