Home Novel Komedi/Romantik Komedi DIA MENANTU RAHSIA
DIA MENANTU RAHSIA
Indah Hairani Latif
3/5/2015 22:57:11
220,477
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 4
BAB 4
MELISSA melangkah tenang ke ruang yang tertulis Book Cafe di depannya. Biarpun agak kurang selesa dengan badan yang masih berpeluh, Melissa cuba bersahaja dan tenang. Ketika kakinya melangkah keluar dari pintu lif, berkali-kali Melissa berdoa semoga dia dapat kerja di sini. Seorang gadis sedang duduk di kaunter terus tersenyum ketika dia menghampirinya.
“Selamat datang cik,” ucap gadis itu sopan.
Melissa tersenyum apabila dirinya disambut gadis di kaunter itu.
“Assalamualaikum. Saya nak jumpa Miss Jannet,” ucap Melissa.
“Cik dah buat janji temu?” soal gadis itu sambil tersenyum.
Panas hati Melissa mendengar pertanyaan demi pertanyaan dalam situasi dia masih keletihan. Baru saja sakit kepala dengan masalah tayar kereta Zulaikha pancit, kini berdepan dengan pertanyaan gadis di kaunter itu.
“Dah,” jawab Melissa.
“Siapa nama cik?”
“Melissa. Melissa binti Alias,” jawab Melissa pantas.
34
Gadis itu tersenyum dan mengangguk. Sempat Melissa menjeling pada tanda nama di dada gadis itu. Naida binti Nazri.
“Sekejap ya cik.”
Melissa mengangguk. Gadis itu berlalu. Mata Melissa memandang sekeliling. Warna dinding, lantai, semuanya menggunakan warna-warna lembut. Cantik, bisik hati kecil Melissa.
“Cik Melissa, boleh masuk,” pelawa gadis itu lembut.
Melissa melangkah masuk mengekori gadis yang bernama Naida itu ke sebuah bilik. Seorang wanita muda menunggunya sambil tersenyum. Dia yakin itulah Jannet. Wanita itu bangkit dan mempelawa Melissa duduk.
“Selamat datang cik,” sapa Jannet lembut.
“Melissa Alias,” ujar Melissa pantas.
Wanita itu tersenyum. Melissa membalas senyuman itu.
“Cik Melissa, kami memerlukan pekerja yang betul-betul berminat dan sabar untuk berkerja di sini,” ujar Jannet sebaik sahaja Melissa melabuhkan punggung di hadapannya.
“Boleh madam,” ujar Melissa sambil tersenyum.
“Jannet. Panggil saya Jannet atau Jenny aje,” balas Jannet sambil tersenyum menampakkan lesung pipit di kedua-dua belah pipinya.
“Ya Miss Jenny. Sebelum saya ke sini, saya dah melayari website Book Cafe ni. Saya tertarik sebab saya memang minat membaca. Kalau tak silap saya, ia seakan-akan perpusatakaan. Betul ke Miss? Ni sijil-sijil kelayakan saya,” balas Melissa sambil menghulurkan fail mengandungi sijil-sijilnya.
Jannet menyambut dan membelek-beleknya.
“Betul tu cakap awak. Erm... quiet good. Ada niat nak further studylah ni?” soal Jannet.
Melissa menggeleng-geleng.
35
“Tak, buat masa ni saya nak kerja dulu. Kalau boleh saya nak sambung belajar tanpa guna duit pinjaman,” jawab Melissa dalam nada yakin.
Jannet tersenyum mendengar kata-katanya.
“Bagus,” puji Jannet sambil matanya memerhati sijil-sijil di tangannya.
“Saya semakin berminat bila saya jejak kaki di sini,” tokok Melissa.
Semakin melebar senyuman di bibir Jannet.
“Terima kasihlah kerana awak berusaha untuk kenal tempat kami melalui website kami. Mudah untuk saya terangkan pada awak nanti.”
Melissa memberi perhatian pada penerangan yang diberikan wanita itu. Semakin dia faham, semakin dia berminat dengan Book Cafe. Satu konsep perpustakaan yang menarik dengan servis sewaan dan bilik bacaan yang eksklusif dan diiringi alunan muzik. Ruang bacaan eksklusif ditempatkan menghadap matahari jatuh.
Mereka dapat menikmati panorama matahari jatuh dengan indah dan damai. Pengguna hanya perlu memberitahu petugas judul buku yang diinginkan. Mereka hanya menunggu di ruang bacaan kerana buku-buku akan disediakan oleh petugas. Susunan buku disusun mengikut kategori sebagaimana di perpustakaan.
“Wow!” ucap Melissa spontan.
Jannet tersenyum.
“Kami tawarkan gaji asas pada tiga bulan pertama RM1500. Kerja lebih masa akan dibayar mengikut jam. Selepas tu kami akan melihat prestasi, jika prestasi bagus kami akan naikkan gaji kepada kepada RM1800. Hari cuti kelepasan, kami akan bayar mengikut jam,” terang Jannet.
Lumayan berbanding sewaktu menjadi pembantu klinik di pekan Pasir Puteh dulu. Kalau aku tak datang ke sini, manalah aku nak dapat kerja, agaknya masih bersugul di rumah. Orang yang dicintai sedang berangan nak
36
berkahwin dengan doktor. Aku pulak duduk bersugul di bilik tidur. Syukur ya ALLAH, terima kasih Zulaikha, bisik hati kecil Melissa.
“Cik Melissa, Cik Melissa.”
Melissa tersentak apabila namanya dipanggil. Dia melihat Jannet merenungnya.
“Ya, ya, saya mintak maaf,” ucap Melissa sambil tersenyum.
Boleh simpan duit gaji untuk beli kereta. Balik kampung, bersiar-siar memandu depan rumah Mak Cik Odah, ibu Zamer. Dia ingat hanya doktor aje yang boleh pakai kereta, detik hati Melissa.
“Awak berminat bekerja dengan kami?” soal Jannet, ingin tahu.
“Ya Miss Jenny. Saya berminat,” jawab Melissa pantas.
“Jadi, bila awak boleh mula bekerja?”
“Boleh Miss Jenny bagi masa saya dua hari?”
“Untuk awak berfikir?”
“Tak Miss Jenny. Memang saya nak kerja ni, tapi saya nak selesaikan beberapa perkara,” ujar Melissa sambil merenung wajah wanita Cina itu.
Jannet tersenyum dan mengangguk-angguk.
“Boleh, tak ada masalah. Kalau macam tu kita jumpa dua hari lagi. Nanti saya akan perkenalkan awak pada pekerja-pekerja kami yang lain.”
“Terima kasih, Miss Jenny,” ucap Melissa sopan.
“Ya, sama-sama,” balas Jannet sambil tersenyum.
Melissa bangkit daripada duduk dan melangkah keluar dengan hati yang berbunga-bunga. Gadis bernama Naida memandangnya sambil tersenyum.
“Terima kasih Cik Naida. Kita jumpa lagi ya,” ujar Melissa sebaik sahaja tiba di di kaunter.
Naida tersenyum lebar.
“Datang lagi,” ucap Naida.
37
“Ya, saya akan selalu datang,” balas Melissa dalam seloroh.
Sebaik sahaja keluar dari pintu lif, Melissa seperti ingin melompat gembira. Hatinya gembira bukan kepalang kerana sekejap sahaja dia sudah mendapat kerja. Tidak perlulah dia menganggur terlalu lama. Melissa melangkah ke sebuah bangku di hadapan bangunan itu lantas mengeluarkan telefon bimbitnya. Ditekannya nombor telefon Zulaikha. Terasa sangat lambat panggilannya bersambut.
“Wei! Kau buat apa ni? Lambat benar jawab telefon,” soal Melissa pantas sebaik sahaja mendengar suara sepupunya itu.
“Buat apa? Aku kerjalah,” jawab Zulaikha.
Mood Melissa untuk bercerita tiba-tiba kendur. Dia terdiam seketika.
Kedengaran suara ketawa Zulaikha.
“Ha, merajuklah tu. Macam mana tempat tu, okey?” soal Zulaikha.
Melissa kembali tersenyum.
“Kau tanya tempat buat apa, tanyalah tentang kerja tu!” rajuk Melissa sambil tertawa.
“Hai, gembira sangat aku dengar.”
“Best! Terima kasihlah kau tolong carikan aku kerja ni.”
“Hai, belum kerja dah gila?” seloroh Zulaikha.
“Mahu aku tak gila. Tempatnya pun dah cantik gila,” balas Melissa sambil tertawa riang lagi.
Melissa ketawa terkekeh mendengar usikan Zulaikha.
“Gila tak gila pun yang penting, petang ni kau kena belanja aku, boleh?”
“Bukan setakat hari ni aje, seminggu pun boleh.”
“Amboi! Kaya benar kau. Kau tahu, kan? Aku ni kalau orang belanja, bukan di warung-warung tepi jalan, tau?” usik Zulaikha.
38
“Yalah tu. Alih-alih aku belanja kat dapur aje.”
“Dok rok secetong!” jerit Zulaikha dalam dialek Kelantan.
Melissa tertawa.
“Okey, dah dekat nak makan tengah hari ni. Kau tunggu aku kat situ. Nanti kita pergi lunch sama-sama.”
“Okey, aku tunggu,” ujar Melissa sambil tersenyum.
Talian dimatikan. Melissa duduk di bangku kayu sambil tersenyum. Hari yang paling bahagia selepas kecewa, bisik hati kecil Melissa. Melissa menarik nafas lega. Dunia hari ini terasa indah. Pokok-pokok rendang seperti tersenyum ke arahnya. Burung-burung gagak yang sedang bertenggek di dahan juga seperti tersenyum. Bila hati gembira, semuanya nampak indah. Gagak hitam pun nampak berwarna. Melissa tersenyum lagi.
Tiba-tiba senyum Melissa mati apabila pandangannya tertancap pada susuk yang sedang berjalan beberapa meter tidak jauh dari arahnya. Dengan pantas Melissa bangkit dan berdiri di belakang sebatang pokok. Lelaki sombong tadi? Melissa mengerutkan dahi. Kenapalah mamat tu muncul ketika aku sedang bahagia ni? Alaha, keluh Melissa dalam hati sambil mengintai pergerakan lelaki itu dari sebalik pokok.
Entah-entah dia salah seorang pelanggan di tempat aku bakal bekerja, detik hati Melissa. Wajahnya tiba-tiba berkerut. Melissa tertunduk-tunduk mengintai-intai lelaki itu. Tiba-tiba satu pukulan singgah di bahunya. Melissa tersentak. Dengan pantas dia menoleh. Zulaikha tersengih memandang ke arah Melissa.
“Apa kena ni? Terhendap-hendap macam pencuri ni?” soal Zulaikha.
“Syy....” suruh Melissa sambil meletak jari telunjuk pada bibir.
Zulaikha mengerutkan dahi.
“Kenapa?” soal Zulaikha perlahan.
39
“Mamat tu,” bisik Melissa sambil menuding jari ke arah lelaki yang sedang melangkah menuju ke bangunan di hadapannya.
“Mamat mana ni?” soal Zulaikha dengan dahi berkerut.
Dia memandang ke arah lobi lif yang terletak beberapa meter tidak jauh dari tempat mereka berdiri di belakang pokok itu. Kelihatan seorang lelaki sedang berdiri di hadapan pintu lif. Ketika pintu terbuka, lelaki itu terus melangkah masuk. Dahi Zulaikha kembali berkerut.
“Haah, betullah mamat tu tadi. Boleh tahan jugak handsome. Hey, mamat tu kerja kat mana ya? Atau ofis dia di bangunan sama dengan tempat kerja kau?” soal Zulaikha dengan riak wajah bersungguh-sungguh.
Melissa turut mengerutkan dahi.
“Ni yang buat mood aku hilang. Baru aje nak bahagia. Hisy,” rungut Melissa.
“Apa kau nak kisah? Walaupun kau jenis perempuan lemah lembut, tapi kalau terserempak dalam lif...”
“Eh! Apa yang kau nak ajar aku ni? Nak suruh aku buat apa?” pintas Melissa cepat-cepat.
“Nak buat apa lagi? Tumbuk ke, gigit ke,” jawab Zulaikha.
“Eh, kau ingat aku kucing ke? Nak gigit-gigit bagai? Hisy,” rungut Melissa sambil menjeling ke arah sepupunya.
Zulaikha ketawa terkekeh.
“Kesian sepupu aku ni. Dahlah, aku lapar ni. Kata nak belanja, kan?” soal Zulaikha sambil tersengih.
“Bukan ke kena tunggu gaji pertama?” seloroh Melissa.
Zulaikha tiba-tiba menumbuk bahu Melissa.
“Gaji? Huh! Kempunan dulu aku. Jomlah,” ajak Zulaikha.
Akhirnya Melissa mengekori Zulaikha ke kedai untuk mengisi perut yang mula kosong. Perhatian diberikan pada makanan yang akan dipesan nanti, sementara lelaki tadi sudah tidak langsung melekat di fikiran Melissa. Zulaikha
40
juga demikian. Mereka ingin menikmati makanan tanpa memikirkan apa-apa pun.
Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Indah Hairani Latif