Home Novel Komedi/Romantik Komedi Kerana Hati Pilih Yang Sayang
Kerana Hati Pilih Yang Sayang
Aya Sanjana
9/11/2020 10:07:08
25,776
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 5

Bab 5

Motor aku masuk ke dalam pekarangan tempat parkir motor dengan berhati-hati. Maklumlah, terasa dah lama tak tunggang motorsendiri. Selama dua minggu ni asyik membonceng motor Tina aje.

Setelah selesai parkirkan motor dengan jayanya, beg kertas yang berada di dalam raga aku capai. Kasut flat di kaki aku tukarkandengan stiletto merah yang aku simpan di dalam beg kertas. Semuanya tak lain dan tak bukan, buat  memenuhi permintaan encik tunang aku.

Dialah tu yang suruh aku pakai stiletto sekali dengan blaus kepok-kepok. Aku ikutkan ajelah, nak pujuk dia yang makan hati kena tegur dengan aku hari tu pasal kes ringan tangannya.

Siap pakai, aku simpan kembali kasut flat ke dalam beg kertas. Aku bawa sekali beg kertas tu, manalah tahu kalau betul-betul rasa tak selesa, boleh tukar balik.

Terumbang-ambing rasa nak selesakan diri. Rasa macam pakai terompah pun ada tapi terompah masjid tu sekurang-kurangnya bersaiz lebar. Ini saiznya macam nak mencekik jari kaki aku.

Aku ketawa sendiri tengok gaya berjalan aku. Dah macam apa lagi. Tiba-tiba dengar seseorang menegur dari bahagian kiri foyer.

“Selamat pagi!” Senyum dia tanpa lupa tinggalkan lesung pipit dalam tu di rumah.

Alamak, abang jaga tu tegur aku pulak pagi-pagi ni. Kenapa perlu masa aku jalan macam robot ni jugak dia nak tegur?

“Errr Selamat pagi. Kerja ke pagi ni?” balas aku berbasa basi. Dah pakai uniform tu mestilah tengah kerja. Saja aje buat modal bercakap.

“Haah, Kerjalah. Kejap. Kenapa awak nampak tinggi semacam pulak?”

Aku hanya sengih dan menapak untuk ke foyer. Untuk ke opis aku mahu tak mahu aku kena jugak lalu di sebelah abang jaga berada. Dia tengah periksa suis apa pun aku tak tahu.

Kaki aku yang menapak atas penutup longkang tiba-tiba hilang kawalan. Jatuh terduduk aku. Lengan aku pun terasa perit sebab menahan berat badan daripada terjatuh lebih teruk. Cis! Lupa pulak aku pakai kasut tumit tinggi.  Tumit tinggi yang halus tu dah tersepit pada penutup longkap besi yang banyak lubangnya tu. 

Mengaduh aku sendiri. Buku lali aku tersenerih dengan permukaan besi penutup longkang. Tercalar jugak kulit sampai nampak isi sedikit. Dan sudah tentu sedikit berdarah.

“La, kan dah berdarah tu,” komen abang jaga.Terkejut aku, masa bila pulak dia duduk bertinggung sebelah aku ni?

Aku paling muka ke arah dia. Sempat aku baca nama pada uniform.

IBRAHIM. Oh, itu nama dia. Tengok rupa, macam Abraham.

“Geram saya dekat penutup longkang tu. Hari-hari saya pijak, okey aje.”

“Dah hari-hari sebelum ni awak pakai kasut lain agaknya. Kalau pakai tumit tinggi ni janganlah pijak lubangnya. Langkah terus aje besar-besar. Baru nampak menawan.” Menyengih dia tanpa fikir aku akan sakit hati atau tak.

Ngilu di kaki tak habis lagi, dia tambah pulak dengan perli. Aku tak peduli sengihan dia dan cuba bangun untuk capai stiletto yang masih tercengkam di atas lubang penutup longkang.

“Tak apa, saya ambil.” Cepat-cepat Ibrahim bangun dan cabut kasut aku. Lah, tumitnya dah nak patah pun.

“Alah, baru beli.” Aku pejam mata lalu menggeleng.Apalah Faizal akan kata pasal aku agaknya. Mesti serik dia nak belanja apa-apalepas ni. Aku cuba berdiri walaupun sedikit perit.  Kasut flat tadi aku keluarkan dan pakai kembali. Ha, baru rasa selesa. Nikmatnya.

“Baru beli ke? Boleh letak gam ni. Saya ada gam gajah.” Tawar Ibrahim secara tak langsung.

“Hurm, tak apa kot. Saya malas dah nak pakai kasut ni. Nanti simpan ajelah.”

“Awak okey tak? Saya pun ada plaster kalau awaknak. Tunggu kejap saya pergi ambil. Bak kasut tu sekali.”

Aku terpinga-pinga sekejap dengan perbuatan dia. Dia tanya, tak dan aku jawab, dia dah tolong jawabkan dengan tindakan sendiri.

“Duduk dulu dekat kerusi tu.” Laung dia pada aku seraya tunjuk tangan pada kerusi putih yang ada di tepi telefon kecemasan.

Tak lama kemudian dia pun datang dengan peti kecemasan.

“Amboi, dengan peti bagai. Awak ni dah macam ahli PBSM pulak.”

“Dulu saya nak jadi jururawat, tapi kena tolak sebab terlalu kacak. Takut pesakit jatuh cinta.”

Dengan riak berlagak konon serius, dia membalas. Dibukaknya peti kecemasan dan menghulurkan aku kapas. Aku hanya pura-pura batuk untuk menghilangkan janggal. Ceh.

“Tekap-tekap sikit darah tu. Baru boleh letak minyak gamat dengan plaster.” Masa dia hulur dekat aku, dia masih mencari-cari sesuatu dalam peti kecemasan.

Aku pandang dia lama. Kenapa rasa macam pernah jumpa si Ibrahim ni ye? Bulu mata lentik dan panjang tu macam biasa aku tengok.Tapi siapa ye?

AKu tekap kapas pada luka seriau-seriau aje. Takut sakit.

“Dah?” tegur dia yang dah jumpa minyak gamat.

Tanpa bercakap, dia ambil kapas yang dah digunakan pada tangan aku. Segan pulak aku bila dia dalam keadaan melutut dan aku elok pulak duduk atas kerusi ni. Setakat sekarang, belum ada lagi staf yang lalu dekat foyer ni. Aku sengaja sampai awal sebab risau tak biasa bawak motor ketempat kerja.

“Sapu minyak gamat dengan kapas ni. Sikit-sikit je.Tak payah banyak sangat.”

Aku pandang lagi tampang dia yang fokus pada lukadi kaki. Yang aku, fokus pada wajah dia yang aku pasti pernah aku lihat.

Ni bukan mamat Sogo tu kan? Mamat Sogo tu macam high class sikit gayanya. Alah, walaupun aku tak tahu pun brand apa mamat Sogo tu pakai, tapi sekali imbas tahulah dia orang berduit. Macam anak orang kaya aje. Abang jaga ni rupa dia macam pengawal keselamatan, lain tu. Tapi… Dah dia kerja jaga kan, takkan nak serupa macam ahli farmasi pulak.

“Betul kan saya cakap? Mujur saya tak kerja misi.Kalau tak, habis la semua pesakit angau,” rujuk dia pada renungan aku yang tak segan silu tertuju padanya. Sedar pulak aku duk tenung muka dia tu.

Lepas tampal plaster pada luka aku yang tidak seberapa tu, dia angkat kepala. Senyum lagi. Macam senyum gatal pun ada.

“Awak pernah pergi Sogo tak?” tanya aku tanpa fikir-fikir kejanggalan yang akan terhasil akibat soalan tiba-tiba ni.

“Hah?” Buat muka pelik terus dia. Muka gatal tadi pun dah hilang.

“Pernah ke tidak? Beli barang baby?” Alang-alang dah muka pelik, aku tanya lagi.

“Kenapa pulak saya kena ke Sogo dan beli barang baby?” Muka pelik berganda dia buat.

“Jawab ajelah.” Tak kesahlah, inkuiri tu mencanak naik. Kalau betul dia mamat Sogo tu dia… Isy tak tahulah aku nak cakap apa.Peristiwa paling memalukan seumur hidup. Dan aku terpaksa berhadapan dengan saksinya selagi aku tak berhenti kerja dekat kilang ni. Lima kali seminggu. My God.

“Aduh, tak ingat pulak. Anak isteri pertama beli barang dekat London, anak isteri kedua beli dekat Singapura, anak isteri ketiga beli online je, anak isteri keempat pulak beli barang baby dekat kedai runcit je.” Sengih dia mengusik.

“Huh merapu!” Hampir tergelak aku melayan abang jaga ni. Aku bangun dan mencapai beg. Bukan agaknya. Kalau betul pun, aku akan pastikan dia akan lupa hal paling malang berlaku dekat aku.

“Terima kasih ya sebab susah-susah tolong saya.”

Beberapa orang staf mula lalu-lalang di foyer itu dan tertoleh-toleh melihat kami dua bersembang.

“Tak ada hal. Awak kan orang HR. Kena la bodek lebih sikit.”

“Iyelah tu. Saya ni kerani cabuk je pun. Nak bodek, awak patut bodek Kak Monalah.”

“Hurmm, Kak Mona tu tak payah saya bodek, dia sendiri akan merayu nak naikkan gaji saya.”

“Saya bagi tau Kak Mona nanti. Eh, dahlah. Saya nak masuk opis dah ni. Mintak diri dululah?”

“Diri awak sendiri awak tak payah mintak. Kalau awak nak saya, barulah kena mintak. Ha, petang ni jangan lupa ambil kasut tinggi awak tu dekat pondok tau. Saya cuba cantumkan tumitnya.”

Aku mengangguk. Baik pulak abang jaga ni. Dia tak maksudkan dia nak bodek aku sebab aku orang HR kan? Jangan baik ada makna sudah.

Bila aku masuk ke opis, barulah aku teringat yang aku kena selfie dengan persalinan lengkap kasut dan pakaian yang Faizal belikan. Aduh. Kasut dekat abang jaga pulak. Walaupun dah patah pun tumit tu masih boleh pakai aje kalau setakat nak bergambar.

 

Abang nak jumpa sayang kejap masa rehat. Dekat mesin air kopi.Please selfie jangan lupa nak tengok. <3

 

Masuk pulak WhatsApp Faizal ni, bertambah gelisah aku. Kalau dia tahu, masaklah. Malas aku nak melayan dia yang asyik-asyik nak makan hati. Kalau hati goreng belado tak apalah. Sedap jugak, boleh tambah darah sekali.

Lama juga aku diam tak membalas mesej Faizal. Sampailah akhirnya aku dapat pesanan WhatsApp daripada Kak Mona di dalam grup Whatsapp kerja.

 

Rehat ni jangan ke mana-mana. Tuan Idris nak datang melawat dalam pukul 12 sampai pukul 2. You all kalau ada pelan rehat nanti tolong cancel.

 

Fuh, memang menyelamatkan keadaan betul Kak Mona ni. Aku terus forward mesej Kak Mona dekat Faizal. Dan selfie muka aku separuh untuk konon pujuk. Separuh muka sudah, tak kuasa nak lebih-lebih.

Pukul 11.50, Tuan Idris datang dan lama dia duduk dalam bilik Kak Mona. Ecah kata, tulah bos besar MANIS. Baru aku tahu. Orangnya sederhana je. Berjanggut sejemput dan berkulit sedikit gelap tapi air mukanya bersih. Pakai kopiah lagi. Sekali tengok macam orang biasa-biasa aje. Bukan bos besar syarikat minuman manis dan berkarbonat yang dipasarkan ke seluruh kedai runcit dan pasar raya seluruh Malaysia.

“Sekali sekala memang Tuan Idris akan datang mengejut check setiap bahagian dekat kilang ni. Dahlah lama dia datang semak tu. Semua benda dia nak tanya. Hari tu, aku tak ambil minuman percuma bulanan pun dia tanya tau kenapa tak ambil.” Mulalah Milah bercerita. 

“Kan. Dari segi keselamatan kilang, hal ehwal pekerja yang MC, makanan yang kita beli untuk pantry pun dia akan soal siasat. Tu yang Kak Mona kerah kita kena sentiasa kemas kini fail. Bila-bila masa ajeTuan Idris boleh terjah macam ni.” Sambut Ecah pulak.

“Bagusnya kalau dia macam tu. At least dia ambil tahu sungguh pasal hal kilang. Taklah lepas tangan dekat pekerja je.”

“Yup, dia memang takkan lepas tangan punya. Masa Kak Reen bahagian production tu kena demam denggi… Dia pergi melawat sampai kat hospital. Of course la kos rawatan kilang tanggung. Tapi dia siap bayar upah pengasuh jaga anak-anak Kak Reen lagi masa Kak Reen tu dekat hospital. Kak Reentu kan ibu tunggal. Dia ingat tau staf dia punya maklumat peribadi. Itu yang aku bertahan aje kerja dekat sini walaupun gaji taklah mahal mana. Tapi kurang-kurangnya kebajikan terjaga. Rasa macam abah-abah jaga aje.”

“Alah, kau ni puji melambung. Bukan selalu orang kutuk bos ke?” selar aku, saja mahu menduga.

Serentak Ecah dan Milah menampar belakang aku.“Oit, sakitlah. Apa ni pukul-pukul orang!”

“Kau jangan berani-berani kutuk bos aku. Kau nak kutuk Kak Mona, aku nak join. Tapi kalau kau kutuk Tuan Idris, awas kau!” ugutEcah.

Amboi bukan main lagi. Aku paling ke arah Milah,tunggu dia jawab apa.

“Tuan Idris tu kau takkan sanggup nak kutuk kalau kau dah rasa kebaikan dia dekat kau. Sebenarnya tulah bapak mertua tak jadi aku.”

Sekilas, aku dan Ecah pulak menampar belakang Milah yang perasan. Milah ketawa saja sambil cuba menutup mulut, acah-acah nak cover gelak kuat dia.

“Wei serius ni. Aku dengar cerita Kak Mona bersembang dengan akak muka bengis bahagian kewangan hari tu. Tuan Idris ada anak lelaki. Baru je putus tunang. Tapi tak taulah handsome ke tidak.”Tiba-tiba Ecah teringatkan sesuatu.

“Dia ada anak lelaki ek? Yang kenduri kesyukuran cucu kembar dia tu anak perempuan kan?” Milah pulak bertanya.

“Ya, perempuan. Tapi anak lelaki dia ada buat masalah. Bergaduh dua beranak tu. Lebih kurang macam kena buang keluarga la.”

“Kenapa kena buang? Anak dia kaki perempuan ek?”Suka hati aje aku teka dan menuduh.

Milah dengan muka terkejut tanya aku balik. “Eh,macam mana kau tau? Betullah. Tu yang Kak Mona dan akak muka bengis tu sembangkan. Tunang anak dia tak tahan perangai kaki perempuan. Tapi Kak Mona macam tak percaya. Entahlah.”

“Alah, aku teka aje. Mulut aku ni memang nak kena cuci dengan peluntur agaknya. Jahat sangat!” kutuk aku kepada diri sendiri. Menyesal pulak menggosipkan orang.

Aku periksa telefon kot-kot Faizal ada balas mesej aku. Bukak aje tetingkap hijau tu, aku dah nampak mesej menyakitkan hati Faizal. Dia buat lagi. Tanpa buka mesej itu, aku masukkan kembali telefon ke dalam beg. Ah, tak kuasa nak balas bila dia mesej aku satu huruf tu.

 

K.

 

Selepas Tuan Idris habis semak fail dengan Kak Mona, dia datang bertegur sapa dengan kami. Banyak juga soalan dia tanya dekat aku memandangkan aku staf baru. Macam mana datang opis pun dia tanya, duduk serumah dengan siapa. Hai, untungnya siapa jadi menantu dia. Tengah hari tu Tuan Idris belanja bahagian kami makan.Dia bagi duit dekat Kak Mona dan Kak Mona order Texas Chicken untuk kami. Aku mula rasa seronok kerja di sini. Harapnya kontrak aku sudi disambung nanti.

 

**

 

Sebelum balik kerja hari tu, aku sempat mesej Faizal, kot-kot dia free. Aku ingat nak jumpa. Saja-saja. Mungkin boleh jumpa dekat tempat lain sebab aku dah bawak motor sendiri.

Tapi dia kata ada hal dekat luar jadinya dia tak masuk dah kilang, makanya tak dapatlah tengok muka buah hati.

Masa motor aku lalu dekat depan pondok jaga, Ibrahim melambai sambil melaung memanggil nama aku. Hampir-hampir aku nak melatah. Terkejut aku dia tahu nama aku. Mesti dia usyar lanyard card yang aku pakai dekat leher.

“Huish.Ada apa panggil saya?”

“Lupa ke dekat kasut awak tu? Dah, parking cepat kat tepi tu,” tunjuk dia pada petak kosong di belah kanan pondok.

Aku pun elok aje ikut arahan dia. Padahal tak payah matikan enjin pun boleh aje dia bagi dekat aku stiletto aku tu.

“Dah siap baiki ke?”

“Dah! Alah, sapu gam je. Bukan baiki pun.”

Dia hulurkan pada aku beg kertas, aku intip isi di dalamnya sekilas tanpa mahu periksa sama ada stiletto itu dalam keadaan yang elok atau tidak selepas digamkan. Ah, malas dah aku nak pakai lepas ni. Faizal nak paksa aku pakai,lain kali dia pakai sendiri. Baru dia tahu susahnya nak berjalan.

Senyum aku hadiahkan kepada abang jaga yang bermuka elok ini. Sebenarnya aku segan kalau berhadapan dengan jejaka bermuka hampir sempurna pada pandangan biji mata aku ni. Segan, malu, risau semua ada. Takut hati terlajak suka. Parah nanti.  

Aku larikan pandangan ke kiri. Ceh! Saja nak tutup malu. Dalam konon dok perhati keadaan dalam pondok jaga tu, aku terperasan sesuatu.

 Eh, mangkuk tingkat aku!

“Kejap. Ni saya punya ni. Alah, lupa pulak nak ambil.” Terus aku hampiri mangkuk tingkat aku yang diletakkan ke dalam beg plastik lut sinar yang disangkut pada tingkap nako pondok.

Selamba saja aku ambil. Huih, tak boleh nak teragak-agak. Ini kalau hilang, mak aku boleh buat macam-macam benda luar jangkaan. Misalnya, sedekahkan koleksi novel kesayangan aku kepada orang ramai. Bukan tak pernah jadi. Teringat pulak masa aku terlupa bawak balik bekas bulat Tupperware  dari sekolah dulu. Padahal bekas tu mak susun dalam almari bahagian bawah sekali dan tak nampak pun kalau pandang dari luar. Rupanya dia perasan dan tagih pada aku bekasnya sebaik saja aku sampai depan rumah. Dah aku lupa bawak balik, sudah tentu kena leter sampai ke subuh. Terus esoknya ayah beli polisterina pakai buang dengan pesanan, guna benda alah tu aje. Tupperware tunggu dah wasiatkan nanti baru dapat guna. Perli baik punya.

“Lah. Awak ke yang masak hari tu?” Riak muka Ibrahim macam tak percaya pun ada.

“Iyelah. Awak ke yang makan?” Cuak sikit. Takut masa dia makan tu makanan dah nak basi.

“Haah. Pak Cik Ya yang bagi. Masa tu saya syif malam. Pak Cik Ya dah nak balik, dia pun bagilah dekat saya. Saya ingat mak cik kantin ke yang masak. Sedap.” Agaknya Pak Cik Ya tu merujuk kepada Pak Cik Zakaria yang tegur aku hari tu. Fuh, lega rasa hati. Bukan apa, tak naklah orang terima makanan yang aku buat dalam keadaan dah tak elok.

“Kalau mak cik kantin masak, baik dia ajak awak makan dekat kantin aje.”

“Hurm, tapi tulah, Sambal awak buat tu macam makcik-makcik yang buat. Isy, tak padanlah dengan awak.” Geleng-geleng kepala dia. Muka dia macam teruja dan tak percaya aku yang masak. Over betul dia ni.

“Pulak. Masak sambal pun nak kena matching dengan wajah tukang masak ke? Dah saya masak ayam penyet hari tu, muka saya kena penyet-penyet ke baru nampak macam saya yang masak?”

Gelak aje si Ibrahim ni. Lepas tu, lesung pipit tu tak surut-surut. Kotlah kalau asyik senyum aje, lesung pipit tu boleh hilang.Ni tak… Haih.

“Serius saya cakap. Awak masak hari itu sedap gila.Kalau buat jual, mesti hari-hari saya beli.” Beria-ia Ibrahim melontarkan idea.Huih , sampai nak berniaga tu memang taklah. Untuk makan sendiri boleh la.

“Eee… Sindir saya ek?” Malu alah pulak rasanya bilaada yang memuji. Aku pun ambil resipi dari Blog je, lepas tu olah sikit ikut cita rasa aku. Entah-entah Ibrahim nak mengurat aku. Tu yang puji lebih-lebih tu. Yang tak sedap pun jadi sedap. Eh-eh. Biarlah sekali sekala nak perasan.

“Hmmm. Boleh tak awak buat lagi?” Bersungguh-sungguh dia bertanya. Biar betul abang jaga ni.

“Isy, malas la saya. Hari tu pun datang mood rajin saya je yang saya buat.”

“Ala, bolehlah. Saya sanggup bayar. Sambal awak buat tu sebiji macam arwah nenek saya punya sambal.” Pujuk Ibrahim dengan riak muka cuba meyakinkan aku.

Hah, keluar pulak nama nenek. Yang dah arwah pulak tu.

Lalu akhir sekali aku hanya menjawab jawapan yang selamat.

“Kalau saya ada masa nanti, saya buat. Okey?”Bolehlah. Abang jaga ni pun dah berapa kali tolong aku. Mula dari kes hujan lebat tu, buku lali aku dia tampalkan plaster pagi tadi dan kasut aku dia tolong gamkan.

Dan satu lagi sebab aku rasa dia boleh buat kawan.

“Beres, Saya tunggu.” Dia angkat ibu jari dengan riak muka gembira. Amboi. Seronok sangat.

“Dah cucu request kan? Bila-bila nenek buat ye?” usikaku lalu kembali ke motor. 

Cis, ingatkan tadi nak mengurat aku. Rupa-rupanya aku hanyalah nenek di mata dia. Haha, padan muka kau Sarah. Gatal lagi. Tak sedar diri yang kau tu dah nak jadi isteri orang. Abang jaga beri salam tanda pamit dan aku hanya angkat tangan tanpa menoleh. Aku bawak motor petang tu tersengih-sengih sendiri. 

Previous: Bab 4
Next: Prolog

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aya Sanjana