Home Novel Seram/Misteri Nikmat Yang Hilang
Nikmat Yang Hilang
Ramzie AA Rosli
7/9/2017 13:13:23
7,369
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 2

Matahari masih berada tegak di langit siang, normal di atas kepalaku. Ia seperti tidak berganjak dari tadi. Seperti mahu menemaniku yang sedang kebingungan. 


Dia terus menggenggam tanganku yang berdebu. Semakin aku cuba untuk dilepaskan, semakin kuat dia menggenggam. Dapat aku rasakan jari jemari kecil menggenggam erat jari-jariku seperti kanak-kanak yang dalam ketakutan. 


Aku gagahi diriku dan mengabaikan perasaan takut untuk menoleh dan menyaksikan siapakah gerangan yang berdamping denganku.


Seorang kanak-kanak kecil, berpakaian kemas dan kelihatan mewah sedang berada disisiku. Rupanya masih belum aku lihat.

Aku hairan, apa kanak-kanak yang usia dalam lingkungan empat tahun ini buat di tempat yang terbiar ini? 

"Adakah dia sesat?"

"Adakah dia bersendiri atau bersama ibu bapanya?"

"Dia manusia atau makhluk Tuhan yang lain?"

"Apa dia mahu denganku?"


Hatiku mula mempersoalkan segalanya dan tanpa aku sedari, rasa takut tadi hilang seperti magis. Malah ia diganti dengan perasaan risau tentang keberadaan kanak-kanak ini. 


"Adik ni cari siapa?" Aku cuba untuk bertanya tapi hampa, dia hanya membatukan diri dan memandang terus kehadapan seperti tadi. 


"Adik buat apa dekat sini?"

"Mak ayah mana?"

"Adik sesat ke?"

Soalanku seperti dia tidak dengari. Terus membatu seperti itu. 


Aku membongkokkan badan, cuba untuk melihat rupa kanak-kanak ini. Alangkah terkejutnya aku apabila aku melihat rupa budak ini. Wajahnya persis seperti wajahku sewaktu aku kanak-kanak dahulu. 


"Pelanduk dua serupa atau budak ni memang aku?" Aku mula persoalkan apa yang mataku saksikan. 


Semasa pandangan aku dipersoalkan, tiba-tiba suara keriuhan kanak-kanak muncul dari segenap sudut. Sekumpulan kanak-kanak muncul dari arah belakang kami, melintasi kami dengan keriangan terlihat di wajah mereka. 


Aku terasa lega, kerana kota yang ku sangkakan terbiar ini rupanya masih berpenghuni. Tapi kemana mereka semasa aku mencari mereka tadi?


Budak misteri yang masih berada disisiku, mula mencipta senyuman manis di bibirnya. Mungkin gembira melihat kanak-kanak yang seusianya bergembira.


Dalam keriuhan suara riang kanak-kanak itu, mataku tertarik dengan kemunculan seorang budak yg berdiri kaku di tengah-tengah jalan. 


Raut wajahnya kelihatan sedih. Tambahan pula pakaiannya yang lusuh menambahkan lagi simpatiku. Aku lihat budak itu memegang beberapa belon warna warni yang terapung-apung seperti meronta-ronta mahu dilepaskan dari ikatan. 


Dengan hanya beberapa saat masa berlalu, satu daripada enam benang yang mengikat belon-belon tersebut putus dengan sendirinya. 

Sebiji belon berwarna hijau mula membebaskan dirinya ke angkasa. Kemudian diikuti pula dua belon yang lain, ungu dan kuning. Budak itu mula menyedari kehilangan hartanya. Dia mendongak ke atas melihat belon-belon semakin menjauh. Agak lama dia mendongak, seperti mengharapkan belon-belonnya itu kembali semula. Dia mula menundukkan pandangan apabila belon-belonnya telah hilang dari pendangan. Entah kemana dan dimana. 


Aku menyaksikan matanya mula berkaca dan air mati kesedihan mula menuruni sehingga ke dagu. Perasaan kasihan yang mula menebal menyebabkan aku ingin menghampirinya dan menenangkannya. Tetapi hasratku terus terbatal apabila budak misteri yang masih berada di sisiku sejak tadi seperti tidak mengizinkan aku melakukannya. Semasa aku hendak melangkah, dia mengeratkan lagi genggaman seperti memberikan isyarat kepadaku. 


Aku terpaksa akur dengan tindakkannya kerana aku yakin tindakkannya itu berasas. Aku hanya memerhatikan budak itu bersedih bersama sisa belonnya yang masih tinggal, merah, biru dan hitam.


Ketika aku sedang asyik memerhatikan budak itu, tiba-tiba kekalutan berlaku. Kanak-kanak yang tadi bersuka ria, mula panik dan lari bertempiaran tanpa hala tuju. Aku tercari-cari apakah punca kekalutan itu. 


Dalam hanya beberapa meter dari tempat aku berdiri, aku melihat seorang kanak-kanak berbaju biru rebah ke tanah.


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ramzie AA Rosli