Home Novel Komedi/Romantik Komedi Kerana Hati Pilih Yang Sayang
Kerana Hati Pilih Yang Sayang
Aya Sanjana
9/11/2020 10:07:08
25,729
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 1

Bab1

 

Semangat betul aku bangun pagi hari ni. Awal pagi lagi aku dah tercongok depan pintu pagar utama kilang ni. Yalah, dah tiga bulan kut aku menganggur. Makan minum tidur semua mak ayah tanggung. Internet pun guna mobile hotspot ayah punya.Betapa sengkeknya aku. Haih.

            Harapnya dengan gaji sebanyak RM1600 sebulan nanti bolehlah aku mulakan hidup dekat bandar ni. Walaupun dapat kerja lain dengan gaji lebih RM400 daripada kerja sekarang, mak asyiklah paksa aku kerja dekat kilang air minuman manis dan berkarbonat ni. Alasan mak mudah.Tunang aku orang kuat dekat kilang ni. Ketua bahagian jualan katanya. Senang dia boleh jaga dan pantau aku. Biasalah, duduk jauh dari keluarga. Kalau jadi apa-apa, boleh dia tolong hulurkan bantuan.

Mak aku kata dia punya gaji kalau campur komisyen mahu dekat tujuh ribu ringgit. Mak aku kata lagi, bab jualan dan pemasaran dekat kilang tu, memang tunang akulah juara. Biasalah, mak aku ni semua benda dia ambil tahu pasal Faizal. Faizal tu dah macam tunang mak aku pun ada.

            Dia janji boleh bagi hantaran 30 ribu macam mak mintak. Jadinya, mak aku on aje. Mak aku punya tahap mata duitan tu, seolah-olah dekat mata dia ada sinaran sen, sampai dia mintak slip gaji Faizal masa merisik dulu. Orang kampung aku semua tahu perangai Manja Sen ni macam mana. Itulah nama mak aku. Sen tu orang tambah je sebab betapa mak aku ni cerewet bab duit. Haaa gitu.

Aku mula-mula taklah berkenan sangat dekat Faizal tu. Biasa-biasa je. Tak ada efek slow motion pun kata orang. Tapi bila tenung lama-lama dekat IG dia. Boleh tahan jugak. Tak apalah guna filter pun, asalkan nampak kacak dekat IG tu. Follower pun boleh tahan ramai. Aku pun boleh tumpang bangga kalau orang tanya, siapa tunang kau? Aku dengan bangga kembang hidungnya bolehlah jawab sambil tunjuk IG Faizal yang ada follower sampai 8k itu.

“Cik,cik tunggu siapa tu?” Kedengaran suara garau pak cik jaga dari pondok keselamatan, menghilangkan lamunan aku mengenai Faizal. Pintu pagar dah bukak rupanya. Aku menapak masuk dengan terujanya.

“Saya nak lapor diri hari ni. Mana pejabat sumber manusia ya, pak cik?”

“Ohh, pekerja baru ye, nak? Pintu pagar ni selalu kami bukak lepas pukul 7. Anak sampai tadi pukul berapa lagi?” Melihat aku membahasakannya sebagai pak cik,dia terus gunakan panggilan anak pada aku. Buat perbualan rasa lebih mesra.

“Pukul enam puluh lima, pak cik,” sengih aku. Bukan apa, Tina tadi kena masuk awal pulak hari ni. Tu yang dia  hantar aku terus. Motor aku esok lusa agaknya baru sampai. Ayah dah poskan motor untuk aku guna.

“Bahaya tu nak awal-awal datang. Lain kali kalau anak nak datang awal, masuk je ikut pintu kecil sebelah pintu pagar besar tu ha. Kalau kunci, call je nombor jaga yang bertugas masa tu. Ada nombor telefon siap-siap dah.”

Aku hanya mengangguk faham. Belum sempat aku nak membalas lagi kata-kata pak cik yang bernama Zakaria berdasarkan tanda nama di uniformnya, terasa kuat getaran telefon bimbit aku kemudian disertai bunyi deringan yang menandakan ada panggilan dibuat untuk aku. Kelam-kabut aku ambil telefon dalam beg tangan.

“Kejap ya pak cik.” Aku mintak diri sambil menapak ke hadapan, jauh dari pondok jaga apabila melihat nama pemanggil. Faizal.

“Ya,abang.”

“Sayang kat mana?”

“Saya dah sampai ni. Dekat depan pondok.”

“Kejap-kejap.Abang pun dah nak sampai ni. Jangan ke mana-mana.”

Tak sempat aku balas, talian ditamatkan. Termangu-mangu aku. Baru aku kalih ke belakang, kereta Honda Faizal meluncur masuk dari pintu pagar utama. Dia angkat tangan dekat Pak Cik Zakaria dan hentikan kereta depan aku.

“Masuklah,” ajak dia dengan senyum simpul.

Aku yang teragak-agak, hanya berdiri tegak. Mata aku mengerling ke arah Pak Cik Zakaria yang hanya memerhatikan kami berdua.

“Hei,cepatlah. Nanti orang nampak pulak!” gesa Faizal lagi. Senyum simpul tadi dah hilang. Sekarang macam muka baru lepas kena simpul biawak je.

Eh,yang dia cemas semacam ni apa hal? Mata tu pun duk tengok cermin pandang belakang, macam risau sangat Pak Cik Zakaria nak kata apa-apa pasal kami.

“Errr.. Baiklah.” Dah kena gesa macam tu, kalut-kalut aku bukak pintu belakang dan masuk.

“Hei, sedap duduk belakang ye? Abang ni driver awak ye?”

“Oh,sorry! Tak perasan pulak. Kalau naik kereta ayah, memang saya duduk belakang je. Abang pun bukannya nak bukakan pintu kat saya ke apa. Lagi satu, cakap la elok-elok sikit. Nak hei-heikan orang pulak. Saya ni cepat terkejut. Tu yang main redah je masuk dalam kereta Honda mahal abang ni.”

Ha ambik. Bersepah-sepah leteran aku hadiahkan pada dia pagi-pagi hari. Harap telinga dia tak bocor la.

Faizal mengeluh dan memandu kereta ke tempat letak kereta yang disediakan khas untuk pekerja yang ada jawatan seperti dia. Enjin kereta belum dimatikan.

“Sayang, abang nak bagi tahu sikit ni.”

“Ya,apa dia?” tanya aku sambil mata memandang ke arah matanya di dalam biasan cermin pandang belakang.

“Dekat kilang ni kalau boleh jangan bagi tau lagi kita ni ada hubungan ya?” Macam teragak-agak saja dia nak bercakap.

Aku diam sekejap, berfikir. Aik, tak boleh ke?

“Kenapa pulak? Abang kan bakal suami saya. Nanti kita kahwin pun semua tau jugak kan?” tukas aku yang masih tak puas hati. Aku bukan nak berbangga pun ada tunang kerja berjawatan dekat kilang ni. Sekurang-kurangnya bila orang tahu dia dah berpunya, tak adalah yang menghimpit ke apa.

“Sayang jangan salah faham. Buat masa sekarang ni kalau boleh, biarlah orang tak tahu kita ni ada hubungan apa-apa. Nanti orang kata sayang dapat kerja dekat kilang ni sebab abang pulak.”

Suka hati dialah. Aku dapat kerja dekat sini pun mana guna kabel dia pun. Aku dapat sebab aku mohon dan layak pulak. Masa temu duga guna aplikasi Zoom dulu pun bukan Faizal tolong pun bagi soalan temu duga pun. Eh, aku usaha sendiri tau.

“Yelah.Tapi ingat, abang tu masih tunang orang tau walaupun tak ada siapa tahu,” pesan aku. Masa pesan dekat dia, aku pun ingatkan diri aku sekali. Jangan layan kalau ada yang nak mengurat. Eh, macamlah ada.

“Iya sayang. Takkanlah abang lupa pulak tunang abang yang manis ni. Dah, cepatlah keluar. Nanti lewat pulak. Hari ni hari first sayang kan?”

“Alah,awal lagi ni. Jomlah kita makan dulu ke. Kantin mana?”

“Tengok tu. Lupalah tu. Baru je sebut.”

Aku garu dahi. “Haah, ya tak ya.” Aku sengih saja membalas.

“Dah, salam abang.” Dia menghulurkan tangan setelah memusingkan badan.

“Ha,meh la.” Aku tayang penumbuk acah-acah padanya. Siapa yang lupa sekarang? Bukan main tak nak mengaku tunang aku. Tapi nak pegang tangan aku macamlah aku dah jadi bini dia. Miang!

Aku keluar dari kereta dia setelah bertanya arah ke bahagian sumber manusia. Kaki dilangkahkan menuju ke arah kanan seperti yang diberitahu Faizal. Berdebar jugak hati ni. Dapat ke aku buat kerja dengan baik? Janganlah dapat ketua garang macam singa.

Getaran di dalam beg tangan terasa lagi. Lalu aku ambil dan buka pesanan WhatsApp daripada buah hati aku tersayang.

 

Ayah: Kakak, kerja baik-baik. Senyum jangan tak senyum. Ala, tak payah takut. Kakak boleh! Jaga diri, jaga maruah.Ayah tak pernah tak doa kat kakak.

 

Terus langkah kaki terasa bersemangat. Mana pintu opis ni? Jauh pulak terasa. Tak sabar nak kerja, nak dapat duit. Yeahh!

 

 

 

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aya Sanjana