“ASTAGHFIRULLAHALAZIM… mana mak nak letak muka ni, Huzaif?!” Tangan
Che Jamaliah menumbuk-numbuk dada dan bahu anaknya. Rasa marah dan sedih
bercampur-baur, menaikkan darahnya.
“Ampunkan Zaif mak, ampunkan Zaif,” pohon Huzaif
berkali-kali.
“Kenapalah sampai hati buat mak macam ni? Tak sayangkan mak
ke?”
Kemarahan Che Jamaliah pada anaknya bagai tidak dapat
dibendung. Anak yang diharapkan dapat menggembirakan hatinya telah
mengecewakannya. Sekali lagi dia berhadapan masalah yang hampir serupa. Dahulu
anak sulungnya buat hal, kini Huzaif pula.
“Dahlah tu! Perkara dah jadi, kita terpaksa terima. Dia orang
dah ada anak pun,” pujuk Tuan Malik, abang kepada Che Jamaliah.
“Apa aku nak cakap dengan keluarga Rus? Majlis dah tak lama
lagi. Macam-macam persiapan dah dibuat.”
Ketika ini, Che Jamaliah terasa sakit dadanya. Berkali-kali
dia mengurut dadanya yang kian sesak. Pernafasannya juga tidak menentu, mujur
dia masih boleh mengawalnya.
“Nak buat macam mana? Dah tak ada jodoh Huzaif dengan Rus,”
pujuk Tuan Malik lagi.
Dia juga turut kesal dengan berita yang baru diketahui.
Bertambah bimbang memikirkan Haji Rosman adalah sahabat baik arwah adik
iparnya. Perkara ini boleh sahaja mengundang kemarahan pihak perempuan.
“Abang cakap senanglah! Ada abang fikir apa perasaan Rus dan
keluarga dia?”
“Apa lagi yang boleh kita buat? Nak tak nak kita kena ke sana
dan bincang baik-baik,” ujar Tuan Malik. Itu sahaja pun caranya untuk
selesaikan masalah ini.
“Aku nak Rus jugak jadi menantu aku!” tegas Che Jamaliah.
“Mak… Zaif tak cintakan dia. Zaif sedar Zaif dah buat salah pada
mak, tapi Zaif tak sanggup nak tipu diri sendiri. Hati ini hanya untuk Sarah,”
rayu Huzaif. Dia amat berharap emaknya mengerti perasaan hatinya.
“Kenapalah Zaif belakangkan keluarga? Kalau dari awal
berterus terang dengan mak, tak ada la jadi macam ni,” keluh Che Jamaliah
dengan rasa amat kesal.
“Ampunkan Zaif mak…” rayu Huzaif lagi sambil meraih tangan emaknya.
Sarah yang ada bersama turut kecut perut. Sedih dan kasihan
melihat situasi yang sedang suaminya hadapi. Hendak menolongnya, tidak tahu apa
yang patut dilakukan. Dari awal lagi suaminya sudah beritahu kemungkinan yang
akan menimpa mereka. Huzaif nasihatkan dia supaya bersabar sahaja dan jangan
berkata apa-apa.
“Malu mak dengan keluarga Rus. Dulu mak yang beria-ia nak
bermenantukan dia, sekarang pihak kita pulak yang buat hal,” luah Che Jamaliah
dengan sedih. Dia juga sudah menitiskan air mata.
“Abang Shah…” panggil Huzaif. Pada saat ini, hanya abangnya
yang diharapkan untuk membantu.
“Mak, boleh Shah cakap sesuatu?” Abang sulung Huzaif yang
sejak tadi diam sahaja mula ada keberanian untuk bersuara.
“Hmm…” sahut Che Jamaliah, acuh tak acuh.
“Kalau mak tak kisah, Shah sanggup kahwin dengan Rus,” beritahunya
dengan tenang.
Che Jamaliah terkejut saat anaknya beritahu keinginannya
memperisterikan Rus. Dia segera memandang Shah dengan berbagai rasa. Dalam
sekelip mata TUHAN telah menghantar penyelamat maruah mereka.
“Betul apa yang mak dengar tu, Shah?” tanya Che Jamaliah
dengan perasaan berdebar-debar.
“Shah sanggup ambil Rus jadi isteri Shah. Bukan sebab
terpaksa, tapi kehendak hati Shah sendiri,” tuturnya dengan yakin.
Che Jamaliah berasa amat bersyukur dengan penjelasan Shah.
Dia segera memeluknya. Tidak menyangka langsung kali ini Shah pula yang jadi
penyelamat mereka. Lupa terus fasal kekecewaan yang pernah anak itu palitkan
pada keluarga mereka.
“Shah betul-betul serius ke?” tanya Tuan Malik pula.
Dia juga bagai tidak percaya mendengarnya. Dia tidak mahu
pisang berbuah berkali-kali. Dia sudah letih menyelesaikan masalah yang sering
anak-anak saudaranya timbulkan.
Shah mengangguk.
“Berkahwin ni bukan untuk sebulan dua, Shah. Mak tak nak Shah
sia-siakan hidup Rus,” tutur Che Jamaliah.
“Shah serius dan betul-betul nak kahwin dengan dia, mak,”
ucap Shah sungguh-sungguh.
“Janji dengan Mak yang
Shah akan jaga Rus dan bahagiakan dia,” pinta Che Jamaliah.
“Insya-ALLAH mak. Shah sendiri akan berjumpa keluarga Rus dan
bincang pasal hal ni,” janjinya.
Sejak dalam perjalanan balik tadi, dia sudah fikir
semasak-masaknya. Rus adalah pilihan yang tepat untuk dirinya. Rus juga adalah
gadis yang dia inginkan untuk mengisi kekosongan di ruang hatinya yang sepi.
“Rasanya tak elok pulak kalau Shah pergi sendiri. Uncle dan
mak kamu akan ikut sekali,” usul Tuan Malik.
“Betul kata abang tu. Bila kita nak pergi?” tanya Che
Jamaliah. Rasa sedih dan kecewa sebelum ini terus hilang.
“Secepat mungkin,” ujar Tuan Malik.
“Kalau macam tu, nanti mak telefon Hajah Kalsum pasal
kedatangan keluarga kita. Lusa, boleh Shah?” tanya Che Jamaliah.
“Bila-bila pun Shah okey mak,” jawab Shah dengan perasaan
lega.
“Kalau macam tu, mak akan beritahu mereka kita nak datang
petang Rabu ni,” putus Che Jamaliah.
Lagi cepat masalah ini dapat diselesaikan, lebih baik. Che
Jamaliah tidak risaukan perbelanjaan yang telah dikeluarkan untuk majlis
perkahwinan ini. Dia lebih risaukan Rus dan keluarganya. Pihak yang salah tetap
pihak dirinya. Selagi boleh diselamatkan, memang perlu disegerakan.
Che Jamaliah menoleh memandang Huzaif, kemudian isterinya
pula.
“Mak tak nak dukung cucu mak?” Tiba-tiba Huzaif memecah
kesunyian.
“ALLAHUAKBAR…” Baru Che Jamaliah tersedar yang sejak tadi
menantu dan cucunya itu sudah dipinggirkan. Bagai tidak sedar kehadiran mereka
berdua.
“Maafkan mak, Huzaif, Sarah…” ucap Che Jamaliah sambil
mengambil cucunya dari dukungan Sarah.
Wajah cucu sulungnya dicium berkali-kali. Kemarahan pada
anaknya turut lenyap dalam sekelip mata. Begitulah hati mana-mana ibu, sentiasa
murah dengan kasih sayang dan kemaafan. Betapa teruk hati dikecewakan
anak-anak, kasih pada mereka tidak pernah luput. Tidak kira anak sendiri
mahupun anak tiri, kasihnya tidak pernah berbelah-bahagi.
Saat ini, Shah juga boleh tersenyum
lega. Andai sebelum ini pengkhabaran daripada Huzaif membuat dirinya terpaksa
memikirkan jalan penyelesaiannya. Tapi kini, masalah adiknya sudah menjadi
rahmat besar buat dirinya.