Home Novel Komedi/Romantik Komedi 'Dia' My Love
'Dia' My Love
Zan Zarida
13/8/2016 23:49:49
308,415
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Prolog

BULAN Ramadan yang mulia menghampiri penghujungnya. Kebanyakan pusat beli-belah membuat tawaran istimewa dan jadi tumpuan para pengunjung. Masing-masing mahu membuat persiapan terakhir untuk menyambut hari lebaran.

Begitu pun, seorang gadis lebih teruja mahu membayar zakat fitrah buat dirinya. Sesuatu yang tidak pernah dia lakukan sebelum ini. Tadi, sebaik ternampak kaunter membayar zakat, dia terus melangkah ke situ. Mujur juga tidak ramai yang beratur menunggu giliran. Rakannya pula memilih masuk ke butik untuk membeli baju raya dan keperluan lain.

Tiba gilirannya, wang kertas RM 1 berjumlah tujuh keping dia keluarkan dari dompet. Ceria sekali wajahnya ketika menyerahkan wang tersebut kepada amil yang bertugas. Satu nilai yang memberi pengertian berbeza bagi setiap individu.

Selama setahun ini diri dikurniakan kesihatan yang baik dan rezeki yang melimpah-ruah, terasa seperti terlalu kecil nilai yang perlu dikeluarkan. Bagi mereka yang berpendapatan rendah dan mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai, pasti berasa lain pula.

Setelah bertanyakan namanya, amil terus mencatatnya pada buku resit. “Mohon baca akad pada kertas depan tu,” suruh amil, merujuk kepada akad yang perlu dilafaz setiap pembayar zakat fitrah.

Gadis itu mengangguk. Tidak berapa lama kemudian, kedengaran akad dibaca perlahan. Sebaik selesai, tiba-tiba sahaja gadis itu berasa sebak saat amil membacakan doa. Tidak semena-mena, ada air mata yang merembes membasahi pipinya.

“Kenapa bersedih ni?” tanya amil, sedikit terkejut dengan reaksi gadis itu. Sepanjang dia menjalankan tugas, tidak pernah pula ada yang menangis ketika menunaikan kewajipan setahun sekali ini.

“Sebenarnya, ini pertama kali saya bayar zakat fitrah untuk diri sendiri,” jawab gadis itu dengan sedih sambil mengesat air matanya.

“Ooo… sebelum ni siapa yang tolong bayarkan?” Ramah amil bertanya.

“Abah saya, tapi saya tak pernah dapat ikut dia. Saya memang teringin nak tengok, tapi sekarang dah tak berpeluang…” jawabnya dengan sayu.

Amil mengangguk beberapa kali. Dia dan seorang pemuda yang menunggu giliran turut tersentuh mendengar penjelasan gadis itu. Setiap orang pasti sahaja mempunyai cerita masing-masing yang mengusik jiwa.

“Tahun ni saya dah mula bekerja. Ni kali pertama dan terakhir jugak…” sambung gadis itu lagi.

“Pertama dan terakhir? Eh, kenapa pulak?” tanya amil lagi. Kali ini, amil yang berusia awal lima puluhan itu benar-benar terkejut.

Pemuda tadi terus pasang telinga kerana berminat hendak mengetahuinya. Dia juga meneka sendiri situasi yang mungkin gadis itu alami.

Gadis itu tunduk. “Tak lama lagi saya akan berkahwin. Ramadan tahun depan mesti suami saya yang tolong bayarkan,” jelasnya.

“Aduhai… anak ni buat pak cik saspens aje. Ingat pasal apa tadi!” Akhirnya amil tersenyum, kemudian menyerahkan resit kepadanya.

“Terima kasih, terima kasih…” ucap gadis itu. Sekelip mata dia berubah ceria saat resit berpindah tangan. Bagai menerima sesuatu yang amat berharga.

Entah kenapa, hati kecil pemuda yang menunggu giliran untuk membayar zakat berasa amat terharu. Tadi, tatkala terdengar suara sebak gadis itu ketika melafazkan akad, dia juga berasa terkejut. Bertambah sayu melihatnya mengelap air mata yang merembes. Melihat yang empunya diri, sebaya dengan adiknya sahaja.

Setiap tahun, dia juga melakukan perkara yang sama dan tidaklah berasa apa-apa. Ketika arwah mamanya masih ada, tidak pernah pula dia berasa tersentuh begini. Siapa sangka, ia cukup besar maknanya bagi sesetengah orang.

Saat ini, pandangan matanya mengikut gadis yang melangkah perlahan menuju ke butik berhampiran. Rupanya dia datang ke pusat beli-belah ini bertiga. Seketika dia mencerlung matanya sebaik perasan salah seorang daripada mereka.

Tiba-tiba jantungnya berdenyut pantas. Rona merah terkuras pada wajahnya yang putih bersih. Berbagai-bagai perkara terimbau dalam satu masa. Wajah Mak Uda dan insan-insan yang pernah mewarnai hidupnya terlayar di ruangan mata. Satu keluhan turut dilepaskan, bagai ada sesuatu yang dikesalkan.

“Anaknya nak bayar zakat jugak ke?” Amil teragak-agak bertanya. Wajah anak muda di hadapannya lama diamati.

Pertanyaan amil menghentikan lamunan singkatnya lalu segera mengangguk. “Ya saya,” ucapnya dan terus bersalaman dengan amil.

“Kenal ke dengan gadis tu?” Amil bertanya lagi sambil angkat kening. Bagai mahu mengorek cerita pula!

Pemuda itu terus tersipu-sipu dan cuba melindungi rasa segannya.

“Ke... dah berkenan dengan orangnya?” usik amil pula kemudian tertawa.

Pemuda itu hanya mengukir senyuman sebagai jawapan tanpa suara. Biarlah hanya diri sendiri yang tahu.

“Hmm… nak bayar untuk berapa orang?”

“Untuk tiga orang,” beritahunya.

“Mana isteri dan anak? Tak nampak pun,” tanya amil sambil memandang sekitar.

Tadi, dia memang beranggapan lelaki itu bukan orang tempatan dan mungkin saja pelancong yang berkunjung ke situ. Melihat wajahnya, tidak sangka rupanya dia saudara seagama.

“Sebenarnya nak bayar zakat untuk saya dan adik-adik,” beritahunya.

Tiba-tiba, dia juga berasa sebak ketika mengucapkannya. Sejak awal tahun ini, seorang lagi adik turut di bawah tanggungannya. ALLAH… ALLAH… memang kali ini dia berasa lain sekali. Tiba-tiba sahaja kolam mata terasa bergenang.

“Alhamdulillah. Macam tadi, anak-anak ni cuma nak tengok ayah dia lafaz akad bayar zakat dan pegang resit tu. Pasti mereka melihat resit itu dengan tersenyum-senyum, tanda bahagia dan gembira.”

“Tulah, kadang-kadang kita tak pernah sangka hikmah di sebalik apa yang berlaku,” balasnya sambil menghulurkan wang kertas RM 50 kepada amil.

“Nanti jangan lupa tangkap gambar resit ni dan WhatsApp kat adik-adik awak. Mesti dia orang seronok,” saran amil.

Pemuda itu tertawa mendengarnya. Sungguh, dalam tempoh yang singkat, berbagai-bagai perasaan yang datang. Dari rasa terharu menjadi sebak. Dari berasa sedih terus berubah riang!

Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.