Home Novel Komedi/Romantik Komedi 'Dia' My Love
'Dia' My Love
Zan Zarida
13/8/2016 23:49:49
308,431
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 27

 

“DIA!” panggil Rus sambil matanya tercari-cari kelibat suaminya di dapur. Tadi dia sudah pergi ke ruang tamu, namun Isaac tiada di situ. Rus ada perkara mustahak hendak minta tolong dengannya.

Yes honey…” Isaac yang entah dari mana meluru mendapatkan Rus sebaik terdengar suara isterinya.

Rus menjeling Isaac yang tersengih di sebelahnya. Apa hal mat salih ini? Dia bersungut sendiri.

“Amboi! Siap panggil dear dan honey bagai. Sweet gitu,”sampuk Kak Tupin yang berada di meja makan.

Kak Tupin adalah isteri kepada Roslan, abang sulung Rus. Nama sebenarnya Haliyatun, tapi nama manjanya Tupin! Andai diri Rus, memang segan sungguh dengan panggilan itu. Sumpah, dia tidak akan menyahut andai ada yang memanggilnya begitu di khalayak.

“Kak Tupin panggil apa kat suami, ya?” Tiba-tiba Isaac ingin tahu pula.

“Panggil abang aje. Kita orang mana reti nak cakap orang putih ni,” jawabnya, selamba.

“Tak fahamlah saya! Mak panggil abah, abahnya. Apasal tak panggil abang, macam orang lain?” tanya Isaac sambil menarik kerusi lalu duduk.

“Ikut diri masing-masinglah. Asalkan kita berbahasa dan panggil pasangan kita dengan panggilan yang dia suka,” beritahu Kak Tupin.

Tangannya laju sahaja membuang ekor tauge. Petang nanti dia bercadang mahu memasak kuetiau goreng untuk minum petang. Biasanya Haji Rosman akan membeli pisang goreng atau kuih-muih selepas bersolat asar di surau. Sesiapa yang lapar dan mahu makan yang berat sedikit, bolehlah merasa kuetiau goreng air tangannya.

Rus yang mendengar terpaksa telan air liur dan pura-pura sibukkan dirinya di dapur.

“Tulah! Harap-harap tahun depan Rus panggil saya, abahnya. Boleh kan, sayang?” usik Isaac. Senyuman dibibirnya semakin manis.

Wajah Rus terus merona merah. Nasib cuma ada kakak iparnya sahaja. Kalau tidak, parah dia kena sakat dengan sanak saudara.

“Dengar tu Rus… dear awak tu dah sabar!” Kak Tupin turut tersenyum-senyum.

“Tengoklah macam mana. Itupun kalau ada rezeki,” balas Rus sekadar berbahasa.

“Janganlah cakap macam tu! Kena usahalah, kan Isaac?” Kak Tupin beralih memandang birasnya pula.

“Betul, betul.” Isaac segera mengeyakan.

Rus sudah tidak tertahan mendengarnya. Mahu sahaja dia hempuk buntut kuali di kepala lelaki itu!

“Dah alang-alang cuti kahwin, korang nak berbulan madu kat mana?” tanya Kak Tupin.

“Saya tak kisah kak. Kat mana-mana pun okey…” beritahu Isaac.

“Ops… lupa pulak yang Isaac ni keturunan mat salih. Bab-bab ni, korang kan terlajak handal?” Kak Tupin bantai gelak besar.

Rus yang berasa geram terus beredar menuju ke bilik. Dia boleh terlupa sebab sebenar mencari suaminya.

Isaac bangun dan menuruti isterinya. Kalau boleh dia akan mengekori ke mana sahaja Rus pergi. Dia mahu sentiasa berada di sisinya, biarlah apa orang lain hendak kata. Biarlah Rus asyik marah dan geramkan dirinya.

Sampai dalam bilik, Rus terus berbaring.

Isaac pula menuju ke tepi tingkap dan melihat pemandangan di luar. Nama sahaja Kampung Sungai Rokam, tetapi ciri-ciri kampung sudah banyak yang hilang. Kebanyakan rumah adalah rumah batu dan berpagar. Ada juga beberapa buah yang masih mengekalkan struktur rumah papan yang asal, tetapi tetap telah diubah suai untuk keselesaan.

“Dia…” panggil Rus.

Yes, honey…” sahut Isaac dengan senyuman.

“Boleh tak, jangan mengada-ada?” Rus menjeling geram.

“Kalau dah berkahwin,bukan kena panggil dinda kanda ke?” Isaac bertanya manja.

“Itu panggilan zaman nenek moyang!”

“Aduhai…” keluh Isaac.

“Kita ni bila nak balik KL?” Tiba-tiba Rus mahu segera berada di rumah sendiri. Lebih privasi dan boleh buat apa yang dia suka tanpa memikirkan pandangan orang lain.

“Rus cuti sampai bila?”

“Sampai Ahad ni.”

“Nanti-nantilah, saya nak berlama dengan keluarga Rus,” beritahu Isaac. Dia belum puas beramah mesra dengan ahli keluarga dan sanak saudara belah isterinya.

Rus mengeluh berat. Rosak pelan dia hendak balik lebih awal.

Siulan unggas mengasyikkan Isaac yang jarang sekali dapat menikmati keindahan alam. Dalam sayup-sayup desiran angin, dia berasa amat bahagia. Terasa indah sahaja hidup ini.

“Dia!” panggil Rus lagi.

Yes darling…” Isaac menyahut dengan mengubah panggilan lain pula untuk isterinya.

“Rus la, bukan darling!”

“Dah awak panggil saya, dear. Kenalah saya panggil Rus macam tu…” balas Isaac dengan sengihan nakal.

“Maaf ya. Saya sebut dia.D.I.A bukan D.E.A.R!” beritahu Rus supaya Isaac tidak terlebih perasan.

“Hmm… dia pun dialah!Janji Rus dah darling saya.”

 “Dia jangan nak berlebih, ya?”

Isaac sudah garu kepala.“Saya peliklah. Setahu saya, dia tu kata ganti diri ketiga.”

“Kat sini ada berapa orang?” tanya Rus pula.

“Dua. Saya dan awak.”

So, dia tu awaklah!” ujar Rus, geram.

“Ingatkan awak panggil saya, dear...”

“Tak lalu kita nak panggil dia macam tu!”

“Tak fahamlah saya dengan Rus ni. Sekarang Rus bahasakan diri tu kita pulak. Kita tu bermaksud saya dan awak tau!” Boleh pening Isaac dengan bicara isterinya yang asyik berubah-ubah membahasakan dirinya.

“Kita tu… saya aje. Tak termasuk dia!” ujar Rus.

“Aduhai Rus… suka hati awaklah nak panggil saya apa. Lagi satu, jangan nak kelirukan saya dengan bahasakan diri tu, kita!”

Rus buat tidak kisah sahaja. Sebenarnya dia pun tidak pasti bagaimana terbahasakan diri sendiri sebagai kita.

Isaac menjeling isterinya. ‘Tension betul! Aku punyalah suka sangat kat dia. Dia boleh panggil aku D.I.A aje?’ Isaac membebel dalam hati.

Ada ketikanya Isaac rasa hendak hantuk kepala pada  tiang sahaja.Beratus billion sel dalam otaknya gagal untuk menghasilkan ayat manis bergula untuk memikat hati isterinya.

Dia perlu fikirkan sesuatu untuk menangani masalah ini. Malam tadi, dia ingatkan Rus sudah okey dan boleh menerima dirinya. Rupa-rupanya susah juga hendak menduga hati dan mood isterinya yang berubah-ubah.Akhirnya Isaac membawa diri dan mahu mengambil angin di luar.

 

Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.