Home Novel Komedi/Romantik Komedi Bukan Sebuah Cinta
Bukan Sebuah Cinta
Syamnuriezmil
17/11/2024 04:23:09
1,790
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Senarai Bab
Bab 2

“HOW’S Ivan, Ash? I masih tak boleh tengok dia lagi ke? Dia mesti takut kat dalam!”

Aku tanya Firash sebaik aje dia keluar.

Lama aku tunggu kat luar dengan Leona.

Aku dah menggelisah.

“Dia tak takut. Jangan risau... Ini kan seperti rumah pertama dia.”

Firash Iman...

Dr. Firash adalah pakar kardiologi pediatrik di JMC yang juga merupakan doktor Ivan sejak Ivan masih dalam perut lagi. Aku bukan berasal dari Ipoh... Tapi, aku berpindah ke sini disebabkan Dr. Hana yang merupakan doktor O&G aku di JMC, KL yang menyarankan aku ke Ipoh. 

Sebenarnya... 

Dr. Hana berikan aku dua pilihan sama ada ke Ipoh atau ke Sungai Petani. Dia kata dua-dua tempat ni mempunyai doktor pakar dan peralatan yang diperlukan untuk Ivan dan... Aku memilih untuk ke Ipoh sebab itu yang paling dekat dengan Selangor. Ayah tak bagi aku jauh daripada dia sebab kalau jadi apa-apa... Dia susah nak datang. Dan Dr. Hana mengesyorkan aku pada Dr. Firash.

And the rest is history...

“But, soalan you pasal Ivan tu... Seperti apa yang kita pernah bincangkan sebelum ini, hal yang kita takut tapi kita dah jangka... Itu dah pun terjadi. Dia sesak nafas... Injap dia dah bocor. I dah schedule dia for MRI dan kalau betul seperti apa yang I rasa tu... Kita memang kena prepare for TPVR.”

Dan aku...

Terduduk.

“Kejap lagi you boleh tengok dia. Tolong... Jangan marah. Dia dah cukup rasa bersalah sebab main bola.”

“Main bola? Sebab itu, dia sesak nafas?”

“Jangan marah. I baru aje pesan...”

Hesy, budak ni...

Setiap kali aku hantar dia ke sekolah, aku akan pesan jangan main bola. Aku tahu betapa Ivan nak sangat main bola. Tapi, tak boleh...Dengan keadaan jantung dia yang macam tu, dia memang tak boleh nak lasak.

Bukan Ivan tak faham...

Dia faham.

Sengaja buat tak faham.

Sekarang, tengoklah...

Apa yang dah jadi.

Macam mana la mama tak marah!

“Dan jangan beritahu yang Papa Ash dah kantoikan dia...”

“Hai, Ivan...”

“Lambat laun, injap dia memang akan kena tukar. Sebab dia semakin membesar...”

“Masalahnya, kita jangka masa umur dia 10 tahun. Sekarang, baru 8 tahun! Dia baru aje buat open surgery...”

“No need to worry. I kan ada...”

Ah, Ash...

“Thank you, Ash...”

“No problem. I nak masuk untuk buat report kejap. Lepas tu, you boleh tengok dia with smile... Yes? Jangan marah...”

Takkanlah nak marah bila anak atas katil tu dengan wayar yang penuh kat badan. Walaupun aku nak naik hantu... Aku akan cuba menahan marah. Ah, kalau tak ada Firash... Aku tak tahulah apa jadi dengan aku dan Ivan. Ihan mesti akan gelakkan aku. Dia mesti akan cakap yang dia dah beritahu aku, aku yang degil... Sekarang, rasakan apa yang dia rasalah!

Terngiang-ngiang...

Suara Ihan...

“Kita dah expect benda ni kan...”

Leona memeluk bahu aku.

“Ya... Memanglah dah jangka. Dari dalam perut lagi dah jangka. Papa dia mesti akan gelakkan akulah kalau dia tahu yang Ivan masuk hospital. So, padanlah dengan muka aku!”

“Sekurang-kurangnya, kau berjuang dan bertahan. Itu lebih baiklah daripada dia yang nak bunuh anak sendiri sewaktu dalam kandungan lagi. Aku tak tahu siapa bekas suami kau tu... Kalau aku tahu siapa dia, aku yang akan gelakkan dia. Sebab selama ini, dia yang dalam kerugian... Dia rugi sebab tak mengenali Ivan Raees, seorang anak yang paling kuat yang tak pernah aku jumpa seumur hidup aku.”

Ah, Leona...

“Janganlah kau risau. Kau tak keseorangan. Kita akan laluinya bersama. Like the old days... Jangan lupa, aku ni mak Ivan juga tau. Berapa kali aku kena mandi dengan air kencing dia. Jadi dia kena terus hidup supaya dia merasa pula air kencing aku!”

“Ah, kau ni...”

Aku membalas pelukan Leona. Walaupun, aku selalu berbalah dengan Leona dalam hal kerja... Tapi, kalau dia tak ada... Aku pun tak kuat. Dia yang buat aku bertahan. Aku bukan hanya terhutang budi... Aku terhutang nyawa.

Dua orang ini... 

Selalu ada dengan aku.

Belum cerita pasal ayah. Ayah sampai jual rumah dia untuk biaya kos pembedahan Ivan. Kemudian ayah tinggal di Darul Insyirah... Sebuah madrasah yang menempatkan warga emas yang nak mendalami agama. Pengorbanan ayah... Aku tak akan lupakan. 

“Ah, patut ke aku cakap dengan ayah?”

“Nanti dululah. Sekurang-kurangnya lepas dapat result MRI. Manalah tahu... Sesak nafas sebab benda lain.”

Betul juga...

Dan...

Dalam 10 minit macam tu...

Aku dibenarkan masuk ke dalam PICU untuk berjumpa dengan Ivan. Mukanya berubah bila nampak aku... Jebik, nak menangis. Tahu salah la tu!

Anak bertuah tu!

“Mama tak boleh lama. Papa Ash bagi sorang 10 minit aje... Ada apa-apa yang Ivan nak ke? Nanti mama bawa.”

Dan tiba-tiba Ivan suruh aku datang dekat. Dia kemudian memeluk leher aku. 

“Sorry, mama...”

Aku mengusap belakang Ivan lembut.

“Sorry sebab?”

“Van dah masuk hospital balik.”

“Seronok tak?”

“Mestilah tak.”

“Mana boleh main bola tak seronok.”

“Ah, Papa Ash ni!!!”

Aku melepaskan pelukan tu dan tersenyum. Ivan mencebik. Mana boleh lari daripada aku. Kalau bukan Firash yang bagi tahu aku... Aku akan korek daripada Cikgu Sally dia.

“Itulah... Banyak kali dah mama pesan kat Ivan. Jaga diri... Jangan itu jangan ini... Tengok apa dah jadi bila Ivan tak nak dengar mama punya jangan. Buat juga... Inilah padahnya.”

“Kan dah cakap sorry...”

“Ikhlas ke sorry ni?”

“Ikhlasss...”

“Tapi, jauh?”

Ivan mencebik.

“Atuk tak tahu lagi ni. Kalau atuk tahu atuk mesti sedih. Tengoklah apa yang Ivan dah buat. Mak kat luar... Macam dia yang mati anak tau. Macam mana tu?”

“Sorry...”

“Nak buat lagi ke?”

“Tak nak.”

“Tapi, Ivan tahu kan...Apa akibatnya tindakan Ivan main bola kat sekolah tadi?”

“Papa Ash cakap Van kena duduk 10 hari kat hospital. Papa Ash nak betulkan jantung Van.”

“Takut tak?”

“Tak.”

“Sebab?”

“Van kan lelaki. Kalau Van takut macam mana nak protect mama?”

Aku tersengih.

Yalah tu... Masa umur lapan tahun bolehlah berjanji. Dah 28 tahun nanti, jumpa perempuan... Bercinta... Lupa dah mama. 

“Nanti mama datang balik. Sekarang mama balik dulu... Ambil barang. Mama akan tunggu kat awaiting area. Kalau Ivan nak apa-apa... Suruh nurse panggil mama kat luar. Lagi dua jam.”

“Jangan lupa bawa bantal Van tau...”

“Nak protect mama macam mana ni kalau masih pakai bantal busuk!”

“Mama!!!”

“Yalah-yalah...”

Merah padam muka anak teruna tu bila aku mengusik dia. Aku memeluk Ivan sebelum aku keluar.

Sedih?

Mestilah aku sedih.

Ivan baru aje berusia lapan tahun... Tapi, dia dah melalui banyak perkara dan jadi matang sebelum waktunya. Sewaktu dalam perut lagi... Dia dah melalui macam-macam dugaan. 

Pada usia kandungan aku masuk minggu ke 18... Dr. Hana mengesan ada kelainan pada jantung Ivan sewaktu dia melakukan imbasan ultrabunyi. Untuk memastikan yang kandungan aku tak ada masalah dan menghapus keraguan Dr. Hana, banyak ujian telah dilalui. Akhirnya... Dr. Hana mengesahkan yang Ivan mengalami penyakit yang sama macam papanya, Tetralogy of Fallot atau TOF... Sejenis kecacatan jantung kongenital yang menjejaskan aliran darah dan oksigen.

Dr. Hana bagi aku dua pilihan...

Gugurkan atau teruskan...

“Gugur.”

Tanpa berbincang... Ihan sudah buat keputusan. Bagi dia, gugurkan adalah pilihan yang terbaik. 

“Kita dah pun bercakap pasal ni masa Iris mengandungkan Ivie. Kita dah pun setuju sebelum ni.”

“Kita tak tahu rezeki dia...”

“Abang tak nak anak ni suffer, Iris. Nak ke jadi macam abang? Belah sana, tebuk sini... Abang tak sanggup. Please... Dengar cakap abang, sayang. Kita dah ada Ivie dan kita boleh cuba lagi.”

Papa dia sendiri tak mahukan dia.

Aku faham maksud Ihan. Bukan aku tak faham. Walaupun dia dah dewasa, risiko tu tetap ada. Tapi, aku tak sanggup. Lagilah bila prosedur amniosentesis iaitu mengambil air ketuban  pada usia kandungan aku ke 20 minggu menunjukkan Ivan tak ada penyakit genetik yang lain seperti Sindrom Down. Hanya jantungnya aje yang bermasalah. 

Dan aku...

“Iris nak proceed. Kalau abang tak sanggup nak jaga... Ceraikan Iris.”

“Boleh. Dengan syarat, Ivie dengan abang.”

Aku diceraikan Ihan masa kandungan aku berusia enam bulan. Ivie?

Ah, Ivie...

Aku tinggalkan dia pada usia dia baru dua tahun. Aku berharap... Suatu hari nanti... Bila aku ditakdirkan berjumpa semula dengan Ivie, dia akan faham... Kenapa aku memilih adik dia!

Sekarang...

Anak dara aku dah berusia 10 tahun.

Dia mungkin dah setinggi...

“Bilik Dr. Asytar? Kat mana? Tanya nurse? Mana ada nurse kat sini, pa!”

Ada seorang budak perempuan... Setinggi pinggang aku berdiri tegak depan aku. Aku pandang dia dan tersenyum. Satu suit semua warna merah jambu sampai ke kasut. 

Budak perempuan tu merapati aku...

“Auntie... Auntie tahu bilik Dr. Asytar tak?”

“Nampak tak toilet tu... Bilik sebelah tu.”

“Thanks, auntie. By the way... You have nice shoes! Pink!”

Dan aku tersenyum. “Thanks.”

Budak perempuan tu membalas senyuman aku dan bergerak ke arah bilik yang aku tunjukkan pada dia tadi.

Ivie...

Mungkin dah setinggi itu...

Cantik dan pink!

Ah...

I miss you, Ivie Iryna!

Satu hari nanti kita akan berjumpa... Amin!

“Jom... Kau pandang apa?”

Aku menoleh ke arah Leona yang menepuk bahu aku. Tak perasan pula bila dia keluar dari PICU tu.

“Hah? Sekejapnya masuk?”

“Aku tak bolehlah... Ivan tak ada apa-apa. Aku yang lemah lutut, lemah segalanya. Aku salute la... Pada mak-mak yang ada anak-anak yang sakit ni. Mungkin aku ditakdirkan jadi CEO aje. By the way, telefon kau berbunyi masa kau kat dalam... Jadi aku angkat. The Crepex call dan aku ada appointment dengan dia kejap lagi. Kebetulan dia pun ada kat kawasan ni.”

“Eh, mana boleh aku nak jumpa. Ivan kan kat dalam...”

“Jangan risau, aku uruskan. Lagipun, lebih baik kau tak ada... Kalau tak, ke laut lagilah projek tu.”

Ceh!

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syamnuriezmil